Showing posts with label Artikel Pilihan. Show all posts
Showing posts with label Artikel Pilihan. Show all posts

Apabila Pendidikan DiDEMOKRASIkan

Muqaddimah

1Aspirasi 1Agenda”, begitulah tema sambutan hari guru tahun ini. Guru sememangnya sinonim dengan pendidikan. Mutakhir ini isu pendidikan seakan diberi lebih perhatian apabila beberapa aspek tertentu diberi penekanan. Antara lain adalah dasar pendemokrasian pendidikan. “Pendidikan merupakan alat paling berkesan untuk mengubah kedudukan sosio-ekonomi sesuatu bangsa, kumpulan atau komuniti”, kata Datuk Seri Najib Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia dalam ucapannya sempena Himpunan Perdana Warga Orang Asli di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM). Menurutnya lagi, prinsip pendemokrasian pendidikan yang diamalkan oleh kerajaan telah membuka ruang dan peluang yang luas kepada rakyat termasuk golongan minoriti orang asli untuk mendapat akses pendidikan berkualiti [http://www.bharian.com.my/ (15/2/2013), diakses pada 1/4/2013].

Hakikat Pendemokrasian Pendidikan

Apa sebenarnya pendemokrasian pendidikan? Pendemokrasian pendidikan adalah kesamarataan hak bagi setiap individu dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang disediakan oleh sesuatu sistem pendidikan di sesebuah negara.  Ini secara langsung bermaksud tidak harus wujud sebarang diskriminasi dalam bidang pendidikan di semua peringkat individu atau masyarakat. Dasar pendemokrasian pendidikan ini telah bermula pada tahun 1962 dengan memberi penekanan kepada pendidikan percuma untuk semua pelajar.

Persoalannya, adakah konsep pendemokrasian pendidikan ini dimanifestasi dan diterjemahkan dengan sebenar-benarnya? Melihat kepada senario sistem pendidikan pada masa kini, apa yang dikatakan oleh PM itu hanyalah jauh panggang dari api. Ini kerana sejak ia diperkenalkan 51 tahun yang lalu, masih terlalu banyak kekurangan serta kelemahan dalam perlaksanaannya. Sebagai contoh walaupun Perdana Menteri mengumumkan bayaran yuran persekolahan untuk sesi 2012 bagi sekolah rendah dan menengah melibatkan jumlah RM150 juta dimansuhkan, hakikatnya bayaran tambahan lain yang dikenakan kepada pelajar begitu membebankan. Ini termasuklah bayaran berkaitan aktiviti kokurikulum, ko-akademik, yuran persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) serta pelbagai bayaran tambahan lain yang terpaksa dikenakan oleh pihak sekolah.

Ironinya di sini, pihak sekolah justeru diharapkan dapat mempamerkan prestasi yang cemerlang dengan meningkatkan prestasi akademik para pelajar yang dinilai daripada keputusan peperiksaan semata-mata. Untuk merealisasikan matlamat tersebut, pelbagai aktiviti bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran perlu diwujudkan dan ini semua melibatkan peruntukan yang tinggi. Natijahnya peruntukan ini mahu tidak mahu terpaksa dikongsikan dengan ibu bapa dan penjaga para pelajar bagi menjayakannya.

Bagi ibu-bapa yang berpendapatan rendah, mereka terpaksa bergolok gadai untuk membayar pelbagai bayaran tambahan yang dikenakan oleh pihak sekolah. Ini belum lagi mengambil kira sejumlah wang yang perlu disediakan oleh seseorang itu jika berjaya melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi seperti kolej, institusi latihan mahupun universiti.

Aneh tetapi benar, dalam keterujaan pemimpin tertinggi negara memperkatakan mengenai dasar pendemokrasian pendidikan dengan memberi penekanan kepada peluang akses pendidikan yang berkualiti, laporan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 (RMK-9) adalah seperti berikut:

1. Sebanyak 767 (10.1%) sekolah rendah dan 28 (1.4%) sekolah menengah terutama di luar bandar tidak mempunyai bekalan elektrik 24 jam. Bagi sesetengah sekolah yang menggunakan jana kuasa elektrik berkuasa rendah, mereka kerap menghadapi kesukaran ketika hendak menggunakan peralatan ICT seperti televisyen dan komputer.

2. Penyediaan bekalan air bersih belum dibekalkan sepenuhnya. Dilaporkan sebanyak 1,517 (20.0%) sekolah rendah dan 68 (3.4%) sekolah menengah terutama sekolah di luar bandar masih tidak mempunyai bekalan air awam.

3. Selain daripada prasarana dan infrastruktur yang tidak lengkap, kadar penyertaan pelajar dalam sistem persekolahan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) masih rendah di peringkat menengah. Malah masih ada murid sekolah rendah yang belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

4. Penyertaan dan pencapaian pelajar kurang upaya, anak orang asli dan kaum Penan di Sarawak masih belum boleh dibanggakan.

5. Kelemahan ini ditambah lagi dengan bilangan guru terlatih dalam bidang kritikal (Matematik dan Sains) belum mencukupi khususnya di kawasan pedalaman serta masih terdapat guru berstatus kontrak dan tidak terlatih.

Laporan di atas hanyalah secebis daripada sekian banyak implikasi penerapan sistem pendidikan dalam bingkai demokrasi kapitalis. Tidak keterlaluan untuk disimpulkan bahawa sistem pendidikan seperti ini, akhirnya hanya melahirkan output seperti sebuah mesin layaknya. Bijak dalam akademik namun buta dalam pemahaman agamanya. Hebat berketrampilan namun jengkel keperibadian Islamnya. Ini adalah output umum daripada sistem pendidikan saat ini. Buktinya, paparan media yang tidak putus-putus melaporkan sekian banyak generasi muda yang terjebak dengan pelbagai masalah sosial. Ternyata sistem pendidikan dengan asas sekularisme ini telah melahirkan individu yang pola fikir dan pola sikapnya cenderung menjadi seorang yang materialistik, individualistik, hedonistik dan sekularistik.

Wanita Hijabista Fashionista vs Wanita Solehah

Pengeluaran majalah Hijabista telah berada di pasaran sejak 5 bulan yang lalu. Edisi pengenalan keluaran April 2012 memaparkan Diana Amir sebagai penghias muka depan. Hijabista mungkin menjadi rujukan buat para pemakai tudung. Ini adalah roda kehidupan wanita hijabista untuk mengikut trend terkini cara pemakaian tudung supaya lebih menarik tetapi sopan. Apa yang menjadi kesalahan kepada wanita hijabista fashionista atau singkatannya hijabishion??


Wanita, Kekeliruan Dan Tipu Daya Yahudi

Umat Islam yakin bangsa Yahudi dan Nasara adalah dua bangsa yang disebut dalam Ummul Kitab sebagai masing-masing bangsa yang dimurkai dan bangsa yang sesat. Mereka adalah musuh yang nyata kepada umat Islam.  Persoalannya, adakah umat Islam menyedari bahawa Yahudi dan Nasara senantiasa memasang perangkap untuk menjerat umat Islam dalam segenap aspek kehidupan? Antara golongan yang amat mudah terpedaya dan masuk ke perangkap mereka adalah wanita.

Wanita Dan Kekeliruan Gaya Berpakaian

Aspek yang amat ketara dipengaruhi oleh Yahudi dan Nasara dalam kehidupan seorang Muslimah adalah gaya berpakaian.  Bermula dari umur kanak-kanak hingga ke umur remaja, anak-anak perempuan Islam didedahkan dengan cara berpakaian yang fashionable dan amat mengelirukan. Tuntutan berpakaian menutup aurat untuk anak-anak perempuan yang telah mencapai umur baligh difahami dengan fahaman yang literal iaitu sekadar menutup tubuh.  Justeru, berpakaian apa saja adalah dibenarkan asalkan menutup tubuh sedangkan tuntutan berpakaian untuk Muslimah adalah berpakaian menutupi aurat (menepati syarak) dan ini termasuklah memakai pakaian yang tidak menampakkan bentuk tubuh seseorang wanita. Dengan kata lain, memakai seluar sama ada jeans atau slack, ketat atau baggy adalah haram bagi wanita Islam walaupun ia menutup tubuh tetapi tidak menutup aurat, kerana pakaian tersebut menampakkan bentuk peha dan bentuk betis seseorang wanita. Dalam hal ini Allah SWT berfirman:

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani " [TMQ al-Ahzab (33):59].

Dari ayat ini jelas sekali Islam telah menggariskan kod pakaian khusus untuk wanita Islam apabila berada di tempat umum.  Begitu juga dengan kewajipan khimar (tudung) di mana Allah SWT berfirman,

“Katakanlah kepada wanita yang beriman, ‘Hendaklah mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka  dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) tampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup kain tudung mereka ke dada dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami merek, atau putera-putera mereka atau putera-putera suami mereka atau saudara-saudara lelaki mereka atau putera-putera saudara lelaki mereka atau putera-putera saudara perempuan mereka atau wanita-wanita Islam atau hamba-hamba yang mereka miliki atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu beroleh kemenangan” [TMQ An-Nur (24):31].

Hak dan Kebebasan Wanita sejagat

Alhamdulillah, setelah sekian lama saya nantikan kemunculannya saban bulan, maka terbitlah ia. Ini adalah satu dari dua isu yang dibawa untuk bulan April 2012. Semoga bermanfaat untuk menambah pengetahuan anda khususnya wanita.

ARTIKEL PILIHAN: HAK DAN KEBEBASAN WANITA SEJAGAT

Muqaddimah

Bicara tentang hak dan kebebasan wanita sejagat seakan tidak mungkin berakhir. Telah sekian lama wanita di seluruh pelosok dunia merintih dan menangisi kesengsaraan yang ditanggung. Oleh yang demikian, artikel ini akan memaparkan fakta-fakta ‘sensasi’ tentang realiti tersebut yang berlaku di kebanyakan negara umat Islam di seluruh dunia.

Nasib Wanita di Serata Dunia Islam

Di Indonesia iaitu sebuah negara yang mempunyai populasi umat Islam paling ramai di dunia, terdapat 23 juta wanita yang amat miskin dan terpaksa bekerja di serata dunia demi sesuap nasi. Melalui jalur agensi pekerjaan, mereka sanggup merantau ke negara yang asing bagi mereka dengan harapan untuk mengutip sebanyak mana wang untuk menanggung keluarga yang ditinggalkan di kampung halaman. Sebaliknya apa yang rata-rata mereka peroleh dari  majikan hanyalah layanan buruk seperti dikurung di bilik, mengalami gangguan seksual, dirogol, malah ada yang dibunuh.

Punca kepada segala kemiskinan tersebut adalah sistem ekonomi dan politik yang diterapkan di Indonesia. Ketundukan kepada sistem ekonomi Kapitalisme menyebabkan pemerintah menyerahkan hartanah dan pemilikan umum kepada syarikat-syarikat asing. Melalui kaedah demokrasi dalam berpolitik, undang-undang digubal sesuka hati agar dapat memenuhi nafsu serakah syarikat-syarikat asing lantas meminggirkan peribumi negara yang kaya dengan  sumber alam itu. Tak ubah seperti kata pepatah, “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan”. Natijahnya, majoriti rakyat Indonesia termasuk kaum wanita merempat kerana kemiskinan.

Begitu juga wanita di Jordan yang menderita akibat pelbagai masalah ekonomi, sosial dan politik. Negara menjual hak milik persendirian dan sumber alam seperti fosfat, kalium dan simen; hinggakan perusahaan tempatan yang berjaya juga dijual kepada pihak Barat. Akibatnya rakyat mengalami proses pemiskinan besar-besaran dengan sebahagian besar mereka berada di sekitar atau di bawah garis kemiskinan. Lalu muncullah simptom-simptom masalah seperti pengangguran, kelewatan berkahwin akibat kos yang tinggi, kegagalan mengatur kewangan rumah tangga, jenayah berleluasa, penderaan fizikal dan banyak lagi.

Di Tunisia pula, semenjak kemasukan kolonialisme Barat, wanita Tunisia melalui pelbagai krisis akibat pelaksanaan sistem diktator yang berasaskan sekularisme, iaitu pemisahan agama dari kehidupan (faslu ad-deen ‘anil hayah). Seiring dengan kemasukan kereta kebal dan tentera Barat ke bumi Tunisia, minda rakyat turut dimasuki idea dan konsep yang telah merosakkan jati diri bangsa dari segi intelektual dan budaya. Akibatnya, wanita diremehkan dari segi hak-hak dan peranan mereka. Wanita tidak dihormati dan dinafikan hak untuk mendapat pendidikan tinggi, penjagaan kesihatan dan keperluan hidup lain.

Seterusnya di Sudan, wanita mengharungi kehidupan yang dipenuhi ketidakadilan, penindasan, kekejaman dan juga kemiskinan. Kaum wanita terpaksa menyaksikan pemisahan wilayah Utara dari wilayah Selatan dengan pilu. Perang saudara yang tercetus di seluruh negara telah menyebabkan kaum wanita terpaksa menjadi pelarian dan kehilangan kaum keluarga. Organisasi bantuan yang  didalangi negara-negara Barat di ‘kem perlindungan’ pelarian di negara-negara jiran sebaliknya menjadikan mereka sebagai mangsa penyebaran racun pemikiran Barat yang rosak. Di kota-kota besar pula, meskipun wanita tidak diancam dengan pembunuhan secara ganas, namun kegagalan pemerintah memenuhi keperluan asas rakyat menjadikan rakyat miskin semakin merempat.

Manakala di Rusia, tidak kurang masalah yang dihadapi oleh wanita. Jika diimbau kembali sejarah Rusia, ia adalah sebuah tanah di mana ideologi Sosialisme lahir dan berkubur. Tetapi kini, ia turut menganut ideologi Kapitalisme bertunjangkan konsep Barat. Di sana, seorang wanita tidak dianggap sebagai seorang manusia yang punya harga diri sebaliknya dipergunakan sebagai komoditi yang diperdagangkan dalam pelbagai aspek. Konsep seperti maruah dan kehormatan wanita telah lama dilupakan apabila wanita sering dikasari dari segi emosi, mental dan fizikal. Lebih teruk lagi, tidak ada perbincangan tentang penjagaan dan perlindungan terhadap wanita di negara ini.

Walhasil, tidak sedikit wanita menjadi mangsa penderaan lelaki yang sepatutnya melindungi mereka seperti bapa, suami dan majikan. Bukan setakat itu, kaum lelaki yang sepatutnya memimpin keluarga malangnya telah membebankan ahli keluarga wanita mereka untuk menanggung keperluan hidup mereka. Hal ini berlaku dalam keluarga yang terdiri daripada para bapa, suami dan anak yang ketagihan arak dan dadah. Semua ini berpunca daripada pelaksanaan sistem pemerintahan sekular apabila Rusia tidak menghalang penjualan arak dan dadah secara berleluasa kerana ia adalah perniagaan yang menguntungkan.

Rusia sebagai negara di mana orang Islam merupakan penduduk minoriti, kebencian terhadap Islam amatlah nyata. Kaum Muslimah tidak dihormati dan menjadi mangsa diskriminasi. Sebagai contoh, mereka sukar mendapat pekerjaan dan boleh dipecat hanya dengan alasan mereka berhijab dan menunaikan solat. Di samping itu, di kebanyakan bandar di Rusia, para Muslimah dianggap sebagai pengganas dan golongan pelampau. Hinggakan mereka diugut, dihina, dimalukan dan dalam beberapa kes para Muslimah turut dipukul. Lebih jauh lagi, kaum Muslimah turut didakwa oleh pihak perisikan negara atas dasar melindungi keselamatan awam daripada keganasan, lalu dihukum dengan tidak adil termasuk dipenjarakan.

Mengharap Rahmat dan Ampunan Allah SWT

Ya Allah! 

Dalam mengenang kisah hidup silam
Kusedar dari kesilapan lalu
Tuhan beratnya dosa-dosaku
Masihkah ada ampunan buatku

Tuhan... Dalam menempuh hidup ini
Banyaknya dugaan datang menguji
Tuhan... Ada yang dapatku gagahi
Dan ada yang gagal kuhindari

Tuhan... Dosaku menggunung tinggi
Tapi taubatku tak kutepati
Tuhan...Rahmat-Mu melangit luas
Terlalu sedikit kubersyukur

Kini kukembali pada-Mu
Mengharap maghfirah dari-Mu
Mogakan terampunlah dosa-dosaku
Biarpun ujian melanda
Ku tetap berkasih pada-Mu
Kerna kuyakin kasih-Mu
Kekal tiada sudahnya...


Seorang Muslim dalam kehidupannya boleh jadi melakukan banyak dosa. Sebahagian mereka mungkin pernah terjatuh dalam perbuatan dosa besar seperti membunuh, berzina, memakan riba, mabuk, mencuri/merampas harta orang lain, dll.

Meski demikian, Allah SWT sesungguhnya Maha Pengampun bagi siapa sahaja yang ingin bertaubat, tentu dengan tawbat[an] nashuha (taubat yang sungguh-sungguh), dengan memenuhi sejumlah syarat: memohon ampunan kepada Allah SWT dengan sungguh-sungguh (dengan banyak beristighfar); menyesal dengan penyesalan yang mendalam; bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan dosa yang pernah dilakukan; rela menerima hukuman (jika terkait dosa besar seperti mencuri, berzina, membunuh, dll); meminta maaf  dan mengembalikan hak (jika terkait dosa kepada atau melanggar hak orang lain).

Kerana itu tidak selayaknya seorang Muslim berputus asa dari rahmat dan ampunan Allah SWT, kerana Allah SWT sendiri berfirman (yang ertinya): Katakanlah, “Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kalian berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (TQS az-Zumar [39]: 53).

Allah SWT pun berfirman (yang ertinya): "Rahmat-Ku meliputi segala sesuatu" (TQS al-A’raf [7]: 157).

Oh, Masih Banyak Firaun Masa Kini!!!


Assalamualaikum wbt,

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Mereka menjadikan para pendeta dan para rahib mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah…” (TMQ at-Taubah [9]: 31).

Imam Asy-Syaukani dalam tafsirnya menyatakan bahawa,

“Sesungguhnya mereka mentaati para pendeta/rahib mereka terhadap perintah dan larangan mereka. Para pendeta/rahib itu diletakkan pada kedudukan sebagai 'tuhan-tuhan' kerana mereka ditaati sebagaimana tuhan ditaati.” (Asy-Syaukani, II/452).

Penjelasan yang sama telah dinyatakan oleh Hudzaifah bin al-Yamani, Ibnu Abbas (As-Suyuthi, III/354-355) termasuk juga ath-Thabari, az-Zamakh-syari, ar-Razi, al-Alusi, Ibnu Katsir, al-Baghawi, Ibnu 'Athiyah, al-Khazin dan Ibnu Juzyi al-Kalbi dalam kitab-kitab tafsir mereka.

Pengertian dan pemahaman ayat di atas adalah sesuai dengan penjelasan yang diberikan oleh terhadap Rasulullah SAW kepada Adi Bin Hatim. Dalam kes tersebut, Adi bin Hatim (yang  ketika itu sebagai seorang Nasrani) telah berkata,

“Aku pernah datang berjumpa Rasulullah dengan memakai rantai salib yang diperbuat daripada perak di leherku. Rasulullah SAW bersabda, “Wahai Adi, lemparkanlah patung itu daripada lehermu!”. Kemudian aku melemparkannya. Setelah itu, beliau membacakan ayat: Ittakhadzû ahbârahum wa ruhbânahum min dûni Allâh…(hingga akhir ayat). Aku berkata, 'Sesungguhnya kami tidak menyembah mereka (pendeta dan rahib)'. Lalu Rasul membantah, 'Bukankah para pendeta dan rahib itu mengharamkan apa yang telah Allah halalkan, lalu kalian mengharamkannya. Mereka juga menghalalkan apa yang telah Allah haramkan, lalu kalian menghalalkannya?' . Aku menjawab, 'Memang benar.' Beliau bersabda, 'Itulah bentuk penyembahan kalian kepada para pendeta dan para rahib kalian.'” (HR ath-Thabrani daripada Adi Bin Hatim).

Dengan mendalami ayat Quran tersebut bersama-sama dengan penafsiran melalui riwayat hadis di atas, kemudian dihubungkaitkan dengan realiti para pembuat hukum yang ada pada hari ini, kita dapat menyimpulkan bahawa 'tuhan-tuhan' selain Allah itu kini bukan hanya terdiri daripada para pendeta/rahib Yahudi dan Nasrani semata-mata, tetapi turut terdiri daripada wakil-wakil rakyat, penguasa dan orang-orang yang terlibat dengan pembuatan hukum selain daripada hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Secara tidak langsung, ayat ini sebenarnya menegaskan tentang keharaman dalam melakukan perbuatan 'syirik' (menyekutukan Allah) dengan cara menjadikan manusia (para rahib dan pendeta) sebagai tandingan bagi Allah (sebagai 'tuhan-tuhan' selain Allah).

Dalam konteks akidah, syirik termasuk dalam kategori dosa besar di mana ia merupakan dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah SWT (rujuk surah an-Nisa', ayat 48). Jika perbuatan mempertuhankan pihak lain selain daripada Allah dianggap sebagai syirik dan pelakunya mendapat dosa besar yang tidak diampunkan oleh Allah SWT, bagaimanakah pula dengan sikap mempertuhankan diri sendiri sepertimana yang dilakukan oleh Fir'aun?

Sebagai Tuhan, Dia adalah zat yang wajib untuk disembah dan yang memiliki hak untuk membuat hukum. Firaun pada masa lalu telah mengisytiharkan dirinya sebagai 'tuhan' dan mengambil alih peranan tersebut. Bagaimana pula dengan para wakil rakyat dan para penguasa dalam sistem demokrasi pada zaman ini yang mana secara jelas mereka dianggap sebagai satu-satunya pihak yang memiliki autoriti dalam membuat segala hukum? Mereka pada hakikatnya adalah sama dengan 'tuhan-tuhan' selain Allah, atau dengan kata lain mereka adalah firaun-firaun masa kini.

Secara zahirnya mereka memang tidak disembah oleh manusia. Namun, jika kita merujuk makna  penyembahan sepertimana yang ditegaskan oleh Nabi SAW terhadap Adi bin Hatim dalam hadis di atas sebagai mentaati seluruh hukum-hukum buatan manusia, maka para wakil rakyat (termasuk para penguasa) juga merupakan 'tuhan-tuhan' yang disembah oleh manusia. Ini adalah kerana dalam sistem demokrasi, hukum-hukum yang mereka buat di Parlimen adalah wajib untuk ditaati oleh seluruh rakyat yang telah memilih dan mengangkat mereka sebagai wakil dan penguasa.

Betapa besarnya dosa mereka yang selama ini merasa diri mereka memiliki autoriti dalam membuat hukum yang wajib untuk ditaati oleh masyarakat. Hukum-hukum yang mereka buat langsung tidak bersumberkan daripada Allah SWT. Hukum-hukum Allah tidak pernah mereka bahaskan (berdasarkan nas), jauh sekali untuk ingin menerapkannya. Alangkah biadapnya mereka terhadap Allah SWT kerana berani membuat hukum-hukum sendiri. Sedangkan Allah SWT sahajalah Yang Maha Bijaksana dan Yang Maha Berkuasa yang telah menetapkan seluruh hukum-hukum bagi makhluk-makhlukNya dan hanya  Dialah satu-satunya yang berhak untuk membuat hukum, bukannya mereka (rujuk surah Yusuf ayat 40).

Masihkah umat ini ingin terus mempertahankan sistem demokrasi yang secara jelas menghasilkan tuhan-tuhan palsu yang kemudian mereka taati seluruh hukum-hukum ciptaan mereka?! Mudah-mudahan Allah menjauhi dan melindungi kita semua daripada segala kesyirikan dan kejahatan. Wallahua'lam. [sumber]
 

Copyright © 2013 | Wanita Mustanir | by Cik Bulat