Showing posts with label Hukum. Show all posts
Showing posts with label Hukum. Show all posts

Hukum Menyambut Hari Guru


Soalan:

Bagaimanakah Islam memuliakan profesion perguruan dan bolehkah guru diraikan melalui sambutan hari guru?


Jawapan:

Keutamaan Guru

Guru ialah orang berilmu yang berusaha menyampaikan pelajaran kepada anak muridnya. Guru merupakan profesion yang sangat mulia dalam Islam. Sesiapa yang mendidik, menasihati dan memberi ilmu kepada kita, dialah guru. Selain itu, bertepatan dengan kewajipan menuntut ilmu ke atas setiap umat Islam, Allah meninggikan darjat hambaNya yang mempunyai ilmu. Daripada Anas bin Malik r.a, katanya Rasulullah S.A.W bersabda,

Menuntut ilmu adalah satu kefardhuan atas tiap-tiap Muslim   [HR Ibnu Majah].

Allah S.W.T berfirman,

Nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan, beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” [TMQ al-Mujadalah (8): 11].

Oleh itu, khidmat guru sangat signifikan dan penting dalam menyampaikan ilmu kepada mereka yang menuntut ilmu. Firman Allah Ta’ala,

"..bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berilmu berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahuinya" [TMQ al-Anbiya' (21): 7].

Allah S.W.T juga menjanjikan ganjaran pahala berpanjangan kepada orang-orang yang menyampaikan ilmu sepertimana hadis daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah S.A.W bersabda,

Sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan suatu amal yang baik, adalah baginya pahala sebanyak    pahala orang-orang yang mengikutinya, dengan tidak mengurangi (oleh Allah) sedikit pun pahala itu daripada pahala-pahala mereka; dan (sebaliknya) sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal yang menyesatkan, adalah dia menanggung dosa sebanyak dosa orang-orang yang mengikutinya, dengan tidak  mengurangi (oleh Allah) sedikit pun dosa itu dan dosa-dosa mereka”  [HR   Muslim, Abu Daud dan Tirmizi].

Oleh itu, Islam menjadikan pendidikan, tentunya dengan guru sebagai enjinnya, sebagai satu teras penting dalam melaksana, menjaga dan menyebarkan fikrah dan thariqah Islamiyyah.

Tradisi Perguruan Dalam Islam

Rasulullah S.A.W adalah guru utama dalam Islam. Selain daripada menyeru masyarakat kepada Islam di mana sahaja baginda berada, Rasulullah S.A.W menyampaikan pengajaran Islam iaitu al-Quran dan as-Sunnah dalam majlis-majlis ilmu, antaranya di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam pada fasa dakwah di Makkah dan masjid pada fasa Daulah Islam di Madinah. Para sahabat yang memperoleh tsaqafah Islam daripada Rasulullah S.A.W juga menjadi guru dengan meriwayatkannya kepada orang lain yang tidak hadir di majlis baginda. Riwayat yang diterima terus disampaikan hinggakan ilmu wahyu menjadi satu bidang ilmu yang amat luas dan mendalam kerana   tradisi penyampaian ilmu yang unik ini. Sebenarnya ini tidak lain sebagai sambutan terhadap sabda Rasulullah S.A.W,

Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya”   [HR Bukhari].

Selain ilmu wahyu, ilmu praktikal lain juga diajar dan dipelajari oleh umat Islam sejak zaman Rasulullah S.A.W lagi, antaranya ilmu membaca,   menulis dan mengira, ilmu perubatan, ilmu bahasa dan sastera, ilmu ketenteraan dan ilmu untuk membangunkan ekonomi seperti ilmu perdagangan, pertanian dan perindustrian.

Budaya penyampaian ilmu ini juga melibatkan kaum wanita, sama ada isteri-isteri Rasulullah S.A.W mahupun para sahabiyah. Bahkan sebahagian ilmu fiqh dan sunnah hanya dapat diperoleh daripada para isteri Rasulullah S.A.W kerana merekalah yang hidup bersama Rasulullah S.A.W di luar daripada kehidupan umum.

Tradisi pengembangan ilmu ini diteruskan selepas wafatnya Rasulullah S.A.W. Meskipun setiap individu mampu mengajarkan sebarang ilmu, namun orang berilmu yang menjadikan guru sebagai profesionnya diberikan perhatian yang lebih. Contohnya, Saidina ‘Umar r.a membayar gaji sebanyak 15 dinar sebulan kepada guru-guru profesional dalam Daulah Islam. Guru-guru disediakan prasarana pengajaran dan kemudahan hidup oleh Khulafa’ Islam. Hinggakan, tamadun Islamlah yang pertama sekali mendirikan universiti iaitu kompleks sekolah peringkat tinggi dan kemajuan Daulah Islam pula dipacu oleh perkembangan ilmu dan pemikiran, di samping jihad.

Daulah Islam tidak pernah memandang guru sebagai kerjaya berstatus rendah. Apabila umat Islam diajar agar menuntut ilmu dari buaian hingga ke liang lahad, menyebabkan umat Islam amat sebati dengan budaya keilmuan. Sejarah mencatatkan para pemimpin Islam seperti Khalifah Harun Al-Rasyid, Muhammad Al-Fatih dan ramai lagi yang suka menuntut ilmu dan sangat menghormati guru mereka dan menjadikan mereka sebagai penasihat utama untuk membuat keputusan penting dalam negara.

Demikianlah betapa Islam sebagai satu ‘aqidah aqliyah’ dan hadharah yang sangat mementingkan pembinaan pemikiran yang benar, memuliakan profesion guru dan menjadikannya sebagai agen penting dalam masyarakat. Perkembangan ilmu dalam Islam tidak lari daripada tunjangnya iaitu aqidah dan cabangnya iaitu syariah, pastinya dengan panduan wahyu. Rasulullah S.A.W bersabda,

Kelebihan seorang alim (ilmuan) berbanding seorang ‘abid (ahli ibadah) ibarat bulan purnama terhadap seluruh bintang”   [HR Abu Dawud].
 
Sambutan Hari Guru

Pada masa kini pula, hari guru disambut untuk menghargai jasa dan pengorbanan para guru dalam usaha dan kesungguhan mereka menyampaikan ilmu dan mendidik anak didiknya. Disebabkan Islam juga mengajar menghargai jasa guru, maka acara yang bertujuan menghargai dan mengingati jasa mereka adalah mubah (harus) dilaksanakan pada bila-bila masa sahaja selagi tidak melanggar hukum syarak. Antara contoh perlanggaran hukum syarak ialah percampuran antara lelaki dan perempuan (ikhtilat), mewajibkan pelajar memberikan hadiah kepada guru, dan menetapkan tarikh tertentu agar menyambutnya selari dengan peristiwa penting yang disambut oleh hadharah bukan Islam.

Secara sejarahnya, pemerintah Malaysia memilih tarikh 16 Mei untuk menyambut hari guru sebagai memperingati bermulanya Dasar Pelajaran Kebangsaan iaitu pada 16 Mei 1956. Pada tarikh inilah dokumen cadangannya yang dikenali sebagai Penyata Razak diterima oleh Majlis Undang-Undang Tanah Melayu, yang ketika itu masih di bawah penjajahan British.

Sehubungan itu, janganlah kita meraikan guru hanya pada 16 Mei kerana meraikan tarikh bermulanya satu dasar pendidikan sekularisme ke dalam sebuah negara yang juga mengamalkan sistem kapitalisme. Sebagai Muslim, kita hendaklah memahami bahawa hanya aqidah Islam yang boleh menjadi dasar pendidikan negara dan hanya ini sahajalah yang mampu melahirkan umat yang sentiasa melaksanakan peranan mereka dengan benar di muka bumi ini. Justeru, yang menjadi kewajipan bagi kita ialah  menukar sistem pendidikan dan semua sistem lain yang berteraskan sekularisme dalam negara kepada sistem Islam yang  berasaskan aqidah Islam.

Khatimah

Sebagaimana jasa ibu bapa, penghargaan terhadap jasa guru juga selari dengan pandangan Islam. Malah Islamlah yang telah meletakkan guru di kedudukan yang sangat tinggi dan terhormat dalam negara. Mereka hendaklah sentiasa dihormati oleh masyarakat dan diberi keutamaan dalam Daulah Islam, sebagaimana yang berlaku pada zaman syariat Islam dilaksanakan dalam Daulah Islam. Namun begitu, kita seharusnya sentiasa memperhatikan kaedah sambutan hari guru tersebut agar tidak bertentangan dengan Islam. Kitaseharusnya menghapuskan amalan-amalan yang tidak selari dengan Islam yang acapkali dilakukan oleh masyarakat kita tanpa kita sedari terutamanya memuji sistem dan perlaksanaan pendidikan negara yang jelas-jelas sekular, malah menjadikan hari guru sebagai wadah kesinambungan sistem kapitalisme.

Wallahu a’lam.
[FU/Bil.55/Mei 2013]

Hukum 'Dating' dengan Tunang


Soalan:

Bolehkah seorang lelaki dan wanita yang sudah bertunang, duduk atau berjalan berdua, sama ada di tempat terbuka atau di tempat persendirian?

Jawapan:

Maksud pertunangan dalam Islam
Pertunangan menurut Islam adalah muqaddimah kepada perkahwinan. Ia diharuskan (mubah) dalam Islam bagi memberi peluang kepada si lelaki atau perempuan untuk mengenali calon pasangan masing-masing dengan lebih dekat lagi. Dalam bahasa Arab, bertunang disebut sebagai khitbah. Khitbah yang diterjemah maknanya ke Bahasa Melayu bermakna “melamar” wanita untuk dijadikan bakal isteri. “Melamar” bermakna meminta persetujuan pihak wanita untuk menjadi isteri kepada pihak lelaki. Khitbah melibatkan ‘tempoh’ berdasarkan kebiasaan atau adat yang masyhur dipegang oleh masyarakat. Khitbah  juga bermakna proses lelaki meminta daripada pihak perempuan untuk berkahwin dengan cara-cara yang diketahui masyhur di tempat masing-masing.

Hukum syara’ berkaitan interaksi antara lelaki dengan perempuan

Islam menerangkan hukum-hukum yang mengatur hubungan antara lelaki dengan wanita dengan begitu jelas dan terperinci. Menurut ajaran Islam, prinsip asas interaksi antara lelaki dengan perempuan bukan mahram adalah terpisah. Ini bermakna, berkumpul (ijtima’), bercampur-baur (ikhtilat) ataupun berdua-duaan (khalwat) antara lelaki dan wanita bukan mahram sama ada bertunang ataupun tidak, hukumnya adalah haram.

Banyak dalil yang menunjukkan pemisahan antara dua jantina ini, dan banyak hadis yang menjelaskan hukum yang berkaitan hal ini sama ada di tempat umum mahupun khusus. Tempat umum adalah seperti masjid, lorong-lorong dan tempat berjual beli yang mana, sesiapa sahaja boleh berada di tempat itu tanpa keizinan sesiapa. Tempat khusus seperti rumah pula tidak boleh dimasuki orang luar tanpa keizinan pemiliknya, meskipun hanya untuk menjenguk apa yang ada di dalamnya. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu selalu ingat. Jika kamu tidak menemui seseorang di dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu mendapat izin. Dan jika dikatakan kepadamu: ‘pulang sajalah’ maka hendaklah kamu  pulang. Itu lebih bersih bagimu dan Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [TMQ an-Nur (24):27-28].

Berkenaan dengan larangan ijtima’ dan ikhtilat di tempat umum, Abu Dawud telah meriwayatkan hadis-hadis seperti di bawah:“Rasulullah S.A.W melihat kaum lelaki dan perempuan di luar masjid bergerak bersebelahan antara satu sama lain. Baginda S.A.W menahan kaum    perempuan lalu berkata, ‘Adalah tidak elok untuk kalian berjalan di tengah-tengah laluan ini, adalah lebih baik bagi kalian untuk berjalan mengikuti tepi-tepi dinding." [HR Abu Dawud].

Hukum Membayar Hutang Dengan Tambahan Bayaran

Soalan:

Bolehkah kita melunaskan hutang dengan bayaran tambahan atau faedah tertentu dengan menganggapnya sebagai hadiah tanpa dinyatakan dalam akad? Benarkah perkara sebegini dibenarkan berdasarkan hadis, “Sesungguhnya sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik dalam melunaskan hutangnya” ?

Jawapan :

Jika seseorang memberikan pinjaman atau hutang (qardh) kepada orang lain dan mensyaratkan tambahan bayaran seperti faedah atau bunga ketika akad dibuat, maka tambahan bayaran ini hukumnya adalah haram kerana ia termasuk riba. Ijmak ulama' tentang keharamannya tidak mempunyai sebarang perbezaan pendapat. (Taqiyyuddin An-Nabhani, Asy-Syakhshiyah al-Islamiyah, 2/343). Ibnu Qayyim berkata, “Riba ini disepakati keharaman dan kebatilannya. Keharamannya sudah diketahui dalam agama Islam sepertimana haramnya zina dan mencuri.” (Ighatsah al-Lahfan, 2/10). Ibnu Mundzir berkata, ”Para ulama' sepakat bahawa jika pemiutang mensyaratkan kepada penghutang sesuatu tambahan atau hadiah…maka tambahan yang diambil itu adalah riba.” (Al-Ijma', hal. 39).

Namun jika tambahan itu tidak disyaratkan dalam akad, terdapat perbezaan pendapat dalam hal ini. Menurut Syeikh Taqiyyuddin An-Nabhani, jika tambahan itu diberikan sebagai hadiah, hukumnya perlu diteliti dengan lebih terperinci. Jika peminjam atau penghutang sudah menjadi kebiasaan memberikan hadiah kepada pemiutang (contohnya pemiutang merupakan sahabatnya atau saudaranya), hukumnya adalah mubah (boleh). Tetapi sebaliknya jika tidak pernah atau tidak biasa, maka hukumnya adalah haram. (Asy-Syakhshiyah al-Islamiyah, 2/343).

Dalilnya adalah berdasarkan hadis daripada Anas r.a, dia berkata,

“Seorang lelaki di kalangan kami  bertanya bahawa dia pernah memberikan pinjaman (qardh) kepada saudaranya, lalu saudaranya (si penghutang) memberikan hadiah kepadanya. Maka Anas r.a berkata, Nabi saw bersabda, 'Jika salah seorang daripada kamu memberikan pinjaman lalu dia (pemiutang) diberikan hadiah atau dinaikkan ke atas kenderaannya (si penghutang), janganlah ia menaiki kenderaan tersebut dan jangan pula ia menerima hadiah tersebut, kecuali jika perkara sebegitu pernah berlaku sebelum ini antara dia (pemiutang) dan dia (penghutang).” (HR Ibnu Majah). (Asy-Syakhshiyah al-Islamiyah, 2/341).

Berkaitan hadis

“Sesungguhnya sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik dalam melunaskan hutangnya.” (HR Bukhari no. 2306; Muslim no. 1600),

para ulama' berbeza pendapat sama ada bolehkah ia dijadikan dalil dalam membenarkan tambahan atas hutang tanpa disyaratkan dalam akad. Sebahagian ulama' membolehkannya jika tambahan tersebut datangnya daripada inisiatif atau kehendak pihak yang meminjam (bukan syarat yang ditetapkan oleh pemberi pinjaman). (Lihat Syeikh Abdul Aziz bin Baz, Fatwa Islamiyah, 2/414).

Manakala sebahagian lagi ulama' antaranya seperti Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani menyatakan bahawa perkara sebegitu tetap tidak dibolehkan. Pendapat ini (iaitu tidak boleh memberi tambahan) adalah lebih rajih (kuat) kerana ia lebih sesuai dengan topik atau latar belakang hadis tersebut. Berdasarkan hadis tersebut, seseorang telah datang untuk menuntut hutang seekor unta yang pernah diberikan kepada Rasulullah. Lalu Rasulullah meminta sahabat untuk membeli seekor unta (untuk dibayar kembali hutang unta tersebut), akan tetapi tidak dijumpai unta yang sebaya kecuali unta yang lebih baik (lebih tua). Rasulullah saw pun bersabda,

“Belilah unta itu dan berikan kepadanya kerana sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik dalam melunasi hutangnya.” (HR Bukhari no 2306).

Oleh yang demikian, menurut Syeikh An-Nabhani, topik  pembahasan hadis ini adalah merujuk kepada perbuatan manusia dalam melunaskan hutang yang lebih baik (as-sadad al-hasan) dan bukannya pada tambahan daripada jumlah hutang yang dipinjam (ziyadah 'amma ustuqridha). (Asy-Syakhshiyah al-Islamiyah, 2/343).

Dalam hal ini, Rasulullah tidak membayar kembali hutangnya dengan memberikan lebih daripada seekor unta. Hutangnya tetap dibayar kembali dengan seekor unta sahaja, tetapi dalam keadaan dan kualiti unta yang lebih baik daripada yang pernah diberikan (hutang) kepadanya sebelum ini. Justeru, hadis di atas adalah tidak tepat untuk dijadikan dalil bagi membolehkan tambahan jumlah bayaran dalam melunasi hutang walaupun ia tidak disyaratkan dalam akad. Sebagai kesimpulan, sebarang tambahan dalam pembayaran hutang adalah tetap haram kecuali jika sudah menjadi amalan biasa bagi penghutang untuk saling memberikan hadiah kepada pemiutang (di luar urusan pinjaman sesama mereka) sebelum ini. Wallahu a'lam.


Kepada Mereka yang Ingin Sertai Perhimpunan 'Bersih 2.0'

Alhamdulillah, selamat tiba di rumah setelah 2 hari bermusafir. Dalam perjalan ke kampung, terselit beberapa perbincangan yang terkait fikrah dan tsaqafah Islam. Antaranya tentang perhimpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9hb Julai ini. Berikutan itu, maka saya kongsikan penjelasan lanjut tentang hukum di sebalik perhimpunan ini, insyaAllah.

[SN267] Umat Islam di seluruh dunia sedang menyaksikan kebangkitan dan sudah mula menuntut kembali kekuasaan yang telah dirampas dari mereka oleh para penguasa zalim di Timur Tengah. Dari satu negara ke negara yang lain, kita telah mula melihat tembok ketakutan terhadap rejim zalim yang sekian lama berkuasa, menyeksa, memenjara dan menghalang aspirasi politik umat Islam, sudah mula dihancurkan. Beberapa orang penguasa telah jatuh dan yang lain sedang hidup di ambang kejatuhan atau ketakutan. Maka, di dalam usaha untuk mempertahankan sisa-sisa kekuasaan yang ada, seluruh kekuatan polis dan tentera dikerahkan oleh para penguasa zalim ini untuk membantai rakyat yang melakukan protes terhadapnya. Kini, senario yang hampir sama sudah boleh disaksikan di Malaysia.

Gabungan Pilihan raya Bersih Dan Adil (Bersih) sejak lebih sebulan lalu telah melancarkan usaha untuk menggerakkan rakyat Malaysia untuk mengadakan protes besar-besaran kepada kerajaan bagi menuntut pilihan raya umum ke-13 yang bakal diadakan nanti agar berjalan dengan bersih dan adil. Bertemakan ‘Bersih 2.0’, usaha kumpulan yang diketuai oleh Datuk Ambiga Sreenevasan itu menuntut lapan perkara yang kesemuanya berkaitan pilihan raya dan bercadang menyerahkan memorandum tuntutan tersebut kepada Yang Dipertuan Agung semasa demonstrasi besar-besaran yang dirancang pada 9 Julai ini.

Demonstrasi ini nampaknya mendapat sambutan hangat dari parti-parti pembangkang dan beberapa NGO sehingga benar-benar membuatkan kerajaan UMNO-BN gelisah tidak menentu dan pihak polis pula menjadi ‘semakin ganas’. Belum pun perhimpunan Bersih 2.0 diadakan, sudah lebih seribu laporan polis dikatakan telah dibuat. Ambiga pula dilaporkan telah menerima ugutan bunuh manakala Pemuda UMNO dan kawan baik UMNO, Perkasa, telah pun mengadakan demonstrasi lebih awal untuk membantah Bersih 2.0. Namun sebagaimana kita sedia maklum, apa jua demonstrasi yang dibuat oleh UMNO, Perkasa dan kumpulan mana sekalipun yang merupakan penyokong kerajaan, semuanya selamat dari gangguan polis, malah kehadiran polis di tempat yang berkenaan adalah untuk menjaga dan melancarkan lagi perhimpunan. Pemuda UMNO dan Perkasa telah pun mengeluarkan kenyataan dan berikrar bahawa mereka akan mengerahkan penyokong-penyokong mereka bagi menghalang perhimpunan pada 9 Julai nanti walaupun akan berlaku pertembungan dan kekecohan.

Dalam masa yang sama, sudah berpuluh penyokong Bersih ditangkap oleh pihak polis di dalam kempen-kempen awal yang mereka jalankan dan dikaitkan dengan usaha menghidupkan semula fahaman komunis dan sebagainya. Premis-premis mereka diserbu dan digeledah serta polis telah bertindak melampau dengan menangkap tanpa sebab, sehinggakan sesiapa sahaja yang memakai baju Bersih ditangkap. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah pun mengisytiharkan ‘keharaman’ kemeja-T Bersih dan menegaskan bahawa polis akan mengambil tindakan ke atas orang ramai yang memakai baju tersebut kerana ia jelas ada hubung kait dengan perhimpunan haram tersebut [UM29/06/11].

Di antara isu utama yang timbul dalam perhimpunan Bersih 2.0 ini adalah isu ‘perhimpunan haram’. Pihak polis bersungguh-sungguh memberi amaran dan menekankan bahawa perhimpunan nanti adalah perhimpunan haram kerana tidak ada permit, yang sepatutnya dimohon di bawah Akta Polis 1967. Manakala di pihak penganjur dan penyokong Bersih pula, mereka berhujah berdasarkan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan hak rakyat untuk berhimpun. Sekali lagi kita melihat bahawa kedua-dua pihak, walaupun majoritinya terdiri dari umat Islam, telah merujuk kepada undang-undang taghut untuk ‘mengesahkan’ atau ‘menghalalkan’  tindakan masing-masing. Sungguh menyedihkan apabila ulama dan gerakan Islam sekalipun tetap menyandarkan ‘kehalalan’ atau ‘keharaman’ perhimpunan ini berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, bukannya berdasarkan Al-Quran dan Sunnah yang sewajibnya menjadi nas untuk mengukur sesuatu perbuatan sama ada halal atau haram!


Hukum Demonstrasi

Secara amnya, kami telah pun menjelaskan hukum demonstrasi menurut Islam di dalam Sautun Nahdhah siri ke-71 (tahun 2006). Namun demikian, kami masih tetap berusaha untuk mengingatkan para  pembaca sebagai saudara sesama Muslim dan menambah sedikit lagi perbincangan mengenainya. Adalah amat penting untuk kita fahami bahawa memuhasabah penguasa adalah satu kewajiban di dalam Islam, dan tanggungjawab ini terletak di bahu setiap Muslim tidak kira lelaki atau wanita serta di mana sekalipun mereka berada. Allah SWT telah mewajibkan kepada pemerintah untuk memerintah berdasarkan Al-Quran dan Sunnah dan umat Islam pula diwajibkan mentaati ulil amri (pemerintah) selama mana mereka masih berpegang teguh dengan Al-Quran dan Sunnah. Namun apabila mereka telah menyimpang dari keduanya, maka sabda Nabi SAW,

Cukai! Oh, cukai!

Assalamualaikum semua, hee..

Pagi-pagi dah update entri, sangat bersemangat saya nih. Baru sahaja balik dari jalan-jalan makan angin. Setiap kali keluar rumah, mesti kena sediakan duit syiling, paling tak pun duit kecil. Sebab kena bayar tol. Gerak dalam 2-3 km, tol. Kejap-kejap tol. Menci.. Menci.. Boleh baca sini kenapa saya mencik sangat.. Huhuhu.


Kerajaan sasar kutipan cukai RM97 bilion tahun ini - LHDN

SEREMBAN 21 Jun – Kerajaan menyasarkan kutipan cukai yang disemak semula sebanyak RM97 bilion pada tahun ini berbanding sasaran awal RM91 bilion, kata Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Abdul Aziz Hashim.

Katanya, sasaran baharu itu disemak semula oleh Kementerian Kewangan. "Sasaran ini, bagaimana pun tidak tetap, yang bergantung dengan keadaan ekonomi semasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Operasi Mesra Hasil peringkat nasional di sini hari ini. Kutipan setakat ini menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan, katanya, sambil menyatakan kutipan cukai pada tahun lepas ialah RM86 bilion. Selain itu, katanya, sebanyak 320 kes bilangan notis tuntutan tunggakan hasil yang melibatkan jumlah tunggakan lebih RM10 juta. Daripada bilangan itu, menurutnya, 250 kes melibatkan individu dengan tunggakan hasil RM6 juta, manakala 70 kes melibatkan syarikat, dengan tunggakan RM4 juta. – Bernama

Sumber :  Utusan Online, 21/06/2011

Cukai Haram Di sisi Islam [Klik untuk sumber asal.]

Cukai..oh cukai. Buat negara kapitalis seperti Malaysia, ia merupakan nadi bagi kerajaan. Negara sering berdalih dengan mengatakan, hanya dengan cukailah negara akan ada pendapatan dan dengan pendapatan daripada cukai itulah negara dapat dibangunkan dan kebajikan rakyat dapat dijaga. Apakah ini benar di sisi Islam? Bukankah Rasulullah telah mencela pengutip cukai dengan celaan yang amat keras seperti sabdanya :

“Sesungguhnya tidak akan masuk syurga orang yang memungut cukai (mukus)” [HR Ahmad, Abu Daud & Hakim].

Dan dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda,

“Sesungguhnya pemungut cukai itu berada dalam neraka” [HR Ahmad]

Hadis ini dengan jelas menyatakan keharaman memungut cukai sebagai pendapatan negara, malah ia juga menyatakan bahawa pemungut cukai seperti pemerintah kapitalis sekarang ini bakal dicampakkan ke dalam neraka! Nauzubillahu min dzalik! Islam telah menetapkan bahawa adalah haram bagi pemerintah untuk mengutip cukai, baik ia berupa cukai pendapatan, harta, perniagaan dan lain- lain yang nyata merupakan satu aktiviti memeras keringat yang telah dikeluarkan oleh rakyat. Dalam Islam, telah digariskan beberapa sumber pendapatan negara seperti  Ghanimah, Fai’, Kharaj, ‘Usyur, Khumus, Rikaz, Jizyah dan lain-lain. Sumber- sumber ini sekiranya di uruskan dengan penuh amanah, insyaAllah ia akan memberi kesejahteraan kepada seluruh umat. Ini belum dikira lagi dengan kepemilikan umum seperti petroleum serta galian yang amat banyak di perut bumi negeri umat Islam, yang hasilnya akan dikembalikan kepada umat bagai memastikan kesejahteraannya.

Dalam keadaan umat semakin tertekan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, taraf kesihatan yang semakin menurun, kes-kes jenayah yang semakin membimbangkan, kerajaan pula berasa amat bangga dengan kutipan cukai yang semakin bertambah saban tahun. Apa yang diperlukan oleh rakyat adalah jaminan atas kebajikan dan keperluan mereka oleh negara, berlandaskan peraturan yang telah diturunkan oleh Allah, bukannya disogok dengan berita jumlah kutipan cukai yang bertambah saban tahun! Hakikatnya, berita seperti ini adalah gambaran bertambahnya jumlah rompakan usaha dan keringat rakyat oleh para pemerintah kapitalis!! Wallahu a’lam.

Fidyah bagi Yang 'Tidak Mampu'

Alhamdulillah.. Kepulanganku ke kampung minggu lepas menjernihkan lagi pemahamanku tentang hukum fikih. Walaupun aku bukanlah arif tentang ini tetapi aku cuba sampaikan apa yang telah aku dengar dan pelajari tempoh hari. Memandangkan sekarang ini kita berada dalam bulan Rejab, tidak sah sekiranya topik yang ingin diperbincangkan bukanlah tentang puasa.

Kalau ke mana-mana blog atau membaca artikel di laman-laman sesawang, pastinya isu tentang puasa yang dibangkitkan. Jadi apa yang ingin saya kongsikan di sini adalah tentang puasa juga kerana ia sinonim dengan dengan bulan Rejab, Syaaban dan yang pastinya Ramadhan. InsyaAllah.

Saya difahamkan oleh nenek saudara saya tentang fidyah puasa. Orang dulu-dulu kalau mereka tidak berpuasa kerana bersalin atau menyusukan anak, mereka tidak menggantikan puasa mereka. Ini berikutan kurangnya kesedaran agama dalam kehidupan mereka. Bagaimana mereka ingin menggantikan puasa yang mereka tinggalkan sekiranya mereka telah tiada? Susahkan.

Ahli keluarga waris boleh tolong menggantikan puasa arwah dan membayarlan fidyah mengikut ukurannya. Mengapa mesti gantikan juga? Sebab kalau tidak berbuat demikian, kesian si arwah masih berhutang. Ia dikira berhutang. Jadi ahli keluarga waris haruslah berusaha untuk memastikan segala hutang si arwah terlangsai tidak kira hutang duit, hutang puasa dsb. Adapun bagi wanita yang tidak mampu berpuasa ketika mengandung atau ketika menyusukan anak, wajib fidyah dan juga puasa. Kerana tidak mampu berpuasa adalah ketika itu. Bukan sepanjang tahun kan. Anda boleh ke laman web ini untuk mengetahui taksiran fidyah yang perlu anda bayar. Harga ukurannya mungkin berubah mengikut nilai semasa.

Saya hadirkan 2 situasi untuk memudahkan pemahaman pembaca. Semoga dengan situasi ini, teman-teman akan lebih jelas lagi tentang hukum ini. InsyaAllah.


Situasi pertama.
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya mengenai puasa. Adakah puasa yang tidak diqadhakan dan dibawa ke tahun depan memerlukannya membayar fidyah? Terima kasih.

Jawapan.

Allah berfirman yang brmaksud: "Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (yaitu): memberi makan seorang miskin." (QS Al-Baqarah: 184).

Ada beberapa hal yang harus diperhatikan berkenaan dengan mengqadha' puasa dan pembayaran fidyah, sebab:

Jika belum mengqadha' sampai memasuki/menjelang Ramadhan berikutnya, hendaknya segera mengqadha' pada hari-hari yang tersisa (dari bulan Sya'ban) dan melanjutkan sisanya seusai Ramadhan.

Apabila penundaan qadha' kerana adanya 'uzur/halangan seperti sakit, haid, atau perjalanan yang berpanjangan sampai datang bulan puasa berikutnya, para ulama sepakat bahawa qadla' boleh dilakukan seusai Ramadhan berikutnya dan tidak diwajibkan membayar fidyah. Namun bila penundaan itu terjadi tanpa ada 'uzur maka diwajibkan membayar fidyah dan mengqadha'.

Fidyah dan Qadha' puasa dikenakan pada mereka yang melambatkan mengganti puasa sehingga datang Ramadhan yang lain. Menurut Dr Mustafa al-Bugha (al-Fiqh al-Manhaji - 1/350 ) :-

"Jika di tidak melakukan puasa dan meringan2kan sehingga masuk Ramadhan yang lain, ini merupakan satu dosa, maka memerlukan dia membayar fidyah, iaitu memberi makan setiap hari yang ditinggalkan sebanyak satu mudd, kepada orang2 yang memerlukan yang tinggal dinegaranya, bersedekah keatas fuqara"

Dengan kata lain : Fidyah ialah memberi makan kepada orang miskin sebanyak satu mudd (cupak) beras (atau apa2 makanan yang menjadi makanan asasi sesebuah negeri itu) bagi satu hari yang ditinggalkan.

Rebonding : Haram atau Tidak?


Ramai yang ingin memiliki rambut lurus seperti iklan Shampu Rejoice di atas. Cantikkan berambut lurus. Tapi benar ke? Bagaimana pula dengan wanita yang berambut kerinting atau ikal mayang? Saya rasa, rata-rata wanita yang berambut kerinting ingin memiliki rambut lurus. Lantas mereka ke salon-salon rambut untuk mendapat rawatan rebonding. Persoalannya di sini, proses rebonding ini boleh ke tidak ye kita melakukannya?

Rambut adalah bulu yang tumbuh di kepala atau sesuatu yang seperti rambut. (Kamus Dewan: 1094).  Dalam Islam, terdapat pelbagai hukum yang terkait dengan rambut seperti mencukur rambut anak yang baru lahir, masalah mengqaza‘ rambut, menyambung rambut dan mewarnainya.  Rebonding juga termasuk dalam perbuatan yang melibatkan rambut, jadi hukumnya perlu diperincikan.

Sebelum permasalahan hukum rebonding ini dikupas, adalah wajar untuk kita mendalami realiti dan fakta proses rebonding itu sendiri . 

Rebonding adalah satu proses yang dilakukan untuk meluruskan rambut si pemiliknya agar rambut jatuh lebih lurus dan lebih indah.  Proses rebonding mempunyai dua peringkat iaitu:

Pertama, rambut disapu dengan krim tahap pertama untuk membuka ikatan protein rambut.  Kemudian rambut dikepit seperti diseterika dengan alat pelurus rambut bersuhu tinggi. Kedua, rambut disapukan dengan krim tahap kedua untuk mengekalkan kelurusan rambut.

Proses rebonding melibatkan proses kimia yang mengubah struktur protein dalam rambut. Protein pembentuk rambut manusia dinamakan keratin, yang terdiri dari unsur cystine iaitu sebatian asid amino yang memiliki unsur sulfida.  Ikatan disulfida -S-S- dari cystine inilah yang paling penting dalam menentukan bentuk rambut kita.  Rambut berbentuk lurus atau kerinting disebabkan keratin mengandungi ikatan disulfida yang membuat molekul mengekalkan bentuk-bentuk tertentu. Dalam proses rebonding, sejenis krim khas disapu ke atas rambut  bertujuan untuk membuka/memutuskan ikatan disulfida itu, sehingga bentuk rambut yang kerinting menjadi lurus.

Proses rebonding menghasilkan perubahan yang kekal pada rambut.  Namun rambut baru yang tumbuh dari akar rambut akan tetap mempunyai bentuk rambut yang asli.  Jadi, rebonding bukan pelurusan rambut biasa yang hanya menggunakan rawatan fizikal , tetapi juga menggunakan rawatan kimia yang mengubah struktur protein dalam rambut secara kekal.  Inilah fakta (manath) rebonding.

Pemaksaan terhadap Majlis PERNIKAHAN yang tidak Islami

ORANG TUA MEMAKSAKAN MAJLIS PERNIKAHAN YANG TIDAK ISLAMI

Ass wr. wb,
nama saya nurul, 25 tahun. insyaallah tahun ini, saya akan melaksanakan pernikahan. Tapi terdapat sedikit masalah iaitu kedua ibu bapa saya berhajat untuk menggunakan adat jawa dengan sanggul dsb. sedangkan saya dan calon mertua menghendaki busana muslimah walaupun tetap dengan adat jawa. Apa yang saya ingin tanyakan, apakah saya berdosa jika saya tidak menunaikan permintaan kedua ibu bapa saya, kerana yang saya tahu, redha dari kedua ibu bapa saya adalah redhanya Allah SWT.

Terima kasih.
Wassalam.

Jawapan :
Ajaran Islam kadang-kadang sesuai dengan budaya atau adat setempat, tetapi kadang-kadang juga tidak sesuai. Dalam masalah anda, beberapa bahagian dari adat Jawa tidak sesuai dengan Islam, salah satunya adalah aturan berbusana (baca: berpakaian). Bagaimana sikap kita jika ada adat yang bertentangan dengan Islam? Ternyata kaum muslimin terpecah ke dalam dua pendapat :

A. Islam Disesuaikan dengan adat
Jika ada beberapa aturan Islam yang berbeza dengan adat, maka mereka memakai adat itu. Mereka yang tergabung di kelompok ini memakai kaidah :

“Adat-istiadat dapat dijadikan patukan hukum”

Konsekuensinya, banyak syariat Islam dilanggar kerana kaidah tersebut. Contohnya : Jilbab (jubah) boleh tidak dipakai jika masyarakat setempat terbiasa dengan pakaian bukan jilbab (jubah). Riba diperbolehkan jika budaya setempat sudah terbiasa dengan riba. Dan masih banyak lagi.

Jika kaidah tersebut dipakai, maka rusaklah ajaran Islam ini. Kita tahu bahawa adat di berbagai suku/bangsa berbeza-beza. Seringkali saling bertentangan. Maka jika Islam disesuaikan dengan adat, akan terjadi kerancuan tentang mana sesungguhnya yang merupakan hukum Islam. Sebagai contoh, masyarakat Indonesia menganggap bahawa jika bertemu dengan orang lain yang berlainan jantina, cukup menyapa dengan menganggukkan kepala. Sementara masyarakat Barat jika lelaki dan wanita bertemu akan lebih sopan jika berciuman. Sedangkan di Indonesia berciuman dengan berlainan jantina adalah perbuatan yang sangat tidak sopan. Contoh lain adalah ada adat suatu suku tertentu mengurus warganya yang meninggal dengan membakar mayatnya, adat suku lain yang mengawet mayat, sementara suku yang lain meletakkannya di bawah pohon. Lantas, mana yang akan kita pakai? Kelirukan?

B. Adat Disesuaikan dengan Islam

Pandangan kedua ini menyatakan bahawa jika ada adat yang tidak sesuai dengan Islam, maka adat tersebut harus disesuaikan dengan Islam. Jika memang tidak bisa disesuaikan, maka adat tersebut harus ditinggalkan.

Hal ini sesuai dengan apa yang dilakukan Rasulullah saw. Pada era Mekah jahiliyah, mempunyai anak wanita adalah sangat memalukan. Seorang ayah merasa malu jika isterinya melahirkan bayi wanita. Maka banyak terjadi kes pembunuhan bayi wanita pada masa itu. Bahkan Umar bin Khattab pun sebelum masuk Islam pernah membunuh anak gadisnya dengan menguburkannya hidup-hidup.Ketika Islam datang, bagaimana sikap Rasulullah saw? Islam menyatakan bahawa lelaki dan wanita adalah sama-sama manusia hamba Allah. Kedudukannya sama di hadapan Allah. Yang membezakan adalah ketaqwaannya. Oleh kerana itu, lelaki dan wanita sama-sama berhak untuk hidup. Lelaki tidak lebih mulia daripada wanita, begitu pula sebaliknya. Oleh kerana itu, ketika Islam datang, adat (kebiasaan) membunuh bayi wanita pun segera ditinggalkan.

Ada juga kebiasaan masyarakat Arab waktu itu, iaitu minum khamr (arak). Para sahabat Nabi pun termasuk orang-orang yang suka minum khamr. Ketika turun ayat yang melarang minum khamr, maka serta-merta kaum muslimin meninggalkan khamr. Mereka segera membuang seluruh khamr yang mereka miliki sehinggakan Kota Madinah dibasahi oleh khamr.

Masih banyak adat/kebiasaan masyarakat Arab waktu itu yang bertentangan dengan Islam. Rasulullah mendakwahi mereka sehingga akhirnya adat itu mereka tinggalkan dan diganti dengan ajaran baru iaitu Islam. Sementara itu, adat yang tidak bertentangan dengan Islam tetap dibiarkan ada di tengah-tengah masyarakat.

Jadi, sikap menyesuaikan adat dengan Islam adalah tepat. Sementara sikap menyesuaikan Islam dengan adat adalah salah.

Pentingnya Khilafah Dalam Penentuan Awal Dan Akhir Ramadhan

Persoalan :
Ustaz, apakah peranan Khilafah kelak dalam menentukan awal Ramadhan dan akhir Ramadhan ('Idul Fitri)?

Jawapan :
Khalifah mempunyai hak dalam melakukan penerapan ketetapan (tabanni) hukum syariah Islam dan melegalisasikannya menjadi undang-undang yang berjalan ke atas umat dan bersifat mengikat. Penerapan ketetapan hukum ini dilakukan oleh Khalifah jika berlakunya khilafiyah (perselisihan pendapat) dalam hukum syariah hasil ijtihad beberapa mujtahid. Maka apabila Khalifah memilih dan menetapkan sesuatu pendapat, rakyat wajib mentaatinya supaya perbezaan pendapat dalam masalah tersebut tidak timbul lagi. Dalam kaedah fiqh ada menyatakan : Amru al-imam yarfa’u al-khilaf fi al-masa`il al-ijtihadiyah (Perintah Imam/Khalifah dapat menghilangkan perbezaan pendapat dalam masalah-masalah hasil ijtihad/khilafiyah). (M. Khair Haikal, Al-Jihad wa al-Qital fi as-Siyasah al-Syar’iyah, III/1797; M. Shidqi al-Burnu, Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyah, I/268).

Namun, jika khilafiyah itu timbul dalam masalah-masalah ibadah yang lain seperti sama ada solat tarawih itu perlu 8 rakaat atau 20 rakaat, solat Subuh itu perlu dengan qunut ataupun tidak, hukum dasar dalam hal ini Khalifah tidak akan menerapkan ketetapannya. Maka di sini kaum Muslimin tidak diwajibkan untuk  solat dengan cara yang sama dengan mazhab yang Khalifah tersebut ikuti dalam hal seperti jumlah rakaat solat tarawih, atau dalam pengamalan qunut dalam solat Subuh atau sebagainya.

Terdapat dua hujah mengapa Khalifah tidak melakukan penerapan ketetapan dalam hukum ibadah yang berbentuk khilafiyah. Pertama, kerana ia tidak bersesuaian dengan realiti penerapan ketetapan hukum memandangkan penerapan ketetapan hukum tersebut hanya berlaku terhadap interaksi antara manusia dengan manusia yang lain, misalnya dalam hukum muamalah dan uqubat, bukan terhadap interaksi antara manusia dengan Allah SWT. Kedua, kerana penerapan ketetapan dalam masalah ibadah akan menimbulkan rasa sempit (haraj) di kalangan umat. (Mahmud al-Khalidi, Qawa’id Nizham al-Hukm fi al-Islam, hal. 357)

Ini bukan bererti bahawa Khalifah haram untuk menerapkan ketetapan hukum-hukum ibadah. Apa yang dimaksudkan di sini adalah lebih baik Khalifah untuk tidak menerapkan ketetapannya. Jika sekiranya Khalifah ingin menerapkan sesuatu hukum ibadah, hukumnya adalah boleh (mubah), tidak haram. Imam Nawawi berpendapat bahawa adalah boleh (mubah) hukumnya untuk Khalifah menerapkan hukum ibadah tertentu. Sepertimana yang dipetik daripada Imam Suyuthi, Imam Nawawi menyatakan bahawa,"Jika Khalifah memerintahkan umat untuk berpuasa sunat tiga hari untuk istisqa (meminta turunnya hujan), umat wajib untuk mentaati perintahnya." (Imam Suyuthi, Al-Asybah wa An-Nazha`ir, hal. 527).

Sebaliknya, penerapan ketetapan hukum ibadah menjadi wajib bagi Khalifah jika ia berkaitan dengan penyatuan umat dan kesatuan negara yang wajib dijaga oleh Khalifah. Oleh itu, walaupun hukum dasarnya Khalifah tidak menerapkan ketetapan hukum ibadah, tetapi demi kesatuan umat dan kesatuan negara, Khalifah akan menerapkan beberapa hukum ibadah tertentu seperti penentuan waktu ibadah haji, penentuan awal Ramadhan, dan penentuan 'Idul Fitri dan 'Idul Adha. (Taqiyuddin an-Nabhani, Muqaddimah ad-Dustur, hal.21).

Oleh yang demikian, walaupun penentuan awal dan akhir Ramadhan merupakan masalah khilafiyah, Khalifah kelak akan menerapkan penetapan  hukum dalam masalah ini. Pendapat yang akan dipilih dan  yang akan diterapkan adalah pendapat yang paling kuat (rajih) yang selari dengan penyatuan umat dan kesatuan negara, iaitu pendapat jumhur ulama yang mewajibkan penggunaan rukyatul hilal (bukan hisab) yang akan dilaksanakan di seluruh dunia. Menurut ahli tafsir Wahbah Az-Zuhaili, "Pendapat jumhur inilah yang rajih menurut saya, untuk menyatukan ibadah kaum Muslimin dan mencegah perbezaan pendapat yang masih belum dapat diterima lagi di masa sekarang." (Wahbah Az-Zuhaili, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, II/610, Ahmad bin Muhammad Siddiq al-Ghumari, Taujih al-Anzhar li Tauhid al-Muslimin fi al-Shaum wa al-Ifthar, hal.19).

Jadi apabila Khalifah melakukan rukyah kelak (melihat anak bulan), hasil rukyahnya akan dilaksanakan secara global ke atas seluruh umat Islam. Hal ini ditegaskan oleh Imam Al-Maziri ketika mensyarahkan hadis-hadis Sahih Muslim tentang rukyatul hilal. "Jika hilal telah dilihat oleh Khalifah maka seluruh negeri-negeri Islam wajib merujuk hasil rukyah tersebut…sebab rukyah Khalifah adalah berbeza dengan rukyah selain daripada Khalifah. Kerana seluruh negeri-negeri yang berada di bawah pemerintahannya dianggap sebagai satu negeri." (Imam al-Maziri, Al-Mu’allim bi Fawa`id Muslim, Tunis : Ad-Dar At-Tunisiyah, II/44-45). Wallahu a’lam.

Muhammad Siddiq al-Jawi

Menghalalkan Segala Cara adalah HARAM!

Bismillahirrahmannirahim,

Di dalam politik tidak ada musuh abadi dan kawan abadi, yang ada hanyalah kepentingan abadi. Itu menurut sebahagian orang yang menganut aliran pragmatisme (waqi’iyyiin), yang menjadikan realiti/fakta sebagai sumber hukum dan bersedia menggadaikan keyakinan/ideologinya untuk mencapai tujuannya; bukan menjadikan keyakinan/ideologinya sebagai sesuatu yang harus diperjuangkan dan diwujudkan, meskipun harus mengubah realiti/fakta.

Adakah benar bahawa Islam membolehkan wanita menjadi pemimpin negara? Atas sebab apa yang membuat para politikus muslim bersikap pragmatis dan dengan mudahnya menanggalkan pendapat-pendapat sebelumnya dengan dalih remeh dan maslahat?

Yang Haram Sudah Jelas!

Di dalam ajaran Islam, sesuatu yang halal (dibolehkan) dan sesuatu yang diharamkan sudah amat jelas. Sebab selalu disertai pernyataan-pernyataan (nushush) syar’iy, yang menjadi argumentasi paling meyakinkan bagi seluruh umat Islam. Sebahagian dari berbagai perkara yang sudah amat jelas itu antara lain larangan seorang wanita menjadi pemimpin (penguasa). Perkara ini sudah demikian jelas dan tegasnya sehingga masuk kategori ma’lumun min ad-din bi ad-dlarurah (perkara yang sudah lazim diketahui begitu saja oleh kaum Muslim).

Diriwayatkan dari Abi Bakrah yang berkata :

"Sungguh Allah SWT telah memberiku manfaat dari kata-kata yang pernah kudengar dari Rasulullah SAW pada saat perang Jamal, setelah semula hampir saja aku mengikuti tentara Jamal (dipimpin oleh ‘Aisyah yang mengenderai unta) dan berperang di pihak mereka." Lalu ia melanjutkan : "Ketika sampai berita kepada Rasulullah SAW bahawa bangsa Persia telah mengangkat puteri Kisra sebagai Ratu, beliau bersabda : ‘Tidak akan pernah beruntung suatu kaum yang menyerahkan urusan kekuasaan/pemerintahan mereka kepada seorang wanita."

Pemberitaan Rasulullah SAW bahawa suatu umat tidak akan memperoleh keberuntungan apabila mengangkat seorang wanita sebagai penguasa merupakan larangan untuk mengangkat seorang wanita sebagai penguasa. Pemberitaan tersebut termasuk di antara bentuk-bentuk thalab (tuntutan hukum). Kerana bentuk pemberitaan itu mengandung dzamm (celaan), ini menjadi indikasi yang menunjukkan adanya larangan secara tegas.

Larangan pengangkatan seorang wanita sebagai penguasa juga bersifat khusus, yaitu berkaitan dengan perkara pemerintahan. Tidak bersifat umum, mencakup segala sesuatu. Sebab yang disinggung dalam hadits diatas adalah pengangkatan putri Kisra sebagai ratu.

Maka, sungguh sangat menghairankan sikap para politikus muslim yang dengan mudahnya mengubah begitu saja pengertian-pengertian nash, dengan dalih darurat, atau nash hadits tersebut bukan lagi masalah serius. Apakah ada persoalan yang lebih serius dari disimpangkannya pengertian-pengertian nash, atau dimudahkannya nash, sehingga nash tersebut ditinggalkan begitu saja, tidak diterapkan sama sekali?!

Maslahat/Kepentingan Bukan Dalil Syar’iy

Seorang muslim, siapapun dan di manapun dia berada, sentiasa terikat dengan hukum-hukum Islam. Tindak-tanduknya tidak pernah bebas dari kepungan dan keterikatannya sebagai seorang muslim terhadap syariat Islam. Dan wajib baginya untuk selalu terikat dan menjalankan hukum-hukum Islam tersebut. Hanya muslim yang sudah mati saja, bebas dari keterikatannya terhadap hukum Islam.

Hukum Islam yang menyangkut taklif untuk melakukan suatu perbuatan atau tidak melakukan, ada lima (biasa dikenal dengan ahkaamul khomsah). Suatu perkara yang termasuk kategori wajib, sehingga kita harus menjalankannya, maka kefardhuan perkara itu diberikan kepada kita agar kita menjalankannya, tanpa mempertimbangkan lagi hasilnya, apakah mendatangkan maslahat atau mendatangkan mudharat. Begitu pula dengan perkara yang masuki kategori haram, sehingga kita harus menjauhkan/meninggalkan perkara tersebut, maka keharaman perkara itu diberikan kepada kita agar kita menjauhkan/meninggalkannya, tanpa mempertimbangkan lagi hasilnya, apakah mendatangkan mudharat, atau malah mendatangkan maslahat. Juga suatu perkara itu masuk kategori mubah, kerana merujuk pada dalil (nash) yang telah memubahkannya, bukan karena adanya maslahat.

Jadi, seorang muslim menjalankan suatu perbuatan atau meninggalkan suatu perbuatan, semata-mata berlandaskan hanya kepada nash-nash syar’iy saja. Bukan kerana pertimbangan lainnya. Itulah sebabnya hukum halal, haram, wajib, dan sebagainya yang merujuk kepada nash-nash syar’iy bersifat abadi, tidak pernah berubah!

Unsur-unsur maslahat dan mudharat tidak boleh dijadikan pertimbangan untuk merubah, melalaikan, meremehkan, atau mencampakkan sebuah hukum Islam. Kerana pertimbangan maslahat atau mudharat yang berasal dari akal fikiran manusia itu sangatlah lemah dan terbatas sifatnya. Adakalanya suatu perkara dianggap oleh sebahagian orang sebagai maslahat, tetapi untuk sebahagian orang lainnya malah mudharat. Kadang-kadang suatu perkara pada suatu waktu dianggap maslahat, tetapi di waktu lain atas perkara yang sama, malah dianggap mudharat. Begitu juga sebaliknya. Oleh kerana itu, selama perbuatan manusia dilandaskan kepada maslahat atau mudharat yang bersifat aqliyah, maka tidak pernah ada hukum yang tetap (fixed). Ia menganggap bahawa sesuatu yang disukainya dan mendatangkan keuntungan sebagai maslahat, dan sesuatu yang dibencinya kerana menghasilkan kerugian sebagai mudharat. Firman Allah:

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah Maha Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui." (QS. Al Baqarah [2]: 216)

Yang mengetahui secara hakiki bahawa suatu perkara itu mengandung maslahat atau mengandung mudharat hanyalah Allah SWT. Dialah yang memberikan kepada kita syariat Islam, berupa hukum yang 5, iaitu wajib, sunah, mubah, makruh dan haram. Keterikatan kita kepada hukum yang lima itu tidak boleh dilandasi kepentingan-kepentingan maslahat atau mudharat.

Bagi kita seorang muslim, apabila Allah SWT dan Rasul-Nya telah memutuskan suatu perkara, maka tidak boleh bagi kita untuk menimbang-nimbang lagi maslahat atau mudharatnya perkara itu. Yang kita lakukan adalah menjalankannya, atau meninggalkannya, lain tidak. Firman Allah SWT:

"Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan tidak pula bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu keputusan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsipa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata." (QS. Al Ahzab [33]: 36)

Dengan demikian sikap para politikus muslim yang membuat pakatan dengan parti-parti politik lain yang jelas-jelas sekuler, atau memutuskan sesuatu yang bertentangan dengan hukum-hukum Islam, terlebih lagi mereka mengetahui bahawasanya hukum-hukum itu benar adanya, dan mereka yakini pada masa sebelumnya, namun kerana terdapat kepentingan politik mereka rela menanggalkannya, merupakan sikap hipokrit, dan terlumuri sifat-sifat Machiavelis, yang menghalalkan segala cara untuk mencapai tujuan-tujuannya.

Sikap dan sifat semacam ini merupakan kelemahan dan ketidakberdayaan seorang muslim terhadap sistem kufur yang telah mengepung dan menimpa mereka, sehingga tidak ada cara lain bagi mereka selain berkompromi dan menyelaraskannya sesuai dengan keadaan yang ada. Akibatnya, nilai-nilai Islam dan hukum-hukumnya ditinggalkan, dengan dalih maslahat, atau terpaksa.

Teguh pada Pemikiran dan Metode Islam

Islam memiliki fikrah (pemikiran-pemikiran) mahupun thariqah (metode-metode). Begitu pula Islam itu terdiri dari aqidah dan syariat. 2 perkara itu tidak boleh dipisahkan satu dengan yang lainnya. Apabila seseorang beriman kepada Allah, maka konsekuensinya juga wajib terikat dan menjalankan hukum-hukum Allah itu. Juga seorang muslim yang terikat dengan hukum-hukum Islam harus selalu diarahkan motivasi pelaksanan amal perbuatannya itu hanya kepada Allah saja.

Sayangnya, sebahagian kaum muslimin saat ini dalam mensikapi sesuatu atau menjalankan aktiviti tertentu telah terseret oleh metode analogi akal (qiyas ‘aqli), yang tidak didasarkan pada indikasi-indikasi syariat (ammarah) atau ‘illat syar’iyah. Dalam pandangan mereka, syariat Islam itu secara keseluruhan bertujuan untuk menjaga agama, jiwa, akal, keturunan, dan harta. Maka menurut mereka, apapun yang dapat menjaga lima perkara tersebut, termasuk pada kewajiban yang dituntut oleh syariat, meskipun tidak didasarkan secara langsung pada hukum itu sendiri, atau tidak digali dari ‘illat syar’iyah, boleh diputuskan. Mereka hanya menyandarkan pada tolok ukur akal yang bias menjangkau maslahat atau mudharatnya suatu perkara; atau melakukan analog hanya kerana adanya kemiripan pada perkara lainnya.

Pandangan-pandangan semacam ini tidak dibenarkan dan tidak berdasar sama sekali. Setiap argumen atas suatu perkara atau atas suatu perbuatan, hanya boleh ditentukan berdasarkan nash-nash yang syar’iy. Imam Ali ra, mengecam orang yang menggunakan akalnya, dan mengabaikan nash-nash syar'iy yang telah jelas dalam kata-katanya : "Seandainya agama ini ditetapkan dengan qiyas (analogi akal), sungguh mengusap alas kasut adalah lebih utama berbanding mengusap belakang (kasut)nya."

Berdasarkan hal ini, seorang muslim wajib mengikatkan dirinya hanya dengan pemikiran-pemikiran Islam dan hukum-hukum Islam. Tidak dibenarkan ia terpengaruh, apalagi melakukan kompromi dengan pemikiran-pemikiran dan hukum-hukum kufur.

Gagasan atau pemikiran Islam sudah seharusnya memperoleh perhatian yang utama bagi sebuah jemaah atau parti politik Islam. Pemikiran Islam harus dipandang sebagai kebenaran yang wajib diyakini oleh setiap manusia; sebagai petunjuk yang dapat menyinari setiap orang yang dibimbingnya; sebagai rahmat yang diberikan Allah kepada para hamba-hambaNya; sekaligus sebagai cahaya yang mampu mengeluarkan manusia dari kegelapan hawa nafsunya.

Sebuah jemaah atau parti politik Islam sudah selayaknya memiliki sejumlah sifat yang menjadikannya mampu mencapai tujuan. Sifat-sifat itu antara lain: kejelasan pemikiran-pemikirannya, semangat untuk mencapai tujuannya, upaya mempersiapkan kelompok yang tercerahkan dan mempersiapkan umat, serta komitmennya terhadap berbagai hukum Islam yang terkait dengan metode (thariqah) dalam merealisasikan gagasan (fikrah). Dengan kata lain komitmennya terhadap ideologi Islam.

Jemaah atau parti politik Islam sudah seharusnya memiliki gambaran atas jalan yang akan dilaluinya, mempunyai jalan lurus yang diperolehnya dari penggalian nash-nash syar’iy. Bukan jalan yang penuh liku, yang justeru akan menjerumuskannya ke dalam ‘neraka’ yang dibuatnya sendiri. Untuk itulah, mereka iaitu jemaah dan parti-parti politik Islam sudah selayaknya mengatakan kepada manusia, sebagaimana firman Allah SWT:

"Sesungguhnya, ini adalah jalanku yang lurus. Oleh karena itu, ikutilah jalan ini, dan janganlah kalian mengikuti jalan-jalan lain yang akan mengakibatkan kalian terlepas dari jalan Allah." (QS. Al An’aam [6]: 153)

Maka, bersikap tegaslah. Dan jangan bersikap hipokrit, atau berjiwa Machiavelis!


Nota : Diambil dari Al-Islam Edisi 47 dan telah diedit mengikut keadaan politik Malaysia. Harap maklum. Wallahualam.
 

Copyright © 2013 | Wanita Mustanir | by Cik Bulat