Luahan Rasa 1

Jika kebahagiaan ku diragut tika ini, ia bukan halangan untuk ku terus maju melangkah.. Andai ku toleh ke belakang, pasti aku akan kecundang.. Namun satu harapan ku, moga redha Allah bisa ku raih, agar hari mendatang menjadi semakin bersinar untuk terus ku berlari..

Ketenangan yang dicari, mungkin terpancar di lorong sufi.. Kedamaian diri perlu juga ditemui, Biar bersuluh cahaya walau di dlm gelapnya bumi, Namun, hadirnya bahagia adalah ciptaan Ilahi..

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir. (TQS Al-Baqarah [2]:286)

Wallahua'lam

Wanita Suka Mengumpat : Boleh atau Tidak?

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Wanita seringkali dikatakan seorang yang kuat mengumpat dan mengata orang lain. Kenapa saya berkata demikian?? Saya juga seorang wanita, jadi apakah relevennya saya berkata sedemikian? Adakah kenyataan ini seolah-olah menunjukkan saya ingin menjatuhkan wanita? Tidak bukan?? Benarkah?? Benar, kerana banyak kebenarannya dari salah mengenai kenyataan ini. (Wahai wanita! Jangan marah ya.)

Adalah menjadi suatu kemestian apabila para wanita berkumpul, dan perkara yang akan dilakukannya adalah mengumpat.. Kalau tak mengumpat macam ada yang kurang. Betul tak?? Anda sendiri telah melihat realitinya, bukan?? Saya telah melihat realitinya di depan mata saya sendiri..dan kerana itu, saya lebih suka mengasingkan diri.. kadang-kadang saya 'terjoin' sekali. (Sepatutnya saya menegur mereka agar jangan mengumpat. Kelemahan saya.)

Tersebutlah kisah, suatu pagi yang cerah, ada seorang insan yang bergelar wanita dan berstatus isteri serta ibu. Dia pergi ke rumah kenalannya yang tidak jauh dari tempat tinggalnya. Dia pergi sejurus selepas suaminya pergi ke kerja. Lama juga dia berada di rumah kenalannya itu. Lebih kurang 2 jam. Almaklumlah, rakannya itu baru pulang dari oversea. Jadi banyak pengalaman yang ingin diceritakan dan dikongsikan bersama.. Sambil-sambil bercerita tentang pengalaman, terselit juga kisah-kisah insan yang turut serta ke oversea. Jadi, umpatan dikatakan telah berlaku kan.. ( Correct me if i am wrong about this.)

Seperti biasa, suaminya akan menelefon insan tersebut. Kebiasaanya si suami akan bertanya, "Tengah buat apa?, Dah masak ke?, Masak apa hari ini? Pergi ke mana? Sembang apa je tadi? dan lain-lain lagi." Kata orang, (tak tahulah betul ke tidak tapi rasanya boleh saja kalau nak dijadikan tips rumah tangga..hehe) untuk mengukuhkan lagi ikatan perkahwinan yang telah dibina dan sentiasa kasih antara satu sama lain biarpun telah bertahun mendirikan rumah tangga. Tetapi pada hari itu, si suami menelefon dan berkata kepadanya, "Pergi rumah kawan tu, janganlah mengumpat." Si isteri terdiam.

p/s:
-Kita perlulah saling ingat mengingati antara satu sama lain untuk meraih redha Allah SWT.

-Janganlah kita terdiri daripada mereka yang suka mengumpat, kerana balasannya adalah murka Allah SWT. Dalam sebuah riwayat disebutkan, "Sesungguhnya Allah tidak men
yenangi kata-kata dan perilaku yang keji dan buruk."(HR Muslim dan Ahmad)

-Wahai wanita muslimah yang dikasihi Allah, marilah kita sama-sama merenungilah hadis ini.Dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar iaitu memohon ampun. Kerana aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka.” Seorang wanita yang cukup pintar di antara mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, kenapa kami kaum wanita yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka?” Rasulullah S.A.W bersabda: “Kamu banyak mengutuk dan mengingkari suami.

Tamatlah sebuah kisah pendek.

Jadi, benarkah wanita dan sesiapa sahaja tidak boleh (baca : haram) mengumpat ?? Kalau boleh, bila pula mengumpat itu dibenarkan??

Jawapan:

Berdasarkan dalil-dalil berkenaan Ghibah, para ulama dan sebahagian besar mereka bersepakat bahawa secara umumnya mengumpat(Ghibah) adalah haram . Ghibah dibolehkan untuk tujuan yang sah mengikut syari’at, di mana ada permasalahan yang tidak dapat diselesaikan kecuali hanya dengan melakukan ghibah tersebut.

Ini adalah berdasarkan kepada perbuatan Rasulullah yang membenarkan dan tidak melarang Ghibah pada keadaan tertentu seperti yang disebutkan dalam dalil-dalil di bawah. Terdapat enam situasi yang membolehkan Ghibah dilakukan:

Pertama, mengadukan kezhaliman (at-tazhallum). Boleh bagi orang yang dizalimi untuk mengadukan kezaliman yang menimpa dirinya kepada penguasa, qadhi, atau yang memiliki kekuasaan hukuman ataupun pihak yang berwajib lainnya. Ia dapat menuntut keadilan ditegakkan, misalnya dengan mengatakan Si Fulan telah melakukan kezaliman terhadapku dengan cara seperti ini dan itu

Kedua, permintaan bagi membantu mencegah kemungkaran dan mengembalikan pelaku maksiat ke jalan yang benar (al isti’ânah ‘ala taghyîril munkar wa raddal ‘âshi ila ash shawâb). Seseorang itu boleh menceritakan kepada orang yang boleh diharapkan untuk mencegah kemungkaran dengan cara menerangkan si Fulan telah melakukan itu atau ini dan sekaligus menyelamatkan fulan tersebut dari kemaksiatan dan kemungkaran. Dengan kata lain, maksud penceritaan itu mesti menuju kepada terhapusnya suatu kemungkaran. Jika pengaduan itu tidak bertujuan untuk mencegah kemungkaran, maka hukumnya adalah haram.

Ketiga
, permintaan fatwa (al istiftâ`). Misalnya, seseorang mengatakan kepada seorang mufti (pemberi fatwa), ayahku (atau saudaraku atau suamiku atau fulan) telah menzalimi aku dengan cara begini. Lalu apa yang harus aku lakukan padanya?; Bagaimana cara agar aku terlepas darinya, mendapatkan hakku, dan terlindung dari kezaliman itu? Atau apa sahaja pertanyaan yang seperti itu. Maka hukumnya boleh jika diperlukan. Tetapi lebih tepat dan lebih afdal jika ia mengatakan, bagaimana pendapat anda tentang orang atau seseorang, atau seorang suami yang telah melakukan hal seperti ini? Oleh itu, ia akan dapat memperoleh jawapan tanpa perlu menceritakan perinciannya iaitu tanpa perlu menyebut siapa orangnya dan sebagainya. Meskipun demikian, tetap dibolehkan untuk melakukan perincian (at ta’yîn), sebagaimana yang akan diceritakan di dalam hadits dari Hindun seperti di bawah nanti.

Keempat, mengingatkan kaum muslimin agar sentiasa berwaspada terhadap suatu keburukan dan menasihati mereka (tahdzîrul muslimîn min asy syarr wa nashîhatuhum). Terdapat beberapa situasi antaranya adalah ; menceritakan keburukan sifat orang yang memang perlu disebutkan keburukannya (jarhul majrûhîn) iaitu dari kalangan para perawi hadis dan saksi-saksi (di pengadilan, dsbnya). Hal ini dibolehkan menurut ijma’ kaum muslimin. Bahkan boleh menjadi wajib untuk suatu keperluan tertentu. Contoh lainnya adalah meminta pandangan atau pendapat (musyawarah) tentang seseorang calon suami/isteri yang bakal di nikahi (mushâharah), kerjasama, memutuskan kerjasama, mua’amalat dan lain sebagainya, atau tentang hubungan kejiranan. Maka wajib bagi orang yang dimintai pendapat itu untuk tidak menyembunyikan maklumat berkenaan orang yang ingin diketahui. Bahkan ia mesti menyebutkan sikap-sikap buruknya yang memang diniatkan untuk melakukan nasihat. Contoh lainnya lagi adalah jika seseorang melihat orang lain yang belajar agama pada orang yang berbuat bidaah atau orang fasik dengan niat untuk mendapatkan ilmu dari pelaku bidaah dan orang fasik tersebut, lalu dengan itu dikhuatiri ia akan mendapat kemudaratan, maka ia mesti menasihatinya dan memberikan penjelasan mengenai keadaan sebenarnya. Dengan syarat, dia benar-benar bermaksud untuk memberi nasihat. Hal ini berkemungkinan untuk terjadinya kekeliruan kerana kadangkala si pemberi nasihat memiliki rasa cemburu dan iri hati sehinggakan syaitan mencampuradukkan antara nasihat dan rasa cemburu dan iri hati. Syaitan menghadirkan bayangan padanya bahawa hal itu adalah nasihat dan akhirnya ia terjerumus dalam fitnah.

Hal ini merangkumi situasi di mana seseorang itu memiliki kekuasaan dan dia tidak melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya. Terdapat kemungkinan yang berlaku iaitu dia memang tidak layak atau fasiq mahupun lalai, atau yang sejenis dengannya. Maka, adalah wajib hal itu dilaporkan kepada orang atasan yang memiliki kekuasaan yang lebih tinggi daripadanya agar kelalaian itu dapat diatasi atau digantikan dengan orang yang lebih berkebolehan. Orang atasan tersebut mestilah mengambil pendekatan yang sesuai dengan keadaan orang yang lalai tersebut tanpa berlengah dan sepatutnya berusaha menasihati si pelaku kesalahan itu agar istiqamah ataupun menggantikannya dengan orang lain yang lebih amanah.

Kelima
, seseorang yang memperlihatkan secara terang-terangan (al- mujâhir) kefasiqan atau perilaku bidaahnya seperti memperlihatkan perbuatan minum arak, merampas barangan, mengambil ufti( memberi wang, emas dan sebagainya kepada yang berkuasa), pengumpulan harta secara zalim, memimpin dengan sistem yang batil iaitu selain dari sistem Islam dan sebagainya. Maka ini boleh untuk disebutkan kerana perbuatan itu dilakukan secara terang-terangan (mujâharah). Namun bergitu, hal-hal lain yang merupakan aib yang disembunyikan tidak boleh untuk diceritakan melainkan tujuannya adalah seperti yang telah disebutkan sebelum ini.

Keenam
, panggilan nama atau gelaran(at-ta’rîf). Jika seseorang itu telah dikenali dengan nama laqab (panggilan atau gelaran) seperti al-A’masy (Si Mata Rabun) atau al-A’raj (Si Tempang), atau al- Ashamm (Si Pekak), al-A’maa (Si Buta), al-Ahwal (Si Juling), dan sebagainya maka mereka boleh digelar dengan panggilan tersebut namun diharamkan untuk menyebut kekurangannya yang lain. Akan tetapi adalah lebih baik sekiranya gelaran-gelaran ini tidak di gunakan untuk memanggil seseorang dan dihindari dari di gunakan.

Inilah enam sebab yang disebutkan oleh para ulama dan disepakati oleh sebahagian besar mereka. Berikut adalah di antara dalil-dalil yang menunjukkan bahawa perbuatan mengumpat/ghibah di dalam keadaan seperti di nyatakan di atas adalah di bolehkan:

Dari Aisyah radhiallahu anha bahwa seseorang meminta izin pada Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam, lalu beliau berkata: izinkanlah ia, seburuk-buruk saudara suatu kabilah. [Muttafaq Alaih]

Al Bukhari berhujjah dengan hadis ini mengenai kebolehan berghibah terhadap ahlul fasad (pembuat kerosakan) dan ahlu ar rayb (menciptakan keraguan).

Dan masih dari Aisyah, ia berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, aku melihat si fulan dan si fulan tidaklah mengetahui sedikitpun dari perkara agama kami. [HR al Bukhari]. Al Layts ibn Sa’ad—salah seorang perawi hadits ini—berkata: kedua orang yang disebut di sini adalah orang munafiq.

Dari Fathimah binti Qays radhiallahu anha, ia berkata: aku mendatangi Nabi Sallallahu Alaihi wa sallam lalu aku berkata, sesungguhnya Abul Jahm dan Mu’awiyah telah mengkhitbahku. Lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam berkata, adapun Mu’awiyah adalah orang fakir, ia tidak mempunyai harta. Adapun Abul Jahm, ia tidak pernah meletakkan tongkat dari bahunya. [Muttafaq alaih]

Dan dalam riwayat Muslim, haditsnya berbunyi:

Adapun Abul Jahm ia suka memukul wanita.

Ini merupakan penjelasan dari riwayat sebelumnya yang mengatakan ia tidak pernah meletakkan tongkat dari bahunya. Juga dikatakan bahwa makna ia tidak pernah meletakkan tongkat dari bahunya adalah katsiirul asfaar, yakni banyak bepergian atau merantau.

Dari Zaid bin Arqam radhiallahu anhu, ia berkata: "kami pernah keluar bersama Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dalam sebuah perjalanan di mana orang-orang ditimpa kesusahan. Lalu Abdullah bin Ubay berkata, jangan engkau memberi infaq kepada orang-orang yang bersama Rasulullah supaya mereka bersurai meninggalkan Rasulullah.. Lalu ia berkata lagi, “sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah, pastilah orang yang kuat akan mengusir orang-orang yang lemah dari sana”. Kemudian aku mendatangi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa sallam, lalu aku menceritakan hal tadi, maka beliau mengutus kepada Abdullah bin Ubay, namun ia bersumpah bahwa ia tidak melakukannya. Lalu orang-orang mengatakan¸ “Zaid telah membohongi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam”. Lalu beliau(Sallallahu alaihi wa Sallam) mencelaku dengan keras atas apa yang orang-orang katakan hingga Allah Subhanahu wa Taala menurunkan apa yang dapat membenarkanku “apa bila datang orang-orang munafiq” (TMQ Al Munaafiquun:1). Kemudian Nabi SAW memanggil mereka untuk memintakan ampun bagi mereka, tapi mereka memalingkan wajah mereka." [Muttafaq alaih]

Dari Aisyah radhiallahu anha, ia berkata: Hindun isteri Abu Sufyan berkata kepada Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam, “Sesungguhnya Abu Sufyan adalah seorang laki-laki yang pelik, ia tidak memberikan kepadaku apa yang mencukupi aku dan anakku kecuali apa yang aku ambil secara diam-diam tanpa pengetahuannya”. Lalu Nabi Sallahu Alaihi wa Sallam berkata “Ambillah apa yang mencukupimu dan anak-anakmu dengan cara yang baik (bil ma’ruf)” [Muttafaq Alaih]

Wallahua'lam.

Ibu Para Pahlawan Islam : KABSYAH BINTU RAFI’

Sabda Sallallahu alaihi wa Sallam:
Wahai Ummu Saad, terimalah khabar gembira dan sampaikanlah khabar gembira kepada keluarga mereka, bahawa orang-orang yang terbunuh di antara mereka saling berteman di dalam syurga, semuanya dan mereka diberi syafaat untuk keluarganya”

IBU PARA PAHLAWAN
Sahabiyyah ini adalah antara wanita mukminah yang menyajikan jalan-jalan tauladan dan termasuk salah seorang wanita yang memberikan kesaksian kebenaran bagi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam. Baginda Rasul turut menjanjikan imbalan kebaikan dan mendoakan barakah baginya. Ketika iklim iman menggantikan kegelapan jahiliyyah dan mentari hidayah mulai terpancar di tanah Madinah, sahabiyyah ini hidup dan tampil sebagai penolong bagi Islam, mencurahkan sekalian yang dimiliki dan menjadi ibu kepada dua orang anaknya yang gugur sebagai syuhada’; dua pahlawan Islam yang segar di dalam medan sejarah.

Inilah dia, Kabsyah bintu Rafi’ bin Muawiyah bin Ubaid bin Al-Abjar Al-Ansyariyah Al-Khudriyah. (Thabaqat Ibn Saad, 8/37; Al-Isti’ab, 4/383; Usdul Ghabah [7230]; Al-Istibshar,hal. 129)

Beliaulah ibu yang Arasy Ar-Rahman pun bergoncang kerana kematian anak-anaknya. Beliaulah ibu yang memutuskan perkara dengan hukum Allah dari atas langit ketujuh. Anak beliau ialah penjaga Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam ketika Perang Badar, yang juga pemegang panji dari golongan Ansar, serta salah seorang ahli majlis syura Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam ketika itu. Anak beliau adalah As-siddiq kedua setelah Abu Bakar Radiallahu Anhu. Anak beliau jugalah wakil Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam di saat Perang Buwath. Dari rumah pasangan Kabsyah bintu Rafi’ dan Muadz bin An-Nu’man inilah, lahirnya sosok-sosok peribadi Saad bin Muadz, Amru bin Muadz, Iyas, Aqrab dan Ummu Hizam. Maka, setelah mendengarkan nama-nama ini, masihkah kita menginginkan tambahan karamah untuk memuliakan beliau?.

PENGISLAMAN
Madinah menerima tetamu, seorang pemuda dari Mekah, duta kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam; Mushab bin Umair. Beliau ditugaskan untuk mengajarkan Al-Quran kepada penduduk Madinah dan menjelaskan hukum-hukum berkaitan permasalahan agama. Risalah Islam akhirnya tersebar ke perkampungan Bani Al-Asyal. Dua orang pemimpin Aus, Usaid bin Hudhair dan Saad bin Muadz lantas melafazkan keislaman mereka. Peristiwa pengislaman keduanya dirakamkan di dalam beberapa kitab sirah. Setelah Saad bin Muadz memeluk Islam, beliau lantas berdiri di hadapan kaumnya, Bani Abdul-Asyhal, seraya berkata kepada mereka : “ Wahai Bani Abdul Asyhal, bagaimanakah pendapat kalian tentang kepimpinanku di tengah-tengah kalian?”

Soalan yang dilontarkan Saad dijawab oleh pengikut-pengikut beliau: “Engkau pemimpin dan orang yang paling utama di antara kami”.

Beliau kemudian berkata: “Sesiapapun di antara kalian, lelaki ataupun wanita dilarang berbicara denganku melainkan dia telah menjadi seorang Muslim atau Muslimah!”.

Pada petang hari yang sama, tiada seorang pun dari kalangan Bani Abdul-Asyhal melainkan mereka telah memeluk Islam. Ibnul Jauzy Rahimahumullah menyebutkan bahawa perkampugan Bani Abdul-Asyal merupakan perkampungan Ansar pertama yang menerima Islam (Shifahush-Shafwah, 1/455). Ummu Saad (Kabsyah bintu Rafi’) segera menyatakan keislaman beliau, malah mendapatkan kebahagiaan yang besar di atas nikmat keimanan tersebut. Rumah beliau menjadi tempat menetapnya duta Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, yang dari situlah angin keimanan berhembus ke seluruh pelosok Madinah.

Kebaikan mula memancar dari para wanita Ansar dan Ummu Saad merupakan salah seorang wanita mukminah yang menyimpan kebaikan-kebaikan tersebut. Kelebihan ini turut diakui oleh Ibn Saad dengan berkata: “ Orang yang pertama berbaiat kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam ialah Ummu Saad, Kabsyah bintu Rafi’ bin Ubaid, Ummu Amir bintu Yazid bin As-Sakan serta Hawa’ bintu Yazid bin As-Sakan.”

PENIUP SEMANGAT JIHAD ANAK-ANAKNYA
Berbagai kitab sejarah dan biografi telah menyajikan peribadi mulia dan keutamaan-keutamaan yang dimiliki oleh Kabsyah bintu Rafi’, seperti keberanian, kebenaran, kebaikan dan keprihatinan beliau kepada tetangga. Beliau juga mempamerkan contoh terbaik yang mencerminkan kedudukan beliau yang sangat istimewa di sisi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam . Beliau terkenal kerana keberanian dan kesabaran beliau di dalam membela baginda nabi dan mendorong anak-anaknya untuk terjun ke medan jihad dan syahid di jalan Allah.

Di dalam Perang Badar, beliau meniupkan semangat kepada kedua anak beliau, Saad bin Muadz dan Amru bin Muadz Radiallahu Anhuma, agar berangkat dan berjihad kerana Allah dengan sebenar-benar jihad, sehinggalah kedua-duanya mendapat cubaan yang berakhir dengan khabar kemenangan.

Di dalam Perang Uhud, Ummu Saad turut terlibat secara langsung bersama beberapa wanita Muslimah lainnya. Berita kekalahan tentera kaum Muslimin dan gugur syahidnya anak beliau, Amru bin Muadz sampai ke pengetahuan beliau. Namun, berita-berita tersebut ternyata kurang penting bagi ibu ini berbanding keselamatan baginda nabi. Beliau lantas bersegera ke medan peperangan dan melihat dengan mata kepala sendiri keadaan dan keselamatan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam. Saat itu juga, beliau memanjatkan puji dan syukur kepada Allah seraya berkata: ”Selagi aku melihat engkau dalam keadaan yang selamat, maka musibah ini (kematian Amru bin Muadz) adalah terasa sangat ringan”

Di saat Perang Khandaq meletus, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam mengarahkan para wanita muslimat dan kanak-kanak yang turut serta untuk berlindung di dalam benteng Bani Haritsah yang telah siap dibina. Turut sama di kalangan mereka ialah Aisyah Ummul Mukminin Radiallahu Anha dan Ummu Saad. Aisyah menuturkan bahawa Saad bin Muadz berlalu untuk menyertai pasukan perang dengan mengenakan baju besi yang pendek, sehingga seluruh tangannya terdedah. Beliau juga menyandang tombak yang dibanggakannya sambil melantunkan bait syair Hamal bin Sa’danah Al-Kalby: Teguhkan hatimu barang sejenak dalam gejolak medan laga; Jangan pedulikan kematian jika sudah tiba saatnya. Mendengar perkataan anaknya, Ummu Saad lantas menasihatkan anaknya agar bersegera supaya tidak ketinggalan walau sesaatpun tanpa bersama-sama Rasulullah. Beliaulah yang tidak henti-henti menasihati dan meniupkan semangat jihad di dalam dada anak-anaknya. Beliau berkata: ”Wahai anakku, cepatlah berangkat kerana demi Allah, engkau sudah terlambat!”

Di dalam peperangan tersebut, Saad terkena anak panah lemparan Hibban Al-Urqah yang memutuskan urat di dekat mata kakinya. Saat itu, Saad sempat berdoa kepada Allah dengan doanya yang sangat masyur,

Ya Allah, jika Engkau masih menyisakan peperangan melawan Quraisy, maka berikanlah aku sisa umur untuk aku menyertainya. Tidak ada kaum yang lebih aku sukai untuk memeranginya kerana Engkau, selain dari kaum yang telah menyakiti Nabi-Mu, mendustakannya dan mengusirnya. Ya Allah, jika Engkau menjadikan peperangan antara kami dengan mereka, maka jadikanlah mati syahid bagiku dan janganlah Engkau uji aku sehingga aku merasakan senang kerana dapat mengalahkan bani Quraizhah”

Tenyata Allah mengabulkan doa Saad bin Muadz. Yahudi Bani Quraizhah melanggar perjanjian yang telah dimeterai bersama Baginda Nabi. Keputusan tentang Bani Quraizhah diserahkan kepada Saad bin Muadz. Beliaulah yang memutuskan agar kaum lelaki Bani Quraizhah dibunuh, manakala kaum wanita dan kanak-kanaknya dijadikan tawanan. Sebaik saja urusan Bani Quraizhah diselesaikan, luka di kaki Saad semakin parah dan akhirnya beliau meninggal dunia.

Sekali lagi, Ummu Saad diuji dengan kehilangan anak beliau. Kekaguman wajar diberikan kepada ibu ini lantaran kesabaran dan kekuatannya menerima ujian tersebut. Jasad Saad diusung dan dikebumikan di Baqi’. Kesedihan Ummu Saad terpancar jelas di wajahnya. Lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam menghibur beliau dengan bersabda,

Adakah air matamu tidak dapat dibendung dan apakah kesedihanmu tidak dapat dihilangkan? Sesungguhnya anakmu adalah orang pertama, Allah tersenyum kepadanya dan Arasy bergoncang kerana kematiannya“ (Syiar Alamin-Nubala’, 1/293: Thabaqat Ibn Saad, 3/434; Majma’ Az-Zawa’id, 9/309)

Hatinya lantas gembira dengan perkhabaran Baginda. Beliau hanya mengharapkan pahala kebaikan di sisi Allah dan RasulNya di atas kematian kedua-dua anaknya sebagai syuhada’, apatahlagi setelah mengetahui ketinggian martabat seorang syahid. Beliau mendahulukan kecintaan kepada Allah dan RasulNya di atas segala sesuatu yang di mata manusia lainnya sangat berharga, termasuklah harta dan anak-anak. Di atas sifatnya inilah, maka beliau layak mendapatkan khabar gembira daripada Allah dan RasulNya sebagai penghuni syurga.


BAGINYA JAMINAN SYURGA
Ummu Saad menerima khabar gembira sebagai penghuni syurga secara langsung dari Rasulullah sewaktu berakhirnya Perang Uhud (Al-Maghazy, 2/315-316; As-sirah Al-Halabiyah, 2/545-546). Saat Baginda Nabi mengetahui gugurnya Amru bin Muadz selain sebelas orang lagi syuhada’ medan uhud, Baginda lantas bersabda,

Wahai Ummu Saad, terimalah khabar gembira dan sampaikanlah khabar gembira kepada keluarga mereka, bahawa orang-orang yang terbunuh di antara mereka saling berteman di dalam syurga, semuanya dan mereka diberi syafaat untuk keluarganya”

Baginda turut mendoakan Ummu Saad dengan doa yang istimewa,

Ya Allah, singkirkan kesedihan hati mereka, ringankanlah musibah mereka dan berilah pengganti yang baik bagi orang-orang yang mereka tinggalkan”.

Dari Anas bin Malik Radiallahu Anha, beliau berkata bahawa Rasulullah pernah bersabda,

”Barangsiapa yang sabar dan ikhlas mencari pahala kerana kematian tiga anaknya, maka dia akan masuk syurga” Ada seorang wanita yang berdiri seraya berkata, ” Bagaimana dengan dua orang anak?” Baginda kemudiannya menjawab, ”Begitu pula dua orang anak” [HR Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmidzi, An-Nasaei dan Ahmad].

Inilah sekilas tentang sirah sahabiyyah mulia ini. Semoga keikhlasan dan kesabaran beliau dalam mendidik anak-anaknya sehingga menjadi pendamping utama Rasulullah yang tidak pernah gerun dan sentiasa bersemangat di medan dakwah dan jihad menjadi teladan yang layak untuk dicontohi oleh ibu kaum muslimin hari ini.

Wallahu'alam
 

Copyright © 2013 | Wanita Mustanir | by Cik Bulat