Komunis ditentang, Kapitalis ditatang


Maklumat lanjut : sila layari www.mykhilafah.com

Adakah Saya Telah Bersedia??

Hampir 6 jam saya berada di Felda Jengka 16 semalam. Tak pernah di dalam lipatan sejarah hidup, saya sampai di Jengka, Pahang. Tetapi Alhamdulillah apabila segalanya berjalan lancar. Sebenarnya saya tidak pernah menyangka akan sampai ke sana. Saya hanya menganyam impian untuk ke Jengka suatu hari nanti, begitu juga ke Janda baik. InsyaAllah. Kenapa saya ingin ke Jengka? Kerana saban hari saya mendengar berita berkenaan Felda Jengka, Pahang. Lagipun, kawan saya ada tinggal di sana. Jadi itu yang trigger saya untuk ke Jengka, dan alhamdulillah sampai juga saya semalam. Janda Baik pula sebab saya terbaca sebuah novel bertajuk "Selaut Kasih".

Okey, kita berbalik kepada Jengka. Saya ke sana bukan kerana perkara yang menggembirakan tetapi lebih kepada peringatan. Peringatan kepada saya, Adakah saya telah bersedia? Bersedia dari segi apa? Sungguh ini adalah kali ketiga saya menghadiri kematian saudara. Pertama, moyang perempuan saya sebelah umi, tahun 2003, kedua keluarga di sebelah abah, tahun lepas kalau saya tak silap. Tetapi saya kurang pasti apakah taliannya dengan abah. (Inilah masalahnya apabila tidak mengenali keluarga sendiri. Teruk betul saya.) Dan yang ketiga adalah semalam, pak cik abah.

Kematian sanak saudara membuatkan saya sentiasa berfikir. Jika kematian itu adalah dari keluarga terdekat saya, atau ahli keluarga saya sendiri, apakah saya benar-benar bersedia untuk menghadapinya? Atau jika saya sendiri yang dipanggil Ilahi, adakah saya sudah bersedia? (Saya mengingatkan diri yang menulis ini kerana kadang-kadang alpa dengan duniawi.)

Baru-baru ini, ketika saya menemani saudara saya ke selatan tanah air, saya juga dikejutkan dengan berita kematian anak kepada seorang sahabat kami. Kematiannya terlalu mengejut tetapi alhamdulillah segala-galanya berjalan dengan lancar dan cepat. Ketika anaknya siap dikebumikan, ada jiran-jiran yang bertanya kepada sahabat saya itu selaku ibu arwah. "Akak tak sedih ke? (sebab jiran-jiran tidak nampak raut kesedihan di wajah ibu bapa arwah)" Sahabat saya itu menjawab, "Kami telah bersedia menghadapinya." Subhanallah. Hanya Allah yang Maha Tahu betapa saya terpegun dengan kata-kata sahabat saya itu. Iya, kami telah bersedia. Saya ulangi kata-katanya di dalam hati. Saya, bagaimana? Adakah saya telah bersedia? Adakah saya akan setabah beliau sekiranya saya berada di posisi tersebut? Adakah saya akan sabar sepertinya? Ya Allah, lemahnya saya berbanding beliau.

Berkenaan dengan kematian semalam, saya seakan-akan tidak mahu pergi menziarahinya. Bukan saya sengaja tidak mahu pergi, tetapi memandangkan tugas saya sebagai 'suri rumah' yang belum selesai. Namun, ajakan abah akhirnya saya akur. Lagipun setelah memikirkan bahawa itu adalah kematian saudara, saya perlu menziarahinya. Setibanya saya di sana, saya melihat sanak saudara saya menangis kesedihan. Tetapi tidak pada saya. Saya tidak menangis, sedih pun tidak juga. Mungkin kerana saya tidak mengenali keluarga sebelah abah. Sekiranya saya menitiskan air mata sekalipun, saya merasakan saya seolah-olah hipokrit. Jadi adalah lebih baik untuk saya buat biasa-biasa sahaja.

Dulu, ketika arwah moyang saya meninggal, saya juga tidak menangis, sekadar sedih di dalam hati. Bila saya ingatkan balik, hati batukah saya ini? Kenapa saya tidak menangis seperti mereka (umi, maknek, ciknek, makda, tok long dan ramai lagi)? Adakah 'pemergiaannya' tidak meninggalkan apa-apa kesan buat saya? Sebenarnya, menzahirkan kesedihan adalah sesuatu yang sukar buat saya. Saya pun tak pasti kenapa. Sebab itu saya sangat-sangat khuatir sekiranya saya tidak bersedia. Kematian itu adalah suatu kepastian. Sehingga kini, kesedihan itu tiada, tetapi bila mak nek menceritakan bagaimana saya diselamatkan moyang apabila saya hampir lepas ketika saya berusia dua tahun, saya terasa rindu untuk bersembang dengan beliau. Terasa ingin menunjukkan kasih sayang saya padanya. Terasa ingin melihat dia gembira dengan kedewasaan saya. Ingin saya katakan padanya, "Terima kasih, awi.. Melalui tanganmu, Allah izinkan saya bernafas lagi hingga sekarang." Tetapi Allah lebih menyayanginya. Al-Fatihah saya sedekahkan kepadanya apabila rindu datang bertandang.

Apa yang saya harapkan, saya akan bersedia apabila ada ahli keluarga saya yang 'pergi' dipanggil Ilahi. Begitu juga saya. Teringat saya akan kata-kata Wak semalam ketika pulang ke Kuala Lumpur, "Alhamdulillah, arwah telah selamat pergi. Kita yang tinggal ini belum tentu lagi kesudahannya. Semoga kesudahan umur kita adalah kesudahan yang baik."

Doaku, "Ya Allah, akhirkanlah umurku dengan kesudahan yang baik dan janganlah kiranya Tuhan akhirkan umurku dengan kesudahan yang tidak baik.Ameen."

Presiden Perancis, Sarkozy : Burqa sebagai Simbol Perhambaan

Presiden Sarkozy melabel burqa sebagai simbol perhambaan tetapi tidak menghiraukan penindasan ke atas wanita di Negara sekular liberal Perancis

London, UK, 26 Jun 2009- Di dalam satu ucapan kepada Parlimen Perancis hari Isnin yang lepas, Presiden Nicolas Sarkozy menyatakan dengan jelas tentang pandangan beliau keatas pemakaian burqa dengan mengatakan bahawa ianya adalah satu simbol perhambaan ke atas wanita. Beliau berkata,” Burqa itu bukanlah satu tanda mahupun simbol agama,malahan ianya hanyalah satu lambang penindasan dan penghinaan ke atas wanita. Saya secara serius ingin menyatakan bahawa perbuatan memakai burqa ini adalah sesuatu yang tidak dialu-alukan di wilayah kita.

Adalah sesuatu yang melucukan apabila kita mendengar Tuan Presiden Sarkozy bercakap tentang perhambaan ke atas wanita, sedangkan beliau sendiri telah berkahwin dengan seorang bekas model bogel bernama Carla Bruni- satu profesion yang mana majoriti dari wanita merasakan ianya adalah sesuatu yang amat jelas menunjukkan wanita dijadikan hamba seks para lelaki.

Pada ketika beliau mengecam pemakaian burqa, dengan tanpa segan silu beliau sengaja tidak menghiraukan perhambaan dan penindasan wanita di Negara sekular liberal Perancis di mana :
* 2 juta wanita mengalami penderaan rumahtangga
* 400 wanita dibunuh setiap tahun oleh pasangan mereka
* Dianggarkan 38,000 orang wanita diperkosa setiap tahun

Sarkozy meneruskan kecaman dan penghinaannya ke atas burqa dengan menyatakan bahawa para wanita yang memakai burqa adalah seperti “banduan yang dikurung dibelakang jeriji besi, diasing dari kehidupan, dinafikan hak membentuk dan mengenali identiti diri mereka.

Akan tetapi,ironiknya kita sebenarnya melihat perkara yang sebaliknya berlaku. Jika diperhatikan, ramai golongan wanita Muslimah yang mengatakan bahawa pengharaman pemakaian tudung kepala di Perancis pada saat ini telah sebenarnya menyebabkan mereka merasa tertindas.

Beliau membuat kesimpulan di atas komentarnya dengan mengatakan “Segala pandangan mestilah dinyatakan....saya ingin menegaskan, kita tidak perlu malu dengan nilai-nilai sebenar kita, dan kita tidak perlu takut dalam mempertahankan pandangan-pandangan kita.”

Merujuk kepada komen-komen ini, jurucakap media muslimah Hizbut Tahrir Britain, Sultanah Parvin berkata,” Sarkozy sepatutnya berasa malu dengan nilai-nilai sekular-liberalyang didokongnya. Beliau dengan megah mempamerkan penafian hak secara terbuka,merendahkan martabat dan memandang golongan yang mahu mengamalkan dan berpegang pada ajaran asas agama mereka yang tidak selari dengan prinsip kehidupannya sebagai warganegara kelas dua.

Beliau sepatutnya merasa hina apabila mempertahankan nilai-nilai yang membenarkan para lelaki mengeksploitasi tubuh badan wanita untuk mengaut keuntungan dan sebuah masyarakat yang menghidang tubuh badan wanita untuk tatapan dan keseronokan umum. Adalah satu pembohongan yang amat besar dan hipokrit apabila beliau melaungkan kebebasan dan pada masa yang sama bercakap tentang pengharaman ke atas wanita Muslimah dari berpakaian menurut ajaran agama mereka. Sememangnya terdapat lebih banyak lagi perkara yang perlu dimalukan oleh Sarkozy dan para pengikutnya jika didedahkan.

”Pendedahan ini jelas menunjukkan bahawa pada ketika masyarakat umum di UK terus menunjukkan kemarahan keatas golongan yang mendokong perkauman seperti ketika British National Party(BNP) memperolehi kerusi di Pilihanraya Eropah, pendokong Liberalisasi telah dengan selesanya menjumpai sebuah rumah yang aman di dalam halaman penuh kekuasaan, iaitu Perancis. “

”Sememangnya,wanita muslimah tidak memerlukan pendidikan tentang hak-hak wanita dari seorang lelaki yang mempergunakan wanita untuk kepentingan dirinya dan seorang penzina yang meraih kemahsyuran kerana berkahwin dengan seorang model bogel.”

”Kesungguhan dan usaha yang tidak berhasil oleh Presiden Sarkozy dan kerajaan Perancis dalam menghalang wanita muslimah dan bukan muslim menentang sekular liberalisasi di Perancis dan diseluruh dunia dan mengambil Islam sebagai jalan penyelesaian yang satu bagi segala permasalahan kehidupan baik kerohanian, sosial mahupun politik, adalah amat jelas dan nyata. Pemikiran busuk dan rosak sekular liberal kapitalis telah mewujudkan phenomena kebiadaban terhadap wanita didalam sesebuah masyarakat sebagai satu kebiasaan dan harus diterima."

”Sebaliknya, nilai-nilai dan sistem perundangan Islam menawarkan sebuah masyarakat yang memartabatkan dan mengangkat maruah wanita, mengukuhkan institusi kekeluargaan, dan menjamin kerjasama yang sihat dan menurut syarak antara lelaki dan wanita didalam kehidupan umum sementara pada masa yang sama menjaga maruah kedua-duanya."


Wallahu alam

Sumber: MyK
 

Copyright © 2013 | Wanita Mustanir | by Cik Bulat