Alhamdulillah, selamat tiba di rumah setelah 2 hari bermusafir. Dalam perjalan ke kampung, terselit beberapa perbincangan yang terkait fikrah dan tsaqafah Islam. Antaranya tentang perhimpunan
Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9hb Julai ini. Berikutan itu, maka saya kongsikan penjelasan lanjut tentang hukum di sebalik perhimpunan ini, insyaAllah.
[SN267] Umat Islam di seluruh dunia sedang menyaksikan kebangkitan dan sudah mula menuntut kembali kekuasaan yang telah dirampas dari mereka oleh para penguasa zalim di Timur Tengah. Dari satu negara ke negara yang lain, kita telah mula melihat tembok ketakutan terhadap rejim zalim yang sekian lama berkuasa, menyeksa, memenjara dan menghalang aspirasi politik umat Islam, sudah mula dihancurkan. Beberapa orang penguasa telah jatuh dan yang lain sedang hidup di ambang kejatuhan atau ketakutan. Maka, di dalam usaha untuk mempertahankan sisa-sisa kekuasaan yang ada, seluruh kekuatan polis dan tentera dikerahkan oleh para penguasa zalim ini untuk membantai rakyat yang melakukan protes terhadapnya. Kini, senario yang hampir sama sudah boleh disaksikan di Malaysia.
Gabungan Pilihan raya Bersih Dan Adil (Bersih) sejak lebih sebulan lalu telah melancarkan usaha untuk menggerakkan rakyat Malaysia untuk mengadakan protes besar-besaran kepada kerajaan bagi menuntut pilihan raya umum ke-13 yang bakal diadakan nanti agar berjalan dengan bersih dan adil. Bertemakan
‘Bersih 2.0’, usaha kumpulan yang diketuai oleh Datuk Ambiga Sreenevasan itu menuntut lapan perkara yang kesemuanya berkaitan pilihan raya dan bercadang menyerahkan memorandum tuntutan tersebut kepada Yang Dipertuan Agung semasa demonstrasi besar-besaran yang dirancang pada 9 Julai ini.
Demonstrasi ini nampaknya mendapat sambutan hangat dari parti-parti pembangkang dan beberapa NGO sehingga benar-benar membuatkan kerajaan UMNO-BN gelisah tidak menentu dan pihak polis pula menjadi ‘semakin ganas’. Belum pun perhimpunan
Bersih 2.0 diadakan, sudah lebih seribu laporan polis dikatakan telah dibuat. Ambiga pula dilaporkan telah menerima ugutan bunuh manakala Pemuda UMNO dan kawan baik UMNO, Perkasa, telah pun mengadakan demonstrasi lebih awal untuk membantah Bersih 2.0. Namun sebagaimana kita sedia maklum, apa jua demonstrasi yang dibuat oleh UMNO, Perkasa dan kumpulan mana sekalipun yang merupakan penyokong kerajaan, semuanya selamat dari gangguan polis, malah kehadiran polis di tempat yang berkenaan adalah untuk menjaga dan melancarkan lagi perhimpunan. Pemuda UMNO dan Perkasa telah pun mengeluarkan kenyataan dan berikrar bahawa mereka akan mengerahkan penyokong-penyokong mereka bagi menghalang perhimpunan pada 9 Julai nanti walaupun akan berlaku pertembungan dan kekecohan.
Dalam masa yang sama, sudah berpuluh penyokong Bersih ditangkap oleh pihak polis di dalam kempen-kempen awal yang mereka jalankan dan dikaitkan dengan usaha menghidupkan semula fahaman komunis dan sebagainya. Premis-premis mereka diserbu dan digeledah serta polis telah bertindak melampau dengan menangkap tanpa sebab, sehinggakan sesiapa sahaja yang memakai baju Bersih ditangkap. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah pun mengisytiharkan ‘keharaman’ kemeja-T Bersih dan menegaskan bahawa polis akan mengambil tindakan ke atas orang ramai yang memakai baju tersebut kerana ia jelas ada hubung kait dengan perhimpunan haram tersebut [UM29/06/11].
Di antara isu utama yang timbul dalam perhimpunan
Bersih 2.0 ini adalah isu ‘perhimpunan haram’. Pihak polis bersungguh-sungguh memberi amaran dan menekankan bahawa perhimpunan nanti adalah perhimpunan haram kerana tidak ada permit, yang sepatutnya dimohon di bawah Akta Polis 1967. Manakala di pihak penganjur dan penyokong Bersih pula, mereka berhujah berdasarkan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan hak rakyat untuk berhimpun. Sekali lagi kita melihat bahawa kedua-dua pihak, walaupun majoritinya terdiri dari umat Islam, telah merujuk kepada undang-undang taghut untuk ‘mengesahkan’ atau ‘menghalalkan’ tindakan masing-masing. Sungguh menyedihkan apabila ulama dan gerakan Islam sekalipun tetap menyandarkan ‘kehalalan’ atau ‘keharaman’ perhimpunan ini berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, bukannya berdasarkan Al-Quran dan Sunnah yang sewajibnya menjadi nas untuk mengukur sesuatu perbuatan sama ada halal atau haram!
Hukum Demonstrasi
Secara amnya, kami telah pun menjelaskan hukum demonstrasi menurut Islam di dalam Sautun Nahdhah siri ke-71 (tahun 2006). Namun demikian, kami masih tetap berusaha untuk mengingatkan para pembaca sebagai saudara sesama Muslim dan menambah sedikit lagi perbincangan mengenainya. Adalah amat penting untuk kita fahami bahawa memuhasabah penguasa adalah satu kewajiban di dalam Islam, dan tanggungjawab ini terletak di bahu setiap Muslim tidak kira lelaki atau wanita serta di mana sekalipun mereka berada. Allah SWT telah mewajibkan kepada pemerintah untuk memerintah berdasarkan Al-Quran dan Sunnah dan umat Islam pula diwajibkan mentaati ulil amri (pemerintah) selama mana mereka masih berpegang teguh dengan Al-Quran dan Sunnah. Namun apabila mereka telah menyimpang dari keduanya, maka sabda Nabi SAW,