Konsisten Dalam Kebenaran (Part 2)

Melarang Tampil dan Menyerukan (Dakwah) secara Terbuka

Imam Bukhari telah meriwayatkan sebuah hadis yang panjang, dari ‘Aisyah ra. Ia berkata: “…Kaum Quraisy tidak menghiraukan jaminan Ibnu Daghanah. Mereka berkata kepada Ibnu Daghanah, ‘Perintahkanlah Abu Bakar untuk menyembah Tuhannya di rumahnya, dia boleh solat di rumahnya, dan membaca apa sahaja sesuka hatinya. Dengan seperti itu, dia tidak akan menyakiti kita sedikit pun. Katakanlah kepadanya, agar jangan tidak memperlihatkan ibadahnya itu, kerana kami khuatir tentang kaum wanita dan anak-anak kami akan terpesona. Kemudian Ibnu Daghanah pun menyampaikan permintaan kaum Quraisy itu kepada Abu Bakar. Abu Bakar tidak dapat berbuat apa-apa. Lantas ia beribadah kepada Allah hanya di rumahnya dan tidak menzahirkan solat dan membacakan al- Quran di luar rumahnya. Tetapi setelah itu, Abu Bakar mempunyai keinginan untuk membina masjid di halaman rumahnya. Akhirnya dia pun solat dan membaca al-Quran di masjidnya itu. Apa yang dilakukan oleh Abu Bakar ini berjaya memikat kuam wanita dan anak-anak Quraisy. Mereka kagum ketika melihat Abu Bakar sedang beribadah di masjidnya. Abu Bakar adalah seorang lelaki yang kerap menangis, ia tidak mampu manahan air matanya ketika membaca al-Quran. Maka para pembesar Quraisy pun terkejut kerananya. Kemudian mereka memanggil Ibnu Daghanah, dan dia (Ibnu Daghanah) pun datang memenuhi panggilan tersebut. Mereka berkata, ‘Sesungguhnya kami membiarkan Abu Bakar kerana jaminanmu bahawa dia akan beribadah kepada Tuhannya di rumahnya saja, tapi dia telah melanggarnya. Dia membina masjid di halaman rumahnya, kemudian secara terang-terangan solat dan membaca al-Quran di masjidnya itu. Kami sangat khuatir isteri-isteri dan anak-anak kami tergoda olehnya. Cegahlah dia! Jika dia memilih untuk menyembah Tuhannya di rumahnya, maka biarkan dia melakukannya. Tapi jika dia menolak dan tetap akan menyembah Tuhannya secara terang-terangan, maka tariklah semula jaminanmu terhadapnya. Kerana kami tidak ingin mempermalukanmu, dan kami tidak mengizinkan Abu Bakar beribadah secara terang-terangan….’”

Melempar dengan Batu

Ibnu Hibban dan Ibnu Huzaimah telah meriwayatkan hadis di dalam kitab sahihnya, dari Thariq al-Muharibi, ia berkata; Aku melihat Rasulullah SAW melalui pasar Dzil Majaz. Ia memakai jubah berwarna merah. Beliau bersabda: Wahai manusia, katakanlah La Illaha Illallah, nescaya kalian akan bahagia. Pada saat itu, ada seorang lelaki yang mengekori Rasulullah SAW sambil melemparkan batu kepada baginda. Akibatnya tumit dan betis baginda berdarah. Orang itu berkata, “Wahai manusia, jangan kalian mengikutinya kerana dia adalah seorang pendusta.” Aku berkata, “Siapa orang itu?” Mereka berkata, “Ia adalah anak muda dari bani Abdil Muthalib.” Aku berkata lagi, “Lalu siapa orang yang mengikutinya sambil melemparinya dengan batu?” Mereka berkata, “Abdul Uzza”, Abu Lahab.

Melempar Kotoran, seperti Najis (Tahi) Unta dan Lainnya

Imam Al-Bukhari telah meriwayatkan dari Abdullah ra., ia berkata; Ketika Nabi SAW sedang sujud dan di sekitarnya terdapat sekelompok orang Quraisy, datanglah Uqbah bin Abi Mu’ith dengan membawa najis unta yang telah disembelih, lalu melemparkannya ke punggung Nabi SAW; maka Nabi tidak mengangkat kepalanya. Kemudian Fatimah datang dan mengambil kotoran (najis) itu dari punggung Nabi SAW. Baginda membiarkan apa yang dilakukan orang-orang Quraisy itu kemudian bersabda: Ya Allah, binasakanlah segolongan orang Quraisy, iaitu Abu Jahal bin Hisyam, Uthbah bin Rabi’ah, Syaibah Ibnu Rabi’ah, Umayah

Ibnu Khalaf atau Ubay bin Khalaf, (dua nama yang terakhir dari hadis di atas merupakan keraguan dari perawi hadis ini). Abdullah berkata, “Di kemudian hari aku melihat mereka telah terbunuh dalam perang Badar. Mereka semua dilemparkan ke dalam sumur Badar kecuali Umayah atau Ubay. Tubuhnya telah terpotong-potong sehingga tidak dilemparkan ke sumur.” Ibnu Sa’ad telah meriwayatkan dalam ath-Thabaqat daripada ‘Aisyah ra., ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: Aku berada di antara kejahatan dua tetangga, iaitu Abu Lahab dan ‘Uqbah bin Abi Mu’ith. Keduanya suka membawa kotoran unta kemudian dilemparkannya ke pintu rumahku. Bahkan mereka (orang Quraisy) juga suka membawa sebahagian kotoran kemudian dilemparkannya ke rumahku.

Kemudian Rasul SAW keluar membawa kotoran itu seraya berkata, “Wahai bani Abdu Manaf, kejiranan seperti apakah ini?” Kemudian Nabi SAW melemparkannya ke jalan.

Berusaha Memijak Leher dan Menaburkan Tanah ke Wajah

Imam Muslim telah meriwayatkan dari Abu Hurairah, ia berkata; Abu Jahal pernah berkata, “Adakah wajah Muhammad telah ditabur dengan tanah di hadapan kalian?” Kemudian ada yang menjawab, “Benar.” Abu Jahal berkata, “Demi Latta dan Uzza, jika aku melihat hal itu, maka aku akan memijak lehernya atau aku akan menaburkan tanah ke wajahnya.” Abu Hurairah berkata, “Kemudian Abu Jahal mendatangi Nabi SAW, ketika baginda sedang solat. Ia berhajat untuk memijak leher Nabi SAW. Kejadian itu, tidak ada yang menghairankan mereka, kecuali pada saat mereka berjalan di belakangnya dan menahan tangannya, dan bertanya, ‘Apa yang terjadi padamu?’ Abu Jahal berkata, ‘Antara aku dan Muhammad benar-benar ada parit api dan makhluk yang menakutkan, yang dipenuhi dengan sayap-sayap”. Rasulullah SAW bersabda: Andai kata (Abu Jahal) mendekatiku, maka sudah pasti anggota tubuhnya akan disambar oleh Malaikat satu persatu.

Penyiksaan Tanpa Diceritakan Caranya

Adz-Dzahabi meriwayatkan dalam at-Tarikh, al-Baihaqi dalam asy-Sya’bi, Ibnu Hisyam dalam as-Sirah, dan Ahmad dalam Fadhail Shahabah dari Urwah, ia berkata; Ketika Bilal sedang diseksa dan mengatakan Ahad, Ahad, Waraqah Bin Naufal berjalan melewatinya, sambil berkata: Ahad, Ahad, Allah! wahai Bilal. Kemudian Waraqah menemui Umayah bin Khalaf dan orang-orang dari Bani Jamuh yang telah menyiksa Bilal. Ia berkata; Umayah berkata, “Aku bersumpah dengan nama Allah, jika kalian membunuhnya dalam keadaan seperti itu, maka aku akan menjadikannya sebagai orang yang sentiasa dikenal.” Itulah yang terjadi, hingga suatu hari datanglah Abu Bakar ash-Shiddiq bin Abi Kuhafah tatkala mereka sedang menyiksa Bilal. Rumah Abu Bakar berada di perkampungan Bani Jamuh. Abu Bakar berkata kepada Umayah, “Kenapa engkau tidak takut kepada Allah ketika menyiksa orang miskin ini? Sampai bila engkau akan menyiksanya?”

Umayah berkata, “Engkaulah yang telah merosakkan orang ini, kerana itu selamatkanlah dia dari apa yang engkau lihat ini.” Abu Bakar berkata, “Baik, aku akan melakukannya. Aku mempunyai seorang hamba sahaya berkulit gelap yang lebih tegap dan lebih kuat memegang agamamu berbandingnya. Aku serahkan hamba tersebut kepadamu sebagai pengganti Bilal.” Umayah berkata, “Aku terima.” Abu bakar berkata, “Ya, hamba itu untukmu.” Maka Abu Bakar memberikan hambanya kepada Umayah, lalu mengambil Bilal dan memerdekakannya. Sebelum berlaku hijrah, Abu Bakar telah memerdekakan enam orang hamba bersama Bilal kerana (masuk) Islam.

Bilal adalah yang ketujuh, manakala yang lain adalah Amir bin Fuhirah, yang ikut serta di dalam perang Badar dan Uhud. Dia syahid di Bir Ma’unah. Umu ‘Ubays dan Zinirah, Al-Hakim telah mengeluarkan sebuah hadis di dalam kitab al-Mustadrak, ia berkata, “Hadis ini sahih, dan memenuhi syarat Muslim”, adz- Dzahabi menyetujuinya di dalam kitab at-Talkhish dari Jabir, sesungguhnya Nabi SAW menghampiri Amar dan keluarganya yang sedang diseksa. Kemudian Rasul SAW bersabda: Bergembiralah wahai keluarga Amar dan keluarga Yasir, sesungguhnya tempat yang dijanjikan kepada kalian adalah syurga. Imam Ahmad telah meriwayatkan dengan isnad yang perawinya terpercaya dari Utsman ra., ia berkata, aku datang bersama Rasul SAW, saat itu Beliau memegang tanganku. Kami berjalan-jalan di Batha hingga beliau mendatangi keluarga Amar yang sedang diseksa. Abu Amar berkata, “Wahai Rasulullah!,

Adakah seperti ini?” Kemudian Rasulullah SAW bersabda: Bersabarlah! Kemudian beliau bersabda, “Ya Allah, ampunilah keluarga Yasir! (Yasir berkata,) “Aku akan tetap bersabar”

Penyekatan Makanan

Ibnu Hibban telah mengeluarkan satu hadis dalam kitab Sahihnya; dari Anas, ia bekata; Rasulullah SAW bersabda: Aku telah diseksa kerana Allah, dan tidak ada seorang pun yang dianiaya. Aku telah diugut kerana Allah, dan tidak ada seorang pun yang diugut. Aku telah diboikot selama tiga hari tiga malam, dan aku tidak melihat makanan sedikit pun kecuali yang tersembunyi di bawah ketiak Bilal. Ibnu Hibban juga telah mengeluarkan dalam kitab Sahihnya, al- Hakim dalam al-Mustadrak, ia berkata, “Hadis ini sahih memenuhi syarat Muslim”, adz-Dzahabi menyetujui dalam kitab at-Talkhish dari Khalid bin Umair al-Adawiy, ia berkata; Atabah bin Gazwan telah berkhutbah di hadapan kami, ia memuji Allah kemudian berkata, “…Aku telah melihat diriku, dan aku termasuk yang ketujuh dari tujuh orang yang bersama Rasulullah SAW Kami tidak mempunyai makanan sedikit pun kecuali dedaunan pohon, hingga permukaan bibir kami terluka. Aku memungut satu kain kemudian memotongnya menjadi dua antara aku dan Sa’ad bin Abi Waqas, yang dikenal dengan julukan penunggang kuda Islam. Kemudian aku memakai setengah kain itu dan Sa’ad pula memakai setengahnya lagi. Pada hari ini, tidak ada seorang pun di antara kami yang hidup kecuali menjadi amir (pemimpin) di sebuah wilayah. Aku berlindung kepada Allah agar tidak menjadi besar di dalam diriku tapi kecil di hadapan Allah…”

Adamaya Just Crossed My Mind, but New Blogger was Here..

Berkuatkuasa pada 8hb Mei 2010 hingga setengah hari 9hb Mei 2010, saya ditugaskan menjadi kakak terbaik buat adik-adik saya yang comel lagi manis. Seterusnya, saya akan membiarkan mereka di rumah dengan pantauan datuk nenek sehingga mummy and daddy berada di rumah pada keesokan harinya.

Penerangan di atas sekadar memaklumkan kepada anda bahawa saya online for blogging about 2 hours non stop. Saya jalan-jalan ke pelbagai jenis blog dan kesemuanya adalah blogspot.com. Actually, dari denaihati.com sebab ternampak contest. Dari situ, saya klik link-link blog yang ada, untuk menambahkan kenalan alam maya dan juga menambah ilmu pengetahuan terutamanya dalam dunia blog. After saya join gengblogger, ramai blogger yang jengah ke sini and give some comment here.

Why Adamaya? Sebab sekarang nih 'demam' Adamaya dengan OST I Am Not Single yang dimainkan di satu blog nih. But this is not an entry about Adamaya but it is for pemilik blog ini sebab menghargai Wanita Mustanir di arena blog yang baru setahun jagung. Terkejut juga saya masa tuh. Saya blogwalking untuk mencari idea, tiba-tiba baca entri ini ada nama WM. So, macam terkejut jugalah kan? =D


Kalau nak dibandingkan dengan pemberi award ini, saya bukanlah dikira new blogger because saya mula berblog starting Disember 2008. Dah setahun setengah. Tapi sebab baru mula dikenali, kiranya new blogger jugalah ye. hehe.

Di sini ada satu pengumumam.

Anda inginkan Acer Aspire One dengan PERCUMA? Sila lawat sini ye. Selamat melihat dan mencuba. =) "Hidup Untuk Memberi."

Penyelesaian Kes Aminulrasyid : Polis Bukan Pembunuh Berlesen

Sumber : Sini
Nota : Sila klik ayat atau tulisan yang di'highlight'  oren jika anda telah membacanya. 

Jika sebelum ini saya ada menceritakan tentang kegembiraan di zaman kanak-kanak saya, di sini saya kongsikan akan kesinambungan persoalan saya tentang keamanan Malaysia. Umum mengetahui ramai yang tidak berpuas hati dengan pihak berkuasa polis dalam membanteras sesuatu jenayah atau apa-apa kes yang melibatkan polis.

Terbaru kes kematian adik Aminulrasyid yang ditembak oleh polis kerana didakwa ahli kumpulan samun. Di sini ada beberapa kenyataan oleh pelbagai lapisan masayarakat ; a) Keadilan Buat Aminulrasyid dan b) Kenyataan Media GAMIS.

Untuk penerangan lanjut, sila buka minda anda dengan pemikiran yang jernih akan isu ini. Semoga anda sendiri menyedari mengapa kes sebegini berlaku dan ia melibatkan pihak berkuasa polis.

POLIS BUKAN PEMBUNUH BERLESEN!

[SN218] “Kereta polis terus mengejar kami sehingga ke stesyen Minyak Caltex Seksyen 11 dan saya terdengar tembakan bertubi-tubi dan mengenai tayar belakang kereta menyebabkan kereta yang dipandu Aminulrasyid terhoyong-hayang tapi masih dapat dikawal. Dan semasa saya terdengar tembakan kali terakhir, ia terkena pada kepalanya menyebabkan dia jatuh di atas riba saya dan saya nampak bahagian belakang kepalanya berlubang dan berdarah. Setelah kereta terbabas dan melanggar tembok, saya cuba keluar dan ingin menyerah diri, tetapi diterajang oleh polis di badan dan kepala saya, namun saya sempat melarikan diri.” Inilah sebahagian dari kenyataan Azamuddin Omar, 15, saksi utama kes kematian Aminulrasyid Amzah, semasa menceritakan detik-detik cemas kereta yang dinaikinya ditembak bertubi-tubi oleh polis sehingga menyebabkan kematian kawannya itu, sekitar jam 2.00 pagi 26 April lalu di Seksyen 11, Shah Alam.

Gempar seluruh negara dengan kisah terbaru keganasan polis ke atas orang awam ini, apatah lagi ia melibatkan seorang remaja. Siapa yang tidak terkejut dan sakit hati mendengar berita sebegini, apatah lagi dalam keadaan orang ramai yang sememangnya tidak berpuas hati terhadap polis dengan pelbagai ‘karenah’ pihak yang paling berkuasa di Malaysia itu. Kalau pun remaja berkenaan tidak mempunyai lesen dan memecut laju, persoalannya, apakah perbuatan ini wajar dibalas oleh polis dengan tembakan bertubi-tubi dari arah belakang? Pihak polis walaupun berjanji untuk menjalankan siasatan dengan telus dan terbuka, namun dalam masa yang sama tetap cuba ‘membela’ anggotanya dalam kejadian ini dan menasihatkan orang ramai agar tidak prejudis dengan pihak polis. Usaha polis, khususnya Ketua Polis Negara sendiri yang cuba mempertahankan tindakan anggotanya yang jelas-jelas telah menembak mati remaja berkenaan, hanyalah menambah kemarahan orang ramai terhadap sikap polis. Faktanya, Aminulrasyid telah mati ditembak oleh polis hanya kerana memecut kereta yang dipandunya dan memintas kereta peronda polis.

Nampaknya kisah polis menembak orang awam kebelakangan ini semakin menjadi-jadi. Sebelum ini polis menembak mati seorang pemuda yang mengamuk, Mohd Taufiq Norzan, 21, di Kampung Guar Sanji, Arau, Perlis. Kejadian yang berlaku pada 15 November 2009 sekitar 8.15 pagi di Tapak Pasar Sehari Guar Sanji itu dikatakan berpunca dari rasa marah pemuda berkenaan terhadap rakan-rakannya yang meninggalkannya seorang diri dan terpaksa pulang dengan berjalan kaki dari Alor Setar ke rumahnya sejauh lebih kurang 50-60km. Dia akhirnya panas baran dan mengamuk lalu ditembak oleh polis. Rakyat juga tidak akan lupa kes polis melepaskan tembakan menggunakan peluru hidup yang terkena dua orang pemuda di Batu Buruk, Terengganu pada 8 September 2007 ketika mereka ingin menghadiri satu ceramah. Aswandi, salah seorang mangsa terpaksa dikejarkan ke hospital dan menjalani pembedahan selama 4 jam untuk mengeluarkan peluru dari badannya. Kes ini adalah antara yang ‘bernasib baik’ kerana mangsanya masih hidup dan dapat menceritakan sendiri apa yang berlaku.

Begitu juga dengan kes yang agak baru di mana mangsa masih hidup dan dapat menceritakan keganasan polis ke atas dirinya dan rakannya. Pada awal pagi 30 Oktober 2009, Norizan Salleh telah ditembak polis ketika berada dalam kereta dan ditendang sehingga patah dua tulang rusuknya semasa merangkak keluar dari kereta, dengan darah yang mengalir dari tubuhnya. Menurut Norizan, polis mula menembak sebelum mereka sempat berhenti. Peluru menembusi kereta mereka, malah lima tembakan dilepaskan ke arah dirinya, dengan salah satu terkena pada dada, sehingga darah mengalir tanpa henti. Setelah keretanya berhenti, pintu kereta dibuka dan polis menghalakan pistol ke arahnya. Wanita yang tidak bersenjata ini meminta tolong, tetapi dibalas pula dengan tendangan polis. Beliau merangkak keluar dan ditendang oleh polis yang sama, sebelum dipijak belakangnya, yang berakhir dengan retaknya dua tulang rusuknya. Dengan bantuan dari parti pembangkang dan juga peguam, Norizan berjaya menyerahkan memorandum kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebanyak dua kali, namun tidak ada respons hingga kini. Memorandum yang sama sebelumnya telah diserahkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan di Bukit Aman pada 4 Februari lalu dan selepas itu ke Suhakam pada 11 Februari [harakahdaily.net].

Selain dari berita-berita tembakan langsung oleh polis terhadap orang awam yang masih tidak diketahui apa kesalahannya, kita juga sering dikejutkan dengan kes-kes kematian suspek yang berada di bawah ‘jagaan’ polis. Secara rasmi, tercatat sebanyak 66 kematian direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kalangan tahanan pasukan itu sejak 2005 hingga Februari lalu. Hishammuddin berkata, 46 daripada kes kematian dalam tahanan polis disebabkan penyakit. Sementara itu, katanya, 19 kes kematian lagi berpunca daripada tindakan seperti bergaduh dan menggantung diri manakala satu lagi kes disebabkan penggunaan kekerasan [UM14/04/10].

Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, semasa menjawab soalan Lim Kit Siang dalam salah satu sidang Parlimen menyatakan, sepanjang tahun 1990 sehingga 2004 seramai 150 orang telah mati dalam lokap/tahanan polis. Menurut Abdullah, punca kematian adalah HIV (31 kes), Asma (8), sakit jantung (3), lain-lain penyakit (60), bunuh diri (33), bergaduh sesama OKT (5), pendarahan otak (3), lari dari tahanan (6) dan tergelincir dari bilik lokap (1) [www.dapmalaysia.org]. Dari data rasmi yang dikemukakan, kita sungguh hairan melihat ‘cara/punca’ kematian tahanan-tahanan tersebut kerana sebahagian besar dari mereka mati akibat penyakit. Nampaknya kebanyakan dari ‘penjenayah’ di Malaysia adalah terdiri dari mereka yang tidak sihat dan menghidapi pelbagai jenis penyakit dan penyakit mereka menjadi semakin serius apabila berada di dalam tahanan polis sehingga mereka mati kerananya. Juga, sungguh menakjubkan kerana sebahagian mereka berjaya mencari jalan untuk ‘membunuh diri’ dalam lokap yang serba kekurangan itu. Selain itu, mereka juga suka bergaduh sesama sendiri dan polis yang menjaga atau menyaksikan tahanan yang bergaduh itu tidak berbuat apa-apa untuk meleraikan mereka sehingga ada yang terus mati kerana pergaduhan. Apapun, dari data-data yang dikemukakan kerajaan, jelas menunjukkan bahawa pihak polis tidak bersalah!

Dari paparan berita oleh media massa, rakyat kini sudah tidak lagi berasa aman dengan polis. Polis yang sepatutnya melindungi rakyat dan menjaga keamanan, namun realitinya telah menimbulkan ketakutan dan kegusaran kepada rakyat. Semua ini menjadikan imej polis bukan sahaja tercalar, malah telah terkoyak rabak kerana keganasan yang dilakukan oleh mereka ke atas rakyat. Berdasarkan statistik, ia bukan lagi persoalan seekor kerbau terpalit lumpur, malah beratus-ratus ekor kerbau kini sudah memalitkan diri mereka dengan lumpur. Ironinya, tidak ramai anggota polis yang didakwa atas salahlaku mereka, dan jika ada yang didakwa sekalipun, mereka sering didapati tidak bersalah dan akhirnya dibebaskan oleh mahkamah. Banyak peristiwa, baik yang disaksikan di depan mata mahupun yang dilapor, menunjukkan bahawa undang-undang itu berada di tangan polis. Pihak polis seolah-olah ‘kebal’ dari segala tindakan undang-undang kerana merekalah ‘undang-undang’. Maka wajarlah sekiranya rakyat tidak berpuas hati dan membenci polis sehingga ramai pihak yang menempelak bahawa PDRM (Polis Di Raja Malaysia) hakikatnya adalah PRDM (Polis Raja Di Malaysia)!

Penyelesaian Masalah Menurut Islam

Keluarga mangsa dan juga YB Khalid Samad selaku ahli Parlimen Shah Alam yang tidak berpuas hati dengan kematian Aminulrasyid menuntut kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Bebas bagi menangani kes ini. Namun kerajaan hanya menubuhkan sebuah panel khas yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop. Bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar dan tiga bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) adalah antara enam pakar yang dilantik menganggotai panel khas tersebut bagi memantau siasatan polis. Panel itu turut dianggotai pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Datuk Abd Halim Sidek dan Ahli Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Kamal Affandi Hashim [BH 05/05/10]. Khalid menyifatkan panel lapan anggota yang ditubuhkan itu hanyalah sandiwara Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mencantikkan siasatan polis [harakahdaily.net].

Kita akui memanglah teramat sukar untuk menyelesaikan kes ini selama mana kita masih berada di bawah tempurung sistem pemerintahan sekular yang memisahkan agama dari kehidupan. Ibarat berada dalam sebuah rumah yang roboh dengan segala tiang, dinding dan bumbungnya sudah reput, mustahil ia dapat dibangunkan semula. Kita sesungguhnya memerlukan sebuah rumah yang baru dan sempurna sepenuhnya, barulah kehidupan baru dapat dijalankan dan semua masalah dapat diatasi. Justeru, bagaimanakah kita dapat menyelesaikan masalah ini dengan seadil-adilnya apabila bukan hukum Allah yang dijadikan pegangan? Sesungguhnya keadilan itu hanya wujud dan dapat dijalankan apabila hukum Allah itu berjalan. Kini, kesemua kes diselesaikan mengikut perundangan kufur yang sedia ada ataupun mengikut akal-akal manusia yang langsung tidak berpedomankan wahyu. Oleh itu, sudah barang pasti keadilan tidak akan dapat dicapai, walau ‘sepakar’ mana sekalipun manusia itu.

Tugas polis di dalam Islam adalah untuk menjaga sistem Islam, menjaga keamanan dalam negara dan melaksanakan seluruh aspek implementatif. Hal ini sesuai dengan hadis Anas bin Malik,

“Sesungguhnya Qais bin Saad di sisi Nabi SAW memiliki kedudukan sebagai ketua polis dan ia termasuk di antara para amir [HR Bukhari].

Imam at-Tirmidzi juga telah meriwayatkannya dengan redaksi,

“Qais bin Saad di sisi Nabi SAW berkedudukan sebagai ketua polis dan ia termasuk di antara para amir. Al-Ansari berkata, iaitu orang yang menangani urusan-urusan kepolisian”.

Hadis ini menunjukkan bahawa polis berada di sisi penguasa. Maksudnya polis berperanan sebagai kekuatan implementatif yang diperlukan oleh penguasa untuk menerapkan syariah, menjaga sistem Islam dan melindungi keamanan, termasuk melakukan kegiatan rondaan (patrol). Aktiviti rondaan itu adalah meronda untuk mengawasi dan menangkap pencuri atau orang yang berbuat kerosakan/kejahatan atau orang yang dikhuatiri melakukan kejahatan. Abdullah bin Mas‘ud bertindak sebagai ketua peronda pada masa Abu Bakar. Manakala Umar bin al-Khaththab melakukan rondaan sendiri dan kadang-kadang ditemani oleh Abdurrahman bin Auf.

Apa yang menjadi isu sekarang ialah ‘tindakan pelaksanaan’ oleh polis semasa menjalankan tugas di mana polis telah melepaskan tembakan bertubi-tubi sehingga mati ke arah orang yang memandu kenderaan dalam keadaan yang mencurigakan. Apakah ini dibenarkan oleh Islam? Walaupun kita bukanlah hakim yang ingin memutuskan kes ini, namun sebagai Muslim, kita hendaklah melihat kepada aspek fikrah (pemikiran) dan thariqah (metode) Islam dalam menyelesaikan setiap masalah, bukannya merujuk kepada undang-undang kufur yang ada pada hari ini. Di dalam Islam, segala urusan yang melibatkan persengketaan di antara Negara (Khalifah dan penjawat awam) dan rakyat, wajib diselesaikan oleh Qadhi/Mahkamah Mazhalim. Polis adalah di antara penjawat awam yang berada di bawah struktur pemerintahan negara sebagai pelaksana undang-undang (syariah).

Justeru, jika berlaku sebarang bentuk pelanggaran atau kezaliman oleh pihak polis mahupun penjawat awam lainnya, maka hal itu mesti dirujuk kepada Qadhi Mazhalim. Kata mazhalim berasal dari ‘zalim’ yang terdapat dalam hadis dari Anas yang mengatakan,

“Pada masa Rasulullah harga-harga melambung tinggi, lalu orang ramai mencadangkan kepada Rasulullah ‘Wahai Rasulullah, kenapa tidak harga ini engkau tetapkan saja.’ Kemudian baginda besabda ‘Sesunguhnya Allah-lah Yang Maha Mencipta, Maha Menggenggam, Maha Melapangkan, Maha Memberi Rezeki, yang berhak menetapkan harga ini. Dan aku mahu menghadap Allah Azza Wa Jalla tanpa seorang pun yang menuntut kepadaku kerana kezaliman yang telah aku lakukan terhadap dirinya, baik dalam hal darah atau harta.”

Islam menetapkan bahawa Qadhi Mazhalim mestilah seorang mujtahid kerana kedudukannya yang amat penting dan tugasnya yang amat berat (yakni) menyelesaikan persengketaan di antara negara (termasuk Khalifah sendiri) dengan rakyat. Apa yang pasti, di dalam Islam tidak pernah wujud mahkamah sivil sebagaimana yang ada pada hari ini dan tidak perlu adanya sebuah suruhanjaya mahupun panel khas untuk menyelesaikan persengketaan atau tindakan kezaliman dari pemerintah (dan kakitangan pemerintah) terhadap rakyat.

Hadis di atas menunjukkan bahawa apabila tindakan seseorang penguasa menyimpang dari ketentuan yang hak atau menyimpang dari hukum-hukum syarak (baik dalam masalah darah atau harta), maka tindakan itu adalah sebuah kezaliman. Demikian juga halnya dengan tugas-tugas penguatkuasaan pemerintahan atau pentadbiran yang dilakukan oleh penjawat-penjawat awam, apabila tindakan mereka menyimpang dari ketentuan yang hak ataupun bertentangan dengan hukum-hukum syarak, maka sudah semestinya tindakan tersebut adalah sebuah kezaliman, atau dengan kata lain termasuk perkara yang mesti diadili oleh Mahkamah Mazhalim. Dari sinilah para ulama mengambil istilah Qadhi Mazhalim dan seterusnya menetapkan bahawa ini adalah af’al (perbuatan) yang telah dilakukan oleh Nabi SAW dan ianya menjadi kewajipan ke atas umat Islam untuk mengikutinya. Pengadilan Mazhalim pada masa Rasulullah telah diselesaikan oleh baginda sendiri. Perkara yang sama juga dilakukan oleh khalifah-khalifah selepasnya sehinggalah ke zaman pemerintahan khalifah Abdul Malik bin Marwan [lihat Ajhizah Daulah al-Khilafah Fi al-Hukum wa Al-Idarah, Hizbut Tahrir].

Inilah cara penyelesaian yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW bagi kes-kes seumpama ini di mana wajib ada sebuah Mahkamah Mazhalim yang menjadi tempat aduan rakyat dan tempat untuk meluruskan salahlaku atau kezaliman pemerintah dan orang-orang bawahannya ke atas rakyat. Mahkamah Mazhalimlah yang berhak menjatuhkan keputusan terhadap kezaliman-kezaliman tersebut setelah kes tersebut dibicarakan mengikut ahkamul bayyinat (hukum-hukum pembuktian) di dalam Islam. Sesungguhnya keadilan Islam ini hanya akan dapat kita jalankan apabila Daulah Khilafah berdiri dan menaungi kita semua.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Kita wajib berusaha mengganti sistem yang buruk ini kepada sistem Khilafah. Kita telah dan sedang menyaksikan pihak yang sepatutnya menjaga keamanan malah sebaliknya menjadi pihak yang menimbulkan ketakutan dan ketidaktenteraman. Kita tidak akan mempersoalkan pihak polis jika mereka benar-benar bertindak menjaga keamanan dan kesejahteraan rakyat, tidak terlibat dengan rasuah, penyelewengan kuasa atau lain-lain bentuk kejahatan. Kita bersyukur jika mereka benar-benar menjalankan tanggungjawab mereka menurut Islam. Namun yang menjadi persoalan kita adalah apabila melihat terlalu banyak kejadian yang tidak dapat dinafikan di mana pihak polis menembak orang awam dan menyeksa tahanan sehingga mati. Lebih buruk, apabila anggota polis yang terlibat terlepas dari sebarang hukuman, yang menggambarkan seolah-olah polis adalah sebagai pembunuh berlesen! Sampai bilakah polis mahu sedar bahawa tugas mereka sebenarnya adalah tugas yang mulia, sekiranya mereka menjadi pelaksana kepada hukum Allah dan Rasul. Namun ia menjadi satu tugas yang hina apabila mereka menjadi pelaksana dan penjaga kepada undang-undang kufur, menjadi penjaga, pak turut dan penjilat penguasa yang zalim. Walaupun senjata api ada di tangan mereka, namun mereka hendaklah ingat bahawa api neraka Allah menanti mereka jika mereka menyalahgunakan senjata api mereka untuk membunuh manusia tanpa hak. Firman Allah,

“Dan barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah (neraka) Jahannam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka serta menyediakan azab yang besar baginya” [TMQ an-Nisa’ (4):93].
 

Copyright © 2013 | Wanita Mustanir | by Cik Bulat