Wanita Hijabista Fashionista vs Wanita Solehah

Pengeluaran majalah Hijabista telah berada di pasaran sejak 5 bulan yang lalu. Edisi pengenalan keluaran April 2012 memaparkan Diana Amir sebagai penghias muka depan. Hijabista mungkin menjadi rujukan buat para pemakai tudung. Ini adalah roda kehidupan wanita hijabista untuk mengikut trend terkini cara pemakaian tudung supaya lebih menarik tetapi sopan. Apa yang menjadi kesalahan kepada wanita hijabista fashionista atau singkatannya hijabishion??


Wanita, Kekeliruan Dan Tipu Daya Yahudi

Umat Islam yakin bangsa Yahudi dan Nasara adalah dua bangsa yang disebut dalam Ummul Kitab sebagai masing-masing bangsa yang dimurkai dan bangsa yang sesat. Mereka adalah musuh yang nyata kepada umat Islam.  Persoalannya, adakah umat Islam menyedari bahawa Yahudi dan Nasara senantiasa memasang perangkap untuk menjerat umat Islam dalam segenap aspek kehidupan? Antara golongan yang amat mudah terpedaya dan masuk ke perangkap mereka adalah wanita.

Wanita Dan Kekeliruan Gaya Berpakaian

Aspek yang amat ketara dipengaruhi oleh Yahudi dan Nasara dalam kehidupan seorang Muslimah adalah gaya berpakaian.  Bermula dari umur kanak-kanak hingga ke umur remaja, anak-anak perempuan Islam didedahkan dengan cara berpakaian yang fashionable dan amat mengelirukan. Tuntutan berpakaian menutup aurat untuk anak-anak perempuan yang telah mencapai umur baligh difahami dengan fahaman yang literal iaitu sekadar menutup tubuh.  Justeru, berpakaian apa saja adalah dibenarkan asalkan menutup tubuh sedangkan tuntutan berpakaian untuk Muslimah adalah berpakaian menutupi aurat (menepati syarak) dan ini termasuklah memakai pakaian yang tidak menampakkan bentuk tubuh seseorang wanita. Dengan kata lain, memakai seluar sama ada jeans atau slack, ketat atau baggy adalah haram bagi wanita Islam walaupun ia menutup tubuh tetapi tidak menutup aurat, kerana pakaian tersebut menampakkan bentuk peha dan bentuk betis seseorang wanita. Dalam hal ini Allah SWT berfirman:

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani " [TMQ al-Ahzab (33):59].

Dari ayat ini jelas sekali Islam telah menggariskan kod pakaian khusus untuk wanita Islam apabila berada di tempat umum.  Begitu juga dengan kewajipan khimar (tudung) di mana Allah SWT berfirman,

“Katakanlah kepada wanita yang beriman, ‘Hendaklah mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka  dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) tampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup kain tudung mereka ke dada dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami merek, atau putera-putera mereka atau putera-putera suami mereka atau saudara-saudara lelaki mereka atau putera-putera saudara lelaki mereka atau putera-putera saudara perempuan mereka atau wanita-wanita Islam atau hamba-hamba yang mereka miliki atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu beroleh kemenangan” [TMQ An-Nur (24):31].

Berkenaan hal yang sama, Rasulullah SAW bersabda,

“Akan muncul di kalangan umatku di akhir zaman, kaum lelaki yang menunggang sambil duduk di atas pelana, lalu mereka turun di depan pintu-pintu masjid. Wanita-wanita mereka (isteri mereka atau anak perempuan mereka), berpakaian tetapi seperti bertelanjang (nipis dan ketat). Di atas kepala mereka pula (wanita) terdapat bonggolan (sanggul atau tocang) seperti bonggol unta yang lemah gemalai. Oleh itu laknatlah mereka semua. Sesungguhnya mereka adalah wanita-wanita yang terlaknat” [HR Ahmad].

Jika difahami dengan benar, kedua-dua ayat dan hadis di atas menggariskan tentang cirri-ciri khimar/tudung yang wajib dikenakan oleh Muslimah apabila berada di tempat umum.  Malangnya pada hari ini, ramai Muslimah yang membelakangkan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam, atas nama fesyen. Inilah kefahaman salah yang menjerat wanita Islam hari ini.  Bertudung dengan penuh gaya, di bahagian leher diketatkan dan di bahagian belakang kepala sengaja ditinggikan untuk menampakkan “bonggol unta”.  Mereka menamakan ini sebagai fesyen atau trend terkini dalam bertudung. Namun tanpa disedari fesyen tersebut persis seorang nun (biarawati Kristian), kalau pun berbeza cuma warnanya sahaja.

Alasan utama kenapa wanita Islam begitu tegar memilih untuk berfesyen, tidak lain kerana mereka tidak mahu kelihatan jumud (ketinggalan/outdated). Mereka mendakwa bahawa berpakaian menepati kehendak syarak sebagai jumud, sukar untuk bergaul dan bersosial, sukar diterima bekerja di sektor-sektor tertentu dan seumpamanya lagi.  Natijahnya hukum Islam diketepikan, pandangan atau ukuran manusia diutamakan. Malah, lebih malang apabila wanita Islam tidak merasakan perkara tersebut sebagai suatu pelanggaran hukum yang telah ditetapkan oleh Allah. Inilah antara perangkap yang dipasang oleh Yahudi dan Nasara yang tidak disedari oleh wanita Islam.  Mereka (Yahudi dan Nasara) telah berjaya mencetuskan pendapat umum di kalangan umat Islam bahawa berfesyen di kalangan wanita Islam bukanlah suatu kesalahan.

Kelicikan tipu daya Yahudi dan Nasara diperkuatkan dengan menampilkan figur-figur tertentu dalam masyarakat yang menjadi contoh dan idola para wanita.  Bukan calang-calang figur yang menjadi duta tajaan musuh Allah ini.  Mereka adalah orang ternama dalam masyarakat, terkenal dengan ciri-ciri seorang ilmuan Islam, fasih bertutur bahasa al-Qur’an, malah ada juga di kalangan mereka yang berstatus hafizah.  Hal ini justeru membuatkan wanita Islam cenderung untuk memilih jalan singkat dengan meniru idola kesukaan mereka tanpa berfikir lebih lanjut.  Sementelah sifat semula jadi wanita memang sukakan kecantikan, keanggunan dan penampilan yang berbeza, maka sering sahaja Muslimah terjerumus ke dalam jurang. Mereka menyangka bahawa mereka telah mematuhi kehendak syarak, namun ternyata jauh panggang dari api dan mereka sebenarnya telah termasuk ke dalam perangkap. Keadaan ini telah diungkapkan oleh Allah SWT melalui satu perumpamaan,

“Dan bagi orang-orang kafir, amal-amal mereka adalah laksana fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga tetapi bila didatangi air itu, dia tidak mendapatkan sesuatu apa pun." [TMQ An-Nur(24):39]

Wanita, Kosmetik dan Perhiasan

Suatu yang sinonim dengan wanita adalah kosmetik atau solekan. Lumrahnya, wanita suka bersolek dan ingin kelihatan cantik. Dalam membicarakan tentang kosmetik, jerat Yahudi dan Nasara yang menanti wanita sebenarnya datang dari pelbagai sudut, bermula dari pembuatan kosmetik sehinggalah kepada pemasarannya. Sama ada sedar atau tidak, wanita telah dieksploitasi secara sepenuhnya untuk industri kosmetik ini.

Kebanyakan wanita sengaja membiarkan diri mereka dikelirukan oleh gaya hidup sekular hari ini. Bersolek sebelum keluar bekerja atau sebelum ke mana-mana majlis telah menjadi satu rutin yang diterima umum. Ironinya segala hukum Islam tentang tabarruj diketepikan malah dihilangkan terus dari pemikiran mereka. Dalam hal berhias dan bersolek ini, sesungguhnya Islam telah memberi garis panduan lengkap kepada wanita agar mereka tidak terjerumus ke dalam api neraka. Antaranya Rasulullah SAW bersabda,

“Seorang wanita yang memakai minyak wangi lalu (berjalan) melalui di tengah-tengah orang ramai dengan maksud agar mereka menghidu bau harumnya maka wanita itu adalah pelacur” [HR An-Nasa’i].

Allah SWT berfirman,

“Janganlah kamu berhias diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliah zaman dahulu” [TMQ al-Ahzab (33):33].

Khatimah


Wahai Muslimah! Ingatlah pesan Rasulullah SAW,

“Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah seorang wanita yang sentiasa mengingatkan suaminya tentang hari akhirat” [HR Muslim].

Seorang Muslimah yang memahami tujuan hidupnya yakni semata-mata untuk meraih redha Allah, adalah seorang wanita yang berdiri di atas haq (kebenaran). Seorang Muslimah sejati adalah individu yang memahami bahawa hidupnya wajib terikat dengan hukum syarak secara keseluruhan. Dia tidak akan melakukan sesuatu mengikut hawa nafsu semata-mata. Seorang Muslimah sejati juga adalah wanita yang sentiasa memikirkan urusan umat Islam dan menjalankan peranannya dalam mewujudkan sistem Islam dan Negara Islam untuk mengatur seluruh urusan manusia dengan apa yang diturunkan oleh Allah SWT.

1 comment:

  1. Mashallah. Syukran akak. Kebetulan tajuk FYP saya, awrah muslimah fashion vs modern musimah fashion :)

    ReplyDelete

Syukran for your nice comment. Please leave your comment again!!! (^_^)

 

Copyright © 2013 | Wanita Mustanir | by Cik Bulat