TV : Ancamannya Kepada Generasi Muslim

Dalam sistem kapitalisme, televisyen telah dijadikan media untuk merosakkan generasi dan menyebarkan budaya-budaya yang rendah. Rancangan-rancangan berbentuk infotainment di televisyen didapati telah melampaui batas. Berkenaan hal ini, Majlis Ulama Indonesia (MUI) telah meminta agar siaran seperti gosip diatur dengan lebih ketat, demikian yang dipetik daripada detikNews. Sebenarnya bukan itu sahaja yang mengancam kerosakkan sistem sosial pada hari ini. Beratus-ratus tayangan yang penuh dengan syahwat, mendedahkan aurat, tingkah laku murahan seperti pergaulan bebas sedang mengancam generasi Muslim.

"(Kami) Mendesak Jabatan Komunikasi dan Penyiaran (Depkominfo) agar melakukan penelitian berkaitan peningkatan rancangan infotainment, di mana keberadaannya mengancam keselamatan nasional," kata Timbalan Setiausaha Jawatankuasa Fatwa Majlis Ulama Indonesia (MUI), Asrorun Ni'am Sholeh melalui email yang diterima pada hari Jumaat baru-baru ini.

Rancangan-rancangan yang ditayangkan dalam bentuk hiburan atau yang dikenali sebagai infotainment telah bertukar menjadi rancangan yang boleh meruntuhkan institusi rumahtangga serta generasi Muslim pada ketika ini.

"Bahkan kebanyakan rancangan tersebut mengandungi gosip yang menjurus kepada fitnah. Jika infotainment diteruskan dengan format seperti ini, maka infotainment boleh membahayakan kestabilan bangsa yang bermula daripada kerosakan keluarga," kata Ni'am yang juga bergelar Doktor dalam bidang undang-undang syariah.

Menurut beliau , pemberita atau wartawan mempunyai tanggungjawab untuk mendidik masyarakat dengan nilai-nilai moral dan kesopanan serta menghargai peribadi (privacy) seseorang melalui perlindungan hak asasi manusia.

"Berita yang ditulis seorang wartawan boleh mempunyai dua aspek, boleh menjadi pembaik dan boleh menjadi perosak hubungan masyarakat," tambah Ni'am yang juga pensyarah di Universiti Islam Negeri Jakarta ini.

Selain Depkominfo, Badan Penyiaran Indonesia (PWI) dan Dewan Akhbar juga disaran agar bertindak melakukan pengawalan.

"Jadi berita bukan saja mengeksploitasi keganasan, perzinaan, malah juga pertelingkahan,"kata beliau yang juga memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengajian Agama dan Sosial.

Sementara itu, Pengerusi Nahdatul Ulama, KH Hasyim Muzadi, menegaskan bahawa tayangan infotainment ghibah atau gosip hukumnya haram. Fatwa haram tersebut adalah berdasarkan keputusan Musyawarah Alim Ulama NU di Johor Bahru, bulan Julai tahun 2006 yang lalu.

Oleh sebab itu, Pengerusi Nahdatul Ulama mendesak supaya tayangan infotainment gosip dihentikan kerana rancangan-rancangan yang mendedahkan masalah peribadi dan keluarga orang lain boleh memberi kesan yang buruk bagi masyarakat.

"NU meminta agar tayangan infotainment di media dihentikan, kerana berita tersebut mendedahkan rahsia keluarga, serta melaga-lagakan hubungan antara ahli keluarga," kata Hasyim dalam temubual bersama beliau.

Sebenarnya bukan hanya tayangan infotainment yang harus dihentikan, malah ratusan tayangan yang tidak mendidik juga harus dihentikan dengan segera. Demikianlah, di dalam sistem kapitalisme, televisyen telah menjadi media yang utama untuk merosakkan generasi muda. Beberapa rancangan termasuk konsert, sinetron, rancangan realiti (reality show) banyak menampilkan perkara-perkara yang bertentangan dengan syariah yang mengancam generasi muda.

Tibalah masanya, sekularisme kapitalisme dibuang jauh-jauh dan bertukar kepada sistem syariah di bawah naungan Khilafah Rasyidah. Khilafah akan meletakkan media sebagai sumber pendidikan dan peningkatan kualiti sumber tenaga manusia, bukan seperti yang dilakukan dalam sistem kapitalisme sekarang ini.

Untukku, Untukmu dan Untuk Mereka

Amar makruf nahi mungkar merupakan salah satu ciri yang hanya boleh dijumpai pada kaum Muslimin, tidak ada pada umat-umat yang lain. Bahkan keistimewaan umat Islam banyak dicirikan dan dikaitkan dengan adanya sifat amar makruf nahi mungkar. Banyak ayat-ayat al-Quran yang menyebut tentang amar makruf nahi mungkar dan menggandingkannya serta mengaitkannya dengan sifat-sifat sebagai seorang Muslim, contohnya dalam surah Ali-Imran, ayat 110 yang bermaksud: “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan kepada manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah…”

Menurut ahli tafsir al-Qasimi dalam kitabnya Mukhtasar min Mahasini at-Ta’wil, sifat ‘amar makruf dan nahi mungkar’ ini menjadi keutamaan yang Allah berikan kepada umat Islam dan tidak diberikan kepada mana-mana umat yang lain.

Yang disebut sebagai makruf menurut timbangan syariat adalah setiap ‘iktikad (keyakinan), perbuatan (amal), perkataan (qaul), atau isyarat yang telah diperakui oleh asy-Syari’ (Allah) yang Maha Bijaksana dan diperintahkan sebagai bentuk kewajiban (wujub) ataupun suatu dorongan (nadb).’ (Dr. Muhammad Abdul Qadir Abu Faris, Amar Makruf Nahi Munkar, hlm. 19, Darul Furqan).

Oleh yang demikian, beriman kepada Allah SWT dan RasulNya, pada Hari Qiamat, syurga dan neraka, dan lain-lain adalah dianggap sebagai perkara yang makruf dan diperintahkan. Ia juga berkaitan dengan iktikad (keyakinan/keimanan). Perlaksanaan solat, puasa, zakat, haji, sedekah, berjihad fi sabilillah dan yang seumpama dengannya pula adalah tercakup dalam perbuatan-perbuatan (amal) yang makruf. Mengucapkan/melafazkan kata-kata yang haq (benar), memerintahkan untuk menjalankan kewajiban agama, dan melarang terjerumus dalam perkara-perkara yang diharamkan atau dosa, juga tergolong dalam perkara yang makruf.

Jadi makruf di sini bererti al-khair (kebaikan). Oleh itu, amar makruf bermaksud perintah atau dorongan untuk menjalankan perkara-perkara yang makruf (kebaikan) yang dituntut atau dorongan oleh akidah dan syariat Islam.

Sebaliknya yang dinamakan dengan mungkar menurut timbangan syariat Islam adalah ‘setiap iktikad (keyakinan/keimanan), perbuatan (amal), ucapan (qaul) yang diingkari oleh as-Syari’ (Allah) Yang Maha Bijaksana dan wajib dijauhi.’ (Abu Faris, hlm. 20, Darul Furqan).

Oleh yang demikian, syirik kepada Allah, percaya kepada ramalan bintang dan dukun, menyandarkan nasib pada mentera-mentera dan tangkal dan yang sejenis dengannya, adalah keyakinan yang mungkar. Begitu juga dengan meminum arak, berzina, mencuri, mengumpat, berdusta, bersaksi palsu, korupsi, rasuah, membunuh tanpa hak, meminta bantuan ketenteraan negara kafir untuk memerangi sekumpulan umat Islam, mengabaikan urusan rakyat, mengambil harta milik masyarakat (milik umum) tanpa kebenaran syariat, menjalankan hukum taghut (selain hukum Islam) adalah termasuk tindakan-tindakan mungkar.

Jadi mungkar di sini bererti ash-syarr (keburukan). Oleh kerana itu, nahi mungkar bererti perintah untuk menjauhi perkara-perkara yang mungkar (keburukan), yang dihindari oleh akidah dan syariat Islam. Amar makruf nahi mungkar adalah diwajibkan oleh syariat Islam sepertimana dalam firmanNya dalam surah Ali-‘Imran, ayat 104 yang bermaksud; “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar; dan merekalah orang-orang yang beruntung.”

Adapun taghyir al-munkar (mengubah kemungkaran), ia juga diwajibkan ke atas setiap Muslim. Caranya juga telah ditentukan oleh Rasulullah SAW. Sabda baginda SAW (yang bermaksud):

“Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu, hendaklah dengan lisannya (mulutnya). Jika tidak mampu, hendaklah dengan hatinya (iaitu membenci kemungkaran yang berlaku) dan itulah selemah-lemah iman” (Hadis riwayat Muslim).

Menurut Qadhi Iyadh, hadis ini adalah berkaitan dengan sifat-sifat seseorang yang mahu mengubah kemungkaran. Orang yang hendak mengubah kemungkaran berhak mengubahnya dengan pelbagai cara yang dapat melenyapkan kemungkaran tersebut, baik melalui perkataan mahupun perbuatan (tangan). Jika seseorang memiliki dugaan/syak yang kuat (yakni jika diubah dengan tangan akan muncul kemungkaran yang lebih besar lagi seperti menyebabkan risiko akan dibunuh atau orang lain bakal terbunuh disebabkan perbuatannya), cukuplah ia mengubah kemungkaran itu dengan lisannya. Jika ia merasa khuatir bahawa ucapannya itu juga boleh mengakibatkan risiko yang sama, cukuplah diengkari dengan hati. Itulah maksud hadis tersebut (Imam An-Nawawi, Syarh Sahih Muslim).

Yang dimaksudkan dengan mengubah kemungkaran melalui hati pula adalah dengan menasihati pelaku kemungkaran tersebut (secara persendirian/personal). Tetapi apabila difikirkan jika hal itu dilakukan atau tidak mampu dilakukan kerana adanya risiko kemungkaran yang lebih besar, maka ia hendaklah membenci di dalam hati di samping memutuskan hubungan dengan kemungkaran dan para pelakunya melalui tindakan-tindakan seperti berikut: tidak duduk bersama mereka ketika mereka melakukan kezaliman/kemungkaran/kemaksiatan , tidak makan minum bersama mereka, tidak melayani kehendak mereka, tidak menyediakan sebarang kemudahan yang dapat membantu atau mendorong mereka melakukan kemungkaran dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, perlu dijelaskan dan diingatkan di sini bahawa tindakan-tindakan sebegini adalah hanya bagi individu atau sekolompok atau sekumpulan umat Islam (Pertubuhan/Persatuan/Parti) yang tidak berautoriti. Tetapi lain pula halnya bagi pemerintah atau ketua negara, tindakan memerangi kemungkaran adalah suatu tanggungjawab dan wajib dilakukan dalam semua keadaan dan perkara tanpa perlu melihat siapakah yang terlibat dan apakah kesannya kepada kerajaan. Meraka adalah pihak yang berkuasa penuh dan mempunyai segala macam kemudahan untuk mengatasinya dan meleyapkannya dengan ‘tangan’. Mereka perlu melaksanakan amar makruf nahi mungkar dengan sepenuh kudrat yang ada. Mereka tidak boleh serta tidak layak untuk memberi sebarang alasan untuk lari daripada tujuan tersebut.

Masalah utama sekarang, pemerintahan yang sedang berjalan di tengah-tengah kaum Muslimin pada ketika ini adalah pemerintahan dan negara yang telah berubah menjadi Darul Kufur, syariat dan perlembagaan Islam (al-Quran dan as-Sunnah) digantikan dengan sistem hukum taghut (Perlembagaan Persekutuan, English Common Law dan sebagainya). Sekularisme dijadikan dasar negara, kedaulatan negara bukan lagi berada di tangan Allah SWT tetapi di tangan manusia (rakyat), kekufuran bermaharajalela dalam segenap lapisan masyarakat, dari dasar akar umbi sehingglah ke cabang-cabangnya. Sistem dan ideologi kufur berkuasa penuh (Sosialisme, Kapitalisme-Demokrasi) serta menjadi akidah dan pegangan umat yang mengaku dirinya sebagai Islam, bahkan dibelanya bermati-matian. Ini dengan terang lagi bersuluh menunjukkan bahawa negara itu sendiri telah menjadi pelaku dan juga pemelihara kemungkaran. Jadi apakah yang harus kita lakukan sekarang sebagai seorang yang mengaku Muslim?

Jawapannya adalah, kaum Muslimin pada saat ini perlu melibatkan diri dalam proses taghyir al-munkar (mengubah kemungkaran) secara global dan juga inqilabi (perubahan yang mendasar dan menyeluruh). Caranya adalah dengan mengembalikan semula sistem hukum Islam melalui kewujudan Negara Islam (Daulah Islam) dan pada masa yang sama mempropagandakan akidah serta syariat Islam iaitu melalui Negara Khilafah yang merujuk kepada manhaj Nabi SAW. Semua ini haruslah melalui tahap dan juga sistem yang berlandaskan perjalanan Rasulullah SAW dalam membangunkan Negara Islam Madinah, dan bukannya melalui kaedah atau metod lain.

Jika di kalangan kaum Muslimin hari ini tidak mempunyai sebarang usaha untuk mengubahnya, bahkan dengan hati pun jauh sekali ingin melakukannya di samping langsung tidak mengambil peduli tentang keadaan umat Islam di seluruh dunia, ini bererti imannya sudah pun hilang di dalam dirinya dan kemungkaran akan tumbuh subur menyelimuti seluruh umat manusia. Dan akhirnya, pintu azab Allah SWT yang sangat pedih akan terbuka. Sabda Rasulullah SAW (yang bermaksud):

“Demi jiwaku yang berada di dalam genggamanNya, hendaklah kamu menyuruh kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran. Atau jika tidak, Allah akan menurunkan azab ke atas kamu semua, kemudian kamu berdoa kepadaNya, maka doa kamu tidak dikabulkan.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Sumber: HTI

Hijrah Memerlukan Pengorbanan

video

Hijrah Memerlukan Pengorbanan

Itulah kesimpulan yang dapat saya berikan setelah selesai Seminar Hijrah dan Pengorbanan pagi tadi. Dengan bertemakan BERKORBANLAH sebelum ANDA dikorbankan, seminar tersebut benar-benar memberikan impak yang amat besar kepada para peserta. Jumlah kehadiran hampir seratus orang peserta itu terus menyemarakkan lagi seminar pagi tadi.

Namun apa yang ingin saya kongsikan di sini bukanlah laporan seminar tersebut tetapi lebih kepada penghargaan saya kepada teman-teman seperjuangan yang sentiasa sanggup berkorban demi mengembalikan Islam di muka bumi ini.

Setiap manusia itu mempunyai potensi diri masing-masing. Setiap satunya mampu melakukan kebaikan dan juga keburukan serta kelemahan. Begitu juga saya. Allah SWT berfirman, "Telah kami tunjukkan kepadanya dua jalan hidup (baik dan buruk)" (Al-Balaad:10).

Saya hadirkan di sini video sajak sempena seminar hijrah pagi tadi. Pujangga ada mengatakan "Kehidupan ini dipenuhi dengan seribu macam kemanisan tetapi untuk mencapainya perlu seribu macam pengorbanan". Begitulah lumrah kehidupan, lebih-lebih lagi di jalan dakwah ini.

Sekalung tahniah dan setinggi terima kasih buat, kak Insyirah yang dikasihi kerana telah bertungkus lumus menyiapkan sajak karangan puitismu. Ayat-ayat karanganmu benar-benar memberkas di lubuk hati ini tentang penghijrahan Nabi SAW. Tanpa hasil nukilanmu itu, tiadalah penyeri seminar ini. Semoga hasil puitismu selepas ini akan bisa menggegarkan dunia. InsyaAllah.

Juga sejuta penghargaan buat Cik Iffah kerana telah menyiapkan video sajak yang menarik ini di saat-saat genting. Hasil penatmu hanya bisa dibalas Allah SWT. Alunan muzik iringan yang mampu membawa peserta menyelami erti bait-bait sajak penghijrahan Bagin SAW.

Dan tak lupa juga buat adik Raihana. Persembahanmu mendeklamasikan sajak diiringi video amat memukau peserta. Alunan suaramu mampu menggetarkan telinga-telinga terselubung yang mendengar. Semoga pengorbananmu di jalan ini akan dibalas di Akhirat kelak.

Semoga segala pengorbanan anda akan mendapat ganjaran pahala dan dibalas oleh Allah SWT Amin. "Hidup biarlah berbakti, walaupun tidak dipuji."


'Holistic Approach'

Ketika ini saya baru selesai mengedit power point untuk suatu pembentangan. Kepala agak pening apabila lama menghadap laptop. Namun itu bukanlah suasana yang menghalang saya daripada terus melayari internet. Semenjak 2-3 hari yang lepas, cuaca di sini agak panas. Bahang kepanasannya kian terasa sampai ke malam.

Mungkin entri saya ini agak tidak intelektual seperti entri-entri saya sebelum ini. Kadang-kadang kita perlukan sesuatu yang berbeza untuk menyampaikan apa yang kita rasa. Maksud saya, menyampaikan sesuatu agar insan-insan yang sudi membaca post saya ini mudah faham.

Kira-kira 2 hari yang lalu, saya telah menamatkan 3 hari perkuliahan CHC. CHC adalah kursus bersama pelajar-pelajar perubatan. Tajuk yang dikuliahkan adalah 'Holistic Approach'. Pensyarah menerangkan bahawa kita perlu melihat seorang pesakit secara keseluruhan. Ini bermakna, kita perlu melihat bukan sahaja kepada penyakitnya tetapi kesejahteraan psikologikal dan juga sosial pesakit tersebut. Kita perlu mengambil kira pelbagai aspek.

Begitu juga dengan bidang yang saya ceburi ini. Dalam dunia realiti ini, sebagai seorang bakal ahli farmasi, insyaAllah, saya hanya memberikannya ubat untuk mengurangkan simptom. Ubat untuk mengubati penyakit secara fizikal. Tetapi mungkin kita tak pernah sedar ataupun terfikir bahawa pesakit-pesakit yang ada kini menderita jiwanya. Jiwanya kacau, perasaannya tak tenteram dan fikirannya berserabut. Itu yang kadang-kadang pesakit stres, ahli keluarganya juga stres.

Jadi bukan hanya ubat untuk mengubati penyakit fizikalnya sahaja yang harus diberikan tetapi ubat untuk rohaninya juga. Saya bersyukur kerana saya sentiasa dimotivasikan oleh seorang insan yang banyak pengalamannya tentang asam garam kehidupan. Kata-katanya umpama baja yang menyegarkan pohon layu.

Sebenarnya memberikan ubat rohani adalah jalan terbaik mengubati penyakit seseorang pesakit terutama yang berkaitan jiwa. Mungkin saya tiada pengalaman dalam menghadapi kes-kes sebegini tetapi insyaAllah akan saya praktikkannya kelak. Sebab manusia itu kuat sekiranya dia mempunyai keinginan atau motivasi dalam diri yang kuat.

Sebagai contoh, seorang pesakit mengalami tekanan perasaan ataupun penyakit psikiatri yang lain seperti schizophrenia, penyakit bipolar dan lain-lain. Dia mungkin diberi ubat seperti litium, asid valprik, lamotrigine dan ubat-ubat lain sebagai penstabil mood. Tapi adakah itu cukup untuk memulihkan sakitnya?

Sebagai seorang ahli farmasi, ubat tersebut mungkin saja boleh menyembuhkan penyakitnya itu. Tetapi sebagai seorang yang berfikrah islami dan menjalani tata cara hidup islami, ubat-ubat itu tidak mencukupi. Bagi saya, ubat rohani is the best treatment for patient like them. Kerana apa saya berkata sedemikian? Kerana sistem hidup yang menekan mereka saban waktu menyebabkan fikiran mereka terganggu dan jiwa mereka kacau.

Sesungguhnya Islam itu rahmat sekalian alam. Islam itu mempunyai penyelesaian dalam kehidupan. Maka, holistic approach yang perlu dilakukan adalah kembali kepada kehidupan Islam.

Islam adalah agama yang sempurna dan kesempurnaanya sebagai sebuah sistem hidup dan sistem hukum meliputi semua perkara yang dihadapi oleh umat manusia. Allah SWT telah berfirman: “Dan kami turunkan kepadamu Al-Kitab (Al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu.” (QS An Nahl:89)

Ini menjelaskan bahawa, setiap perkara mempunyai hukum yang telah ditetapkan, setiap permasalahan atau apa sahaja kesulitan yang dihadapi oleh kaum Muslimin akan dapat dipecahkan dan diselesaikan oleh Deen Islam. Ini kerana, Islam diturunkan oleh Allah SWT untuk sekalian manusia baik lelaki mahupun wanita.

Namun begitu, Islam sebagai penyelesaian kepada permasalahan manusia hanya akan dapat dilihat jika Islam diterapkan secara kaffah dalam setiap aspek kehidupan manusia baik dalam kehidupan individu, kelompok mahupun masyarakat.

"Berkorbanlah Sebelum Anda Dikorbankan"


SEMINAR HIJRAH DAN PENGORBANAN
"BERKORBANLAH sebelum ANDA dikorbankan"

Khas untuk muslimah yang dikasihi kerana Allah,
Anda dijemput bersama-sama menghayati makna sebenar hijrah dan pengorbanan sempena sambutan Awal Muharram , di dalam seminar khas anjuran bersama Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) dan Ikatan Intelektual Nusantara (IKIN). Butir-butir lanjut adalah seperti berikut:

Tarikh: 13 Disember 2009 bersamaan 25 Zulhijjah 1430H (Ahad)

Masa mula: 8.30 pagi

Tempat: Masjid Muaz bin Jabal, Persiaran Setiawangsa,
Taman Setiawangsa, 54200 Kuala Lumpur
(berhampiran LRT Setiawangsa)


Terbuka kepada muslimah sahaja. Masuk adalah percuma.

Semoga dengan kehadiran puan-puan akan mengeratkan lagi ukhuwah sesama muslim

Penyebaran maklumat ini adalah sangat dialu-alukan.

Mentaliti Rakyat 1Malaysia

Kebiasaannya di Malaysia, apabila terdapat konsert di sesuatu tempat, maka ramailah yang tertumpu di situ. Yang pastinya ramai adalah dari kalangan muda mudi. Hiburan yang disajikan kepada muda mudi kini boleh dikira kelas pertama. Kerana apa saya mengatakan sedemikian?

Kerana bagi saya, hiburan yang disajikan kepada mereka diadakan di tempat yang hebat. Sehebat slogan 1Malaysia, 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.' Iya, rakyat 1Malaysia memang didahulukan kerana dalam berhibur, rakyat Malaysialah yang akan menyambut baik keadaan itu. Rakyat Malaysia akan diberikan permit dengan mudah untuk berhibur. Rakyat Malaysia memang suka berhibur termasuklah saya.

Penulisan saya pada kali ini bukanlah hendak menulis tentang hiburan yang diminati dan diinginkan rakyat Malaysia tetapi lebih tertumpu kepada satu aspek yang kecil ini. Walaupun ia nampak remeh, namun jika tidak dibendung buruk juga padahnya.

Pelbagai bentuk kempen telah disebarkan di media-media massa khususnya televisyen. "Kebersihan Tanggungjawab Bersama" merupakan kempen yang paling kerap kelihatan. Namun, sejauh manakah keberkesanan kempen yang disarankan oleh kerajaan Malaysia ini? Adakah rakyat Malaysia menyambut baik seruan kerajaan ini? Adakah anda menjaga kebersihan alam sekitar? Bagaimana dengan saya?

Keadaan Stadium Bukit Jalil di waktu pagi setelah 2 hari Jom Heboh!

Ada sesetengah orang tidak puas hati dengan kelakuan orang lain tentang kurangnya penjagaan kebersihan. Mungkin saya akan memberikan jawapan kepada mereka-mereka yang tidak puas hati itu termasuklah saya.

Menurut kajian sebuah syarikat penyelidik antarabangsa, hanya terdapat 25 buah negara paling bersih di dunia telah dikenalpasti. Antaranya Switzerland, Sweden, Norway, Finland, Jerman, Jepun, Denmark dan Perancis; malangnya tidak satu pun negara umat Islam menduduki tangga tersebut. Persoalan besar timbul di sini ialah, mengapakah umat Islam tidak boleh mengamalkan kebersihan yang dituntut oleh Islam sendiri?

Berdasarkan pemerhatian, negara-negara maju mempunyai budaya menjaga kebersihan yang tinggi. Walaupun tidak beragama Islam tetapi mereka lebih mengambil berat aspek kebersihan sepertimana dianjur oleh Islam. Jadi, amalan kebersihan ini adalah amalan mulia berbentuk menyeluruh kerana Islam amat mementingkan kebersihan sama ada zahir atau batin.

Oleh itu, sewajarnya umat Islam dituntut untuk menjaga kebersihan. Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadith Rasulullah SAW daripada Ibn Mas’ud:

Mafhumnya: “Sesungguhnya Allah itu cantik (indah) dan bersih. Dia amat mencintai kepada perkara yang cantik (indah) dan bersih.”

Tetapi mengapa keadaan ini terus-terusan terjadi?

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman.” Saya ulang, kebersihan itu separuh daripada iman. Keimanan seseorang bukan hanya di bibir sahaja. Tetapi perlu dizahirkan dengan perbuatan. Mungkin satu je yang menjadi halangan kepada rakyat Malaysia. Pemikiran atau mentaliti mereka adalah kelas ketiga. Itulah hakikat rakyat negara ini.

Sebelum saya menamatkan penulisan saya yang tak seberapa kali ini, renungilah firman Allah SWT yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum, sebelum kaum itu sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka" (QS Ar-Ra'd 11).

Apakah yang ada pada diri mereka?

Wallahua'lam..

Kanak-kanak Lelaki Usia Berapa?

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Penyayang lagi Maha Pemurah,

Dalam saya mencari-cari idea untuk menulis entri baru, saya terbaca satu ruangan di myMetro. Ruangan ANDA MUSYKIL DR.MASHITAH JAWAB merupakan pertanyaan para pengirim tentang soal agama. Di sini saya ingin berkongsi dan mungkin bercerita, insyaAllah tentang pertanyaan seorang pengirim. Klik di sini untuk membaca pertanyaan si pengirim.

Saya ubah sedikit pertanyaan si pengirim untuk skop yang lebih kecil seperti di bawah beserta petikan jawapan Dr Mashitah untuk pertanyaan bagi skop tersebut.

SAYA ingin bertanya, siapakah orang yang dimaksudkan dalam surah di bawah di zaman kita sekarang?

Maksudnya: Dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putra-putra mereka, atau putra-putra suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti mengenai aurat wanita. (Al-Nur:31).

Jawapan: Anak yang belum faham mengenai aurat wanita ini tidak disebut umurnya berapa, ia bergantung pada keadaan dia dibesarkan. Biasanya ialah yang berumur 10 tahun ke bawah, namun dalam zaman yang serba canggih ini jika mereka lebih terdedah mengenai wanita, gunakan budi bicara untuk mengukurnya.



Pengalaman Saya.

Dulu pernah saya bertanya seorang sahabat saya ni. Dia anak sulung dalam keluarga dan merupakan satu-satunya perempuan. Usianya sebaya saya. Pertanyaan saya kepadanya, "Kalau di rumah, adik-adik tidur dengan siapa?" Katanya sebilik dengannya. Saya agak terkejut tapi saya juga memahami mengapa. Keadaan ruang rumah yang agak terhad, kadang-kadang menyukarkan kita untuk untuk tidur berasingan. Namun, saya menasihatinya. Adik-adik lelaki yang telah mumayyiz dan telah mengerti aurat wanita hendaklah dipisahkan tidurnya.

Ada hadis mengatakan, sekiranya anak telah berusia 7 tahun, hendaklah dipisahkan tidur daripada kedua ibu bapanya. Saya kira hal yang sama berlaku sekiranya anak itu lelaki. Jadi, asingkanlah tidur adik-adik lelaki dengan adik-beradik perempuan.

Kadang-kadang, ramai umat Islam terkeliru terutamanya wanita akan kebolehan kanak-kanak lelaki melihat aurat wanita. Ketika saya di sekolah dulu, cikgu-cikgu perempuan yang menulis di papan hitam seakan-akan sengaja menampakkan tangannya ketika menulis. Sebabnya apabila menulis di papan hitam, kebarangkalian lengan baju jatuh adalah tinggi. Saya perasan ada sesetengah cikgu saya yang menarik lengan bajunya apabila jatuh ketika menulis. Mungkin cikgu ini faham akan auratnya.

Rekaan fesyen pakaian terkini juga menyumbang kepada terdedahnya aurat wanita. Cikgu-cikgu saya yang mengandung biasanya mereka akan memakai lengan pendek. Saya pun tak faham mengapa bila mengandung je mesti pakai pakaian mengandung yang macam itu. Dengan berlakunya keadaan itu, maka lebih ramai kawan-kawan lelaki saya melihat aurat cikgu-cikgu tersebut.

Kita tak boleh nak kata usia 7-9 tahun itu kecil lagi. Dan kita tak boleh sekali-kali menganggap usia itu kecil. Ini kerana kecanggihan teknologi yang ada pada hari ini memudahkan kanak-kanak terdedah lebih awal tentang aurat wanita. Ada adik sepupu saya yang berusia 10 tahun bercakap tentang pemakaian saya ketika saya di rumah. Pakaian macam mana tak perlulah saya nyatakan di sini. Tetapi saya perlu mengambil apa yang dia cakapkan itu sebagai tanda bahawa saya perlu menutup aurat saya dengannya. Dia telah mengerti aurat seorang wanita. Jadi, kanak-kanak yang belum mengerti aurat wanita mungkin seusia 5 tahun ke bawah dan terpulang kepada ibu bapa untuk mengukurnya.

Wallahua'lam...
 

Copyright © 2013 | Wanita Mustanir | by Cik Bulat