Hak dan Kebebasan Wanita sejagat

Alhamdulillah, setelah sekian lama saya nantikan kemunculannya saban bulan, maka terbitlah ia. Ini adalah satu dari dua isu yang dibawa untuk bulan April 2012. Semoga bermanfaat untuk menambah pengetahuan anda khususnya wanita.

ARTIKEL PILIHAN: HAK DAN KEBEBASAN WANITA SEJAGAT

Muqaddimah

Bicara tentang hak dan kebebasan wanita sejagat seakan tidak mungkin berakhir. Telah sekian lama wanita di seluruh pelosok dunia merintih dan menangisi kesengsaraan yang ditanggung. Oleh yang demikian, artikel ini akan memaparkan fakta-fakta ‘sensasi’ tentang realiti tersebut yang berlaku di kebanyakan negara umat Islam di seluruh dunia.

Nasib Wanita di Serata Dunia Islam

Di Indonesia iaitu sebuah negara yang mempunyai populasi umat Islam paling ramai di dunia, terdapat 23 juta wanita yang amat miskin dan terpaksa bekerja di serata dunia demi sesuap nasi. Melalui jalur agensi pekerjaan, mereka sanggup merantau ke negara yang asing bagi mereka dengan harapan untuk mengutip sebanyak mana wang untuk menanggung keluarga yang ditinggalkan di kampung halaman. Sebaliknya apa yang rata-rata mereka peroleh dari  majikan hanyalah layanan buruk seperti dikurung di bilik, mengalami gangguan seksual, dirogol, malah ada yang dibunuh.

Punca kepada segala kemiskinan tersebut adalah sistem ekonomi dan politik yang diterapkan di Indonesia. Ketundukan kepada sistem ekonomi Kapitalisme menyebabkan pemerintah menyerahkan hartanah dan pemilikan umum kepada syarikat-syarikat asing. Melalui kaedah demokrasi dalam berpolitik, undang-undang digubal sesuka hati agar dapat memenuhi nafsu serakah syarikat-syarikat asing lantas meminggirkan peribumi negara yang kaya dengan  sumber alam itu. Tak ubah seperti kata pepatah, “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan”. Natijahnya, majoriti rakyat Indonesia termasuk kaum wanita merempat kerana kemiskinan.

Begitu juga wanita di Jordan yang menderita akibat pelbagai masalah ekonomi, sosial dan politik. Negara menjual hak milik persendirian dan sumber alam seperti fosfat, kalium dan simen; hinggakan perusahaan tempatan yang berjaya juga dijual kepada pihak Barat. Akibatnya rakyat mengalami proses pemiskinan besar-besaran dengan sebahagian besar mereka berada di sekitar atau di bawah garis kemiskinan. Lalu muncullah simptom-simptom masalah seperti pengangguran, kelewatan berkahwin akibat kos yang tinggi, kegagalan mengatur kewangan rumah tangga, jenayah berleluasa, penderaan fizikal dan banyak lagi.

Di Tunisia pula, semenjak kemasukan kolonialisme Barat, wanita Tunisia melalui pelbagai krisis akibat pelaksanaan sistem diktator yang berasaskan sekularisme, iaitu pemisahan agama dari kehidupan (faslu ad-deen ‘anil hayah). Seiring dengan kemasukan kereta kebal dan tentera Barat ke bumi Tunisia, minda rakyat turut dimasuki idea dan konsep yang telah merosakkan jati diri bangsa dari segi intelektual dan budaya. Akibatnya, wanita diremehkan dari segi hak-hak dan peranan mereka. Wanita tidak dihormati dan dinafikan hak untuk mendapat pendidikan tinggi, penjagaan kesihatan dan keperluan hidup lain.

Seterusnya di Sudan, wanita mengharungi kehidupan yang dipenuhi ketidakadilan, penindasan, kekejaman dan juga kemiskinan. Kaum wanita terpaksa menyaksikan pemisahan wilayah Utara dari wilayah Selatan dengan pilu. Perang saudara yang tercetus di seluruh negara telah menyebabkan kaum wanita terpaksa menjadi pelarian dan kehilangan kaum keluarga. Organisasi bantuan yang  didalangi negara-negara Barat di ‘kem perlindungan’ pelarian di negara-negara jiran sebaliknya menjadikan mereka sebagai mangsa penyebaran racun pemikiran Barat yang rosak. Di kota-kota besar pula, meskipun wanita tidak diancam dengan pembunuhan secara ganas, namun kegagalan pemerintah memenuhi keperluan asas rakyat menjadikan rakyat miskin semakin merempat.

Manakala di Rusia, tidak kurang masalah yang dihadapi oleh wanita. Jika diimbau kembali sejarah Rusia, ia adalah sebuah tanah di mana ideologi Sosialisme lahir dan berkubur. Tetapi kini, ia turut menganut ideologi Kapitalisme bertunjangkan konsep Barat. Di sana, seorang wanita tidak dianggap sebagai seorang manusia yang punya harga diri sebaliknya dipergunakan sebagai komoditi yang diperdagangkan dalam pelbagai aspek. Konsep seperti maruah dan kehormatan wanita telah lama dilupakan apabila wanita sering dikasari dari segi emosi, mental dan fizikal. Lebih teruk lagi, tidak ada perbincangan tentang penjagaan dan perlindungan terhadap wanita di negara ini.

Walhasil, tidak sedikit wanita menjadi mangsa penderaan lelaki yang sepatutnya melindungi mereka seperti bapa, suami dan majikan. Bukan setakat itu, kaum lelaki yang sepatutnya memimpin keluarga malangnya telah membebankan ahli keluarga wanita mereka untuk menanggung keperluan hidup mereka. Hal ini berlaku dalam keluarga yang terdiri daripada para bapa, suami dan anak yang ketagihan arak dan dadah. Semua ini berpunca daripada pelaksanaan sistem pemerintahan sekular apabila Rusia tidak menghalang penjualan arak dan dadah secara berleluasa kerana ia adalah perniagaan yang menguntungkan.

Rusia sebagai negara di mana orang Islam merupakan penduduk minoriti, kebencian terhadap Islam amatlah nyata. Kaum Muslimah tidak dihormati dan menjadi mangsa diskriminasi. Sebagai contoh, mereka sukar mendapat pekerjaan dan boleh dipecat hanya dengan alasan mereka berhijab dan menunaikan solat. Di samping itu, di kebanyakan bandar di Rusia, para Muslimah dianggap sebagai pengganas dan golongan pelampau. Hinggakan mereka diugut, dihina, dimalukan dan dalam beberapa kes para Muslimah turut dipukul. Lebih jauh lagi, kaum Muslimah turut didakwa oleh pihak perisikan negara atas dasar melindungi keselamatan awam daripada keganasan, lalu dihukum dengan tidak adil termasuk dipenjarakan.

Wanita Bangkit dengan Islam


Paparan kisah seksa dan duka di atas tidak hanya sekadar dibualkan dan disampaikan dari telinga ke telinga dalam masyarakat di seluruh dunia. Tetapi, ia cukup memberikan satu suntikan semangat dan kemahuan kepada masyarakat dunia, khususnya wanita, untuk mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan mereka. Sebagai mangsa kepada kerosakan sistem pemerintahan dan undang-undang, sudah pasti mereka mahu bebas daripada kesengsaraan melalui perubahan sebenar yang menjanjikan kebahagiaan dan kemakmuran kepada mereka dan keluarga.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit dan Kami akan menghimpunkannya pada hari Kiamat dalam keadaan buta” [TMQ Taha (20):124].

Berpegang kepada kalimah Sang Pencipta inilah, kaum Muslimah serata dunia bangkit untuk mengubah sistem kehidupan yang selama ini berkiblatkan kebebasan dan hak asasi manusia hasil ajaran sistem sekularisme yang sangat jauh daripada ajaran Islam kepada penerapan sistem Islam yang sempurna.

Sebagai langkah awal perubahan tersebut, isu permasalahan wanita hendaklah dilihat dari perspektif akidah dan syariat Islam. Ini bermakna wanita mesti menolak sebarang usaha untuk menyelesaikan isu ini dari perspektif Barat. Jadi, kaum wanita harus sedar bahawa penyelesaian tuntas terhadap masalah mereka adalah dengan adanya sistem pemerintahan Islam yang menjanjikan rahmat ke sekalian alam iaitu Khilafah Islamiyyah, sistem warisan Rasulullah SAW.

Sistem Khilafah adalah satu-satunya sistem yang dapat membawa kepada perubahan radikal dan menyeluruh untuk menyelesaikan seluruh isu wanita dengan memberikan solusi tepat terhadap seluruh permasalahan dengan melaksanakan syariat Islam. Sistem Khilafah akan menjamin keperluan keluarga mereka dan menyediakan suasana yang selamat untuk mereka.

Wanita akan dibebaskan dari eksploitasi di tempat kerja dan mendapat hak-hak mereka. Wanita juga akan melaksanakan kewajipan mereka sebagai ibu dan pengatur rumah tangga yang membesarkan anak-anak mereka untuk menjadi anak-anak yang soleh penerus generasi cemerlang dengan syariat Islam.

Lantaran itu, bagi wanita yang mempunyai kesedaran, dengan jiwa menggelodak dilambung ombak rindu kepada sistem hidup yang akan membebaskan mereka dari keperitan virus Sekularisme dan Kapitalisme, telah mengerahkan usaha tanpa jemu untuk melakukan perubahan ini. Mereka tidak melakukannya bersendirian, bahkan mengajak masyarakat bersama-sama dengan mereka.

Contohnya di Rusia, kaum Muslimah menjadi ahli, pengikut dan pendokong sebuah parti politik Islam iaitu Hizbut Tahrir yang konsisten berjuang merealisasikan idea khilafah. Mereka berusaha memperjuangkan idea khilafah ini dalam masyarakat dengan melakukan dakwah kepada Islam, membongkar kemungkaran dan kemaksiatan sistem Kapitalisme melalui pelbagai konferens, rapat umum, ceramah dan aktiviti diskusi di rumah-rumah dan di masjid-masjid.

Walaupun perlaksanaan aktiviti-aktiviti ini menaikkan kemarahan para penguasa, hinggakan mereka dilayan seperti penjenayah, namun mereka tidak pernah mengalah. Mereka diugut, rumah-rumah mereka digeledah, dikenakan tuduhan palsu sebagai perangkap, dihukum, dipenjarakan, dan anak-anak mereka dihantar ke rumah-rumah anak yatim. Para ibu, isteri, guru, doktor, jurutera, dan pelajar universiti pelbagai jurusan dianggap sebagai teroris dan ekstremis. Dorongan dan motivasi yang kuat ini merupakan bukti keyakinan yang tinggi terhadap Allah SWT bahawa Allah SWT tidak akan membebani seseorang di luar batas kemampuannya sebagaimana firman-Nya, “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya” [TMQ al-Baqarah (2):286].

Di Jordan pula, kaum wanita menyertai kaum lelaki dalam aktiviti-aktiviti politik untuk menegakkan Khilafah. Antaranya, mereka bersama-sama menjayakan demonstrasi Ramtha sebagai tanda sokongan terhadap pembebasan Syria dan demonstrasi di hadapan Konsulat Rusia sebagai protes terhadap jenayah yang dilakukan terhadap para Muslimah Hizbut Tahrir di Rusia. Mereka juga turut serta dalam konferens untuk memberi penghormatan kepada para syuhada’ Hizbut Tahrir yang terbunuh dek  kekejaman rejim diktator Muammar Gadaffi di Libya.

Kisah perjuangan di atas menunjukkan bahawa keinginan yang tinggi menggunung kepada sebuah perubahan sebenar dalam menyelesaikan kemelut yang melanda wanita di seluruh dunia bukanlah retorik, sebaliknya para aktivis ini telah menunjukkan kesungguhan dan pengorbanan mereka demi meraih cita-cita suci untuk memartabatkan Islam sebagai sebuah cara hidup yang membawa rahmatan lil ‘alamin (rahmat untuk sekalian alam).

Khatimah

Wahai kaum Muslimah yang dirahmati Allah!

Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia menyeru dan mengajak semua wanita yang hidup di atas bumi Tanah Melayu yang pernah ada hubungan dengan  pemerintahan Khilafah Uthmaniyah hampir 90 tahun yang lalu, untuk menyertai dakwah kami dalam usaha untuk mengembalikan kehidupan Islam dengan menegakkan semula Khilafah atas jalan kenabian. Perjuangan yang mulia ini perlu kepada sokongan dari seluruh umat Islam termasuklah wanita. Marilah sama-sama kita buktikan bahawa tangan yang disangka lembut menghayun buaian sebenarnya mampu menggoncang dunia. Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud,“Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan” [TMQ An-Nahl (16):97].

Wallahu a’alam.

1 comment:

  1. Sudah saatnya kini wanita diberi hak dan kebebasan yang sama dengan pria, agar lebis semangat berkarya

    ReplyDelete

Syukran for your nice comment. Please leave your comment again!!! (^_^)

 

Copyright © 2013 | Wanita Mustanir | by Cik Bulat