Lama juga rasanya saya tidak menulis sesuatu di sini. Banyak yang ingin dikongsikan tapi atas sebab kekangan masa, ketidakstabilan mood dan keutamaan peranan, maka mahligai ini sering kekosongan entri. Namun, demi menyampaikan apa yang telah lama terbuku di benak fikiran ini, saya hadirkan juga tulisan ini untuk peringatan buat semua.
Sebelum saya meneruskan penulisan ini, saya ingin mengkhabarkan kepada para pejuang agama Allah (baca: Islam) bahawa segala rintangan, tentangan, ujian dan dugaan adalah sunatullah dalam menegakkan kebenaran. Kita sebagai hamba Allah hanya insan kerdil lagi hina di hadapanNya. Kerana kita hanya mulia di sisiNya dengan ketakwaan kepadaNya. Sepertimana firmanNya:
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”. [TMQ Al Hujurat (49) : 13]
Debaran seorang saudara saya rupanya menunjukkan petanda. Petanda bahawa sesuatu akan berlaku terhadap kami. Petang semalam, kami ke salah sebuah pasaraya terkemuka di Malaysia untuk menjalankan tanggugjawab kami. Sebelum bergerak ke pasaraya tersebut, saudara saya itu berkata, "hati saya berdebar-debar, kak." Kami yang lain hanya endah tak endah dan kemudian tersenyum sahaja. Sepanjang perjalanan ke sana, kami hanya melayan perasaan masing-masing sambil menjangkakan para pengujung yang bakal ditemui.
Setibanya di sana, kami bergerak menuju pintu masuk pasaraya tersebut. Saya bersama saudara-saudara saya asyik memberikan Sautun Nahdhah (SN) kepada para pengunjung di situ. Tetapi saya perasan, ada sepasang anak mata yang asyik memerhatikan perbuatan kami dari tibanya kami di situ. Saya tidak langsung terfikir akan pemerhatian tersebut.
Selang beberapa minit, seorang saudara saya ditanya tentang sebaran yang kami lakukan. Saya memanggilnya ke tempat saya dan sayalah yang menjelaskan akan situasi dan apa yang kami sebarkan. Yang bertanya bukan hanya seorang, malah mereka datang berlima. Lagaknya mereka seperti samseng kerana merekalah penjaga (bodyguard) di kawasan itu. Tapi kami langsung tidak takut akan kebengisan dan kemarahan mereka.
Apa yang ingin saya sampaikan kepada anda, para pemuda yang ingin menegakkan kebenaran dan syariat Islam, jangan gentar dengan rintangan yang baru sedikit ini. Kita baru dihalang dari melakukan aktiviti sekecil ini. Ramai lagi pemuda-pemuda Islam yang diseksa dengan lebih dahsyat hanya kerana mereka menyampaikan kebenaran Islam. Mungkin strategi yang kurang mantap menyebabkan hal ini berlaku. Namun, pengaturan dan kuasa Allah, siapa yang tahu kan.
Pembuka nafsiyyah diri telah diberikan, semoga kalian tetap teguh dengan keimanan kalian demi meraih mahalnya syurga Allah. Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?[iaitu] kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya [TMQ as-Saff (61):10-11].Untuk mendapatkan ganjaran syurga Allah itu, maka jalan yang mesti ditempuh adalah dengan melibatkan diri dalam aktiviti dakwah, mengajak manusia kembali kepada kehidupan Islam (istinafil hayatil islam) yang mana untuk melaksanakannya perlukan pengorbanan masa, tenaga, harta, keselesaan dan sebagainya.
Itu adalah sedikit pengalaman yang mencuit kecil semangat dakwah saya dan sahabat-sahabat saya agar semakin teguh di jalan ini. Semoga kalian yang berada di jalan ini sentiasa diberikan kekuatan jiwa dan keimanan yang teguh oleh Allah SWT, insyaAllah.
Maaflah, pendahuluan saya kali ini agak panjang (hee). Apa yang akan saya sampaikan di sini adalah khusus buat para wanita dan juga kaum adam amnya. Beberapa bulan yang lalu kalau tak silap saya, saya telah menonton movie "TAKEN" yang diambil daripada seorang teman saya. Saya bukan ingin menceritakan tentang filem tersebut di sini. Untuk sinopsis cerita tersebut anda boleh rujuk sini. Saya memandang cerita ini dari kaca mata seorang anak kepada seorang ayah. Jadi, silalah baca dengan minda yang tenang dan jiwa yang nyaman agar penyampaian saya ataupun jika tidak, penceritaan filem ini mampu mengubah tabiat atau sikap anda terutamanya wanita.
Kalau kita tengok realiti jenayah yang berlaku pada hari ini semakin membimbangkan. Nyawa dan keselamatan seakan di hujung tanduk apabila keganasan dan kezaliman semakin bermaharajalela. Yang menjadi mangsa adalah saya, anda, kami, mereka dan siapa-siapa yang bergelar insan lemah terutamanya wanita. Statistik jenayah dari PDRM menunjukkan peningkatan yang amat menakutkan dari tahun ke tahun. Justeru itu, semua pihak perlu memainkan peranan sebagai seorang muslim. Apa kaitan cerita filem di atas dengan statistik jenayah?
Kaitannya adalah penculikan dan perdagangan manusia demi keuntungan sang kapitalis. Penculikan dan perdagangan manusia juga merupakan antara jenayah yang perlu diambil kira walaupun mungkin tiada dalam statistik PDRM. Kalau ditengokkan jalan cerita tersebut, seorang ayah seboleh-bolehnya mahu menurut kemahuan si anak kesayangan demi kebahagian si anak. Realitinya memang begitu kan? Seorang ayah memang ingin memenuhi kehendak anaknya agar anaknya sentiasa gembira dan bahagia. Namun keinginan si anak untuk pergi melancong ke luar negara bersama rakannya ditentang hebat oleh si ayah. Anda rasa mengapa? Seorang ayah mesti mempunyai sebab mengapa melarang anaknya untuk berjauhan darinya. Ayah saya juga begitu. Apabila saya meminta izin untuk ke sesuatu tempat, adakalanya dilarang. Saya faham kerana mesti ada sebab yang kukuh mengapa ayah saya tidak memberi keizinan itu kan. Keselamatan anak merupakan antara tanggungjawab utama yang perlu si ayah galas. Jadi, demi keselamatan saya dan juga adik beradik saya yang lain, ayah tidak membenarkan. Ditambah lagi dengan bumi Malaysia yang tidak pernah aman dengan jenayah. Amankah Malaysia sebenarnya? Anda fikirlah sendiri.
Berbalik kepada cerita di atas, akhirnya si ayah membenarkan anaknya ke luar negara bersama temannya demi melihat anaknya gembira. Si ayah berpesan agar segera menghubunginya apabila tiba di tempat yang ingin dituju. Lagi satu sebagai peringatan, kita sebagai wanita tidak boleh sembarangan bertanya sesuatu atau menceritakan hal kita kepada orang yang tidak dikenali atau baru sahaja dikenali. Contohnya, teman si anak berjumpa dengan orang yang baru dikenali apabila tiba di airport. Seterusnya berkongsi teksi untuk menjimatkan kos dan akhirnya orang yang tak dikenali mengetahui tempat penginapan si anak dan temannya. Apa yang terjadi? Segerombolan orang yang dikenali memecah masuk rumah penginapan mereka dan menculik mereka. Ini mungkin antara natijah apabila kita tidak berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu tindakan.
Seorang ayah memang ingin anaknya selamat dari apa segi sekalipun. Jadi, si ayah berusaha untuk mendapatkan kembali anaknya. Mungkin dalam cerita di atas si ayah merupakan agen CIA tapi itu bukanlah isunya. Isunya adalah si ayah memang akan berusaha sehabis baik demi keselamatan sang anak. Tidakkah anda sedar akan perkara ini? Jika anda sedar, alhamdulillah. Bagaimana pula bagi yang belum sedar atau tak sedar akan hakikat ini? Segala larangan yang dilakukan oleh ayah kita adalah semata-mata demi kebaikan kita sebagai anaknya. Larangannya bukan kerana membenci atau tak suka, tapi kerana sayangnya seorang ayah kepada sang anak. Kita mungkin tidak merasakan apa-apa, tapi membuat hati ibu bapa resah dan risau memberikan kita ganjaran dosa. Derhaka kepada ibu bapa juga dosa kan. Jadi kita sebagai anak, penuhi dan taatilah nasihat, suruhan serta larangannya kerana mereka tahu apa yang terbaik untuk kita. Without them, who are we right? So, janganlah menambahkan dosa kita semua kepada ibu bapa.
Bak kata pepatah melayu, "terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan buruk padahnya." Sedikit perubahan pada pepatah melayu tersebut namun saya kira ia releven. Jagalah diri kita sebagai muslimah. Penjenayah tidak mengira mangsa. Selagi tiada syariat Islam diterapkan dalam kehidupan kita sehari-hari dan tiada Daulah untuk menjaga keselamatan kita, selagi itulah kemungkinan kita untuk menjadi mangsa tetap ada. Wallahualam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Syukran for your nice comment. Please leave your comment again!!! (^_^)