Penganjuran Miss World Malaysia 2013
Pemerintah dan Sistem Sekular Mengundang Maksiat dan Murka Allah
Pertandingan Miss World Malaysia 2013 yang dijadual akan diadakan pada 2 Ogos lalu merupakan satu lagi agenda kufur yang telah masuk ke dalam negara umat Islam. Pertandingan ini mengundang kontroversi masyarakat di mana empat peserta beragama Islam iaitu Sara Amelia Bernard, Wafa Johanna De Korte, Miera Sheikh and Kathrina Ridzuan tetap berkeras untuk terus bertanding setelah penyertaan mereka dibatalkan. Pembatalan itu dilakukan selaras dengan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh yang telah diwartakan pada 8 Feb 1996 di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah Persekutuan 1993.
Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia dengan ini ingin menegaskan bahawa penganjuran pertandingan ini merupakan satu pelanggaran hukum syarak yang nyata, penghinaan terhadap Islam dan kaum wanita serta melanggar fitrah manusia. Penganjuran ini tidak lain tidak bukan adalah bukti dan natijah daripada keburukan sistem sekularisme yang diamalkan di Malaysia pada hari ini.
Sedangkan Islam memerintahkan umatnya untuk menjaga aurat, kehormatan dan kemuliaan selari dengan lunas-lunas yang telah digariskan oleh Islam. Rasulullah SAW telah mengangkat martabat wanita di tempat yang tinggi setelah kedatangan Islam sebagaimana Firman Allah dalam Surah An-Nisa' ayat 34:
"Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya) dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu khuatir melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil) asingkanlah mereka di tempat tidur dan (kalau mereka masih berdegil) pukullah mereka (dengan pukulan mendidik). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar."
Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia juga ingin menegaskan bahawa selain mengundang kemaksiatan, penganjuran pertandingan ini juga menghasilkan banyak keburukan seperti:-
1. Meletakkan maruah seseorang wanita ke tempat yang sangat hina. Wanita Islam diperagakan dengan pakaian yang menjolok mata bagi memuaskan hati para juri dan penonton.
2. Meletakkan kecantikan wanita bukan pada tempat yang sepatutnya dengan mengeksploitasi dan membanding-bandingkan kecantikan dan tubuh badan wanita yang diukur dengan kaca mata kapitalis demi meraih manfaat dunia semata-mata.
3. Merosakkan generasi umat Islam dengan membawa masuk dan menyebarluaskan lagi budaya dan cara hidup Barat yang mementingkan hiburan dan menjadikan kaum wanita sebagai 'bahan pameran' dan eksploitasi.
4. Menyuburkan lagi fahaman liberal dan sekular di kalangan masyarakat yakni pemisahan hukum-hakam agama daripada kehidupan.
Oleh yang demikian, Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia dengan ini menggesa pihak yang berkuasa untuk membatalkan penganjuran pertandingan ini serta-merta bagi mengelak kemaksiatan dan membendung segala keburukan yang akan terhasil darinya serta menjamin kesejahteraan masyarakat. Jika pihak yang berkuasa tidak bertindak, hal ini sesungguhnya membuktikan betapa jauhnya mereka daripada Islam.
Justeru, kami ingin mengingatkan semua pihak yang terlibat dan pihak kerajaan khususnya, bahawa sekiranya mereka tetap meneruskan penganjuran majlis maksiat ini, mereka sebenarnya telah mengundang murka Allah Azza wa Jalla. Maka tunggulah azab yang akan menimpa mereka baik di dunia mahupun akhirat. Sungguh, umat ini memerlukan seorang Khalifah dan sistem Khilafah yang akan menerapkan dan menjaga hukum Allah, bagi menggantikan pemerintah dan sistem yang bertentangan dengan Islam yang ada sekarang ini.
Aisyah Rahmat
Ketua Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia
www.mykhilafah.com
No comments:
Post a Comment
Syukran for your nice comment. Please leave your comment again!!! (^_^)