Wanita dalam perubahan menuju masyarakat Islam

Allah Subhanahu wa Taala telah menciptakan dunia dan seluruh isinya untuk manusia. Kemudian Dia menciptakan manusia dalam dua jenis [QS an Nisaa:1] iaitu lelaki dan wanita yang ditakdirkan untuk saling bekerjasama dalam membina hidup di dunia untuk mencapai keredhaanNya. Syariat serta berbagai perintah dan larangan telah ditetapkan bagi lelaki dan wanita tanpa membezakan status keduanya sebagai hamba di sisi Allah Subhanahu wa Taala. Mereka akan dibangkitkan semula kelak dan segala amalan akan dihitung lalu kesudahannya adalah syurga mahu pun neraka yang telah dicipta khusus untuk manusia. Oleh yang demikian, berbagai pembebanan(taklif) hukum tidak terbeban pada bahu lelaki mahupun wanita sahaja tetapi terbeban pada bahu keduanya.
Islam memandang setiap permasalahan sebagai permasalahan manusia bukan permasalahan lelaki atau wanita secara individu.

Dan peliharalah daripada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang zalim sahaja di antara kamu. Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaannya”. [TMQ Al Anfal:25]

Ternyata permasalahan wanita tidak hanya memudaratkan wanita bahkan juga mengancam seluruh manusia, dunia dan akhirat. Jadi jelaslah bahawa tiada pengecualian baik lelaki mahupun wanita, kedua-duanya bertanggungjawab atas keselamatan masyarakat dari azab Allah Subhanahu wa Taala. Orang-orang zalim tidak hanya lelaki malah ada juga wanita. Seorang wanita yang tidak menutup auratnya, tidak menjaga kehormatannya, tidak patuh kepada suaminya dalam hal yang di perintahkan Allah dan Rasulnya dan tidak beramal maaruf nahi mungkar, maka dia telah melakukan kezaliman dan kezaliman itu apabila tidak segera diperbaiki akan menghancurkan masyarakat. Begitu juga halnya jika seorang lelaki melakukan penyelewengan, membiarkan isteri dan anak perempuannya tidak menutup aurat, mengamalkan riba dan tidak menunaikan hak-hak keluarganya maka dia adalah seorang yang zalim dan kezalimannya pun akan menghancurkan masyarakat secara keseluruhan.

Sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan berkah kepada mereka dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya” [TMQ Al A’raaf:96]

Dengan demikian, dapat disimpulkan bahawa selamat dan hancurnya sebuah masyarakat menjadi tanggungjawab lelaki dan wanita tanpa ada pengecualian sedikitpun. Pandangan yang membezakan kedudukan lelaki dan wanita adalah merupakan pandangan yang sempit dan berbahaya kerana ia sangat bertentangan dengan Al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya. Pandangan ini tidak berasal dari Islam dan sama sekali tidak ada hubungannya dengan ajaran Islam yang benar.

Islam adalah agama yang sempurna dan kesempurnaanya sebagai sebuah sistem hidup dan sistem hukum meliputi semua perkara yang dihadapi oleh umat manusia

Firman Allah Subhanahu wa Taala :
Dan kami turunkan kepadamu Al-Kitab (Al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu.” [TMQ An Nahl:89]

Ini menjelaskan bahawa, setiap perkara mempunyai hukum yang telah ditetapkan, setiap permasalahan atau apa sahaja kesulitan yang dihadapi oleh kaum Muslimin akan dapat dipecahkan dan diselesaikan oleh Deen Islam termasuk permasalahan wanita. Ini kerana, Islam diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Taala untuk sekalian manusia baik lelaki mahupun wanita.

Namun begitu,Islam sebagai penyelesaian kepada permasalahan manusia hanya akan dapat dilihat jika Islam diterapkan secara kaffah dalam setiap aspek kehidupan manusia baik dalam kehidupan individu, kelompok mahupun masyarakat. Selagi Islam masih belum diterapkan secara menyeluruh dalam semua sistem kehidupan, maka kemuliaan Islam sebagai penyelesaian bagi segala masalah kehidupan tidak akan nampak jelas sebagaimana yang terjadi pada hari ini. Realitinya, 1.4 bilion umat Islam di dunia dan sekitar 200 juta orang di Indonesia yang mengaku beragama Islam tetapi Islam itu hanya diterapkan dalam kehidupan individu, sebaliknya dalam konteks masyarakat, ajaran Islam masih terlalu jauh dari kehidupan.

Sebagai seorang yang menyakini kebenaran Islam, sudah semestinya kita berkewajipan untuk merealisasikan Islam dalam kehidupan. Caranya adalah dengan mencontohi jejak langkah yang telah dilalui oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, yang telah terbukti berjaya membawa Islam ke seluruh alam serta menerapkannya di tengah-tengah kehidupan. Hanya jalan inilah yang wajib dicontohi seperti firman Allah Subhanahu wa Taala :

Katakanlah, inilah jalan (dakwah)-ku. Aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak kalian kepada (agama) Allah dengan hujjah (bukti) yang nyata”. [TMQ Yusuf:108]

Juga firmanNya :

Apa yang diperintahkan Rasul kepada kamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah”. [TMQ Al Hasyr:7]

Peranan Wanita dalam mengubah masyarakat
Sudah jelas bahawa kewajipan Muslimah bukanlah hanya sebagai ibu (ummun) dan pengatur rumah tangga (rabbatul bait). Namun Muslimah juga memiliki tanggungjawab lain yang hukumnya juga adalah wajib iaitu turut aktif melakukan dakwah baik secara peribadi mahupun bergerak dalam jemaah. Dengan kata lain, peranan utama wanita muslimah adalah mengurus dan mendidik anak-anak. Dia mampu menjadi sumber yang menghasilkan cendekiawan dan mujahid pembela Islam. Wanita yang berusaha mempersiapkan anaknya menjadi pejuang Islam merupakan penyumbang besar dalam proses perubahan masyarakat.

Peranan kedua ialah untuk membimbing sesama wanita. Walaupun wanita memikul tanggungjawab yang besar dalam keluarga, namun beliau juga pasti mampu untuk memikul tugas dakwahnya kerana Allah Yang Maha Mengetahui tidak akan membebani hambaNya diluar kemampuan mereka. Perkara penting yang harus difahami seorang muslimah ialah bagaimana caranya untuk memadukan seluruh kewajipannya agar dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Seorang muslimah itu mesti memiliki pemahaman yang jernih mengenai Islam. Dia wajib meyakini bahawa Islam adalah rahmatan lil ’alamin dengan tertegaknya seluruh hukum Islam dan tidak boleh meragui bahawa Islam wajib ditegakkan dalam kehidupan sebagai satu-satunya penyelesaian. Muslimah perlu menyedari bahawa tertegaknya Islam bergantung kepada perjuangan pemeluknya termasuklah kaum wanita yang jumlahnya separuh dari penduduk manusia. Seorang Muslimah perlu memahami bahawa beliau merupakan asas kepada tiang negara dan sebahagian dari ahli masyarakat. Masyarakat Islam tidak mungkin akan terbina dan Daulah Islam tidak akan tertegak jika wanitanya tidak memahami Islam, tidak mengamalkan Islam dalam kehidupan, tidak berdakwah ke jalan Islam, tidak melahirkan generasi pejuang Islam dan tidak menyokong suaminya yang berjuang menerapkan Islam.

Pemahaman tadi perlu digabungkan dengan gambaran yang jelas tentang apa yang mesti dilakukan supaya pemahaman itu tidak terhenti hanya sebagai satu pengetahuan tetapi ianya dipraktikkan dalam kehidupan. Seandainya perkara ini tidak diwujudkan, adalah tidak mustahil jika terdapat segolongan Muslimah yang merasa tertekan dengan beban dakwah yang dipikulnya, justeru menghadkan kewajipannya terhadap rumahtangga sahaja. Memang benar, tanggungjawab dakwah itu berat. Namun, alangkah beratnya siksaan di akhirat bagi mereka yang meninggalkan dakwah dan betapa besar malapetaka yang akan menimpa manusia seandainya kaum hawa sebagai ibu yang mendidik umat manusia, mengabaikan dakwah.

Muslimah yang memahami kewajipannya, akan saling bekerjasama dengan suami tercinta untuk bersungguh-sungguh mendidik anak-anak dan keluarganya dengan ajaran Islam yang sebenar sehingga melahirkan para pendukung perjuangan Islam. Mereka(wanita) juga akan turut berjuang bersama-sama Muslimah lainnya untuk membentuk para pendukung dakwah Islam dan seterusnya mewujudkan satu pandangan umum bahawasanya Daulah Islam wajib ditegakkan.

Dalam kesibukan aktiviti sehariannya sebagai pengatur rumah tangga, seorang muslimah itu masih mampu untuk mengubah pemahaman umat sekalipun sewaktu membeli-belah di pasar, menghantar anak ke sekolah ataupun sewaktu berbual-bual dengan jiran tetangga. Semua itu dilakukan dengan tujuan yang jelas, iaitu bagi membentuk pandangan umum tentang kewajipan menerapkan Syariat Islam di dalam kehidupan. Sekiranya tedapat peluang, samada secara tidak sengaja, ataupun sememangnya di rancang, seorang muslimah akan mengadakan program-program pembinaan pemikiran Islam di sekitar kawasan kediamannya. Beliau juga berperanan mengajak rakan-rakan Muslimah yang lain untuk menyertai program-program yang diadakan..

Peranan ketiga wanita adalah sebagai sayap kiri masyarakat dalam mewujudkan masyarakat Islam bersama-sama golongan lelaki. Wanita mempunyai peranan yang sama dengan lelaki dalam usaha menegakkan Islam. Wanita adalah saudara lelaki. Begitulah ungkapan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam tentang wanita seperti yang diriwayatkan dalam Sahih Bukhari. Pernyataan seperti ini banyak ditemui dalam sirah dakwah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam. Kaum muslimin tidak akan lupa bahawa orang yang pertama mengimani Muhammad ibnu Abdullah sebagai Nabi dan Rasul adalah seorang wanita yang dijadikan oleh Allah Subhanahu wa Taala sebagai isterinya, Saidatina Khadijah. Beliaulah yang membantu Rasullullah berdakwah, membelanya, mengeluarkan harta bendanya bagi dakwah dan sangat mencintai suaminya di saat ramai orang memperlekehkan dan membencinya. Beliaulah yang berada di sisi Rasullullah dan menyokong dakwah Nabi dengan setia tanpa henti sehingga akhir hayatnya tiga tahun sebelum hijrah. Suatu ketika Nabi mengenang wanita yang sangat dicintainya : ”Demi Allah, tiada ganti yang lebih baik dari dia, yang beriman ketika semua orang ingkar, yang percaya kepadaku ketika semua pihak mendustakan, yang mengorbankan hartanya ketika semua berusaha mempertahankannya dan daripadanyalah aku mendapat keturunan”. Inilah srikandi muslimah pertama.

Di Mekah dan Madinah bukan hanya kaum lelaki yang berdakwah tetapi juga wanita. Saudah binti Zam’ah, setelah memeluk Islam, dia segera mendakwahi keluarganya sehinggakan suaminya memeluk Islam. Keduanya saling menyokong untuk berhijrah ke Habsyah dan sehinggakan demi dakwah, suaminya menghembuskan nafas terakhir di negeri Najasyi itu. Akhirnya, sekembalinya ke Mekah Allah Subhanahu wa Taala menetapkannya sebagai isteri Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam.

Ummu ’Ammar (isteri Yasir, ibunya ’Ammar bin Yasir) adalah orang pertama yang terbunuh fi sabilillah demi Islam dan kemudian diikuti oleh suaminya. Demikian pula Fatimah binti Al Khathab yang ditemani oleh suaminya untuk berbincang dengan abangnya, Umar bin Al Khathab yang berakhir dengan pengislaman Umar.

Sewaktu pasukan Nabi menuju ke Khaibar, Ummu Sinaan menghadap baginda Sallallahu Alaihi wa Sallam meminta untuk turut serta dalam pasukan bagi tugas menjaga keperluan minuman, merawat orang sakit dan luka serta mengurusi bekalan makanan. Permintaan tersebut dipersetujui oleh Rasulullah dengan mengatakan : ”Pergilah dengan mendapat rahmat dari Allah”.

Peranan keempat wanita dalam mengubah masyarakat adalah berkecimpung dalam politik. Terdapat banyak contoh peranan wanita muslimah ketika zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dalam bidang yang berisiko tinggi. Asma binti Abu Bakar bertugas menghantar makanan untuk ayahnya (Abu Bakar) dan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam yang sedang bersembunyi di Gua Tsur dalam perjalanan hijrah ke Madinah. Tugas ini sangat berbahaya, kerana apabila orang Quraisy mengetahui tindakannya, bukan hanya dia yang akan mendapat kesusahan tetapi nyawa ayahnya dan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam akan terancam. Asma’ merupakan seorang yang cerdik, dia berjalan menuju ke bukit itu sambil mengembala kambing. Beliau berjalan di depan dan kambing-kambingnya berjalan di belakang. Akhirnya, Rasullullah dan Abu Bakar berjaya memboloskan diri menuju ke Madinah untuk terus menegakkan Islam oleh negara di Madinah.

Peranan politik lain bagi wanita adalah memuhasabah(menasihati) penguasa. Tidak hanya bagi lelaki, wanita juga diperintahkan untuk menasihati pemimpin. Rasulullah bersabda, ”Agama itu nasihat”. Ditanyakan ’Kepada siapa ya Rasulullah?’ Beliau menjawab : ”Kepada Allah, Rasulnya, para pemimpin kaum Muslim dan rakyat mereka”. [HR Bukhari].

Diriwayatkan semasa pemerintahan Khalifah Umar, seorang wanita memuhasabah dasarnya (polisinya) iaitu melarang wanita meminta mahar (mas kahwin) yang tinggi dan bagi yang telah mendapat mahar yang tinggi harus mengembalikannya. Hujah wanita itu, dasar tersebut bertentangan dengan firman Allah Subhanahu wa Taala :

Dan jika kamu ingin mengganti isterimu dengan isteri yang lain, sedangkan kamu telah memberikan kepada seseorang di antara mereka harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil kembali daripadanya barang sedikitpun” [TMQ An Nisa:20]
Khalifah Umar pun terus menukar arahannya dengan mengatakan : ”Benar, perkataaan wanita itu!”

Selain dari itu, aktiviti politik wanita juga adalah melibatkan diri dalam parti politik sebagaimana yang telah disebut dalam Al Quran, Allah Subhanahu wa Taala memerintahkan lelaki dan wanita untuk melibatkan diri dalam parti politik. Firman-Nya :
Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada Islam, mengajak melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Mereka itulah orang-orang yang beruntung” [TMQ Ali Imran:104]

Wanita dalam parti politik boleh sahaja menasihati pemimpin namun aktivitinya yang lebih utama adalah membina kesedaran politik kaum wanita. Wanita merupakan tiang negara, jika wanita tiada kesedaran dan pemikiran politik maka negara akan lemah. Sebaliknya jika wanita memiliki kesedaran politik yang tinggi maka negara pasti akan berdiri teguh.

Jelas sekali, betapa kaum wanita sepatutnya menjadi srikandi muslimah seperti para Sahabiyah. Sudah tiba masanya wanita menolak kaum hawa direndahkan atau merendahkan diri sebagai pemuas nafsu, penghibur dengan lenggok yang mengghairahkan, mengeksploitasi kecantikannya dan mengabaikan kehidupan masyarakat yang ahli-ahlinya telah wanita lahirkan dengan penuh kepayahan dan kesakitan.

Wanita sepatutnya menyedari waktu yang dimilikinya hanya dua puluh empat jam sehari sedangkan kewajipan yang mesti ditunaikan semakin menggunung. Oleh kerana itu, mereka amat menghargai waktu. Tidak mungkin baginya untuk melakukan aktiviti yang mubah (harus) apatah lagi aktiviti yang sia-sia seperti menonton drama, telenovela, berbual kosong dan sebagainya. Mereka sentiasa terikat dengan hukum syara’ baik dalam perbuatan mahupun perkataan. Halal dan haram menjadi panduan dan mengutamakan kewajipan. Bibirnya sentiasa basah dengan zikrullah yang memuji Allah Subhanahu wa Taala. Sejadah sentiasa terhampar untuk bersujud dan rumahnya selalu dipenuhi dengan bacaan Al-Quran beserta kajian isinya. Dia tidak takut dengan celaan dan ancaman sesiapapun yang membenci Islam kerana janji Allah Subhanahu wa Taala sentiasa tersemat di hati dan menjadi pendorong kepadanya. ”Dia yang Maha Perkasa akan menolong mereka yang menolong agamanya” [TMQ Muhammad:7]. Tegaknya Islam di muka bumi ini menjadi cita-citanya dan redha Allah merupakan harapannya. Ringkasnya, wanita Islam merupakan wanita yang melakukan ttugas dan tanggungjawab berkaitan hal-hal ibadah, urusan keluarga, sosial, ekonomi dan politik.

Khatimah

Wanita berperanan besar dalam mengubah masyarakat menuju kepada sebuah masyarakat Islam. Namun begitu, dua hal penting yang perlu diingat adalah, pertama, tugas utama wanita adalah sebagai ibu dan pengatur rumah tangga (ummun wa rabbatul bait). Ertinya, peranan utama ini tidak boleh sama sekali diabaikan ataupun mengutamakan tugas lainnya. Itulah pembentukan sosial yang diberikan Allah Subhanahu wa Taala dalam banyak hadis.

Kedua, keupayaan merubah masyarakat bukanlah untuk menonjolkan diri atau berharap menjadi pemimpin tetapi menunaikan kewajipan dari Allah pencipta manusia semata-mata. Wanita tidak boleh menjadi pemimpin kerana Rasulullah melarangnya ” Tidak akan pernah beruntung suatu kaum yang menyerahkan kekuasaannya kepada wanita” [HR Bukhari].

Percayalah, kaum lelaki muslim yang secara jujur menegakkan Islam akan menebarkan kebaikan bukan hanya bagi manusia lelaki dan wanita melainkan bagi seluruh alam kerana Islam itu adalah Rahmatan lil ’alamin (pembawa rahmat ke seluruh alam). Dalam pandangan Islam, siapa yang menjadi pemimpin untuk menguruskan umat tidak penting, yang penting adalah sumber hukum yang digunakan dalam menjalankan kepimpinan iaitu samada sentiasa berlandaskan Syariat Allah Subhanahu wa Taala atau tidak, benar atau salah. Apabila landasan yang digunakan mematuhi sepenuhnya kehendak syariat Islam, ia pastinya dapat memberi jaminan keadilan bagi semua manusia.

Seorang pemimpin yang mengambil sumber hukum yang sahih(Al Quran dan As Sunnah), pasti akan dapat memberikan keadilan. Sekalipun wanita yang berkuasa namun apabila sumber hukumnya keliru nescaya akan mendatangkan kezaliman termasuk bagi wanita itu sendiri. Oleh yang demikian, asasnya terletak pada hukum dan landasan yang digunakan, samada syariat Islam yang mendatangkan kemaslahatan (manfaat) atau sistem lain yang membawa kesengsaraan (kemudaratan). Wallahu ‘alam bishawab.

MyKhilafah

1 comment:

  1. hiii, sorry lamabt komen,,,
    baguslah penulisan sebegini,, mungkin ini karya sendiri kan,, hihihi

    untuk yg lelaki pulak xde ke???

    hummmmmm.........

    ps : i wish u lot of luck in ur final exam.. so,, study hard lah yer...

    moga bisa untuk menggapai awan di langit yg tinggi

    ReplyDelete

Syukran for your nice comment. Please leave your comment again!!! (^_^)

 

Copyright © 2013 | Wanita Mustanir | by Cik Bulat