Ketika ini saya baru selesai mengedit power point untuk suatu pembentangan. Kepala agak pening apabila lama menghadap laptop. Namun itu bukanlah suasana yang menghalang saya daripada terus melayari internet. Semenjak 2-3 hari yang lepas, cuaca di sini agak panas. Bahang kepanasannya kian terasa sampai ke malam.
Mungkin entri saya ini agak tidak intelektual seperti entri-entri saya sebelum ini. Kadang-kadang kita perlukan sesuatu yang berbeza untuk menyampaikan apa yang kita rasa. Maksud saya, menyampaikan sesuatu agar insan-insan yang sudi membaca post saya ini mudah faham.
Kira-kira 2 hari yang lalu, saya telah menamatkan 3 hari perkuliahan CHC. CHC adalah kursus bersama pelajar-pelajar perubatan. Tajuk yang dikuliahkan adalah 'Holistic Approach'. Pensyarah menerangkan bahawa kita perlu melihat seorang pesakit secara keseluruhan. Ini bermakna, kita perlu melihat bukan sahaja kepada penyakitnya tetapi kesejahteraan psikologikal dan juga sosial pesakit tersebut. Kita perlu mengambil kira pelbagai aspek.
Begitu juga dengan bidang yang saya ceburi ini. Dalam dunia realiti ini, sebagai seorang bakal ahli farmasi, insyaAllah, saya hanya memberikannya ubat untuk mengurangkan simptom. Ubat untuk mengubati penyakit secara fizikal. Tetapi mungkin kita tak pernah sedar ataupun terfikir bahawa pesakit-pesakit yang ada kini menderita jiwanya. Jiwanya kacau, perasaannya tak tenteram dan fikirannya berserabut. Itu yang kadang-kadang pesakit stres, ahli keluarganya juga stres.
Jadi bukan hanya ubat untuk mengubati penyakit fizikalnya sahaja yang harus diberikan tetapi ubat untuk rohaninya juga. Saya bersyukur kerana saya sentiasa dimotivasikan oleh seorang insan yang banyak pengalamannya tentang asam garam kehidupan. Kata-katanya umpama baja yang menyegarkan pohon layu.
Sebenarnya memberikan ubat rohani adalah jalan terbaik mengubati penyakit seseorang pesakit terutama yang berkaitan jiwa. Mungkin saya tiada pengalaman dalam menghadapi kes-kes sebegini tetapi insyaAllah akan saya praktikkannya kelak. Sebab manusia itu kuat sekiranya dia mempunyai keinginan atau motivasi dalam diri yang kuat.
Sebagai contoh, seorang pesakit mengalami tekanan perasaan ataupun penyakit psikiatri yang lain seperti schizophrenia, penyakit bipolar dan lain-lain. Dia mungkin diberi ubat seperti litium, asid valprik, lamotrigine dan ubat-ubat lain sebagai penstabil mood. Tapi adakah itu cukup untuk memulihkan sakitnya?
Sebagai seorang ahli farmasi, ubat tersebut mungkin saja boleh menyembuhkan penyakitnya itu. Tetapi sebagai seorang yang berfikrah islami dan menjalani tata cara hidup islami, ubat-ubat itu tidak mencukupi. Bagi saya, ubat rohani is the best treatment for patient like them. Kerana apa saya berkata sedemikian? Kerana sistem hidup yang menekan mereka saban waktu menyebabkan fikiran mereka terganggu dan jiwa mereka kacau.
Sesungguhnya Islam itu rahmat sekalian alam. Islam itu mempunyai penyelesaian dalam kehidupan. Maka, holistic approach yang perlu dilakukan adalah kembali kepada kehidupan Islam.
Islam adalah agama yang sempurna dan kesempurnaanya sebagai sebuah sistem hidup dan sistem hukum meliputi semua perkara yang dihadapi oleh umat manusia. Allah SWT telah berfirman: “Dan kami turunkan kepadamu Al-Kitab (Al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu.” (QS An Nahl:89)
Ini menjelaskan bahawa, setiap perkara mempunyai hukum yang telah ditetapkan, setiap permasalahan atau apa sahaja kesulitan yang dihadapi oleh kaum Muslimin akan dapat dipecahkan dan diselesaikan oleh Deen Islam. Ini kerana, Islam diturunkan oleh Allah SWT untuk sekalian manusia baik lelaki mahupun wanita.
Namun begitu, Islam sebagai penyelesaian kepada permasalahan manusia hanya akan dapat dilihat jika Islam diterapkan secara kaffah dalam setiap aspek kehidupan manusia baik dalam kehidupan individu, kelompok mahupun masyarakat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Syukran for your nice comment. Please leave your comment again!!! (^_^)