Khas Buat Bakal-bakal Mahasiswa/i

Assalamualaikum wbt,

Setelah banyak entri tentang hati dan perasaan di belog ini, tiba masanya untuk kita bercerita sesuatu yang serius. Saya kira ia sangat serius kerana melibatkan duit dan juga hak. Siapa yang pernah mendapat tawaran masuk Universiti, pasti tahu keadaan ini. Keadaan apa?

Inilah dia.

Apabila surat tawaran masuk U tiba di rumah yang dihantar Encik Posmen, pasti di dalam surat tersebut terselit sehelai cek bernilai RM1,500. Cek tersebut adalah wang pendahuluan pembiayaan oleh PTPTN untuk pelajar. Siapa yang depositkan cek tersebut, maka dia terikat dengan PTPTN secara tidak langsung dan langsung. Saya rasa, ramai di kalangan kita yang tidak berduit pasti akan depositkan cek tersebut dan mengatakan bahawa, "bagusnya PTPTN nih kan. Tengah takde duit nilah depa tolong." Kita yang mendengar nih pun akan terikut-ikut jejak kawan kita yang telah depositkan cek tersebut. Adakah anda salah seorang daripada mereka?

Saya akui, bukan mudah nak belajar di U kerana yuran pendaftaran pun dah 2 ribu lebih. Bagi keluarga yang kurang berkemampuan macam saya nih, jalan terakhir mestilah mengambil bantuan yang telah PTPTN berikan tanpa berfikir panjang. Tapi adakah itu sahaja jalan penyelesaiannya? TIDAK! Katakan tidak pada PTPTN! Hehehe. Mari kita baca kenapa mesti TIDAK! bukannya Ya!..
PUTRAJAYA 10 Ogos - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan RM53.4 juta sebagai wang pendahuluan pembiayaan kepada 35,664 pelajar yang akan memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan bermula 3 September depan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, semua pelajar yang layak akan menerima wang sebanyak RM1,500 seorang, dua minggu sebelum tarikh pendaftaran kemasukan ke IPT. "Ini adalah salah satu usaha yang mana selaras dengan prinsip pendemokrasian pendidikan. Percayalah, kerajaan akan terus membantu golongan muda kerana mereka adalah harapan negara dan kita akan melakukan yang terbaik untuk menjamin masa depan golongan belia," katanya hari ini. Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, bantuan itu diberikan kepada pelajar yang keluarga mereka berpendapatan tidak melebihi RM4,000 sebulan dan yang belum pernah mendapat pembiayaan PTPTN sebelum ini. - BERNAMA

Sumber : Utusan Online, 11/08/2011


Pendidikan merupakan salah satu hak asasi umat yang perlu disediakan oleh negara. Negara wajib menyediakan kemudahan pendidikan bermula daripada pendidikan asas sehinggalah ke pengajian tinggi. Bantuan pendidikan bukan sekadar membayar gaji guru, pensyarah dan menyediakan kemudahan prasarana moden tetapi ia juga termasuklah membekalkan segala keperluan termasuk alat-alat dan pakaian kepada pelajar yang memerlukan. Jadi, bantuan pendahuluan sebanyak RM1500 itu dilihat hanyalah sekadar ‘gula-gula’ yang ingin menutup mulut rakyat yang sudah muak dengan segala penyelewengan dan korupsi melibatkan jutaan ringgit yang berlaku di dalam pentadbiran kerajaan baik daripada peringkat bawahan sehinggalah kepada kepimpinan tertinggi. Lebih malang lagi, bantuan permulaan melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu bakal memerangkap bakal mahasiswa dengan bebanan hutang puluhan ribu ringgit setelah mereka menamatkan pengajian kelak. Ini adalah kerana hakikat sebenar “bantuan” yang disalurkan oleh PTPTN itu sebenarnya merupakan suatu “pinjaman” berbayar yang akhirnya menjerumuskan para pelajar ke kancah dunia riba. Sikap para pemerintah kapitalis yang sering mengambil kesempatan ke atas rakyat dengan melakukan ‘perniagaan’ merupakan hal yang amat bertentangan daripada ajaran Islam.

Di zaman kegemilangan Islam, pusat- pusat pendidikan serta penyelidikan tumbuh umpama cendawan selepas hujan. Pusat- pusat ini bukan sahaja menyediakan kemudahan pendidikan secara percuma dan canggih kepada warganegara daulah Islam, tetapi juga mampu menarik para pelajar dari luar. Contohnya di zaman Kekhilafahan Abasiyyah, kota Baghdad dan Andalusia merupakan kota ilmu yang banyak melahirkan ulama dan ilmuan Islam yang tersohor seperti Ibnu Sina, Al Khawarizmi, Al Biruni, Al Razi dan ramai lagi. Malah, dari sinilah cahaya Islam menerangi penduduk Eropah yang masih berada di dalam Zaman Kegelapan ketika itu. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab bagi negara untuk memastikan keperluan umat ini dipenuhi dan dipelihara dengan cara yang terbaik dan bukannya secara ala kadar umpama ‘melepas batuk di tangga’! Wallahu a’lam.
Nota : tentang hak pendidikan akan diulas kemudian jika berkesempatan, InsyaAllah.

3 comments:

  1. jadi, apa penyelesaian utk x ambik PTPTN?

    ReplyDelete
  2. ada kelebihan jugak ambik ptptn kpd budak bijak yg rajin belajar leh tukar biasiswa atau percuma ..syaratnya kena dapat 3.5pointer ke atas....
    untuk degree sahaja..diploma belum lagi kot..apapun setuju pendidikan di percumakan teruma dlm negara.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum wbt
    Dlm keadaan sekarang, kita terpaksa berpijak dibumi nyata bahawa kita kehilangan ketiga2 hakmilik dlm Islam dan terpaksalah kita mengambil dlm keadaan tidak redha tetapi itu saja peluang yang kita ada. Lainlah kalau kita byk wang tetapi rata2 kita adalah marhaen. Kita terpaksa berada bertompok2 bersama2 dikalangan sistem yang mereka pegang. Surah AlAnfaal:37 وَيَجْعَلَ الْخَبِيثَ بَعْضَهُ عَلَىٰ بَعْضٍ فَيَرْكُمَهُ جَمِيعًا Dan menjadikan (golongan) yang jahat itu setengahnya bersatu dengan setengahnya yang lain, lalu ditimbunkannya kesemuanya.
    Wallahualam

    ReplyDelete

Syukran for your nice comment. Please leave your comment again!!! (^_^)

 

Copyright © 2013 | Wanita Mustanir | by Cik Bulat