Hukum 'Dating' dengan Tunang


Soalan:

Bolehkah seorang lelaki dan wanita yang sudah bertunang, duduk atau berjalan berdua, sama ada di tempat terbuka atau di tempat persendirian?

Jawapan:

Maksud pertunangan dalam Islam
Pertunangan menurut Islam adalah muqaddimah kepada perkahwinan. Ia diharuskan (mubah) dalam Islam bagi memberi peluang kepada si lelaki atau perempuan untuk mengenali calon pasangan masing-masing dengan lebih dekat lagi. Dalam bahasa Arab, bertunang disebut sebagai khitbah. Khitbah yang diterjemah maknanya ke Bahasa Melayu bermakna “melamar” wanita untuk dijadikan bakal isteri. “Melamar” bermakna meminta persetujuan pihak wanita untuk menjadi isteri kepada pihak lelaki. Khitbah melibatkan ‘tempoh’ berdasarkan kebiasaan atau adat yang masyhur dipegang oleh masyarakat. Khitbah  juga bermakna proses lelaki meminta daripada pihak perempuan untuk berkahwin dengan cara-cara yang diketahui masyhur di tempat masing-masing.

Hukum syara’ berkaitan interaksi antara lelaki dengan perempuan

Islam menerangkan hukum-hukum yang mengatur hubungan antara lelaki dengan wanita dengan begitu jelas dan terperinci. Menurut ajaran Islam, prinsip asas interaksi antara lelaki dengan perempuan bukan mahram adalah terpisah. Ini bermakna, berkumpul (ijtima’), bercampur-baur (ikhtilat) ataupun berdua-duaan (khalwat) antara lelaki dan wanita bukan mahram sama ada bertunang ataupun tidak, hukumnya adalah haram.

Banyak dalil yang menunjukkan pemisahan antara dua jantina ini, dan banyak hadis yang menjelaskan hukum yang berkaitan hal ini sama ada di tempat umum mahupun khusus. Tempat umum adalah seperti masjid, lorong-lorong dan tempat berjual beli yang mana, sesiapa sahaja boleh berada di tempat itu tanpa keizinan sesiapa. Tempat khusus seperti rumah pula tidak boleh dimasuki orang luar tanpa keizinan pemiliknya, meskipun hanya untuk menjenguk apa yang ada di dalamnya. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu selalu ingat. Jika kamu tidak menemui seseorang di dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu mendapat izin. Dan jika dikatakan kepadamu: ‘pulang sajalah’ maka hendaklah kamu  pulang. Itu lebih bersih bagimu dan Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [TMQ an-Nur (24):27-28].

Berkenaan dengan larangan ijtima’ dan ikhtilat di tempat umum, Abu Dawud telah meriwayatkan hadis-hadis seperti di bawah:“Rasulullah S.A.W melihat kaum lelaki dan perempuan di luar masjid bergerak bersebelahan antara satu sama lain. Baginda S.A.W menahan kaum    perempuan lalu berkata, ‘Adalah tidak elok untuk kalian berjalan di tengah-tengah laluan ini, adalah lebih baik bagi kalian untuk berjalan mengikuti tepi-tepi dinding." [HR Abu Dawud].

Nabi Muhammad S.A.W bersabda, “Usah berjalan di antara dua lelaki ataupun di antara dua wanita di satu lorong.” [HR Abu Dawud].

Ini bermakna, hukum asal dalam Islam ialah wanita dan lelaki bukan mahram adalah terpisah. Namun hukum syara’ juga membenarkan perempuan melaksanakan sebahagian aktiviti yang memerlukan ijtima’ di tempat umum. Misalnya Allah membolehkan wanita untuk melakukan jual-beli serta mengambil dan menerima barang, memiliki harta dan mengembangkannya, bekerja dan mengupah pekerja, memberi dan menerima rawatan, belajar dan mengajar, dan terlibat dalam memiliki, menguruskan dan melaksanakan sektor pertanian dan industri.

Jika perbuatan itu menuntut interaksi lelaki-perempuan untuk disempurnakan, maka ikhtilat untuk melaksanakan urusan ini dibenarkan kerana perbuatan ini sendiri dibenarkan. Manakala jika perbuatan ini boleh disempurnakan tanpa interaksi lelaki dengan perempuan, maka pemisahan wajib dilakukan contohnya dengan memisahkan kawasan lelaki dan   perempuan di masjid dan di kelas pengajian. Tidak dibolehkan ikhtilat dalam melaksanakan sesuatu yang boleh disempurnakan tanpa interaksi lelaki dengan perempuan yang bukan mahram. Contohnya bersiar-siar, berjalan bersama-sama ke masjid, pasar, temasya, atau menziarahi keluarga, walaupun dilakukan di tempat umum.

Selain melarang ijtima’ dan ikhtilat antara lelaki dengan perempuan pada perkara yang tidak dibenarkan di tempat umum, interaksi antara lelaki dengan perempuan bukan mahram dalam keadaan berkhalwat iaitu bersunyi-sunyian di tempat khusus juga haram, kecuali jika perempuan itu ditemani mahramnya (contohnya bapa dan adik-beradik lelakinya). Rasulullah S.A.W bersabda: “Janganlah seorang laki-laki ber-khalwat dengan seorang wanita kecuali dia disertai mahramnya,kerana yang ketiga di antara keduanya adalah syaitan.” [HR Muslim, dari jalur Ibn Abbas].

Berdasarkan dalil-dalil di atas, tidak ada pengecualian kepada calon suami-isteri daripada melakukan perkara yang diharamkan antara lelaki dengan perempuan bukan mahram seperti menampakkan aurat dengan sengaja kepada bakal pasangan, berkhalwat, dan sebarang perbuatan yang mendekati zina. Sebabnya, seperti yang diketahui umum, antara lelaki dengan perempuan yang bertunang belum ada apa-apa ikatan yang sah. Hukum larangan ijtima’, ikhtilat dan khalwat tetap terkena pada lelaki dan perempuan yang akan atau sudah bertunang kerana keumuman hukum-hukum tersebut.

Khatimah

Islam adalah agama yang sempurna dan lengkap. Setiap permasalahan  dapat diselesaikan jika kaum muslim sentiasa berfikir berpandukan hukum Allah. Islam datang dengan seperangkat hukum termasuklah hukum pergaulan antara lelaki dengan wanita. Lelaki dan wanita yang bukan mahram sama sekali   tidak dibenarkan duduk berdua-duaan baik di tempat umum mahupun di tempat khusus tanpa ditemani oleh seorang mahram. Jika umat   Islam mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh syara’ nescaya tidak akan berlaku kes-kes zina, hamil luar nikah, pengguguran dan pem-buangan bayi yang tidak diingini. Oleh itu, kami menyeru kepada   muslimin dan muslimat supaya   kembali kepada hukum Allah. InsyaAllah jika kita kembali pada   hukum Allah, kita akan selamat di dunia dan di akhirat.

Rujukan

· Al-Quran dan tafsir terjemahannya
· Sunan Abu Dawud Jil. 4, ms 370, hadis no. 5273
· An-Nidzam Al-Ijtima’i fi Al-Islam. Oleh Taqiyuddin An-Nabhani. Cetakan ke-4 2003. Lubnan: Darul Ummah.

· Sistem Pergaulan Dalam Islam (Edisi Mu’tamadah). Oleh Taqiyuddin An-Nabhani. 2007. Jakarta: HTI Press.
· Fikih Sunnah jilid 6. Oleh Sayid Sabiq

 [FU/Februari2013/Bil.52]

No comments:

Post a Comment

Syukran for your nice comment. Please leave your comment again!!! (^_^)

 

Copyright © 2013 | Wanita Mustanir | by Cik Bulat