Hampir 6 jam saya berada di Felda Jengka 16 semalam. Tak pernah di dalam lipatan sejarah hidup, saya sampai di Jengka, Pahang. Tetapi Alhamdulillah apabila segalanya berjalan lancar. Sebenarnya saya tidak pernah menyangka akan sampai ke sana. Saya hanya menganyam impian untuk ke Jengka suatu hari nanti, begitu juga ke Janda baik. InsyaAllah. Kenapa saya ingin ke Jengka? Kerana saban hari saya mendengar berita berkenaan Felda Jengka, Pahang. Lagipun, kawan saya ada tinggal di sana. Jadi itu yang trigger saya untuk ke Jengka, dan alhamdulillah sampai juga saya semalam. Janda Baik pula sebab saya terbaca sebuah novel bertajuk "Selaut Kasih".
Okey, kita berbalik kepada Jengka. Saya ke sana bukan kerana perkara yang menggembirakan tetapi lebih kepada peringatan. Peringatan kepada saya, Adakah saya telah bersedia? Bersedia dari segi apa? Sungguh ini adalah kali ketiga saya menghadiri kematian saudara. Pertama, moyang perempuan saya sebelah umi, tahun 2003, kedua keluarga di sebelah abah, tahun lepas kalau saya tak silap. Tetapi saya kurang pasti apakah taliannya dengan abah. (Inilah masalahnya apabila tidak mengenali keluarga sendiri. Teruk betul saya.) Dan yang ketiga adalah semalam, pak cik abah.
Kematian sanak saudara membuatkan saya sentiasa berfikir. Jika kematian itu adalah dari keluarga terdekat saya, atau ahli keluarga saya sendiri, apakah saya benar-benar bersedia untuk menghadapinya? Atau jika saya sendiri yang dipanggil Ilahi, adakah saya sudah bersedia? (Saya mengingatkan diri yang menulis ini kerana kadang-kadang alpa dengan duniawi.)
Baru-baru ini, ketika saya menemani saudara saya ke selatan tanah air, saya juga dikejutkan dengan berita kematian anak kepada seorang sahabat kami. Kematiannya terlalu mengejut tetapi alhamdulillah segala-galanya berjalan dengan lancar dan cepat. Ketika anaknya siap dikebumikan, ada jiran-jiran yang bertanya kepada sahabat saya itu selaku ibu arwah. "Akak tak sedih ke? (sebab jiran-jiran tidak nampak raut kesedihan di wajah ibu bapa arwah)" Sahabat saya itu menjawab, "Kami telah bersedia menghadapinya." Subhanallah. Hanya Allah yang Maha Tahu betapa saya terpegun dengan kata-kata sahabat saya itu. Iya, kami telah bersedia. Saya ulangi kata-katanya di dalam hati. Saya, bagaimana? Adakah saya telah bersedia? Adakah saya akan setabah beliau sekiranya saya berada di posisi tersebut? Adakah saya akan sabar sepertinya? Ya Allah, lemahnya saya berbanding beliau.
Berkenaan dengan kematian semalam, saya seakan-akan tidak mahu pergi menziarahinya. Bukan saya sengaja tidak mahu pergi, tetapi memandangkan tugas saya sebagai 'suri rumah' yang belum selesai. Namun, ajakan abah akhirnya saya akur. Lagipun setelah memikirkan bahawa itu adalah kematian saudara, saya perlu menziarahinya. Setibanya saya di sana, saya melihat sanak saudara saya menangis kesedihan. Tetapi tidak pada saya. Saya tidak menangis, sedih pun tidak juga. Mungkin kerana saya tidak mengenali keluarga sebelah abah. Sekiranya saya menitiskan air mata sekalipun, saya merasakan saya seolah-olah hipokrit. Jadi adalah lebih baik untuk saya buat biasa-biasa sahaja.
Dulu, ketika arwah moyang saya meninggal, saya juga tidak menangis, sekadar sedih di dalam hati. Bila saya ingatkan balik, hati batukah saya ini? Kenapa saya tidak menangis seperti mereka (umi, maknek, ciknek, makda, tok long dan ramai lagi)? Adakah 'pemergiaannya' tidak meninggalkan apa-apa kesan buat saya? Sebenarnya, menzahirkan kesedihan adalah sesuatu yang sukar buat saya. Saya pun tak pasti kenapa. Sebab itu saya sangat-sangat khuatir sekiranya saya tidak bersedia. Kematian itu adalah suatu kepastian. Sehingga kini, kesedihan itu tiada, tetapi bila mak nek menceritakan bagaimana saya diselamatkan moyang apabila saya hampir lepas ketika saya berusia dua tahun, saya terasa rindu untuk bersembang dengan beliau. Terasa ingin menunjukkan kasih sayang saya padanya. Terasa ingin melihat dia gembira dengan kedewasaan saya. Ingin saya katakan padanya, "Terima kasih, awi.. Melalui tanganmu, Allah izinkan saya bernafas lagi hingga sekarang." Tetapi Allah lebih menyayanginya. Al-Fatihah saya sedekahkan kepadanya apabila rindu datang bertandang.
Apa yang saya harapkan, saya akan bersedia apabila ada ahli keluarga saya yang 'pergi' dipanggil Ilahi. Begitu juga saya. Teringat saya akan kata-kata Wak semalam ketika pulang ke Kuala Lumpur, "Alhamdulillah, arwah telah selamat pergi. Kita yang tinggal ini belum tentu lagi kesudahannya. Semoga kesudahan umur kita adalah kesudahan yang baik."
Doaku, "Ya Allah, akhirkanlah umurku dengan kesudahan yang baik dan janganlah kiranya Tuhan akhirkan umurku dengan kesudahan yang tidak baik.Ameen."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Sye dahulukan dengan ucapan..
ReplyDeleteSemoga pemergiannya dicucuri rahmat...
InsyaAllah...
Sye doakan Shira bersedia dalam semua segi..
Doa saya juga agar umur Shira dipnjgkan Illahi...
Ameen..
Terima kasih Nabila.
ReplyDeleteShira juga doakan Nabila agar bersedia dengan ketentuan Allah swt. Kita hanya merancang, Allahlah yang menentukan segala-galanya.
Wallahua'lam..