Seminar Wanita dan Cabaran Masa Kini di Skudai, Johor

Ikatan Intelektual Nusantara (IKIN) dengan kerjasama Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) cawangan Johor telah menganjurkan satu seminar bertajuk : Wanita dan Cabaran Masa Kini. Krisis Sosial – Sampai Bila? Seminar yang julung-julung kali diadakan ini telah berlangsung di Hotel Kelana, Skudai Johor pada 12 Julai 2009. Program bermula seawal jam 8 pagi dan telah berakhir pada 12.30 tengahari.

Seminar diawali dengan bacaan Al-Quran dan tayangan multimedia yang memaparkan isu-isu sosial yang melanda masyarakat umumnya dan wanita khususnya. Tujuan seminar diadakan antara lain adalah untuk merangsang kesedaran masyarakat terhadap krisis sosial yang kian meruncing dan seterusnya mendorong mereka untuk mencari kaedah penyelesaian terbaik seperti yang dituntut oleh Islam. Inilah yang menjadi topik pembentangan oleh kedua-dua ahli panel. Ahli panel pertama yang merupakan wakil IKIN telah membongkar dan mendedahkan realiti permasalahan sosial yang semakin membimbangkan. Ini disusuli oleh ahli panel kedua yang merupakan seorang aktivis HTM yang merungkai permasalahan sosial dengan memberikan kaedah penyelesaian praktikal mengikut Islam.

Adalah jelas permasalahan sosial yang berlaku bukanlah sekadar takdir atau kebetulan semata-mata, tetapi disebabkan oleh kesinambungan faktor-faktor seperti tiadanya ketaqwaan dalam diri seseorang, masyarakat yang bersikap mementingkan diri sendiri (individualistik) dan diperparahkan lagi dengan tiadanya undang-undang dan hukuman Allah terhadap mereka yang bersalah. Ahli panel menyeru hadirin agar bersama-sama berusaha menyelesaikan permasalahan sosial yang berlaku dengan kembali menegakkan hukum Islam dalam seluruh aspek kehidupan dan ini hanya dapat direalisasikan dengan tertegaknya sebuah Daulah Khilafah. Tertegaknya Khilafah, insyaAllah tidak hanya menyelesaikan krisis sosial namun seluruh permasalahan umat manusia, sepertimana yang difirmankan oleh Allah mengenai lengkap dan menyeluruhnya ideologi Islam dalam surah Al Maidah ayat 3 “Hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan untuk kamu nikmat-Ku, serta Aku redhai Islam sebagai agama kamu”.

Para hadirin juga berpeluang menyaksikan pameran yang memaparkan berita-berita terkini yang terkait dengan gejala sosial dan sedikit penerangan mengenai pentingnya sebuah Khilafah yang menerapkan sistem Islam secara menyeluruh.













Pihak IKIN dan MHTM (Johor) mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan seminar ini. Sekalung syabas dan tahniah juga ditujukan kepada warga kerja IKIN dan MHTM yang bersungguh-sungguh memastikan seminar ini dapat dilangsungkan dengan lancar dan jayanya.
Wallahu 'alam

No comments:

Post a Comment

Syukran for your nice comment. Please leave your comment again!!! (^_^)

 

Copyright © 2013 | Wanita Mustanir | by Cik Bulat