Gadis Malaysia Bukan Sahaja Jahil Isu Hamil dan Dara

Nathan Kandapper (tiga dari kiri) bersama panel penasihat pakar forum BodyLife IQ 2010 pada pelancaran kempen Kotex 'I Know' di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

HAMPIR 100 peratus gadis di rantau ini termasuk di Malaysia tidak tahu membezakan antara mitos dan fakta berhubung biologi asas membabitkan tubuh mereka sendiri.

Kajian Kotex BodyLife IQ di Singapura, Filipina, Vietnam, Indonesia dan India serta Malaysia mendapati 97 peratus gadis tidak tahu berapa lubang yang ada pada wanita dan sama ada kencing atau haid datang dari saluran sama.

Mengikut kajian kuantitatif melibatkan 1,800 wanita berusia 16 hingga 24 tahun itu, Malaysia menduduki tangga tercorot dalam memahami isu kehamilan dan kedaraan.

Majoriti 60 peratus gadis percaya menyentuh payu dara akan menjadikannya semakin besar, 55 peratus lagi yakin memakai coli dengan kerap boleh mengakibatkan kanser payu dara manakala 21 peratus percaya makan berlebihan mempercepatkan kedatangan haid.

Separuh daripada responden kajian dengan 56 peratus gadis dan wanita diterapkan dengan idea bahawa mereka tidak akan hamil jika melakukan hubungan seks sewaktu datang haid.

Pengarah Urusan Kimberly-Clark (Malaysia/Singapura), Nathan Kandapper berkata, kajian itu membabitkan sekolah selain kalangan wanita berpendidikan, bercita-cita tinggi, berpersonaliti menarik dan aktif secara sosial.

"Kami merasakan perlu untuk membawa permasalahan ini ke tengah dan memperkenalkan penyelesaian menerusi kempen I Know.

"Kata kunci di sini adalah 'pendidikan' dan menggalakkan mereka bertanya soalan, mendapatkan maklumat agar dapat membuat keputusan lebih baik di masa depan," katanya.

Kotex mengadakan kajian menyeluruh BodyLife IQ bagi mengukur pemahaman wanita muda di rantau ini mengenai diri dan tubuh mereka serta kehidupan secara umum.

Ia merupakan sebahagian kempen I Know yang bertujuan mendidik, memperbetulkan mitos dan menghapuskan kongkongan perasaan malu.

Pada majlis pelancarannya di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini, berlangsung Forum BodyLife IQ 2010 melibatkan panel penasihat pakar.

Antaranya, Pengurus Pemasaran Kimberly-Clark Malaysia, Haniza Tahir; aktivis sosial Datin Paduka Marina Mahathir; pakar psikologi, Dr. Hera Lukman; selebriti dan penceramah, Azah Yazmin dan Mila Jirin (Akademi Fantasia 5).

Sementara itu, Hera berkata, golongan dewasa seperti ibu bapa dan penjaga yang menerapkan dalam fikiran anak-anak bahawa perkara berkaitan seks adalah subjek larangan.

Sikap itu bapa yang negatif kata Hera, menyekat laluan komunikasi dan mewujudkan kejanggalan tatkala menyentuh persoalan berkaitan dara, cinta, seks dan sebagainya.

Hasilnya adalah generasi remaja yang naif tentang imej diri, menjaga keperawanan dan maruah.

Menurut Azah pula, apa yang golongan dewasa tidak tahu adalah anak-anak mempunyai banyak persoalan tentang seks malah tidak kurang di antara mereka terjerumus dalam ketagihan seks.

"Apabila mereka dihantui perasaan ingin tahu, banyak perkara boleh jadi. Ada yang kata mereka dapat tahu tentang alat kelamin dan seks daripada budak lelaki.

"Ini menjadi 'si buta memimpin si buta' apabila kedua-duanya tidak faham apatah lagi tentang kehamilan dan jangkitan penyakit seks (STD)," tegasnya.

Sumber: Utusan Online 17hb Mac 2010


Gadis Malaysia Bukan Sahaja Jahil Isu Hamil dan Dara
Memahami isu hamil dan dara adalah berbeza dengan memahami bahawasanya tanpa pendidikan seks akan menghasilkan remaja yang naïf tentang imej diri, menjaga keperawanan dan maruah hingga terjerumus ke lembah seks bebas. Islam datang dengan hukum-hakam untuk menyelesaikan pelbagai masalah manusia.

Antaranya ialah hukum hakam tentang solat, puasa, haid-nifas, pernikahan, kelahiran dan sebagainya. Dalam proses memahami hukum-hakam ini, umat Islam didedahkan dengan aspek biologi dan fisiologi manusia sehingga mereka mengetahui tentang kitaran haid dan kaitannya dengan hukum solat, hukum berpuasa, hukum berkaitan hubungan jenis, nikah dan lain-lain.

Diriwayatkan oleh al-Bukhari bahawa Marwan bin Ajda’ berkata, saya pernah bertanya kepada Aishah radiallahu anha.: “Apakah yang boleh dilakukan oleh seorang lelaki terhadap isterinya apabila dia kedatangan haid?” Baginda Rasulullah Salallahu alahi wasallam menjawab: “Apa sahaja selain farajnya.” [HR Bukhari]

Pada masa yang sama, Islam mengajarkan kepada umatnya tentang kejadian manusia itu sendiri yang memiliki naluri melanjutkan keturunan (gharizatun nau’/procreation instinct) yang lahir darinya keinginan terhadap lawan jenis, kasihkan kerabat, mahukan anak dan lainnya. "Dijadikan indah pada (pandangan) manusia itu fitrah kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita dan anak-anak". [TMQ Ali Imran (3):14].

Apa yang diajarkan oleh Islam bukanlah menafikan naluri ini tadi, sebaliknya menyarankan manusia untuk menikah ataupun menahan syahwat dengan berpuasa. “Barangsiapa berkahwin maka dia telah melindungi (menguasai) separuh agamanya, kerana itu hendaklah dia bertakwa kepada Allah dalam memelihara yang separuhnya lagi.” [HR Al Hakim dan Ath-Thahawi)].

Wahai para pemuda, barangsiapa di antara kalian yang mampu menikah, maka menikahlah. Kerana dengan menikah itu, ia akan dapat menahan pandangan dan lebih memelihara kemaluan. Dan barangsiapa yang tidak mampu, maka hendaklah ia berpuasa. Kerana dengan berpuasa itu akan dapat menahan syahwatnya". [HR al-Bukhari, (no. 5066)].

Dari penjelasan di atas, kita memahami bahawasanya mempelajari hal-hal berkaitan dara, seks, kehamilan dan sebagainya bukanlah satu disiplin ilmu tersendiri yang terpisah dari cabang ilmu-ilmu lain kerana ia adalah subset kepada hukum-hakam tentang haid, nifas, pernikahan, perceraian, solat, puasa, dsb. Ilmu tentang seks semata-mata tanpa fikrah Islam mungkin memberi pendedahan kepada remaja bagaimana untuk mengelak kehamilan yang tidak dirancang dan mengelak jangkitan penyakit seks (STD), akan tetapi tiada jaminan remaja dapat mengelak dari terlibat dalam gejala zina yang membawa kepada kemurkaan Allah. “Dan janganlah kamu Menghampiri zina, sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk " [TMQ Al Isra' (17) : 32]. Wallahu alam bisshawab.

No comments:

Post a Comment

Syukran for your nice comment. Please leave your comment again!!! (^_^)

 

Copyright © 2013 | Wanita Mustanir | by Cik Bulat