Altruisme
Allah SWT berfirman (yang ertinya) : Mereka mengutamakan (kaum Muhajirin) atas diri mereka sendiri walaupun mereka dalam kesusahan (QS al-Hasyr [59]:9).
Ayat ini berkaitan dengan sebuah riwayat yang dituturkan oleh Abu Hurairah ra. Disebutkan bahawa pernah ada seorang Muhajirin menemui Rasulullah saw. lalu berkata, "Ya Rasulullah, sungguh saya sangat lapar sekali!"
Mendengar itu Rasul segera membawa orang itu kepada salah seorang isteri beliau agar ia memberinya makan. Namun isteri beliau itu berkata, "Demi Zat Yang mengutusmu dengan haq. Kita tidak memiliki apapun kecuali air."
Nabi yang mulia lalu membawa orang itu kepada isteri beliau yang lain. Isteri beliau itu pun menjawab dengan jawapan yang sama. Beliau kemudian membawa orang itu kepada isteri-isteri beliau yang lainnya lagi.. Namun jawapan mereka juga sama saja : mereka tidak memiliki apa pun, kecuali air. Akhirnya, beliau bersabda kepada para sahabat, "Siapa sahaja yang sanggup menjamu tamu ini pada malam in, Allah pasti merahmatinya."
Seseorang dari kalangan Ansar lalu berdiri seraya berkata, "Saya, ya Rasulullah."
Orang Ansar itu pun membawa tamunya ke rumahnya. Ia lalu berkata kepada isterinya, "Kita didatangi tetamu malam. Apakah kita mempunyai makanan?"
Isterinya menjawab, "Tidak, kita tidak punya makanan, kecuali sedikit untuk anak-anak kita."
Lelaki Ansar itu berkata kepada isterinya, "Kalau begitu, tidurkanlah mereka. Hidangkan makanan itu untuk tetamu kita. Jika ia sudah masuk rumah, matikan lampu, sementara aku akan berpura-pura sedang makan."
Dalam kegelapan, tetamu itu pun masuk dan dipersilakan untuk memakan hidangan yang tidak seberapa bersama tuan rumah, padahal tuan rumah hanya berpura-pura makan.
Keesokan harinya, Nabi saw. bersabda kepada suami isteri itu, "Sungguh Allah sangat mengagumi kalian berdua kerana tingkah laku kalian malam tadi dalam menjamu tetamu kalian." (Al-Qurthubi, XVIII/24).
Kisah di atas sangatlah popular dan kerap kita dengar. Begitu kerap diperdengarkan, bagi sesetengah orang kisah itu mungkin tidak menarik lagi; tidak lagi mengharukan, menyentuh hati, apalagi meningkatkan rasa simpati kepada orang lain yang berada dalam kesulitan.
Sedangkan kisah di atas setidaknya memberikan dua pelajaran yang sentiasa relevan untuk diingat oleh setiap Muslim di mana pun dan bila-bila sahaja.
1) Betapa Rasulullah saw dan keluarganya tidak boleh dikatakan sebagai keluarga yang berada. Dalam banyak riwayat, Rasul sering 'terpaksa' puasa kerana seringnya beliau tidak menemukan sesuatu untuk dimakan. Namun yang menakjubkan di tengah kesederhanaannya, Rasul yang mulia tetap memperhatikan keperluan orang lain. Kehidupan Rasul kekasih Allah seperti ini menjadi cermin bagi kita bahawa kekurangan dan kemiskinan bukanlah alasan untuk berkeluh-kesah, berputus asa atau tidak mempedulikan orang lain. Lebih-lebih lagi jika kekurangan dan kemiskinan itu sampai mengakibatkan kita 'futur' di jalan dakwah. Bukankah Rasulullah saw. tidak pernah berhenti berdakwah hanya kerana sering dalam kekurangan?
2) Betapa banyak kekurangan dan kemiskinan, sahabat Ansar yang dikisahkan dalam riwayat di atas memiliki kesanggupan untuk mengutamakan orang lain (altruisme) berbanding dirinya dan keluarganya. Ia sanggup mengenyangkan tetamunya yang lapar walaupun ia sendiri dan keluarganya juga kelaparan. Gambaran sahabat Ansar yang satu ini selayaknya juga menjadi cermin bagi kita, bahawa kekurangan dan kemiskinan tidak boleh menghalangi niat untuk mengutamakan orang lain yang lebih memerlukan.
Sekarang, marilah kita bertanya kepada diri kita sendiri, sejauh mana rasa simpati, empati dan altruisme kita kepada saudara kita terutamanya yang sama-sama bergiat aktif dalam barisan dakwah, yang kehidupan ekonominya jauh lebih buruk daripada kita. Pernahkah kita tahu, atau mengambil tahu, bahawa di samping kita ada aktivis dakwah yang sering menahan lapar (berpuasa) kerana tidak mempunyai wang untuk membeli makanan? Sedangkan mungkin ketika itu di rumah kita mempunyai makanan yang berlebihan.
Wallahu'alam..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Syukran for your nice comment. Please leave your comment again!!! (^_^)