Perjuangan Gender : Derita Wanita Dunia Kapitalis

8 Mac 2009 baru-baru ini, banyak perkara yang bermain-main di fikiran saya. Entah apalah yang saya fikirkan. Hari sebelumnya saya berfikir macam mana hendak menyampaikan di hadapan orang ramai terutamanya kawan-kawan umi, makda dan cik nek. Bukan mudah hendak menyampaikan sesuatu yang pendengarnya adalah orang yang lebih tua daripada saya. Ini kerana saya perlu tahu bagaimana caranya untuk membuat orang yang mendengar faham. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan saya. Terima kasih kepada pemberi idea untuk tajuk penyampaian saya 'Mencontohi dan Mencintai Teladan Terbaik' dan juga kepada MC kerana menambah apa yang kurang pada penyampaian saya. Kerana yang baik itu datangnya dari ALLAH SWT dan yang buruk itu datangnya dari Allah juga tetapi disandarkan pada kelemahan saya sendiri.

Setelah itu, saya berfikir bagaimana pula hendak menyiapkan sebuah artikel? Fikir dan terus berfikir, akhirnya artikel itu terhasil. Tetapi sayang, editor kata "artikel terlalu general, perlu fokuskan". Sekarang masih berfikir untuk membetulkan kesalahan yang telah saya lakukan. Semoga saya dapat memberikan yang terbaik kepada 'training' saya yang pertama ini.

Kita buka cerita lain.


Pagi 8 Mac tue, saya membaca Mingguan Malaysia- Keluarga yang dibeli oleh alang, saya tertarik kepada tajuknya (Perjuangan Gender Tajaan Barat) . Di awal-awal pembacaan saya mengenai berita tersebut, saya masih 'blur-blur' lagi, percakapan remaja sekarang. Akhirnya saya tahu setelah membaca halaman-halaman lain akhbar bahawa 8 Mac adalah Hari Wanita sedunia. Patutlah ada banyak cerita pasal perjuangan gender. Kepada para pembaca, apakah yang anda rasa dan mengapakah perjuangan gender ini berlaku??

Bagi saya, tidak hairanlah jika kesetaraan gender diperjuangkan oleh kaum wanita (feminisme) kerana kaum wanita merasakan diri mereka ditindas, dieksploitasi dan didikriminasi oleh kaum adam. Tetapi saya tidak mengatakan bahawa semua kaum adam begitu, hanya mereka yang tidak mengamalkan Islam sebagai cara hidup sahaja akan melakukan perkara-perkara tersebut ke atas kaum hawa.


Saya ingin menceritakan semula apa yang telah yang dengar daripada seorang 'mangsa keadaan' sistem kapitalis ini.Semoga cerita ini membuka mata dan hati insan-insan yang bergelar lelaki/suami/ayah dan yang seangkatan dengannya.

Seorang guru, isteri dan juga ibu pengatur rumah tangga tidak pernah duduk bersenang lenang walaupun hanya seminit dalam sehari. Ini kerana, bangun sahaja di pagi hari seorang ibu perlu menyediakan kelengkapan anak-anaknya ke sekolah, dia perlu melayan suaminya untuk ke pejabat dan juga mengemas rumah serta memastikan rumahnya dalam keadaan teratur sebelum pergi ke sekolah untuk mengajar. Di sekolah pula, dia perlu mendidik dan mengajar anak-anak muridnya tentang Islam (kerana dia adalah seorang guru KAFA). Selang waktu rehat, dia bukannya boleh rehat kerana masa rehat itulah dihabiskan dengan mengajar anak-anak muridnya mengaji al-Quran. Jika tidak mengajar mengaji, dia terpaksa menjaga koperasi sekolah semata-mata untuk memenuhi akadnya sebagai seorang guru di samping untuk mencari belanja rumah lebih. Sesi pagi persekolahan tamat lebih kurang jam 11.15 pagi. Dia akan bergegas pulang ke rumah. Anda rasa untuk apa? Untuk dia memasak tengahari untuk anak-anaknya dan juga suaminya makan apabila pulang dari sekolah nanti. Masa rehatnya hanya seketika iaitu beberap minit sebelum waktu zohor tiba. Setelah itu, dia akan bersiap-siap kembali untuk mengajar di sesi petang. Setelah sesi persekolahan tamat, dia bukan boleh terus pulang ke rumah, malah masih mengajar mengaji anak-anak muridnya yang ramai. Sedangkan gajinya tidak seperti orang yang bekerja sebagai seorang jurutera, doktor, ahli farmasi, CEO dan lain-lain lagi. Kalau kita perhatikan, gaji seorang insan yang bergelar guru adalah yang paling sedikit.

Mujur dia mempunyai anak-anak yang boleh membantu. Hanya pada waktu malam sahaja, dia dapat merehatkan diri. Tetapi bukan sepanjang malam dia boleh merehatkan diri kerana ringkasan mengajar perlu disiapkan dan membuat alat bantu mengajar (ABM). ABM itu pula memerlukan dia mengeluarkan dananya sendiri semata-mata untuk menarik minat murid-muridnya untuk belajar. Di samping itu, tugasnya sebagai seorang isteri kepada seorang suami tidak pernah diabaikan sama sekali. Si suami, tugasnya mencari nafkah untuk si isteri dan anak-anaknya. Tugasnya hanya satu iaitu bekerja tetapi seorang wanita boleh melakukan lebih dari satu kerja dalam satu masa, lebih-lebih lagi zaman sekarang. Ramai wanita yang bekerjaya melakukan kerja lebih dari satu semata-mata untuk memenuhi keperluan asas hidup.

Namun jika kita lihat realiti hidup seorang wanita (isteri) dengan realiti hidup seorang lelaki (suami), siapakah yang kelihatan ditindas dan didiskriminasikan?? Anda fikirkan apa yang anda lihat kerana saya tahu realiti yang anda lihat adalah realiti yang benar yang bukan tipuan. Apa yang anda lihat itulah hasilnya jika kita hidup di bawah sistem sekular kapitalis..

Berbalik kepada perjuangan gender yang diperjuangkan oleh wanita dan kisah yang telah saya ceritakan untuk dikongsi bersama, bukankah ini hasilnya kerana ketiadaan penerapan Islam secara kaffah? Bukankah ini hasilnya dari penerapan sistem sekular kapitalis?? Tersebarnya fahaman sekularisme di tengah-tengah kaum Muslim yang melahirkan kebebasan dan gaya hidup individualistik-materialistik rupa-rupanya telah memberikan pengaruh besar kepada kaum Muslim dan membiarkan mereka untuk menerima apa sahaja yang berbau moden.

Bagaimana Islam Memandang Wanita?

Islam merupakan Deen yang sempurna. Aturan-aturan Islam sentiasa memuaskan akal dan sesuai dengan fitrah manusia. Sebab Islam lahir dari Zat yang telah menciptakan manusia. Dia Maha Tahu atas hakikat makhluk yang diciptakanNya. Islam memandang kemuliaan seseorang baik lelaki ataupun wanita, dari ketakwaannya, sebagaimana firmanNya :

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kalian dari seorang lelaki dan seorang perempuan, dan kami menjadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kalian saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." (QS al-Hujurat [49]:13)

Islam memandang bahawa wanita adalah manusia dengan seperangkat potensi yang ada pada dirinya. Sebagaimana lelaki, wanita juga diberikan potensi berupa akal, naluri (untuk beragama, melestarikan keturunan dan mempertahankan diri) serta keperluan jasmani sebagai sarana untuk mengabdikan diri kepada Sang Maha Pencipta. Oleh sebab itu, Allah memberikan hak dan kewajiban yang sama antara lelaki dan wanita seperti kewajiban solat, puasa, zakat, haji, amar makruf nahi mungkar dan sebagainya.

Akan tetapi adakalanya syariat Islam menetapkan adanya pembebanan hukum (hak dan kewajiban) yang berbeza bagi lelaki dan wanita. Kewajiba mencari nafkah dibebankan kepada lelaki, kepimpinana dalam negara, pengaturan urusan umat serta masalah perwalian juga diserahkan kepada lelaki, bukan kepada wanita. Sedangkan masalah kehamilan, penyususan, pengasuhan anaka serta tugas dan peranan lain sebagai ibu dan pengatur rumah tangga (ummu wa rabbah al-bayt) dibebankan kepada wanita sahaja tidak kepada lelaki.

Semua perbezaan di atas tidak boleh dipandang sebagai bentuk diskriminasi atau ketidakadilan syariat Islam kepada kaum wanita. Sebab perbezaan ini adalah cerminan dari keadilan dan kemurahan Sang Pencipta kepada ciptaanNya. Setiap lelaki dan wanita mempunyai perbezaan tabiat fitrah yang dimiliki masing-masing di samping peranan dan kedudukannya dalam keluarga dan masyarakat.

Bagaimana pun keadaan dan apa pun yang dibebankan oleh Allah, baik sebagai hamba Allah, anggota keluarga (sebagai anak, isteri atau ibu) dan juga anggota masyarakat, apakah beban yang diberikan sama atau berbeza dengan kaum adam, maka wanita akan memperoleh kemuliaannya selama seluruh beban hukumnya dilaksanakan dengan ikhlas dan benar sebagai bukti ketundukan dan ketakwaannya kepada Allah SWT.

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment

Syukran for your nice comment. Please leave your comment again!!! (^_^)

 

Copyright © 2013 | Wanita Mustanir | by Cik Bulat