Di Malaysia sendiri, penerapan sistem demokrasi-kapitalis-sekular dalam pelbagai aspek kehidupan ternyata membawa banyak kerosakan dan malapetaka. Remaja yang sepatutnya menjadi generasi harapan umat untuk memperjuangkan Islam ternyata menjadi mangsa penerapan sistem kehidupan ciptaan penjajah Barat ini.
Meningkatnya penglibatan remaja dalam kes-kes jenayah sukar untuk dibendung. Kes samun, peras ugut, ragut, gangsterisme, ketagihan dadah dan alkohol, rogol, cabul, bunuh, pergaulan bebas, gejala LGBT, budaya fesyen dan hiburan yang melalaikan, semuanya menjadi rutin hidup yang begitu kerap dipaparkan di media massa.
Kementerian Kesihatan melaporkan kes kehamilan luar nikah dan bilangan anak tidak sah taraf semakin mengerikan iaitu seramai 18,652 remaja berusia 10-19 tahun didapati hamil sepanjang 2011 di mana 30% hamil di luar nikah (The Star, 22 September 2012). Seramai 705 bayi terdampar dilaporkan sepanjang lapan tahun semenjak 2004-2011. Pada tahun 2009, kes meningkat sebanyak 15% kepada 91 kes dalam tahun 2010 dan sebanyak 98 kes pada tahun 2011 (sumber: PDRM).
Menurut satu laporan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula, dari tahun 2004-2009, sebanyak 16% bayi yang terdampar ditemui di kawasan pembuangan sampah! Tidak terbayangkan apakah yang bakal menimpa generasi kita di masa hadapan jika sistem demokrasi-kapitalis-sekular ini terus-menerus diterap dan dipertahankan.
Selain Malaysia, umat Islam di serata dunia menderita sekian lama akibat kezaliman dan penganiayaan yang diperlakukan ke atas mereka. Sebagai contoh, peristiwa yang berlaku ke atas Dr. Marwah Al-Syarbani, Muslimah dari Mesir yang telah ditikam oleh seorang Islamofobis semata-mata kerana beliau berhijab dan menunjukkan identiti keIslamannya. Kita juga sukar melupakan peristiwa penangkapan dan pemenjaraan secara kejam yang telah menimpa Dr. Aafia Siddiqui, seorang Muslimah yang bekerja di Amerika. Tanpa alasan dan bukti yang kukuh, beliau dipenjarakan, dirogol dan diseksa dengan begitu kejam.
Terbaru, pembunuhan beramai-ramai ke atas umat Islam Rohingya di Myanmar semata-mata kerana mereka berakidah Islam. Malah umat Islam yang berjuang mempertahankan kemuliaan Rasulullah S.A.W telah dizalimi dan dibunuh dengan kejamnya di Bangladesh. Ini hanyalah secebis realiti menyedihkan yang menimpa kaum Muslimin yang terpapar di media massa. Sementara di luar sana jutaan Muslimin dan Muslimat menderita dalam diam dek kezaliman sistem kapitalis sekular yang menimpa mereka saban hari tanpa mendapat pembelaan sewajarnya.
bersambung..
No comments:
Post a Comment
Syukran for your nice comment. Please leave your comment again!!! (^_^)