Salam adalah Sunnah yang Ringan Tetapi Berat Pahalanya di sisi ALLAH

Sambungan entri, Adab Memberi Salam.


Ucapan salam mungkin sesuatu yang lumrah bagi kita. Ia merupakan sunnah yang ringan namun berat pahalanya di sisi Allah. Amalan ini merupakan penjalin ukhuwwah sesama Mukmin dan merupakan pembuka bicara bagi yang belum mengenali. Namun selama kita hidup, berapa banyakkah salam yang telah kita sebarkan baik kepada yang dikenali mahupun yang asing? Marilah kita merenung sebuah atsar tentang sahabat Rasulullah, Abdullah bin Umar ra:

Daripada At-Tufail bin Ubay bin Ka`ab, bahawasanya ia datang ke tempat Abdullah bin Umar kemudian mereka pergi bersama-sama ke pasar.  Tufail berkata:

“Apabila kami berada di pasar, maka setiap kali kami melewati tukang jual baju, orang yang menjual barang dagangannya, orang miskin dan bahkan melewati sesiapa pun, Abdullah pasti mengucapkan salam kepadanya.”  At-Tufail berkata:  ”Suatu hari saya datang ke tempat Abdullah bin Umar kemudian dia mengajak saya ke pasar.  Maka saya berkata kepadanya,  “Apa yang akan kamu buat di pasar nanti kerana kamu tidak membeli sesuatu apapun, tidak juga mencari sesuatu, tidak akan menawar(menjual)  sesuatu dan tidak juga duduk-duduk di pasar?  Lebih baik kita berbincang-bincang di sini sahaja.”  Abdullah menjawab,  “Wahai Abu Bathn (kerana At-Tufail mempunyai perut yang besar), kita akan ke pasar untuk menyebarkan salam kepada sesiapa yang bertemu dengan kita.” [Riwayat Imam Malik di dalam kitabnya al-Muwatta’ dengan sanad yang sahih]

Semoga kita beroleh kebaikan sebagai manusia yang utama di sisi Allah dengan menyebarkan salam sebagaimana Abdullah bin Umar. Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment

Syukran for your nice comment. Please leave your comment again!!! (^_^)

 

Copyright © 2013 | Wanita Mustanir | by Cik Bulat