Ketika tahun 2012 menutup tirainya, masyarakat dunia dikejutkan dengan
tragedi kematian seorang pelajar perubatan di New Delhi, India, yang
diserang semasa dia bersama seorang rakan lelakinya menaiki sebuah bas
sekolah yang dicuri enam lelaki mabuk pada 16 Disember 2012 lalu.
Insiden yang mendapat liputan meluas ini menyaksikan bukan sahaja
pelajar wanita itu dirogol beramai-ramai, malah mangsa turut diserang
menggunakan sebatang besi sebelum dicampak keluar daripada bas yang
sedang bergerak bersama kawan lelakinya.
Baru-baru ini, seorang pelancong wanita warga Britain mengalami
kecederaan di kaki setelah bertindak nekad melompat keluar daripada
tingkap tingkat tiga bilik hotelnya di Agra, India kerana takut
diperkosa oleh pemilik hotel tersebut. Wanita itu memberitahu polis,
pemilik hotel itu cuba memecah masuk ke biliknya selepas dia enggan
menerima tawaran untuk mengurutnya secara percuma daripada pemilik hotel
berkenaan. Insiden itu berlaku beberapa hari sebelum kejadian rogol
bergilir-gilir melibatkan seorang pelancong Switzerland (Kosmo, 20 Mac
2013).
Laporan turut menyatakan bahawa banyak kejadian rogol beramai-ramai
berlaku setiap hari di India dan kebanyakan mangsa enggan membuat
laporan polis kerana mereka sudah tidak percayakan sistem perundangan
negara yang ada di samping bimbang reaksi negatif daripada para pegawai
polis lelaki.
Dalam kehidupan dunia hari ini, keadaan kaum wanita seolah-olah tidak
lagi selamat, biar di mana pun mereka berada. Mereka berdepan dengan
pelbagai ancaman dan gangguan seksual di sepanjang masa. Hal ini berbeza
dengan situasi semasa kewujudan Daulah Khilafah Islamiyyah dahulu. Pada
zaman Khilafah Abbasiyyah yang dipimpin oleh Khalifah Al-Mu’tasim,
seorang wanita yang terjatuh lalu tersingkap auratnya akibat perbuatan
lelaki kafir Rom telah menjadi bahan sorakan kaum kafir yang berada di
situ. Wanita itu merayu sambil memanggil-manggil, “Wahai Khalifah
Mu’tasim, selamatkanlah aku…”. Seorang lelaki Muslim yang menyaksikan
kejadian itu segera bergerak ke Baghdad untuk mengadukan hal tersebut
kepada Khalifah. Baginda segera menjawab, “Wahai ibu, ini Khalifah
Mu’tasim mendengar seruanmu”. Baginda kemudiannya mengerahkan bala
tentera untuk menyerang penghina-penghina Muslimah berkenaan.
Fenomena ini sangat berbeza dengan situasi pada hari ini kerana tidak
wujud satu pun solusi yang tuntas dalam memelihara dan melindungi
kehormatan wanita. Di India, selepas insiden kematian pelajar perubatan
tersebut, masyarakat cuba bangkit untuk mendesak pemerintah melakukan
tindakan segera bagi menangani gangguan seksual yang tidak pernah
kunjung padam. Sebaliknya, apa yang berlaku adalah pihak polis sibuk
menyerang dalam menyuraikan para pendemonstrasi melalui tembakan meriam
air dan gas pemedih mata, dan bukannya mencari solusi jenayah yang
menyebabkan masyarakat memprotesnya melalui demonstrasi.
Sesungguhnya hanya dengan penerapan hukum-hakam Islam secara kaffah,
yang merupakan rahmatan lil alamin, kehormatan dan kemuliaan kaum wanita
akan kembali terbela. Hanya dengan kembali kepada Al-Quran yang
diturunkan kepada orang-orang yang beriman dan juga kepada seluruh
manusia, yang mana dijanjikan tidak ada sebarang keraguan di dalamnya,
segala permasalahan seluruh umat manusia sama ada Muslim atau non-Muslim
akan terpelihara.
Sumber : kosmo.com.my, 20/03/13
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Syukran for your nice comment. Please leave your comment again!!! (^_^)