Apakah Jihad Sebenarnya?




Jihad dari segi Haqiqah Lughawiyah, 'Urfiyyah dan Syar'iyyah

1) Haqiqah Lughawiyah – Makna Bahasa

Jihad berasal dari kata jâhada, yujâhidu, jihâd. Kata akar JAHADA mempunyai terlalu banyak maksud di dalam bahasa Arab seperti: mencurahkan tenaga supaya menjadi sempurna, seorang pelajar yang rajin belajar, mencapai tujuan atau mewujudkan, bekerja untuk mencapai tujuan, menjadi letih, menyoalsiasat, menegaskan, dibebani, menjadi lemah kerana sakit, seseorang yang bekerja keras, sakit cinta, bercampur, bangkit, berkehendak, makan dengan banyak, jujur, bekerja keras, berhati-hati, menggunakan kesemuanya dan berjuang tanpa rehat.

Atau dengan kata lain, jihad boleh diertikan sebagai saling mencurahkan usaha (Dr Muhammad Khair Haykal, Al-Jihâd wa al-Qitâl fi as-Siyâsah as-Syari'yyah, jld 1/38). Lebih jauh lagi, Imam an-Naysaburi, dalam kitab tafsirnya, menjelaskan makna jihad iaitu, mencurahkan seluruh tenaga untuk memperolehi maksud tertentu (Dr Muhammad Khair Haykal, op. cit. jld 1/40). Berdasarkan makna bahasa ini, jihad merupakan kemampuan yang dikerah semaksima mungkin, adakalanya berupa perbuatan fizikal, dengan senjata atau tanpa senjata, adakalanya dengan menggunakan harta benda dan kata-kata untuk meraih tujuan tertentu.

2) Haqiqah 'Urfiyyah – Makna Adat

Penggunaan lafaz jihad bagi para sahabat hanya membawa satu makna sahaja iaitu berperang. Mereka tidak memahami dengan makna lain selain berperang. Salah satu riwayat adalah mengenai jawapan Abu Musa al-Asy'ari ketika berada di masjid:

"Wahai Abdullah bin Qays, beliau disebut dengan nama aslinya. (Lelaki itu berkata); 'Bagaimana pandangan kamu jika aku mengambil pedangku, kemudian aku pergunakan untuk berperang semata kerana Allah, kemudian aku terbunuh dan aku dalam keadaan seperti, di mana kedudukanku?' Beliau (Abu Musa) menjawab: 'Di syurga…'

Ternyata perkataan jihad pada awal Islam tidak pernah terkeluar dari kerangka utama perang sama ada bererti al-qital, al-ghawz, al-harb mahupun yang lain.

3) Haqiqah Syar'iyyah – Makna Syara'

Pengertian lafaz jihad telah dinukilkan oleh al-Quran dan as-Sunnah dengan makna yang lebih khusus: mencurahkan seluruh tenaga untuk berperang di jalan Allah, sama ada secara langsung mahupun dengan cara membantu dengan mengeluarkan harta benda, memberikan pendapat, atau memperbanyak bekalan, atau lain-lain dalam rangka meninggikan kalimat Allah. Penggunaan perkataan jihad dalam ayat Madaniyyah mencapai sehingga 26 perkataan. Kesemuanya memberikan gambaran yang jelas bahawa maksud jihad adalah perang menentang orang-orang kafir dan keutamaan untuk keluar berperang berbanding berdiam diri sahaja terhadap aktiviti berkenaan.

"Tidaklah sama antara orang-orang beriman, yang tinggal duduk (di rumah) bukan kerana keuzuran, dengan orang-orang yang berjuang di jalan Allah, dengan harta dan dirinya. Allah melebihkan darjat orang-orang yang berjuang dengan hartanya dan dirinya dari orang-orang yang tinggal duduk. Kepada tiap-tiapnya, Allah menjanjikan kebaikan tetapi Allah memberikan pahala yang berlipatganda kepada orang-orang yang berjuang lebih daripada orang-orang yang duduk."

(TMQ An-Nisa', 4:95)

"Berangkatlah, ketika ringan atau berat, dan berjuanglah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Itu paling baik untuk kamu sekiranya kamu tahu."

(TMQ At-Taubah, 9:41)

"Tetapi Rasul dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya, mereka berjuang dengan harta dan dirinya, itulah orang-orang yang memperoleh kebaikan. Dan itulah orang-orang yang beruntung."

(TMQ At-Taubah, 9:88)

"Kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya dan berjuang di jalan Allah(kebaikan) dengan harta dan dirimu. Itulah yang lebih baik untuk kamu, sekiranya kamu mengetahui."

(TMQ As-Saf, 61:11)

Selain itu, terdapat banyak hadis Rasulullah saw yang di dalamnya terkandung perkataan jihad dengan makna "berperang menentang orang kafir di jalan Allah". Antaranya seperti hadis riwayat al-Bukhari dari Abu Hurairah:

"Mereka (para sahabat) bertanya: 'Wahai Rasulullah, beritahukanlah kepada kami perbuatan yang boleh menandingi jihad di jalan Allah?' Baginda bersabda: 'Kamu tidak akan mampu melakukannya.' Baginda bersabda: 'Perumpamaan orang yang berjihad di jalan Allah adalah seperti orang yang berpuasa, yang sentiasa bangun (di tengah malam) dan patuh kepada ayat-ayat Allah, yang tidak berhenti berpuasa, sedekah sehinggalah orang yang berjihad tersebut kembali ke tengah keluarganya.'

Selain dari dalil-dalil syarak tersebut, para fuqaha juga bersetuju bahawa perkataan jihad bererti "mengerahkan seluruh kekuatan untuk berperang di jalan Allah." Menurut Fiqh Hanafi, Imam Kasani di dalam bukunya Bada' Sama mendefinisikan jihad sebagai: "….menggunakan semaksima usaha dan tenaga berperang di jalan Allah dengan diri, harta, lidah atau dengan perkara lain….." Menurut Fiqh Maliki pula, Imam Ibn Arafa, dari Sheikh Khalil dalam Mukhtasar Al-Khalil, berkata jihad adalah: "….seorang Muslim berperang menentang orang kafir yang tidak ada sebarang perjanjian, di jalan Allah untuk meninggikan nama-Nya……". Di dalam Fiqh Shafie pula, Imam Shirazi dalam Al-Muhazab Fil Fiqh Al-Shaafi berkata bahawa jihad adalah: "…menentang orang kafir di jalan Allah dengan diri atau harta atau lidah atau dengan melatih orang lain…."(boleh merujuk juga Kitab Al-Minhaj oleh Imam Nawawi). Manakala menurut Fiqh Hanbali, Imam Ibn Qudama Al-Maqdisi berkata jihad ialah: "…..memulakan peperangan dengan orang kafir sama ada sebagai fardu kifayah atau fardu ain atau melindungi orang-orang beriman daripada orang kafir atau menjaga sempadan atau perbatasan dan berperang di barisan hadapan …..".

Jihad menurut ulama-ulama usul pula adalah "…..berperang dengan orang kafir untuk memberi kemenangan kepada Islam sebagai satu tujuan dan bercita-cita menjadikan kalimat Allah swt yang tertinggi……" (Imam Al-Qastalani, Imam Mawardi, Imam Al-Taftazani dan Imam Jirjani). Oleh itu, ulama-ulama usul juga bersetuju dengan maksud jihad yang sama iaitu berperang di jalan Allah memerangi orang kafir.

Sekalipun kata jihad menurut bahasa mempunyai makna mencurahkan segenap tenaga, kerja keras dan sebagainya, tetapi syariat Islam menggunakan kata tersebut demgam maksud berperang di jalan Allah. Penggunaan kata jihad dalam pengertian berperang di jalan Allah lebih tepat digunakan berbanding dengan makna bahasa. Hal ini sesuai dengan kaidah yang sering digunakan oleh ahli usul fiqh: makna syarak lebih utama berbanding makna bahasa mahupun makna adat ('Atha ibn Khalil, Taysir al-wushul ila al-Ushul, hlm. 296). Kalaupun dilihat secara teliti jihad dari makna syara' dan adat tidak bercanggah definisinya.

Jihad dari segi Jami' dan Mani'

Dalam Islam, setiap istilah mempunyai jami' (merangkumi semua aspek yang dihuraikan) dan mani' (mencegah semua aspek yang tidak termasuk dalam huraian). Definisi jihad adalah: mengerahkan segenap tenaga untuk memerangi orang kafir sama ada secara langsung mahupun dengan membantu harta benda, pendapat atau memperbanyak bekalan dalam rangka meninggikan kalimat Allah." Perkataan "mengerahkan segenap tenaga" , meliputi sifat bersungguh-sungguh dalam semua perkara tetapi jami' telah mengkhususkan hanya dalam aspek "memerangi orang kafir." Maka selain dari aktiviti berperang seperti menuntut ilmu, usaha untuk meningkatkan ekonomi dan membasmi buta huruf tidak termasuk dalam rangka jihad fi sabilillah. Begitu juga sekiranya yang diperangi adalah orang Islam seperti perang saudara yang berlaku di Oman tidak dikira sebagai jihad malahan haram dilakukan.

Adapun kata: "samada secara langsung mahupun dengan cara membantu harta benda, pendapat atau memperbanyak bekalan" meliputi orang yang pergi berperang secara langsung dan secara tidak langsung seperti orang yang menyumbangkan idea, harta benda atau bekalan perang. Maka orang yang pergi berperang di jalan Allah mendapat pahala jihad, begitu juga orang yang tinggal di belakang tetapi telah menyumbangkan ideanya atau harta bendanya atau memperbanyakkan bekalan perang, mendapat pahala yang sama, cuma orang yang pergi berperang berpeluang mendapatkan mati syahid!

Manakala kata: "dalam rangka meninggikan kalimat Allah" mengkhususkan orang yang betul-betul ikhlas pergi berperang kerana Allah atau orang yang betul-betul ikhlas menyumbangkan ideanya atau harta benda atau bekalan perang. Sekiranya orang yang pergi berperang itu bercita-cita untuk mendapatkan ghanimah/rampasan perang, maka dia tidak dikira sedang berjihad. Begitu juga dengan yang pergi berperang kerana tanah tersebut adalah tempat tumpah darahnya (wataniah), maka orang itu juga tidak dikira sedang berjihad. Walau bagaimanapun, perkara yang terakhir ini hanya Allah yang Maha Mengetahui, kita tidak dapat menentukannya kerana kita hanya boleh berhukum secara perbuatan zahir sahaja, manakala perkara tentang niat keikhlasan seseorang itu adalah perbuatan hati yang hanya diketahui secara tepat oleh Allah SWT.

Oleh itu setelah diteliti secara mendalam dari segi mani' dan jami' maka kita mendapati maksud jihad tidak boleh ditafsirkan selain daripada berperang di jalan Allah dalam rangka meninggikan kalimat Allah.


akan bersambung...

No comments:

Post a Comment

Syukran for your nice comment. Please leave your comment again!!! (^_^)

 

Copyright © 2013 | Wanita Mustanir | by Cik Bulat