Hijrah : Iltizam untuk Memperbaiki Diri ?
Sesungguhnya 1 Muharram yang sering dikaitkan dengan hijrah bukanlah simbolik kepada perubahan diri, bahkan peristiwa hijrah itu sendiri perlu difahami agar ia dapat membentuk kesedaran politik kepada titik perubahan keseluruhan hidup kaum Muslimin, sama ada pada generasi tersebut mahupun generasi selepasnya. Hijrahnya Rasulullah dan para sahabat tatkala itu bukanlah hijrah ‘perubahan diri’, tetapi berhijrah dari kufur di mana umat Islam ditindas dan diperangi dengan begitu hebat oleh golongan kuffar, menuju ke Madinah bagi mewujudkan sebuah Negara Islam yang akan menyelamatkan darah dan nyawa kaum Muslimin. Inilah hakikat hijrah Nabi saw.
Negara Islam yang dibina oleh Rasulullah diteruskan lagi oleh para sahabat dan Daulah Khilafah ini terus berkembang dan ia menjaga harta, darah dan nyawa umat Islam yang bernaung di bawahnya. Setelah kejatuhan Daulah Khilafah pada 28 Rajab 1342 H (3 Mac 1924), Umat Islam kini sudah tidak lagi mempunyai sebuah negara. Bertambah malang, peristiwa hijrah Rasul hanya dikenang di dalam bentuk perarakan dan penganugerahan tokoh Ma’al Hijrah saban tahunnya. Apakah dengan sambutan sebegini, maka akan berubahlah nasib umat di Malaysia, atau apatah lagi nasib umat Islam di Palestin yang kini sedang diratah tentera Israel laknatullah.
Kesan yang signifikan dari peristiwa hijrah Nabi SAW adalah, umat Islam pada ketika itu keluar dari kegelapan hidup berselubungkan sistem kehidupan Jahiliyyah di bawah pemerintahan dan undang-undang kufur. Manakala kaum Muslimin di Mekah pula tidak henti-henti diperangi dan dibunuh oleh kuffar Quraisy. Justeru, hijrahnya Rasul SAW dan para sahabat dengan membentuk sebuah Negara Islam dan selepas itu barulah wujud kekuatan untuk melawan kekuatan musuh dalam bentuk ‘sebuah negara’. Kemudian, dengan Negara tersebut, Rasulullah SAW melancarkan jihad dan membebaskan kaum Muslimin dari kekejaman kuffar. Inilah hijrah Nabi SAW. Namun sayangnya saat ini di kala umat Islam diperangi oleh kuffar, sebahagian mereka yang bergelar tokoh di Malaysia masih membicarakan tentang ingin menyambut awal Muharram besar-besaran agar lebih meriah, dan lagi banyak memakan duit rakyat tentunya.
Saban tahun Ma’al Hijrah disambut dengan seruan agar umat berubah, tetapi skop perubahan hanya terangkum dalam aspek akhlak, tidak kepada perubahan total dari segi politik, ekonomi, ketenteraan, dasar luar negeri dan lain-lain lagi. Tokoh Islam di negara ini kebanyakannya hanyalah pengampu kerajaan dan langsung tidak berani membicarakan tentang perubahan total umat Islam, yakni hijrah dari sistem sekular menuju sistem Khilafah. Ini adalah kerana perubahan total itu sering dikaitkan dengan perspektif yang negatif, dan jika mereka membicarakan hal ini, maka habislah ‘periuk nasi’ mereka. Sudahnya, mereka sibuk berkokok mengampu kerajaan manakala nasib umat Islam masih sama saban tahun. Para pemimpin, tokoh dan ulama tajaan sekular ini akan memastikan ‘perubahan’ yang diserukan adalah perubahan yang sentiasa memanjangkan usia sekularisme di seluruh pelusuk negara. Ingin mengharap mereka berbicara pasal jihad...ya mereka pun akan berbicara juga, dan mereka akan berbicara secara panjang lebar...tentang jihad ekonomi, jihad diri, jihad busines, jihad pendidikan, jihad keluarga dan seumpamanya. Itulah jihad mereka!
Umat Islam sepatutnya meneladani peristiwa hijrah Rasulullah SAW sebagai sebuah kewajipan membangun sebuah negara Islam. Tanya diri setakat manakah aku telah berusaha untuk mewujudkan sebuah Negara Islam (Daulah Khilafah) sebagai muhasabah. Perubahan diri yang hanya menyentuh aspek akhlak tidak akan membuahkan hasil yang sebenar menurut perspektif hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat r.a. Bangkitnya sebuah negara Islam (Khilafah) itulah perubahan yang sebenarnya. Dengan negaralah, seluruh kehidupan kita diatur dengan wahyu Allah SWT, nikmat Islam dapat dikecapi oleh sekalian umat yang bernaung di bawahnya dan musuh Islam akan pasti dapat dikalahkan. Ini terbukti oleh kegemilangan sejarahnya sejak 1 Muharram 1H hingga 28 Rajab 1342H. Semoga pada tahun hijrah yang akan datang, pertolongan Allah dengan wujudnya kembali Daulah Khilafah akan terealisasi.
Ayuh, bangkitlah saudaraku, mari kita sama-sama berhijrah dan menolak sistem sekular dan kita tegakkan Islam!
MyKhilafah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Salam, saya ingin mohon kongsi maklumat ini.
ReplyDelete