Madrasah Ujian

Bismillahirrahmanirrahim..

Sebagai seorang manusia, ujian dan cubaan yang menimpa adalah lumrah alam. Manusia manakah yang tidak pernah ditimpa ujian? Manusia manakah yang tidak ditimpa cubaan dan dugaan? Namun sebagai seorang Muslim, ujian dari Allah adalah untuk menguji para hambaNya agar sentiasa bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan, agar umat Islam itu tidak lalai dan lupa akan hakikatnya dijadikan dan agar manusia sedar bahawa dunia ini adalah pinjaman dariNya.

لاَ يَزَالُ الْبَلاَءُ بِالْمُؤْمِنِ أَوِ الْمُؤْمِنَةِ فِى نَفْسِـهِ وَفِى مَالِهِ وَفِى وَلَدِهِ حَتَّى يَلْقَى اللهَ وَمَا عَلَيْهِ مِنْ خَطِيئَةٍ

Ujian akan terus menghampiri orang Mukmin dan Mukminah pada diri, anak dan hartanya hingga ia menjumpai Allah dan tidak ada kesalahan yang harus dia tanggung (HR Ahmad, Tirmidzi, Ibn Hibban, al-Hakim, al-Baihaqi, Abu Ya’la dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad)

At-Tirmidzi berkata, “Ini adalah hadis hasan sahih.”

Al-Hakim berkata, “Ini adalah hadis sahih menurut syarat Muslim, tetapi tidak dikeluarkan oleh keduanya dan ia memiliki syahid sahih.”

Makna Hadis

Hadis ini menjelaskan bahwa ujian akan terus menghampiri seorang Mukmin—dalam riwayat lain seorang hamba—selama ia masih bernafas. Bahkan hidup dan mati itu sendiri merupakan ujian untuk mengetahui siapa hamba yang paling baik amalnya (TQS al-Mulk [67]: 2).


Bala’ secara bahasa ertinya imtihan wa al-ikhtibar (ujian dan cubaan). Menurut Ibn al-Atsir dan yang lainnya bala’ terjadi dalam kebaikan (khayr) dan keburukan (syarr). Makna hadis tersebut adalah bahwa ujian dan cubaan dalam bentuk kebaikan (khayr) dan keburukan (syarr) akan terus menimpa Mukmin dan Mukminah atau hamba pada umumnya (Lihat: QS al-Anbiya’ [21]- 35).

Umumnya, orang menilai ujian dan cubaan itu berupa keburukan atau musibah. Jarang sekali kenikmatan dan sesuatu yang baik dinilai sebagai ujian. Namun, nash-nash syariah menjelaskan bahawa semuanya merupakan ujian untuk menguji: apakah kita boleh bersabar ketika menghadapi musibah dan bersyukur ketika mendapat kenikmatan dan kebaikan; apakah kita tetap istiqamah di jalanNya dalam dua keadaan itu.

Tidak jarang orang lulus ketika diuji dengan musibah dan kesusahan, namun ia gagal ketika diuji dengan kenikmatan dan kesenangan. Kesedaran bahawa kesenangan itu merupakan ujian akan menuntun kita untuk tetap terjaga dan tidak terlena dengan kenikmatan itu lantas kehilangan keistiqamahan dan terjebak dalam menikmati kesenangan itu.

Musibah atau keburukan menimpa juga merupakan ujian apakah kita bersabar menghadapinya dan redha menerimanya ataukah tidak. Jika kita mampu bersabar maka itu adalah kebaikan yang luas. Sebab, setiap musibah, sekecil apapun, jika kita hadapi dengan kesabaran, boleh menggugurkan dosa dan menaikkan darjat kita di hadapan Allah. Rasulullah SAW pernah bersabda:

لاَ يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ شَوْكَةٌ فَمَا فَوْقَهَا إِلاَّ رَفَعَهُ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ بِهَا دَرَجَةً وَحَطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً

Tidaklah sebuah duri mengenai seorang Muslim atau lebih dari itu kecuali dengannya Allah mengangkatnya satu darjat dan menghapus darinya satu kesalahan (HR Tirmidzi, Muslim, Ahmad, Ibn Hibban dan al-Baihaqi).

Dalam riwayat lainnya dikatakan: nescaya dengan musibah itu Allah mencatat satu kebaikan baginya. Ertinya, ia diberi pahala atas keredhaannya terhadap qadha’, kesabarannya; ia bersyukur dan hanya mengadukan musibahnya kepada Allah SWT.

Kerananya, bagi orang Mukmin semua perkara akan menjadi kebaikan. Rasul SAW bersabda:

عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Menakjubkan perkara seorang Mukmin itu kerana sesungguhnya semua urusannya merupakan kebaikan. Hal itu tidak menjadi milik seorangpun kecuali orang Mukmin. Jika mendapat kesenangan ia bersyukur. Itulah kebaikan baginya. Jika ditimpa kesusahan ia bersabar. Itu pun merupakan kebaikan baginya (HR Ahmad, Muslim, ad-Darimi, Ibn Hibban dan al-Baihaqi).

Hendaklah kita sedar sepenuhnya, bahawa kedudukan, kecukupan harta, dan berbagai kesenangan lainnya adalah ujian. Semoga kita tak lupa bersyukur dan tetap istiqamah di jalan Allah, tidak terlena dengan kesenangan itu. Hendaknya kita juga selalu sedar bahawa kesusahan, musibah dan berbagai ketidaksenangan yang menimpa merupakan ujian. Hendaknya kita berusaha untuk sabar kerana Rasul pernah bersabda:

…وَمَنْ يَتَصَبَّرْ يُصَبِّرْهُ اللهُ، وَمَا أُعْطِىَ أَحَدٌ عَطَاءً خَيْرًا وَأَوْسَعَ مِنَ الصَّبْرِ

Siapa saja yang berusaha untuk sabar nescaya Allah akan menjadikannya mampu bersabar. Tidaklah seorang pun diberi suatu pemberian yang lebih baik dan lebih luas daripada kesabaran (HR Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Dawud, an-Nasai, at-Tirmidzi dan ad-Darimi).

Allahumma ij’alna min asy-syakirin wa ash-shabirin. Wallhua'lam..

[FU Jun09] Masih Adakah Keamanan & Kesejahteraan Buatmu Wanita?



Saban hari, masyarakat Malaysia dihidangkan dengan pelbagai ‘genre’ kisah jenayah yang kejam dan menggerunkan. Kes-kes rogol, bunuh, samun, culik dan ragut yang tidak kunjung usai, menghiasi dada-dada akhbar dan kaca televisyen. Salah satu isu panas yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini ialah jenayah berkaitan isu ragut. Awal dekad ini, kes ragut dilaporkan masih terkawal. Walaubagaimanapun, menjelang tahun 2002 pernah dilaporkan bahawa jenayah ragut telah meningkat daripada 14,640 ke 15,798 kes pada 2003 . Perutusan Ketua Polis Negara sempena Peringatan Hari Polis ke 199 pada 25 Mac 2006 menyatakan bahawa jenayah ragut telah mengalami penurunan tertinggi pada tahun 2005 iaitu -16.63%. Ironinya, baru-baru ini, laporan daripada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah pula mendedahkan bahawa jenayah ragut meningkat kepada 99 peratus dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, dibandingkan dengan tempoh yang sama tahun lalu. Kes jenayah yang dulunya dianggap kurang ‘popular’ seperti ragut, samun berkumpulan dan perseorangan tanpa senjata tapi kini menyumbang hampir 31 peratus dari keseluruhan indeks jenayah di Kuala Lumpur sahaja. [UM 16/4/2009]

Hakikatnya, umum mengetahui angka-angka statistik yang dilaporkan belum cukup untuk melegakan kebimbangan masyarakat, apatahlagi meyakinkan kita bahawa negara ini adalah negara yang aman dan selamat didiami. Mana tidaknya, jika dulu, kes-kes jenayah ini masih dikategorikan sebagai terpencil dan hanya melibatkan kehilangan sejumlah kecil wang, tetapi kini peragut seolah-olah telah hilang sifat kemanusiaannya sehingga tergamak mencederakan malah membunuh mangsa!. Kes-kes ini bukanlah kes yang pertama, kedua atau ketiga pernah berlaku di dalam masyarakat. Malah kes-kes seumpama ini sebenarnya telah banyak kali berlaku. Seperti biasa, sikap hangat-hangat tahi ayam yang diamalkan oleh pihak berkuasa sering menjadikan isu seperti ini ‘dilupakan’ setelah sekian waktu. Sudah terhantuk, baru terngadah. Jika bukan kerana desakan dari masyarakat umum atas faktor keselamatan ahli keluarga mereka, isu ini tidak mustahil akan diabaikan begitu saja.

Kita pernah dikejutkan dengan berita kematian Chin Wai Fun, 38, yang koma 18 jam akibat terhantuk pada benda keras ketika bergelut dengan peragut yang merampas beg tangan beliau di Brickfields. Begitu juga, kes kematian seorang kerani akhbar Nanyang Siang Pau, Chong See Cheng, 37 turut berlaku pada tahun yang sama (2004). Kes jenayah ragut yang berakhir dengan kematian turut menimpa mendiang Chang Shu Then, 18 yang ditemui orang awam terbaring kaku di tepi jalan Persisiran Perling Satu, Taman Perling, Johor Bahru pada Ogos 2006, dipercayai mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala. Seorang jurujual wanita yang mati akibat terjatuh dan koma 16 jam kerana diragut di Kompleks Berjaya Megamall menambahkan lagi ketakutan dalam kalangan masyarakat ketika itu. Lebih tragis lagi, baru-baru ini negara dikejutkan dengan insiden dua ibu hamil yang terkorban setelah menjadi mangsa jenayah ragut ketika menunggang motosikal. Pada 5 Mei, Jamilah Selamat, 31, yang hamil dua bulan meninggal dunia selepas koma dua hari akibat terjatuh dari motosikal dalam kejadian ragut di Batu Pahat, Johor. Sehari selepas itu, Saripah Mohd. Noor, 34, yang hamil empat bulan meninggal dunia apabila dirempuh kereta setelah diragut ketika menunggang motosikal di Kota Bharu, Kelantan (9/5/2009). Di Pulau Pinang pula dua lelaki bermotosikal di Kampung Besar, Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara telah menyebabkan kematian seorang nenek berusia 86 tahun yang ditumbuk ketika cuba menyelamatkan anak perempuannya yang berusia 58 tahun dari diragut. Kes-kes terbaru ini mendapat liputan meluas dari pihak media serta menerima maklumbalas yang pelbagai dari segenap lapisan masyarakat. Kerajaan turut didesak untuk mewujudkan akta khusus berkaitan jenayah ragut, dengan harapan dapat membendung masalah ini daripada berleluasa [UM 9/5/2009].
PENYELESAIAN AKAL

Umum sedia maklum, kes-kes seperti ini sering dikaitkan dengan wanita memandangkan lebih daripada 98 peratus kejadian menjadikan wanita sebagai kelompok sasaran. Akibatnya, wanita dihujani kebimbangan untuk keluar dari rumah bagi menunaikan aktiviti-aktiviti harian mereka, termasuklah bekerja. Masalah ini mendapat perhatian dari pelbagai pihak yang cuba untuk mencadangkan pelbagai solusi jangka pendek kepada kelompok ini. Ironinya, ‘mangsa’ adalah pihak pertama yang disongsong ke ‘kandang pesalah’. Sama ada kerana keluar berseorangan, berpakaian kurang sesuai atau akibat tidak menjaga harta peribadi mereka sebaik mungkin.

Maka, timbullah saranan agar para wanita menggunapakai tips-tips keselamatan yang dicadangkan oleh pihak berkuasa seperti berpakaian sesuai agar mudah untuk menyelamatkan diri ketika berada dalam situasi berbahaya, tidak menggunakan beg tangan bertali nipis atau mengelakkan penggunaan beg tangan biasa yang memudahkan mangsa diragut, berjalan di lorong yang bertentangan dengan arus lalulintas, keluar secara berkumpulan atau jika menaiki motosikal, perlu memastikan beg tersebut diletakkan di tempat yang tersembunyi dan tidak mudah dicapai oleh peragut. Isu yang sama turut dibincangkan oleh pihak kerajaan, khasnya melalui Mesyuarat EXCO Puteri UMNO pada Mei lepas di mana salah satu program yang cuba dilaksanakan ialah dengan menggalakkan wanita untuk mendalami ilmu mempertahankan diri untuk memastikan mereka mampu berhadapan dengan situasi
kecemasan seperti jenayah ragut ini.
[http://www.puteri.net.my/modules.php?name=News&file=print&sid=2418]

Persoalannya kini, haruskah penyelesaian masalah yang kronik seperti jenayah ragut ini dibataskan pada skop individu semata-mata?. Memang benar, mencegah lebih baik dari mengubati. Tetapi, bagaimanakah kaedah pencegahan yang perlu dilakukan? Satu fakta yang sangat jelas jika diperhatikan secara mendalam adalah masyarakat kita saban hari ‘disuapkan’ dengan anggapan bahawa masalah-masalah jenayah berlaku kerana kesalahan individu (baca; mangsa), keluarga atau masyarakat semata-mata, sedangkan pihak kerajaan pula adalah pihak yang telah ‘sedaya upaya’ menjaga keselamatan masyarakat dengan mengeluarkan statistik-statistik terbaru bagi membuktikan keberkesanan dan kesungguhan pihak berkuasa membasmi masalah-masalah jenayah hari ini. Maka, tidak hairanlah jika kes-kes jenayah yang membawa kepada kematian sering berakhir dengan adegan ‘tuding menuding jari’ sesama sendiri di kalangan manusia-manusia penggubal hukum di dewan parlimen sana. Akhirnya, penyelesaiannya dikembalikan kepada individu atau masyarakat dan mereka berlepas tangan begitu saja!.. Pandai-pandailah kalian (baca: rakyat) menjaga diri sendiri!. Formula yang sama turut digunakan ketika mereka (pihak berkuasa dan kerajaan) menyelesaikan masalah kes rogol, culik dan bunuh yang pernah menggegarkan negara beberapa tahun lepas. Perhatikan saja kes Nurin Jazlin, si cilik kecil yang menjadi mangsa kekejaman penjenayah yang masih gagal dikesan sehingga ke hari ini. Kesalahan akan dikembalikan kepada individu, ibubapa, keluarga atau guru sekolah. Di mana pula peranan pemimpin dan pihak berkuasa dalam menangani masalah ini?

Dari segi perundangan pula, ternyata undang-undang yang dicipta, digubal dan diterapkan hasil dari akal manusia semata-mata tidak akan mampu menyelesaikan masalah yang berlaku selama ini. Undang-undang ini bukan saja gagal mencegah kes-kes jenayah dari terus berleluasa, malah sedikit pun tidak menggetarkan dan mengecutkan hati para penjenayah ini. Ini malah menyebabkan mereka tidak teragak-agak untuk bertindak nekad mencederakan dan membunuh mangsa sekiranya kehendak mereka tidak dituruti. Kenyataan ini diakui sendiri oleh Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Ujang yang berkata, sudah sampai waktunya kerajaan menggunakan pendekatan perundangan yang serius bagi membendung jenayah ragut. Menurutnya, sebelum ini, peragut akan didakwa di bawah kesalahan merompak mengikut Seksyen 390 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda atau kedua-duanya. ''Sekiranya melibatkan kematian mereka akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan sekiranya bersalah akan dihukum mati''. Jadi, tiada pendekatan perundangan khusus untuk jenayah ragut dan ia perlu diwujudkan untuk memberikan penerangan jelas mengenai kesalahan dan bentuk hukuman akibat ragut,'' katanya. [UM 7 Mei 2009].

Inilah padah dari sistem Sekular Kapitalisme yang menjadikan akal sebagai satu-satunya timbangan dalam menentukan hukum yang patut diterapkan dalam masyarakat. Perlembagaan Kufur yang lahir dari rahim peradaban Barat yang ditinggalkan penjajah barat masih dipuja-puja. Realiti pula dijadikan ‘indikator’ untuk menilai sama ada undang-undang akal buatan manusia itu sesuai atau tidak untuk tetap diimplementasikan. Jika keadaan semakin meruncing, undang-undang baru pula akan digubal, akta dipinda, hukuman ditukar ganti. Hakikatnya, dewan parlimen yang bersidang saban tahun dan memperdebatkan isu ini tidak pernah mampu menyelesaikan permasalahan ini dengan sekadar retorik belaka. Hasilnya, pi mai, pi mai tang tu juga!

Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita perlu kembali

Dari sini, kita perlu memahami bahawa setiap pihak ditaklifkan oleh Allah dengan kewajiban masing-masing. Walaupun ibu bapa, sekolah, jiran-jiran dan masyarakat berperanan untuk mencegah dan menghapuskan jenayah ini, tetapi kita perlu sedar setakat manakah taklif dan ‘kuasa’ yang ada pada mereka? Jadi soalnya sekarang ialah, apakah lagi daya seseorang itu jika ia telah melakukan sebaiknya, tetapi jenayah tetap berlaku dalam masyarakat? Jawabnya, kita hanya melakukan apa yang Allah taklifkan kepada kita dan kita telah lepas dari dosa jika berbuat demikian. Jadi, jika berlaku lagi maksiat, maka Negara (kerajaan)lah pula yang sewajibnya memainkan peranan untuk menghukum pelaku maksiat tersebut. Di sinilah tugas Negara. Peranan mereka adalah untuk mencegah maksiat dengan menerapkan sistem Islam (bukan sistem akal), dan jika maksiat tetap berlaku, maka mereka wajib pula menghukum mengikut hukum Islam (uqubat), bukan hukum akal. Malangnya, inilah apa yang tidak dilakukan oleh kerajaan.

“Dan hendaklah engkau memutuskan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, bahawasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab sebahagian dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.” [TMQ Al- Maidah:49].

Berdasarkan ayat di atas, kita sebagai hamba yang diciptakan olehNya wajib juga mengatur segala paksi hidup kita berlandaskan kepada aturan dan sistemNya. Sistem Islam yang telah disampaikan oleh insan mulia Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Salam melalui Al-Quran dan sunnahnya. Sistem ini telah dilegalisasikan selama lebih 14 abad; bermula sejak berdirinya Daulah Islam pertama di Madinah dan disambung oleh generasi sesudahnya melalui Daulah Khilafah. Sejarah menyaksikan sistem ini telah melalui satu fasa yang cemerlang dalam ‘menterjemahkan’ Islam bukan sekadar pengatur kepada hubungan manusia dengan Al-Khaliq (berkaitan dengan hal akidah dan ibadah), malah mengatur juga hubungan manusia dengan dirinya sendiri dan dengan manusia sesamanya. Sistem kehidupan Islam merangkumi seluruh aspek kehidupan, termasuklah politik, sosial, pendidikan, uqubat, ekonomi, dan politik luar negeri.

Berbalik kepada kes jenayah ragut, sistem perundangan dan hukuman dalam Islam menawarkan kaedah penyelesaian yang bersifat penebus dan pencegah. Kes ragut tidak akan dihukum seperti pencuri ‘biasa’ yang dikenakan hukuman hudud (jika cukup syarat) atau hukuman ta’zir (jika tidak cukup syarmutuskanat). Ragut dikategorikan sebagai qutha’i ath-thurq (pencuri/perompak jalanan). Firman Allah Subhanahu Wa Taala yang berkaitan dengan kes diatas adalah seperti berikut:

“Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya dan berbuat kerosakkan dimuka bumi, mereka hanya akan dibunuh atau disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka secara bersilangan, atau mereka akan dibuang negeri.” [TMQ Al Maidah:33].

Imam Syafi’ie rahimahullah meriwayatkan dalam musnadnya, dari Ibnu Abbas yang berkaitan dengan masalah qutha’i ath-thurq (pencuri/perompak jalanan) maksudnya: “Jika mereka membunuh dan merampas harta benda mereka akan dihukum bunuh dan disalib. Jika mereka membunuh tetapi tidak merampas harta, mereka akan dihukum bunuh tetapi tidak disalib. Jika mereka mengambil harta benda tanpa membunuh mereka akan dihukum potong tangan dan kaki secara bersilangan. Dan jika mereka sekadar menakut-nakutkan orang dijalanan tanpa merampas harta benda maka usirlah (hukuman buang negeri).”

Wahai Muslimat yang dirahmati Allah,

Bagi Negara (pemerintah), mereka adalah qiyan tanfizi (institusi pelaksana) yang wajib menerapkan hukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah. Mereka wajib menjaga dan memelihara rakyat, sesuai dengan kehendak Allah Subhanahu wa Taala, bukan mengikut kehendak dan kepentingan sendiri. Jika berlaku apa jua kemaksiatan (pelanggaran hukum Allah) dalam Negara, maka Negara wajib menyelesaikannya mengikut hukum syara’. Ini adalah kerana taklif hukum yang Allah letakkan ke atas Negara adalah memerintah dengan hukum-hakam Allah, bukannya hukum British atau hukum akal sendiri! Jadi, usaha kerajaan dalam meletakkan bebanan kesalahan kepada pihak lain ternyata merupakan suatu ‘escapism’ dari taklif hukum yang Allah telah letakkan di bahu mereka. Setiap kali berlaku kekecohan, kerajaan tidak pernah mengaku salah, namun dalam masa yang sama cuba mencadangkan langkah-langkah penyelesaian. Jika adapun ‘cadangan’ (bukan pengakuan) oleh kerajaan, ia adalah pengulangan-pengulangan cadangan yang membosankan seperti, ‘perkasakan institusi keluarga, pulihkan Rukun Tetangga, pasang CCTV, tebas semak-samun, beratkan lagi hukuman’ dan pelbagai cadangan dangkal lainnya. Persoalannya, apakah ini semua merupakan penyelesaian Islam, penyelesaian yang datangnya dari al-Quran dan Sunnah? Adakah jika diberatkan lagi hukuman bermaksud kerajaan telah terlepas dari taklif yang telah Allah letakkan? Contohnya, jika hukuman maksima bagi penzina sekarang ialah denda RM5,000, 3 tahun penjara dan 6 kali sebatan, diberatkan kepada RM50,000, 10 tahun penjara dan 50 kali rotan? Adakah ini satu cadangan yang sesuai dan lebih baik? Yang lebih penting, adakah ini hukum Allah? Wahai para pemimpin! Ingatlah bahawa kekuasaan yang Allah letakkan atas bahu kalian adalah satu amanah. Amanah untuk apa? Amanah untuk menjalankan hukum Allah, bukan hukum sendiri

Kesimpulan

Sekiranya umat mahu keselamatan dan keamanan mereka terjamin dengan utuh dan berpanjangan sentosanya, umat perlu bangkit dari pemikiran dan sistem yang ketika ini umpama hidup dalam sistem dan zaman ‘jahilliyyah’ versi moden. Keamanan dan keselamatan kita tiada jaminan sepadu. Marilah umat.. kita bangunkan kembali satu era yang amat gemilang, terbilang dan cemerlang dengan mengembalikan serta melaksanakan Islam sebagai agama malah sebagai satu sistem yang mengatur segala aspek kehidupan melalui system khilafah yang agung, Sistem yang telah diwariskan oleh Junjungan Mulia kita Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Salam.

Sabda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Salam:

“Islam itu tinggi, dan tiada yang lebih tinggi darinya...” [Muttafaqun Alaih]

Jadi, apa yang kita tunggu lagi wahai umat... Kembalilah.. Kembalilah kita kepada Islam yang mulia. Hanya itu satu-satunya penyelesaian ampuh yang kita miliki....

Pahala & Dosa yang Terus Mengalir

Bismillahirrahmanirrahim..

Ramai yang mungkin tidak sedar akan dosa-dosanya yang kecil dan juga pahala-pahalanya kerana perkara itu tidak boleh dihitung. Begitu juga saya. Kadang-kadang saya terlepas pandanga akan dosa yang saya lakukan sehingga ada yang mencontohi saya untuk melakukan perkara (dosa) itu. Sebagai umat Islam yang kasihkan saudara seakidahnya, mahu tidak sekiranya saya sampaikan kepada anda akan pahala dan dosa yang terus mengalir? Semoga anda juga mampu melakukannya kelak.

Siapa saja yang mencontohkan di dalam Islam contoh yang baik maka untuknya pahalanya dan pahala siapa saja yang melakukannya setelah dia kerana mencontohnya tanpa berkurang pahala mereka sedikitpun. Siapa saja yang mencontohkan di dalam Islam contoh yang buruk maka atasnya dosanya dan dosa siapa saja yang melakukannya setelah dia kerana mencontohnya tanpa berkurang dosa mereka sedikitpun (HR Muslim, Ahmad, Ibn Majah dan an-Nasa’i).

Imam Ahmad mengeluarkan hadis ini dari Abdurrahman bin Mahdi, dari Hasyim bin al-Qasim dan dari Muhammad bin Ja’far. Ketiganya dari Syu’bah dari ‘Awn bin Abi Juhaifah.

Hadis ini juga diriwayatkan dari Jarir bin Abdullah al-Bajali dengan lafal sedikit berbeza.

Abu Hurairah menuturkan bahwa Nabi saw. juga pernah bersabda:

Siapa saja yang mengajak pada petunjuk maka untuknya pahala seperti orang yang mengikutinya, hal itu tidak mengurangi pahala mereka sedikitpun. Siapa saja yang mengajak pada kesesatan maka atasnya dosa seperti dosa orang yang mengikutinya, hal itu tidak mengurangi dosa mereka sedikitpun (HR Muslim, Ahmad, ad-Darimi, Abu Dawud, Ibn Majah, at-Tirmidzi, Abu Ya’la dan Ibn Hibban)

Imam an-Nawawi di dalam Syarh Shahih Muslim menjelaskan, bahwa dua hadis ini secara mudah menunjukkan disukainya mencontohkan perkara yang baik dan haramnya mencontohkan perkara yang buruk; juga menunjukkan bahwa siapa saja yang mencontohkan perkara yang baik maka untuknya seperti pahala setiap orang yang melakukan kerana mencontohnya hingga Hari Kiamat. Sebaliknya, siapa saja yang mencontohkan perkara yang buruk maka atasnya dosa seperti dosa orang yang melakukannya kerana mencontohnya hingga Hari Kiamat.

Hadis kedua menunjukkan bahwa siapa saja yang mengajak pada petunjuk maka untuknya pahala sesperti pahala orang-orang yang mengikutinya, atau siapa saja yang mengajak pada kesesatan maka atasnya dosa seperti dosa orang-orang yang mengikutinya; baik petunjuk dan kesesatan itu ia yang memulainya pertama kali atau sudah ada yang memulainya; baik berupa pengajaran ilmu, ibadah, adab atau yang lainnya. Lafal “fa ‘amila biha ba’dahu” maknanya, jika ia mencontohnya, baik perbuatan itu dilakukan semasa hidupnya atau setelah kematiannya.

Allah SWT berfiman:

"(Ucapan mereka) menyebabkan mereka memikul dosa-dosanya dengan sepenuh-penuhnya pada Hari Kiamat dan (seperti) dosa-dosa orang yang mereka sesatkan tanpa mengetahui sedikitpun (bahawa mereka disesatkan)." (TQS an-Nahl [16]: 25).

Lalu bagaimana jika seseorang bukan hanya mencontohkan perkara yang buruk, tetapi juga menyerukan dan memerintahkan orang untuk melakukannya, berapa besar dosa yang harus dia pikul? Bagaimana pula jika seseorang bukan hanya menyerukan kesesatan, bahkan menyerukan kesyirikan seperti menjadikan manusia sebagai pesaing Allah dalam membuat hukum seraya meninggalkan hukum yang telah diturunkan oleh Allah; menapis kesyirikan itu supaya nampak seakan-akan islami; lalu memberi mandat dan menyuruh untuk memberi mandat kepada orang untuk melakukan kesesatan atau kesyirikan itu? Membayangkannya saja sudah membuat kita ngeri.

Sebaliknya, berapa banyak pahala yang boleh diraih oleh orang yang mencontohkan perkara yang baik, menyerukannya dan menyuruh orang untuk melakukan dan menyerukan perkara baik itu? Bagaimana jika yang diserukan dan dicontohkan itu adalah perjuangan dan dakwah demi tegaknya syariah yang akan boleh mengantarkan pada terwujudnya berbagai kebaikan dan terhalanginya berbagai kemungkaran di tengah masyarakat? Siapapun yang melakukannya bukankah patut sekiranya berharap akan mendapat pahala atas setiap kebaikan yang nanti terwujud dan dari tercegahnya setiap kemungkaran dengan tegaknya syariah dan Khilafah di tengah masyarakat?

Wallahua'lam..

Bingkisan Suci

Segala pujian bagiMu Ya ALLah,Tuhan Yang Maha Pengasih. Selawat dan salam buat kekasihMu, Nabi Muhammad SAW, keluarga serta sahabat baginda SAW.


Ya ALLAH,
Sunyi malam ciptaanMu telah menggamit hatiku untuk meluahkan pendaman yang telah lama kusimpan. Tenang angin hembusan malaikatMu menaikkan rasa sayu dan menambahkan keinginanku terhadap maghfirahMu. Namun aku sedar siapalah diri ini. Terlalu kecil untuk dipandang, terlalu hina untuk dikasihi, terlalu kotor untuk didampingi Tuhan Yang Maha Agung.

Tuhanku,
Jika dahulu, titisan air mata kekesalan sering dititiskan untukMu, namun kini aku tercari-cari ke mana hilangnya. Pastinya segala dendaman dosa telah menjadi kubu dan menghalang diri ini memperoleh ketenangan hakiki. Jika dahulu, kerap kali lidah ini memohon keampunanMu, tetapi kini anggota ini banyak sekali menyumbang dosa, kata-kata dusta dan sia-sia menjadi hiasan lisan yang meragut kesucian iman dan aku semakin tenggelam dalam lautan mungkar dan noda.

Ya ar-Rahman,
Terasa benar hati ini sekeras batuan dipantai. Kalimah suci dari kitabMu tidak lagi berkesan untuk memberi keinsafan pada diri ini. Bingkisan nasihat dan teguran langsung tidak melekat pada dinding hati ini sebagai peningkat tahap keimanan kepadaMu. Sekalipun aku sedar, namun diri ini terlalu berat untuk memohon keampunanMu. Kadang-kala aku lupa, lalai dan selalu merasa sukar untuk mencapai keikhlasan dalam panjatan doa-doa seharian kepadaMu.

Ya Jabbar,
Segala perlakuan dan kata-kata dilontar tanpa menyedari Engkau Maha Melihat dan Maha Mendengar.Ibadat yang dilakukan tiada didahului dengan keinginan memperolehi REDHAMU.Aku seumpama melangkah jauh dariMu dan hakikatnya Engkau tidak pernah lupa padaku. Terbukti apabila nikmat dan kurniaan dariMU kekal Engkau anugerahkan. Pelbagai bentuk ujian Engkau turunkan agar diri ini sedar segala kesilapan dan kembali mendekatiMU. Dan di sinilah aku berteleku diatas hamparan usang menghadap kiblatMu, memohon keampunan yang tidak pasti kumiliki.

Ya Ar-Rahim,
Hinanya hambaMu ini..Ya ALLAH, apabila jasad dan hati ini tidak tahan dengan ujian barulah diriMu didekati. Ke manakah hilangnya ikrar dan janji yang dilafazkan setiap hari untuk bergantung dan berserah diri kepada ALLAH setiap masa dan ketika?Adakah NERAKAMU yang bakal dihuni kerana keingkaran diri daripada menurut perintahMu. NA'UZUBILLAH MIN ZAALI..

Ya Aziz,
Entah sampai bila aku harus berterusan begini…Kekadang patuh dan menumpahkan sepenuh cinta kepadaMu. Kekadang berlaku mungkar dan khianat pada janji sebagai hamba dan khalifahMu. Tetapkanlah IMAN DIHATI INI YA ALLAH…Dan bantulah aku untuk melakukan segala amanah sebagai hambaMu dan KHALIFAH dimuka bumiMu. Lenturkanlah kekerasan hati ini dan kurniakanlah KEREDHAAN-MU..

Ya ALLAH,
Terimalah sebenar-benar pengakuan yang dilafazkan oleh hambaMu yang kejahilan ini. Seandainya hidupku ini hanya menambah MURKAMu dan membebankan diri ini dengan tanggungan dosa, Engkau bantulah diri ini untuk berubah kepada yang lebih baik. Sekiranya mati itu lebih baik bagiku, Engkau matikanlah aku dalam HUSNUL KHOTIMAHSesungguhnya Engkaulah TUHAN YANG MAHA MENGABULKAN SEGALA DOA DAN PERMINTAAN HAMBAMU..

..AMIN RABBAL A'LAMIIN..

Tagged!!

"Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang"


Peraturannya:

Sahlan ginddan2.. Mai check this out..

Perkara2 yang perlu anda lakukan ialah:

1) Copy gambar amal Islam di bawah. Copy satu post ni pun tak ape. Mudah dan menjimatkan masa. harapnye gitu..



2) Kemudian pilih 10 orang sahabat anda dan wajibkan mereka melakukan perkara yang sama. Ingat! 10 orang tahu? Lebih2, lagi bagus. Terlebih? Jangan melampau sudah. Calon-calon terpilih:

Dinah
Ida-Lee
Amar (KMPk)
Nabila
Fatba
Kak Ain
Kak Jie
Ainul
Prince Farkhan
Kak Insyirah Ameer

Alhamdulillah. Selamat dibereskan. Marilah bersama-sama menuju ke arah mesej yang gambar di atas sampaikan. InsyaAllah. Semoga berjaya! Very simple!

Saya sekadar menjawab tag dari sahabat saya, Dija. Sebenarnya saya tak tahu nak tag siapa, jadi 10 yang tak bernasid baik tu, sorry. Anda di tagged!! Layankan je.. Huhu

Obama Oh Obama!!!

OBAMA MENAKLUK NEGERI-NEGERI KAUM MUSLIMIN MULAI DARI TURKI HINGGA KE MESIR DAN MELEWATI REJIM PEMERINTAHAN SAUDI

Belum pun dua bulan Obama berkunjung ke Istanbul dan memberikan ucapannya di sana, kini dia mengalihkan pula sasarannya ke wilayah Kinanah (Mesir) melalui Jazirah Arab. Dia kemudian disambut oleh rejim Mesir pada pagi hari Khamis (4/6/2009) dengan sambutan bak pahlawan yang baru pulang dari medan tempur dengan membawa kemenangan! Sejak pukul 9 pagi, di mana pesawat yang dinaikinya dijadualkan akan mendarat, bahkan jauh sebelum itu, sudah tampak pengawalan yang amat ketat. Pasukan keselamatan kelihatan di mana-mana. Pelbagai bunga dan hiasan ucapan selamat berderetan menyambut Obama, Presiden Amerika, pemimpin kekufuran, yang hingga kini masih tetap menumpahkan darah umat Islam di Afghanistan, Pakistan, dan Irak. Rejim Mesir telah menyiapkan di setiap penjuru kawasan, pelbagai konvoi yang lengkap dan tercanggih, pasukan elit bersenjata, limosin mewah berserta alunan muzik…Kemudian, pemimpin rejim Mesir menyambut si kafir ini dari pintu Istana Kubah dengan sambutan hangat dan penuh penghormatan.

Lalu, dari sana, Obama pergi menuju ke Universiti Kairo untuk berdiri di mimbar kehormat yang telah dipersiapkan khusus untuknya, lalu menyampaikan ucapannya kepada kaum Muslimin! Isi ucapan yang disampaikan Obama tidak ada bezanya dengan polisi umum mantan presiden Amerika sebelumnya dan juga mantan-mantan presiden AS sebelum ini, baik dalam hal perang yang dilancarkan Amerika ke atas negeri-negeri kaum Muslimin, isu Palestin, hubungan erat dengan entiti Yahudi, isu senjata nuklear mahupun isu-isu lainnya. Isi pidato Obama tidak keluar dari usaha merealisasikan kepentingan Amerika, mulai dari awal hingga akhir, di mana semuanya merupakan usaha AS untuk menarik public opinion kaum Muslimin agar “memahami” bahawa perang yang dilancarkan Amerika di negeri-negeri kaum Muslimin selama ini adalah perlu dan bersandar atas kebenaran.

Namun demikian, dilihat dari sudut bentuk penyampaian, pidato yang disampaikan Obama memiliki keistimewaan melebihi para pemimpin sebelumnya. Penyampaian Obama dibaluti dengan penipuan yang begitu halus dan sempurna sehingga sesiapa sahaja yang mendengarkan perkataannya akan beranggapan bahawa ucapan tersebut tidak lebih dari usaha Obama untuk mewujudkan hubungan baik dengan dunia Islam. Inilah kehebatan Presiden AS ini dari seni penipuan dan penyesatan melalui permainan kata-katanya. Allah SWT berfirman,

“Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum. Dan jika mereka berkata, kamu mendengarkan perkataan mereka. Mereka adalah seakan-akan kayu yang tersandar. Mereka mengira bahawa tiap-tiap teriakan yang keras ditujukan kepada mereka. Mereka itulah musuh (yang sebenarnya), maka waspadalah terhadap mereka; semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka sampai dipalingkan (dari kebenaran)?” [TMQ al-Munafiqun (63):4].

Ini dilihat dari sudut usaha Obama membangun hubungan umum. Sedangkan jika dilihat dari sudut isu-isu sensitif dan isu-isu lain yang dapat diamati, isi ucapannya itu merupakan suatu yang sangat pedas, tajam, jelas dan tanpa terlindung, memanifestasikan permusuhannya yang tidak mengenal maaf terhadap kaum Muslimin. Allah SWT mengingatkan kita,

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang di luar kalanganmu (kerana) mereka ini tidak henti-henti (menimbulkan) kemudharatan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya.” [TMQ Ali Imran (3):118].

Obama memulakan pidatonya dengan melontarkan berbagai ancaman kepada mereka yang disebutnya sebagai puak teroris dan puak ekstremis di Afghanistan dan Pakistan dan Obama berikrar tidak akan sekali-kali bertolak-ansur dengan golongan ini. Bahkan dia menyeru semua negara untuk berperang dengan golongan tersebut. Dengan bangganya Obama mengatakan bahawa dirinya telah mengumpulkan 46 buah negara untuk membantunya berperang di Afghanistan. Tidak cukup dengan itu, Obama telah (benar-benar) mengebom Pakistan, baik secara langsung mahupun tidak. Dalam hal ini, dia tidak merasa bersalah sama sekali, bahkan dia menilainya sebagai pembunuhan yang “mulia”, meskipun yang dibunuhnya itu kebanyakannya terdiri dari kaum wanita, kanak-kanak dan orang-orang tua. Sungguh, semua pembunuhan itu dapat disaksikan dengan jelas di Afghanistan. Namun, tragedi pembunuhan wanita, kanak-kanak dan orang-orang tua ini dijustifikasikan oleh tentera Obama sebagai suatu 'kesilapan', bukannya kesengajaan!! Sekiranya pembunuhan kejam ini tidak tersiar, nescaya mereka akan mengatakan bahawa kesemua yang mereka bunuh adalah para ekstremis!

Sesungguhnya, setiap Muslim yang berpegang teguh dengan agamanya, yang tidak ingin negerinya diduduki dan dijajah oleh Amerika, atau seorang Muslim yang tidak ingin tempat-tempat sucinya dirampas oleh bangsa Yahudi, maka Muslim seperti inilah yang dinilai Obama sebagai seorang ekstremis! Meski telah jelas pelbagai kejahatan dan pembunuhan secara ganas yang terus-menerus dilakukannya di Afghanistan, Pakistan, dan Irak, namun Obama tidak henti-henti mengatakan bahawa dia tidak ingin memerangi Islam dan kaum Muslimin, seperti yang telah dia katakan di Turki. Sungguh benar sekali Rasulullah SAW yang telah memberi gambaran tentang siapakah manusia yang tidak tahu malu, dengan sabda baginda,

“Jika kamu tidak tahu malu, maka berbuatlah sesukamu.” [HR Muslim].

Tentera Amerika telah melakukan pembantaian di negeri-negeri kaum Muslimin dan melancarkan peperangan kejam ke atas umat Islam siang dan malam yang mengakibatkan ribuan nyawa melayang dan jutaan orang menjadi pelarian meninggalkan negeri yang sebelumnya memberikan ketenangan dan keamanan kepada mereka. Namun demikian, Obama masih sahaja mengatakan bahawa dia tidak ingin memerangi kaum Muslimin!!

Kemudian ketika Obama beralih ke isu Palestin di dalam ucapannya itu, dia dengan lantang dan berterus-terang mengatakan bahawa hubungan keselamatan dan hubungan lainnya antara Amerika dan Yahudi (yang telah merampas tanah Palestin) teramat rapat dan tidak dapat dipisahkan. Presiden AS itu dengan tegas menyatakan bahawa negara Yahudi harus tetap wujud di atas tanah yang didudukinya (Palestin) dan dia tidak akan menerima apa pun alternatif selain ini! Obama seterusnya menekankan solusi dua-negara (two-state solution), iaitu hak bangsa Yahudi atas sebahagian besar tanah Palestin, sementara tanah yang tersisa sedikit, jika pun ada, disebut sebagai ‘negara’ bagi warga Palestin. Kemudian dengan liciknya, Obama cuba ‘menarik’ sensitiviti umum, bahawa dia ingin menghentikan pembinaan penempatan Yahudi. Obama sesungguhnya bukan bermaksud untuk menghapuskan penempatan Yahudi (yang sedia ada), cuma mahu menghentikan pembinaannya (yang baru) sahaja! Itu pun, dia hanya akan menghentikannya setelah puak Yahudi melihat tidak ada lagi tanah yang aman bagi mereka, kecuali dengan dibangunkan benteng dan istana! Keinginan menghentikannya itu pun tidak akan dilakukan begitu sahaja, tetapi mesti ada persyaratannya, iaitu umat Islam harus menghentikan setiap bentuk perlawanan dan permusuhan terhadap Yahudi, sebagaimana yang ditegaskan di dalam road map tajaan Amerika!

Obama seterusnya berucap tentang isu senjata nuklear di mana Iran menjadi fokus utamanya. Dia menginginkan rantau Timur Tengah yang bersih dan bebas dari senjata nuklear dan tidak ada perlumbaan pembinaan senjata nuklear di dalamnya. Di sini, Presiden AS ini sama sekali tidak menyentuh entiti Yahudi walau sedikit pun, padahal dia tahu dengan jelas bahawa institusi Yahudi adalah negara berkekuatan nuklear!

Meskipun semua ucapannya dipenuhi ancaman dan penentangan terhadap umat Islam, namun rejim Mesir telah menyambut baik si kafir ini, walhal dia datang dengan penuh kejahatan dan kelicikan dengan mulut yang manis. Semua ini dilakukan Obama demi menutup wajah hodohnya menumpahkan darah umat Islam yang tak berdosa di bumi Afghanistan, Irak dan Pakistan. Rejim Mesir telah siap mengatur orang-orangnya yang akan bersorak-sorai dan memberikan tepukan atas ucapan jelek, keji dan beracun ini, sehingga tergambar di sana adanya persetujuan dari orang-orang Mesir atas racun yang ditiupkan oleh Obama dalam ucapannya itu. Sesungguhnya sorak-sorai dan tepukan gemuruh yang telah dirancang ini menjadi bukti bagi setiap insan yang celik. Bagaimana mungkin seseorang boleh memberi tepukan tentang solusi dua-negara? Apakah seorang Muslim boleh menerima, malah bersorakan dan memberikan tepukan gemuruh terhadap penyelesaian ‘membahagi-dua’ negara yang penuh barakah, tanah Israk dan Mikraj, antara pemilik yang hak dengan golongan kafir yang telah merampasnya? Bagaimana mungkin mereka bersorak-sorai dan memberikan tepukan, padahal Obama telah memalingkan ayat-ayat Allah dari maknanya yang sebenar, ketika dia menyebut Firman Allah,

“Barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan karena orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan karena membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya.” [TMQ al-Ma’idah (5):32].

Menurut Obama, ayat ini ditujukan kepada mereka yang disebut sebagai ekstremis Muslim! Padahal ayat ini merupakan ayat yang pertama kali diturunkan kepada Bani Israel. Namun, Obama menuduh seorang Muslim yang membela agamanya, keluarganya, dan memerangi orang-orang yang menyerangnya, sebagai telah membunuh semua manusia. Sebaliknya, apa yang dilakukan oleh entiti Yahudi, yang membunuh warga Palestin, merampas tanahnya, mengusir dari rumah-rumahnya, menodai kehormatan dan kesuciannya serta kerosakan demi kerosakan yang dilakukan Yahudi, maka semua itu di mata Obama bukan pembunuhan ke atas semua manusia! Begitu juga pembantaian yang dilakukan Amerika terhadap kaum Muslimin, di mata Obama juga bukan pembunuhan seluruh manusia. Benarlah Firman Allah,

“Alangkah jeleknya kata-kata yang keluar dari mulut mereka; mereka tidak mengatakan (sesuatu) kecuali dusta.” [TMQ al-Kahfi (18):5].

Bagaimana mungkin mereka boleh memberi tepukan gemuruh kepada orang yang mengatakan dengan jelas bahawa masalah di Palestin bukan disebabkan oleh penempatan sedia ada Yahudi, tetapi oleh sebab adanya pembinaan penempatan baru, (penempatan baru) inilah kononnya yang tidak sepatutnya ada!? Bukankah hanya talibarut rejim sahaja yang akan sanggup bersorak-sorai dan memberikan tepukan atas perkataan buruk dan keji Obama ini?

Bagaimana mungkin mereka boleh memberi tepukan gemuruh kepada Obama yang dengan jelas mengumumkan bahawa al-Quds (Jerusalem) yang dibebaskan oleh Saidina Umar dan para panglimanya melalui perjanjian Umariyah, yang menetapkan bahawa tidak seorang pun Yahudi yang boleh tinggal di dalamnya, lalu dibebaskan pula oleh Salahuddin, adalah tanahair yang kekuasaannya dikongsi bersama antara kaum Yahudi, Kristian dan Islam? Padahal al-Quds (Jerusalem) sudah lama disandarkan kepada bangsa Timur dan tidak pernah dikaitkan dengan bangsa Barat!! Sesungguhnya semua sorakan dan tepukan itu penuh dengan kedustaan. Rejim Mesir tidak akan mampu menyembunyikan fakta ini, meskipun mereka menyiapkan pentas sandiwara yang hebat untuk Obama agar Obama dilihat sebagai seorang yang adil dan bertolak ansur. Rejim Mesir juga tidak dapat menyembunyikan dirinya sebagai penyembah Amerika dari sekecil-kecil hingga sebesar-besar perkara walaupun ia (rejim Mesir) cuba menzahirkan kononnya ia berpandangan neutral terhadap Palestin dan Yahudi yang dianggapnya mempunyai hak yang sama, walhal hakikatnya adalah jelas bahawa ia (rejim Mesir) berpihak kepada Yahudi laknatullah!

Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya Obama mendatangi kalian dengan “pakaian ibadah”, agar dia dapat memanfaatkan kalian, sementara kalian tidak merasa/sedar bahawa kalian dimanfaatkan. Justeru, Obama sesungguhnya jauh lebih berbahaya dari orang yang terang-terangan atau secara terbuka memusuhi kalian. Semua ini dilakukannya agar kalian sepakat menyerahkan urusan kalian kepadanya. Hakikatnya, watak Obama adalah saling tak tumpah dengan perwatakan Amerika di bawah Bush sebelumnya. Sungguh bagi Amerika, berada di bumi kalian terasa sangat sempit sekali, meskipun ia dikelilingi oleh golongan elit dan penguasa kalian yang merupakan talibarut mereka kesemuanya. Sesungguhnya Amerika berada dalam kepanikan dan ketakutan terhadap kalian meskipun mereka dilengkapi dengan persenjataan berat dan moden. Jika tidak demikian, tentu Amerika akan mengumumkan secara terbuka permusuhannya terhadap kalian. Dalam keadaan dia menceroboh dan membunuh saudara kalian di bumi kalian sendiri, Obama tetap ingin kalian bergembira dan memberikan tepukan kepadanya. Dengan menampakkan senyuman yang manis, Obama berusaha menarik rasa suka dan kesetiaan kalian kepadanya, seumpama kata pepatah,

“Dia datang kepadamu dengan senyuman yang manis di bibirnya, sementara ia menerkammu seperti seekor serigala.”

Wahai kaum Muslimin! Obama tidak memilih untuk menjelajah ke negeri-negeri kalian tanpa pertimbangan. Dia memulainya dari Istanbul, melalui Jazirah Arab dan berakhir di wilayah Kinanah (Mesir). Dia tidak memilih semua itu secara rawak, namun dengan penuh kesedaran. Istanbul merupakan wilayah al-Fatih, ibu kota Khilafah yang pernah berdiri kukuh sebagai benteng dari dominasi Yahudi ke atas Palestin. Obama juga menyedari bahawa wilayah Jazirah Arab adalah wilayah ibukota Khilafah yang pertama, yang dari sana Umar berjaya membebaskan al-Quds (Jerusalem). Dan Obama juga menyedari bahawa wilayah Kinanah (Mesir) adalah pusat kekuasaan Salahuddin, yang dari sana Salahuddin membebaskan al-Quds dari kaum Salibiyyin. Obama menyedari semua itu dan kerana itulah dia datang ke negeri-negeri tersebut membawa mesej untuk umat Islam bahawa era kemuliaan kaum Muslimin dahulu sudah lenyap dan berkubur. Kini, autoriti dan kekuasaan berada di tangan Obama dan sekutunya, serta di bawah hegemoni Amerika.

Sungguh, kaum kafir penjajah lebih banyak mengetahui pusat-pusat kekuatan umat Islam daripada sebahagian kaum Muslimin sendiri. Mereka mempelajari sejarah kita, mempelajari agama kita, mengerti sumber-sumber kekuatan kita dan mengerti karakter terbaik yang dikembang oleh umat Islam. Jadi, bukanlah suatu kebetulan apabila Obama menyebut Firman Allah,

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal...” [TMQ al-Hujurat (49):13].

Dan dia berhenti di situ, tanpa meneruskan hingga ke akhir ayat, iaitu,

“...Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu.”

Obama tidak menyebut tentang takwa yang akan menjadikan umat Islam paling mulia dan paling perkasa dan dengan ketakwaanlah umat Islam akan menjadikan Amerika dan pengikutnya sebagai umat yang paling rendah dan paling hina.

Wahai kaum Muslimin! Sungguh, Obama dalam ucapannya itu berusaha untuk memperlihatkan bahawa dirinya adalah pemimpin dunia. Untuk itu, dia menyiapkan bagi dirinya para penguasa boneka di negeri-negeri kalian, di mana penguasa-penguasa boneka tersebut memberinya sebuah mahkota melebihi apa yang dia inginkan. Mereka menyerahkan bumi berserta pelbagai kemudahan dan perhiasannya untuk Obama. Bahkan mereka memberi Obama beragam perhiasan dan kesenangan yang tidak mudah didapati oleh Obama di negerinya sendiri. Keadaan Obama dengan para bonekanya ini tak ubah seperti keadaan Fir’aun dengan kaumnya,

“Maka Firaun mempengaruhi kaumnya (dengan perkataan itu) lalu mereka patuh kepadanya kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik.” [TMQ az-Zukhruf (43):54].

Jika benar Obama adalah seorang yang cerdas dan pintar seperti yang terzahir dari ucapannya, dia akan sedar bahawa sesungguhnya wilayah Istanbul, wilayah Jazirah, dan wilayah Kinanah (Mesir) tidak pernah menerima, apalagi menyambutnya. Jika Obama seorang yang bijak, dia pasti sedar bahawa orang yang menyambutnya hanyalah sekumpulan para pengkhianat dari rejim-rejim yang tidak lama lagi akan disingkirkan dari kehidupan kaum Muslimin. Obama juga pasti sedar bahawa segala keindahan kata-kata dan pernyataan dusta yang dilontarkan di dalam ucapannya, tidak akan mampu mempengaruhi umat Islam yang ikhlas dan berakal yang benar-benar mengerti akan apa yang dizahirkan dan disembunyikanya. Sesungguhnya sorak-sorai dan tepukan gemuruh yang didengarnya itu, semuanya ini tidak datang kecuali dari orang-orang hina yang telah siap dibayar oleh penguasa rejim yang menganjurkan sambutan keji tersebut.

Sesungguhnya Hizbut Tahrir mengumumkan kepada Obama dan kepada dunia, bahawa Islam memiliki para pejuang yang akan menegakkan Daulah Khilafah yang akan lahir semula menjadi negara nombor satu di dunia. Bukan dengan cara mengekploitasi dunia, menjajah, dan merampas kekayaannya, namun, Daulah Khilafah akan datang untuk menegakkan keadilan, menghapuskan kezaliman, mengembalikan setiap hak kepada yang berhak, kemudian akan mengusir Amerika agar kembali ke rumahnya sendiri dalam keadaan hina-dina dan lemah tidak berdaya. Daulah Khilafah seterusnya akan menghapuskan kaum Yahudi laknatullah yang telah merampas tanah yang diberkati Palestin, sehingga semua negara umat Islam akan kembali bersatu dan berdiri teguh menjadi bahagian dari Negara Islam. Bumi akan kembali bersinar dengan tegaknya Khilafah dan kebaikan akan tersebar dan dinikmati di seluruh penjuru dunia.

“Dan Allah berkuasa terhadap (wujudnya) urusanNya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.” [TMQ Yusuf (12):21].

Sumber: MyK

He is My First Hero

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Mei telah berlalu pergi,
Meraikan si Ibu bagaikan pemaisuri,
Kini Jun menonjolkan diri,
Si Ayah menanti senang hati..


Pantun empat kerat di atas adalah sekadar pembuka entri. Agar saya lebih memahirkan diri dalam seni bersastera walaupun hasilnya tidaklah hebat. Tetapi perlukah semua ini??

Hari ahad baru ini merupakan hari bapa yang disambut oleh beberapa buah negara. Antaranya adalah Amerika Syarikat, Bangladesh, China, Filipina, Hong Kong, India, Pakistan, Singapura, dan beberapa buah negara lagi. Apa yang pasti, Malaysia tidak terkecuali untuk meraikannya.

Pepatah melayu ada mengatakan, "kasih ibu dibawa ke syurga, kasih bapa sementara ada." Seperti yang kita semua maklum, dalam semua bentuk bahasa, minda dan perilaku, seorang ibu itu sememangnya diletakkan lebih tinggi daripada seorang bapa. Rasul SAW bersabda, sebagaimana dituturkan Abu Hurairah ra.,

Seseorang pernah bertanya kepada Rasulullah,"Siapakah orang yang paling berhak diperlakukan dengan baik?" Rasul menjawab, "Ibumu, ibumu, ibumu; lalu bapamu; kemudian baru orang yang lebih dekat dan seterusnya." (HR Muslim)

Ini pasti tiada bangkangan dari mana-mana lelaki mahupun wanita yang pernah menerima belaian kasih seorang ibu. Namun, tidak pula diabaikan kedudukan bapa, diambil mudah atau tidak dihargai, selagi ada. Walaupun kedudukan ibu yang penuh kasih sayang, lemah lembut dan budi bahasa diutamakan, seorang bapa sebagai penaung dan pemimpin amat penting dalam sebuah keluarga.

Mari kita renungkan sejenak sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci bersih. Ibu bapalah bertanggungjawab mencoraknya anak itu menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Bukhari dan Muslim)

Apakah saya akan berada di tahap ini sekiranya ibu bapa saya tidak mencorakkan saya? Apakah anda boleh memilih kehidupan apakah ingin anda amalkan sekiranya ibu bapa anda tidak mencorakkan anda? Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dilahirkan dalam keadaan saya telah beragama Islam. Cuma apa yang perlu saya lakukan adalah beriman dengan sebenar-benar iman agama Islam yang menjadi way of my life tidak sekadar ikutan sahaja.

Ada sebuah hadith riwayat at-Tirmizi yang bermaksud: “Tidak ada sesuatu pemberian yang lebih baik daripada seseorang ayah kepada anaknya selain daripada budi pekerti yang baik.” Iya, seorang bapa perlu mempunyai budi pekerti yang baik. Pekerti yang bagaimana? Bagi saya, dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai 'qudwatun hasanah'. Jika benar seorang bapa menyayangi anaknya, maka dia akan mempunyai pekerti seperti itu. Namun sekiranya perkara ini tidak berlaku kepada anda, janganlah anda berduka cita dan bersedih. Kerana setiap manusia itu mempunyai kelebihan dan kekurangannya. Begitu juga dengan insan yang bergelar bapa. Andai anda tidak menemui pekerti bapa anda yang anda inginkan seperti di dalam hadith di atas, anda boleh berusaha agar anda (jika anda seorang lelaki) menjadi bapa seperti itu terhadap anak-anak anda.

Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarnya ialah manusia dan batu (berhala),” (TQS At-Tahrim: 6)

Dalil di atas juga jelas menunjukkan bahawa seorang bapa tidak akan pernah membiarkan anak-anaknya melakukan dosa. Pernah suatu masa lalu, saya memakai pakaian yang agak menarik perhatian. Tetapi bagi saya, pakaian itu adalah biasa kerana ramai wanita yang telah memakainya. Bapa saya melarang saya memakai pakaian yang di matanya kelihatan seperti bertabarruj. Saya akhirnya akur. Sesungguhnya lelaki lebih mengerti cara berpakaian seorang muslimah dari segi tabarruj. Jadi, sekiranya anda ditegur oleh bapa, abang, adik lelaki atau pak cik saudara anda tentang itu, maka dengarlah. Kerana mereka tidak mahu sekiranya anda menjadi bahan bakar api neraka. Naudzubillah mindzalik!!

Kalau kita baca sirah, Rasulullah SAW tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai bapa terhadap anak biarpun yang sudah berumahtangga. Rasulullah SAW sentiasa mengunjungi rumah Fatimah dan bertanya khabar, serta memberi nasihat berguna dalam menjalankan tugas sebagai isteri dan ibu. Malah, Rasulullah SAW sentiasa memberi sambutan mesra setiap kali ketibaan Fatimah mengunjungi baginda. Baginda bangun menyambut ketibaan Fatimah, memberi kucupan dan memimpinnya ke tempat duduk. Seperti bapa saya. Walaupun ada anaknya yang telah berkahwin, tetapi dia tetap tidak penat untuk terus menasihati anaknya itu. Dia tahu bahawa dia tiada hak lagi ke atas anaknya, namun itulah caranya.

Sebagai akhir kata, saya dedikasikan lagu ini buat bapa saya.

‘Perpecahan Melayu teruk’

(Utusan Malaysia: 18/06/2009)

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria memberi amaran perpecahan orang Melayu ketika ini terlampau teruk sehingga golongan majoriti itu kelihatan terlalu lemah. Membiarkan orang Melayu sendiri mentafsirkan apa yang dimaksudkannya daripada pengamatan suasana hari ini, Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2008 itu percaya hanya kerajaan perpaduan antara UMNO-Pas sahaja boleh mengembalikan semula kewibawaan orang Melayu di Malaysia. ‘‘Saya sebenarnya tidak mahu mengulas isu-isu politik tetapi dalam soal cadangan kerajaan perpaduan UMNO-Pas ini, saya setuju sangat jika ia dapat dijayakan. ‘‘Ia bukan sahaja boleh menyatukan orang Melayu malah lebih dari itu mempertahankan agama Islam yang suci ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Masih berada di dalam ruang lingkup assabiyyah. Itulah kesimpulan awal yang boleh dikatakan berhubung kenyataan Mufti Perak di atas. Perpecahan yang sedang berlaku di kalangan orang melayu pada hari ini adalah disebabkan mereka tidak menjadikan Islam sebagai asas di dalam menyelesaikan masalah kehidupan. Bahkan, menjadikan agenda melayu untuk menyatukan umat Islam di Malaysia bertentangan dengan ajaran Islam. Firman Allah SWT:

“dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya” [TMQ Ali 'Imran (3) : 103].

Jadi, mengapa mufti Perak itu masih lagi mengusung perkataan “Melayu” di dalam usaha menjelaskan isu perpecahan di kalangan umat Islam pada hari ini. Yakinlah bahawa Melayu hanya akan menjadi mulia dan kuat apabila mereka kembali berpegang kepada ajaran Islam sebagai satu syariat dan bukan sekadar mengambilnya di dalam bab kerohanian semata-mata. FirmanNya:

“padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)” [TMQ Al Munaafiquun (63) :8].

Mampu dan/atau Sanggup

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh..

kedua-duanya..
mampu terima kenyataan
sanggup harungi cabaran..
the solution anwer is mencuba...dan terus mencuba..

Itu adalah jawapan daripada seorang teman maya saya. Soalan ini pernah saya 'publish'kan di sebuah laman sosial. Agak pelik kan tajuk saya kali ini. Namun sejak kebelakangan ini, dua perkataan ini sentiasa bermain di fikiran saya. Dua perkataan ini sentiasa disebut-sebut oleh seseorang. Sehingga perkataan ini menjadi tanda tanya buat diri saya. "Ramai yang mampu berkorban tetapi berapa ramaikah yang sanggup berkorban?? Kita cuba letakkan kedua-duanya dalam satu keadaan.." Mungkin dua perkataan ini adalah sesuatu yang biasa sahaja dan mungkin tak bermakna langsung bagi sesetengah orang. Namun dua perkataan ini perlu saya gunakan untuk lebih memahami dan memaknai rasa dalam kehidupan. Kenapa? Saya tidak pasti kenapa tetapi saya akan cuba hadirkan beberapa contoh agar saya sendiri mudah memahaminya. Saya akan jelaskan di perenggan-perenggan seterusnya.

Saya tak pasti samada contoh yang saya berikan ini sesuai atau tidak tetapi ini sahajalah contoh-contoh yang terlintas di fikiran saya ketika ini. Namun saya masih terfikir, relevenkah entri saya kali ini??

Contoh yang pertama : Kita andaikan seseorang yang bernama Ruqaiyah. Ruqaiyah seorang yang mampu menulis. Dia mampu untuk menulis pelbagai genre dalam sastera. Segala-galanya sempurna dan cantik apabila dia menulis. Suatu hari, dia ditawarkan untuk menulis artikel di dalam sebuah majalah. Sebuah majalah islamik yang memerlukan huraian yang jelas, mudah difahami dan padat tentang sesuatu isu. Artikel tersebut perlulah dibaca dan difahami oleh semua lapisan masyarakat. Namun apa yang dilakukan oleh Ruqaiyah? Dia menolak tawaran tersebut. Anda rasa kenapa dia bertindak sedemikian? Ini kerana dia tidak sanggup untuk menulis artikel sehebat itu. Walaupun dia mampu menulis dengan baik sekali, namun dia tidak sanggup untuk melakukannya.

Contoh yang kedua : Di sini kita masih andaikan orang yang sama, Ruqaiyah. Dia juga seorang yang mempunyai kelayakan dalam bidang grafik. Hanya dia yang mampu melakukan grafik untuk bahagian penerbitan sebuah majalah. Apabila ditawarkan pekerjaan itu kepadanya, dia tidak berfikir panjang kerana dia sanggup untuk melakukan pekerjaan tersebut. Dalam situasi ini, Ruqaiyah seorang yang mampu kerana berkelayakan dalam bidang grafik dan dia juga sanggup kerana mahir dalam bidang itu. Anda faham ke?? (Macam belit-belit saja ayat-ayat ini)

Contoh yang ketiga : Sebagai umat Islam, kita amat digalakkan untuk menderma. Saya andaikan di sini ada dua orang. Dua-duanya orang kaya atau dengan kata lain orang yang hidupnya sederhana tetapi mampu memiliki apa-apa sahaja yang dikehendaki. Si Y seorang kaya yang pemurah lagi dermawan. Dia mampu untuk menderma seberapa banyak wang yang dia miliki. Kerana dia mempunyai wang yang banyak. Jadi, dia sanggup menderma kerana dia tahu bahawa di dalam hartanya terdapat milik/hak orang yang miskin. Di dalam surah Adz-Zhariyat [51] ayat 19 Allah SWT telah berfirman, "Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta)." Si Z pula, dia juga seorang yang kaya malah melebihi kekayaan Y. Dia mampu untuk menderma dan bersedekah kepada golongan yang fakir dan miskin. Namun, hakikatnya tidak begitu kerana dia tidak sanggup menginfakkan hartanya di jalan Allah. Dia merupakan seorang yang bakhil dan terlalu menyayangi hartanya.

Contoh yang keempat : Kalau kita lihat, hampir keseluruhan umat Islam memang sudah mengetahui akan keharaman riba. Firman Allah SWT, "Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman." (TQS Al-Baqarah [2] : 278) dan "...padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.." (TQS Al-Baqarah [2]:275) Saya andaikan seorang pengurus. Dia bernama Amran. Dia mempunyai gaji yang mencecah ke lima angka. Jika kita melihat akan gajinya, kita pasti akan meneka bahawa dia sangat mampu untuk membeli kereta BMW. Anda setuju dengan saya? Tetapi dia hanya membeli kereta yang biasa-biasa sahaja. Anda rasa kenapa? Kerana Amran tidak sanggup untuk terlibat dengan keharaman riba. Dia tidak sanggup untuk mengambilnya kerana takut akan Allah SWT.

Dan contoh yang kelima : Saya andaikan diri saya sendiri untuk contoh ini. Saya memang mampu untuk mengambil jurusan sains dan akhirnya saya memilih farmasi sebagai kursus saya di universiti. Tetapi sekiranya saya tidak mendapat biasiswa daripada mana-mana pihak, adakah saya sanggup untuk meneruskan pengajian saya itu? Iya, saya sanggup kerana saya telah berazam untuk graduate dengan ijazah farmasi. Jadi saya perlu mengusahakan apa sahaja cara agar saya boleh meneruskan pengajian itu.

Demikianlah lima contoh yang cuba saya kongsikan. Biarpun entri mungkin sekadar 'apa-apa aje', saya harap ia boleh dimanfaatkan agar kita memahami bahawa mengutamakan perkara yang lebih utama di dalam hidup adalah penting. Sepenting memberikan setitik air kepada orang yang kehausan di panas terik dan membahang. Kerana berapa ramai yang sanggup berkorban untuk dakwah sedangkan mereka tahu mereka mampu untuk melakukannya.

Wallahua'lam.

Lagi Mangsa Rogol

KUANTAN: Seorang gadis menempuh detik menakutkan apabila dikurung selama 12 hari sejak 5 Jun lalu dan dipercayai menjadi mangsa rogol tujuh lelaki di sebuah rumah ditaman perumahan Indera Sempurna, di sini. Difahamkan, mangsa yang berusia 19 tahun berasal dari Pekan, keluar bersama beberapa rakan wanitanya untuk menonton wayang di sebuah pusat beli-belah di sini, sebelum memaklumkan rakan dia mahu pulang sendiri ke rumah kakaknya di taman perumahan itu kira-kira jam 11 malam. Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar, berkata sebaik rakan mangsa beredar daripada pusat beli-belah itu, mangsa dihampiri seorang lelaki yang mahu berkenalan dengannya.

Beliau berkata, lelaki terbabit kemudiannya menawarkan diri untuk menghantar mangsa ke rumah kakaknya dengan alasan mahu ke taman perumahan sama Katanya, mangsa yang termakan pujukan lelaki terbabit kemudian menuruti suspek yang memaklumkan dia mahu pergi ke rumah abangnya terlebih dulu, sebelum menghantar mangsa pulang ke rumah kakaknya. "Mangsa kemudian dipelawa masuk ke rumah sewa terbabit yang mulanya disangka rumah abang lelaki terbabit, namun suspek tiba-tiba bertindak mengunci pintu serta mengugut mangsa supaya menuruti segala kemahuannya jika tidak mahu dicederakan. "Bimbang dengan ugutan berkenaan, mangsa mendakwa dirogol lelaki terbabit dan enam rakannya secara bergilir-gilir. Suspek juga mengulangi perbuatan terkutuk terhadap mangsa yang dikurung sepanjang tempoh berkenaan," katanya ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini, semalam. Kamaruzzaman berkata, mangsa yang tidak tahu untuk meminta bantuan sesiapa akhirnya berjaya melarikan diri melalui pintu utama rumah sewa itu yang kebetulan tidak berkunci ketika suspek tidur, kira-kira jam 7 pagi kelmarin, Beliau berkata, mangsa kemudian menaiki bas untuk pulang ke rumahnya di Pekan sebelum memaklumkan kejadian kepada ibunya yang menyangka mangsa berada di rumah seorang lagi anaknya di Indera Sempurna. "Ibu mangsa kemudian membuat laporan polis di IPD Kuantan berhubung kejadian, petang kelmarin. Susulan laporan polis menyerbu rumah sewa terbabit dan menahan empat suspek berusia 19 hingga 36 tahun yang bekerja sendiri," katanya. Kamaruzzaman berkata, polis juga sedang menjejaki tiga lagi suspek dipercayai berada sekitar daerah ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Beliau berkata, mangsa dibawa ibunya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini untuk membuat pemeriksaan pagi semalam dan doktor mengesahkan ada kesan koyak di kemaluannya.

[Sumber : Berita Harian 18/06/09]

Mungkin ada yang bersimpati, bosan atau meluat dengan apa yang berlaku ke atas gadis tersebut. Sudah terlampau banyak kisah-kisah sebegini yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan. Inilah realiti masyarakat kita pada hari ini. Perkara sebegini akan terus berlaku apabila sebahagian besar individunya tidak menjadikan Islam sebagai asas pemikiran, perasaan dan sistem yang diterapkan. Begitulah rendahnya nilai ketakwaan gadis tersebut (jika mangsa adalah Islam) sehingga mudah percaya dengan pujuk rayu seorang lelaki yang bukan muhrimnya sehingga menyebabkannya melakukan dosa. Allah SWT telah pun memberi larangan di dalam Al Quran berkaitan perkara di atas, firmanNya

“dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)”. [TMQ Al Israa' (17) : 32].

Di samping itu, tanggungjawab juga harus diletakkan ke atas keluarga gadis tersebut kerana membiarkan anak gadisnya keluar untuk menonton wayang di tempat yang berlakunya percampuran dan interaksi (ikhtilat) di antara lelaki dan wanita. Negara yang menerapkan sistem yang membenarkan kehidupan bebas di antara lelaki dan wanita juga harus dipersalahkan. Untuk kes di atas, siapakah yang bersalah dan harus dipersalahkan? Sudah pasti ketiga-ketiga golongan dan peringkat yang terkait dengan perkara di atas mesti dipertanggunjawabkan. Individu (lelaki mahupun gadis itu sendiri) yang telah melanggar hukum syara’, masyarakat termasuk keluarga gadis tersebut yang tidak memainkan peranan untuk melakukan amar makruf dan mencegah mungkar dan yang paling besar sekali adalah negara kerana tidak menerapkan sistem sosial Islam. Sampai bilakah kita akan dipaparkan dengan berita-berita bodoh dan memualkan ini? Ya, sudah pasti selagi mana sistem sekular Kapitalisme ini terus diterapkan oleh pemerintah yang ada pada hari ini, maka tidak akan ada yang dapat mencegah peristiwa-peristiwa seperti di atas daripada terus berlaku.

Durian dan Manggis




Suatu daerah di Semenanjung Malaysia.

"Eh, ini jalan dah jauh ke dalam. Rumahnya di mana?" Kak Miah bersuara. "Aah lah, mana rumahnya ni?" Kami serentak menjawab mengiyakan pertanyaan Kak Miah. "Try Mas call Kak Leha." Nombor telefon Kak Leha didail.

Kataku, "Kak Leha kata kita kena keluar balik. Kita dah silap masuk lorong.""Eh, biar betul? Kita kan dah masuk lorong yang diberitahu tadi." "Entahlah. Kita keluar jelah."

Kereta yang dipandu Kak Miah menyusur keluar ke jalan besar yang telah dilalui kami tadi. Sepanjang perjalanan 2 kilometer setelah keluar dari lorong tersebut, ternyata rumah Kak Leha masih belum ditemui. Akhirnya, Kak Miah menelefon Kak Leha sekali lagi. "Leha, senang cerita awak ambik jelah kami di sini. Nanti lambat pula sampai ke rumah awak."

Beberapa minit kemudian, kereta Kak Leha telah berada di hadapan kereta kami. Kami membuntuti sahaja kereta Kak Leha. Ternyata kami masuk semula ke lorong yang telah kami lalui tadi. "Betullah lorong ini yang kita masuk tadi kan" Kak Miah seakan tidak berpuas hati. "Iya, tapi nak buat macam mana, mungkin ada salah faham kot tadi." Kak Amirah cuba menenangkan Kak Miah dan aku hanya menganggukkan sahaja kepala tanda bersetuju dengan kak Amirah.

Aku bermonolog sendirian. Sampai juga ke rumah Kak Leha. Cantiknya! Subhanallah. Keadaan di sini tak sama seperti di bandar. Di sini nyaman dan segar, di bandar seperti tidak boleh bernafas kerana pencemaran udara yang melanda. Di bandar udaranya penuh dengan debu-debu habuk, gas-gas monoksida dan asap-asap dari kilang. Sekeliling rumah Kak Leha dipenuhi dengan tumbuhan hijau. Di bandar hanya ada tumbuhan batu-batu putih dan kadang-kadang berwarna. Bangunan-bangunan konkrit yang menghiasi pemandangan mata saban hari. Huh, sungguh menyakitkan mata.

"Alhamdulillah, sampai juga korang ke rumah Kak Leha ya." Kata Kak Leha dengan ramah sambil bersalaman bersama kami. Kami melangkah masuk ke rumah Kak Leha. Tazkirah mingguan telah bermula beberapa minit yang lalu. Lantas kami terus duduk bersimpuh mendengar tazkirah yang diberi. Aku bersalaman dengan 2 orang kakak yang duduk di sebelah kiriku.

Ketika mataku terpaku melihat mak cik yang memberi tazkirah tersebut, tiba-tiba hatiku terdetik. "Bagusnya mak cik ni. Bukan calang-calang yang diperkatakannya. She's talked about politics. About international issues." Aku rasa kagum sebentar. Hebat. Aku tersenyum bangga. Bangga kerana dia mempunyai pemikiran politik, pemikiran yang perlu dibina. Lebih kurang sejam lebih, tazkirah tersebut tamat.

Kak Leha, selaku tuan rumah menjemput sahabat-sahabat yang datang untuk menjamu makanan yang telah disediakan. Makan tengah hari terus ni gamaknya. Aku gembira suka hati. Sambil aku makan-makan, aku bersembang dengan kakak yang duduk di sebelahku tadi. "Nama apa ya adik ni?"katanya. "Panggil je saya mas, akak. Saya nak panggil akak apa ya?" "Kak Anis." Kami bersembang mesra. Bersembang pasal keluarga. Rupanya kak Anis mempunyai bilangan anak yang sama banyaknya dengan bilangan adik-beradikku. "Ramai ya anak akak." Aku berkata sambil tersenyum.

"Siapa-siapa yang nak makan buah, jomlah ke dapur." Kak Leha memberi pengumuman. Perbualan aku dengan kak Anis terhenti. Lagipun kak Anis telah selesai makan. Kak Anis dan rakannya tadi maminta diri untuk pulang kerana telah berjanji dengan suaminya. Aku hanya tersenyum memandangnya. Selepas kelibat kak Anis dan rakannya hilang dari pandangan, aku terus ke dapur untuk menjamu buah pula. "Wah, durian. Bestnya. Manggis pun ada. Lama dah tak makan." Kataku kepada kak Amirah.

"Biasanya musim buah manggis sekali dengan musim buah durian. Buah durian apabila kita makan, badan kita akan jadi panas. Jadi untuk hilangkan panas badan, kita minum air di dalam pangsa durian. Ataupun makan buah manggis selepas makan buah durian." Hurai kak Miah dengan panjang lebar. Baru aku tahu. Sebelum ini aku tak pernah pun tahu, yelah aku bukannya membesar di kampung tapi di bandar.

Kak Amirah tengah mengandung. Sebelum sampai ke rumah kak Leha, banyak gerai buah-buahan. Banyak yang menjual buah durian. Kak Amirahlah yang paling mengidam. Jadinya di rumah kak Leha nilah kak Amirah makan sepuas-puasnya termasuklah aku. Sambil makan-makan buah durian, aku sempat bergurau senda dengan kak Amirah. Keadaan ini tidak aku perolehi ketika di bandar biarpun kami selalu berjumpa. Mungkin kerana kesuntukan masa menyebabkan kami tidak sempat bergurau mesra. Mungkin.

Setelah makan buah, aku ke ruang tamu. Aku berborak-borak dengan sahabat-sahabat yang seringkali kutemui di majlis-majlis ilmu tetapi tidak pernah aku berbual mesra. Kebanyakan mereka adalah sebaya ibuku, namun aku tetap memanggil mereka dengan panggilan kakak. Ada sesetengah dari mereka amat rapat aku lihat. Biarpun mereka bukan saudara mara, mereka rapat seperti adik-beradik. Aku gembira dan bahagia melihat mereka. Ketika itu aku sedang membaca surat khabar. Fikiranku melayang kepada sahabat-sahabatku di bandar. Mengapa mereka tidak seperti sahabat-sahabat di sini? Teringat aku akan sepotong ayat Al-Quran di mana Allah SWT berfirman : "Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara.."(TQS Al-Hujurat [49]:10) Setiap orang yang beriman terhadap orang lain yang seakidah dengannya adalah bersaudara. Aku berfikir sejenak. Rasulullah SAw memberi motivasi akan pentingnya menjaga keutuhan umat dengan menjaga persaudaraan di antara mereka, “Sesungguhnya kedudukan seorang mukmin di kalangan orang-orang beriman adalah seperti kepala dari tubuhnya. Ia akan merasa sakit jika badannya sakit.” (HR Imam Ahmad). Nash hadits yang mirip dengan ini adalah sabda Rasulullah yang bermaksud, “Perumpamaan orang-orang beriman dalam kecintaan, kelembutan dan kasih sayang di antara mereka ibarat satu tubuh. Jika salah satu anggota sakit, maka seluruh anggota turut merasakannya dengan tetap berjaga dan demam.” (Muslim & Ahmad).

Mungkin mereka kesuntukan masa untuk berbuat demikian. Mereka mempunyai suami, anak, ayah dan ibu yang mesti mereka taati. Atau mungkin mereka malu untuk menzahirkan rasa cintanya kepada saudara seakidah. Kadang-kadang kasih sesama insan sukar untuk ditunjukkan, itu aku akui kerana aku juga kadang-kadang begitu. Iya, mungkin dan kemungkinan ini semuanya benar. Aku tidak marah malah aku akur, manusia itu lemah lagi memerlukan antara satu sama lain. Aku tersedar apabila kak Amirah mencuit lengannya. aku terkejut tapi cepat-cepat aku tersenyum. "Jom solat. Mengelamun pula mas ni kat sini ya." Usik kak Amirah.

“Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Ansar) ‘mencintai’ orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka (Ansar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung.” (TQS Al-Hasyr: 9)

p/s: nama dan jalan cerita adalah rekaan penulis semata-mata. Segala cerpen yang dikongsikan sekadar khayalan dan ilusi penulis. Sekian.

Luahan Rasa 1

Jika kebahagiaan ku diragut tika ini, ia bukan halangan untuk ku terus maju melangkah.. Andai ku toleh ke belakang, pasti aku akan kecundang.. Namun satu harapan ku, moga redha Allah bisa ku raih, agar hari mendatang menjadi semakin bersinar untuk terus ku berlari..

Ketenangan yang dicari, mungkin terpancar di lorong sufi.. Kedamaian diri perlu juga ditemui, Biar bersuluh cahaya walau di dlm gelapnya bumi, Namun, hadirnya bahagia adalah ciptaan Ilahi..

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir. (TQS Al-Baqarah [2]:286)

Wallahua'lam

Wanita Suka Mengumpat : Boleh atau Tidak?

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Wanita seringkali dikatakan seorang yang kuat mengumpat dan mengata orang lain. Kenapa saya berkata demikian?? Saya juga seorang wanita, jadi apakah relevennya saya berkata sedemikian? Adakah kenyataan ini seolah-olah menunjukkan saya ingin menjatuhkan wanita? Tidak bukan?? Benarkah?? Benar, kerana banyak kebenarannya dari salah mengenai kenyataan ini. (Wahai wanita! Jangan marah ya.)

Adalah menjadi suatu kemestian apabila para wanita berkumpul, dan perkara yang akan dilakukannya adalah mengumpat.. Kalau tak mengumpat macam ada yang kurang. Betul tak?? Anda sendiri telah melihat realitinya, bukan?? Saya telah melihat realitinya di depan mata saya sendiri..dan kerana itu, saya lebih suka mengasingkan diri.. kadang-kadang saya 'terjoin' sekali. (Sepatutnya saya menegur mereka agar jangan mengumpat. Kelemahan saya.)

Tersebutlah kisah, suatu pagi yang cerah, ada seorang insan yang bergelar wanita dan berstatus isteri serta ibu. Dia pergi ke rumah kenalannya yang tidak jauh dari tempat tinggalnya. Dia pergi sejurus selepas suaminya pergi ke kerja. Lama juga dia berada di rumah kenalannya itu. Lebih kurang 2 jam. Almaklumlah, rakannya itu baru pulang dari oversea. Jadi banyak pengalaman yang ingin diceritakan dan dikongsikan bersama.. Sambil-sambil bercerita tentang pengalaman, terselit juga kisah-kisah insan yang turut serta ke oversea. Jadi, umpatan dikatakan telah berlaku kan.. ( Correct me if i am wrong about this.)

Seperti biasa, suaminya akan menelefon insan tersebut. Kebiasaanya si suami akan bertanya, "Tengah buat apa?, Dah masak ke?, Masak apa hari ini? Pergi ke mana? Sembang apa je tadi? dan lain-lain lagi." Kata orang, (tak tahulah betul ke tidak tapi rasanya boleh saja kalau nak dijadikan tips rumah tangga..hehe) untuk mengukuhkan lagi ikatan perkahwinan yang telah dibina dan sentiasa kasih antara satu sama lain biarpun telah bertahun mendirikan rumah tangga. Tetapi pada hari itu, si suami menelefon dan berkata kepadanya, "Pergi rumah kawan tu, janganlah mengumpat." Si isteri terdiam.

p/s:
-Kita perlulah saling ingat mengingati antara satu sama lain untuk meraih redha Allah SWT.

-Janganlah kita terdiri daripada mereka yang suka mengumpat, kerana balasannya adalah murka Allah SWT. Dalam sebuah riwayat disebutkan, "Sesungguhnya Allah tidak men
yenangi kata-kata dan perilaku yang keji dan buruk."(HR Muslim dan Ahmad)

-Wahai wanita muslimah yang dikasihi Allah, marilah kita sama-sama merenungilah hadis ini.Dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar iaitu memohon ampun. Kerana aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka.” Seorang wanita yang cukup pintar di antara mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, kenapa kami kaum wanita yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka?” Rasulullah S.A.W bersabda: “Kamu banyak mengutuk dan mengingkari suami.

Tamatlah sebuah kisah pendek.

Jadi, benarkah wanita dan sesiapa sahaja tidak boleh (baca : haram) mengumpat ?? Kalau boleh, bila pula mengumpat itu dibenarkan??

Jawapan:

Berdasarkan dalil-dalil berkenaan Ghibah, para ulama dan sebahagian besar mereka bersepakat bahawa secara umumnya mengumpat(Ghibah) adalah haram . Ghibah dibolehkan untuk tujuan yang sah mengikut syari’at, di mana ada permasalahan yang tidak dapat diselesaikan kecuali hanya dengan melakukan ghibah tersebut.

Ini adalah berdasarkan kepada perbuatan Rasulullah yang membenarkan dan tidak melarang Ghibah pada keadaan tertentu seperti yang disebutkan dalam dalil-dalil di bawah. Terdapat enam situasi yang membolehkan Ghibah dilakukan:

Pertama, mengadukan kezhaliman (at-tazhallum). Boleh bagi orang yang dizalimi untuk mengadukan kezaliman yang menimpa dirinya kepada penguasa, qadhi, atau yang memiliki kekuasaan hukuman ataupun pihak yang berwajib lainnya. Ia dapat menuntut keadilan ditegakkan, misalnya dengan mengatakan Si Fulan telah melakukan kezaliman terhadapku dengan cara seperti ini dan itu

Kedua, permintaan bagi membantu mencegah kemungkaran dan mengembalikan pelaku maksiat ke jalan yang benar (al isti’ânah ‘ala taghyîril munkar wa raddal ‘âshi ila ash shawâb). Seseorang itu boleh menceritakan kepada orang yang boleh diharapkan untuk mencegah kemungkaran dengan cara menerangkan si Fulan telah melakukan itu atau ini dan sekaligus menyelamatkan fulan tersebut dari kemaksiatan dan kemungkaran. Dengan kata lain, maksud penceritaan itu mesti menuju kepada terhapusnya suatu kemungkaran. Jika pengaduan itu tidak bertujuan untuk mencegah kemungkaran, maka hukumnya adalah haram.

Ketiga
, permintaan fatwa (al istiftâ`). Misalnya, seseorang mengatakan kepada seorang mufti (pemberi fatwa), ayahku (atau saudaraku atau suamiku atau fulan) telah menzalimi aku dengan cara begini. Lalu apa yang harus aku lakukan padanya?; Bagaimana cara agar aku terlepas darinya, mendapatkan hakku, dan terlindung dari kezaliman itu? Atau apa sahaja pertanyaan yang seperti itu. Maka hukumnya boleh jika diperlukan. Tetapi lebih tepat dan lebih afdal jika ia mengatakan, bagaimana pendapat anda tentang orang atau seseorang, atau seorang suami yang telah melakukan hal seperti ini? Oleh itu, ia akan dapat memperoleh jawapan tanpa perlu menceritakan perinciannya iaitu tanpa perlu menyebut siapa orangnya dan sebagainya. Meskipun demikian, tetap dibolehkan untuk melakukan perincian (at ta’yîn), sebagaimana yang akan diceritakan di dalam hadits dari Hindun seperti di bawah nanti.

Keempat, mengingatkan kaum muslimin agar sentiasa berwaspada terhadap suatu keburukan dan menasihati mereka (tahdzîrul muslimîn min asy syarr wa nashîhatuhum). Terdapat beberapa situasi antaranya adalah ; menceritakan keburukan sifat orang yang memang perlu disebutkan keburukannya (jarhul majrûhîn) iaitu dari kalangan para perawi hadis dan saksi-saksi (di pengadilan, dsbnya). Hal ini dibolehkan menurut ijma’ kaum muslimin. Bahkan boleh menjadi wajib untuk suatu keperluan tertentu. Contoh lainnya adalah meminta pandangan atau pendapat (musyawarah) tentang seseorang calon suami/isteri yang bakal di nikahi (mushâharah), kerjasama, memutuskan kerjasama, mua’amalat dan lain sebagainya, atau tentang hubungan kejiranan. Maka wajib bagi orang yang dimintai pendapat itu untuk tidak menyembunyikan maklumat berkenaan orang yang ingin diketahui. Bahkan ia mesti menyebutkan sikap-sikap buruknya yang memang diniatkan untuk melakukan nasihat. Contoh lainnya lagi adalah jika seseorang melihat orang lain yang belajar agama pada orang yang berbuat bidaah atau orang fasik dengan niat untuk mendapatkan ilmu dari pelaku bidaah dan orang fasik tersebut, lalu dengan itu dikhuatiri ia akan mendapat kemudaratan, maka ia mesti menasihatinya dan memberikan penjelasan mengenai keadaan sebenarnya. Dengan syarat, dia benar-benar bermaksud untuk memberi nasihat. Hal ini berkemungkinan untuk terjadinya kekeliruan kerana kadangkala si pemberi nasihat memiliki rasa cemburu dan iri hati sehinggakan syaitan mencampuradukkan antara nasihat dan rasa cemburu dan iri hati. Syaitan menghadirkan bayangan padanya bahawa hal itu adalah nasihat dan akhirnya ia terjerumus dalam fitnah.

Hal ini merangkumi situasi di mana seseorang itu memiliki kekuasaan dan dia tidak melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya. Terdapat kemungkinan yang berlaku iaitu dia memang tidak layak atau fasiq mahupun lalai, atau yang sejenis dengannya. Maka, adalah wajib hal itu dilaporkan kepada orang atasan yang memiliki kekuasaan yang lebih tinggi daripadanya agar kelalaian itu dapat diatasi atau digantikan dengan orang yang lebih berkebolehan. Orang atasan tersebut mestilah mengambil pendekatan yang sesuai dengan keadaan orang yang lalai tersebut tanpa berlengah dan sepatutnya berusaha menasihati si pelaku kesalahan itu agar istiqamah ataupun menggantikannya dengan orang lain yang lebih amanah.

Kelima
, seseorang yang memperlihatkan secara terang-terangan (al- mujâhir) kefasiqan atau perilaku bidaahnya seperti memperlihatkan perbuatan minum arak, merampas barangan, mengambil ufti( memberi wang, emas dan sebagainya kepada yang berkuasa), pengumpulan harta secara zalim, memimpin dengan sistem yang batil iaitu selain dari sistem Islam dan sebagainya. Maka ini boleh untuk disebutkan kerana perbuatan itu dilakukan secara terang-terangan (mujâharah). Namun bergitu, hal-hal lain yang merupakan aib yang disembunyikan tidak boleh untuk diceritakan melainkan tujuannya adalah seperti yang telah disebutkan sebelum ini.

Keenam
, panggilan nama atau gelaran(at-ta’rîf). Jika seseorang itu telah dikenali dengan nama laqab (panggilan atau gelaran) seperti al-A’masy (Si Mata Rabun) atau al-A’raj (Si Tempang), atau al- Ashamm (Si Pekak), al-A’maa (Si Buta), al-Ahwal (Si Juling), dan sebagainya maka mereka boleh digelar dengan panggilan tersebut namun diharamkan untuk menyebut kekurangannya yang lain. Akan tetapi adalah lebih baik sekiranya gelaran-gelaran ini tidak di gunakan untuk memanggil seseorang dan dihindari dari di gunakan.

Inilah enam sebab yang disebutkan oleh para ulama dan disepakati oleh sebahagian besar mereka. Berikut adalah di antara dalil-dalil yang menunjukkan bahawa perbuatan mengumpat/ghibah di dalam keadaan seperti di nyatakan di atas adalah di bolehkan:

Dari Aisyah radhiallahu anha bahwa seseorang meminta izin pada Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam, lalu beliau berkata: izinkanlah ia, seburuk-buruk saudara suatu kabilah. [Muttafaq Alaih]

Al Bukhari berhujjah dengan hadis ini mengenai kebolehan berghibah terhadap ahlul fasad (pembuat kerosakan) dan ahlu ar rayb (menciptakan keraguan).

Dan masih dari Aisyah, ia berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, aku melihat si fulan dan si fulan tidaklah mengetahui sedikitpun dari perkara agama kami. [HR al Bukhari]. Al Layts ibn Sa’ad—salah seorang perawi hadits ini—berkata: kedua orang yang disebut di sini adalah orang munafiq.

Dari Fathimah binti Qays radhiallahu anha, ia berkata: aku mendatangi Nabi Sallallahu Alaihi wa sallam lalu aku berkata, sesungguhnya Abul Jahm dan Mu’awiyah telah mengkhitbahku. Lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam berkata, adapun Mu’awiyah adalah orang fakir, ia tidak mempunyai harta. Adapun Abul Jahm, ia tidak pernah meletakkan tongkat dari bahunya. [Muttafaq alaih]

Dan dalam riwayat Muslim, haditsnya berbunyi:

Adapun Abul Jahm ia suka memukul wanita.

Ini merupakan penjelasan dari riwayat sebelumnya yang mengatakan ia tidak pernah meletakkan tongkat dari bahunya. Juga dikatakan bahwa makna ia tidak pernah meletakkan tongkat dari bahunya adalah katsiirul asfaar, yakni banyak bepergian atau merantau.

Dari Zaid bin Arqam radhiallahu anhu, ia berkata: "kami pernah keluar bersama Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dalam sebuah perjalanan di mana orang-orang ditimpa kesusahan. Lalu Abdullah bin Ubay berkata, jangan engkau memberi infaq kepada orang-orang yang bersama Rasulullah supaya mereka bersurai meninggalkan Rasulullah.. Lalu ia berkata lagi, “sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah, pastilah orang yang kuat akan mengusir orang-orang yang lemah dari sana”. Kemudian aku mendatangi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa sallam, lalu aku menceritakan hal tadi, maka beliau mengutus kepada Abdullah bin Ubay, namun ia bersumpah bahwa ia tidak melakukannya. Lalu orang-orang mengatakan¸ “Zaid telah membohongi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam”. Lalu beliau(Sallallahu alaihi wa Sallam) mencelaku dengan keras atas apa yang orang-orang katakan hingga Allah Subhanahu wa Taala menurunkan apa yang dapat membenarkanku “apa bila datang orang-orang munafiq” (TMQ Al Munaafiquun:1). Kemudian Nabi SAW memanggil mereka untuk memintakan ampun bagi mereka, tapi mereka memalingkan wajah mereka." [Muttafaq alaih]

Dari Aisyah radhiallahu anha, ia berkata: Hindun isteri Abu Sufyan berkata kepada Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam, “Sesungguhnya Abu Sufyan adalah seorang laki-laki yang pelik, ia tidak memberikan kepadaku apa yang mencukupi aku dan anakku kecuali apa yang aku ambil secara diam-diam tanpa pengetahuannya”. Lalu Nabi Sallahu Alaihi wa Sallam berkata “Ambillah apa yang mencukupimu dan anak-anakmu dengan cara yang baik (bil ma’ruf)” [Muttafaq Alaih]

Wallahua'lam.

Ibu Para Pahlawan Islam : KABSYAH BINTU RAFI’

Sabda Sallallahu alaihi wa Sallam:
Wahai Ummu Saad, terimalah khabar gembira dan sampaikanlah khabar gembira kepada keluarga mereka, bahawa orang-orang yang terbunuh di antara mereka saling berteman di dalam syurga, semuanya dan mereka diberi syafaat untuk keluarganya”

IBU PARA PAHLAWAN
Sahabiyyah ini adalah antara wanita mukminah yang menyajikan jalan-jalan tauladan dan termasuk salah seorang wanita yang memberikan kesaksian kebenaran bagi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam. Baginda Rasul turut menjanjikan imbalan kebaikan dan mendoakan barakah baginya. Ketika iklim iman menggantikan kegelapan jahiliyyah dan mentari hidayah mulai terpancar di tanah Madinah, sahabiyyah ini hidup dan tampil sebagai penolong bagi Islam, mencurahkan sekalian yang dimiliki dan menjadi ibu kepada dua orang anaknya yang gugur sebagai syuhada’; dua pahlawan Islam yang segar di dalam medan sejarah.

Inilah dia, Kabsyah bintu Rafi’ bin Muawiyah bin Ubaid bin Al-Abjar Al-Ansyariyah Al-Khudriyah. (Thabaqat Ibn Saad, 8/37; Al-Isti’ab, 4/383; Usdul Ghabah [7230]; Al-Istibshar,hal. 129)

Beliaulah ibu yang Arasy Ar-Rahman pun bergoncang kerana kematian anak-anaknya. Beliaulah ibu yang memutuskan perkara dengan hukum Allah dari atas langit ketujuh. Anak beliau ialah penjaga Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam ketika Perang Badar, yang juga pemegang panji dari golongan Ansar, serta salah seorang ahli majlis syura Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam ketika itu. Anak beliau adalah As-siddiq kedua setelah Abu Bakar Radiallahu Anhu. Anak beliau jugalah wakil Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam di saat Perang Buwath. Dari rumah pasangan Kabsyah bintu Rafi’ dan Muadz bin An-Nu’man inilah, lahirnya sosok-sosok peribadi Saad bin Muadz, Amru bin Muadz, Iyas, Aqrab dan Ummu Hizam. Maka, setelah mendengarkan nama-nama ini, masihkah kita menginginkan tambahan karamah untuk memuliakan beliau?.

PENGISLAMAN
Madinah menerima tetamu, seorang pemuda dari Mekah, duta kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam; Mushab bin Umair. Beliau ditugaskan untuk mengajarkan Al-Quran kepada penduduk Madinah dan menjelaskan hukum-hukum berkaitan permasalahan agama. Risalah Islam akhirnya tersebar ke perkampungan Bani Al-Asyal. Dua orang pemimpin Aus, Usaid bin Hudhair dan Saad bin Muadz lantas melafazkan keislaman mereka. Peristiwa pengislaman keduanya dirakamkan di dalam beberapa kitab sirah. Setelah Saad bin Muadz memeluk Islam, beliau lantas berdiri di hadapan kaumnya, Bani Abdul-Asyhal, seraya berkata kepada mereka : “ Wahai Bani Abdul Asyhal, bagaimanakah pendapat kalian tentang kepimpinanku di tengah-tengah kalian?”

Soalan yang dilontarkan Saad dijawab oleh pengikut-pengikut beliau: “Engkau pemimpin dan orang yang paling utama di antara kami”.

Beliau kemudian berkata: “Sesiapapun di antara kalian, lelaki ataupun wanita dilarang berbicara denganku melainkan dia telah menjadi seorang Muslim atau Muslimah!”.

Pada petang hari yang sama, tiada seorang pun dari kalangan Bani Abdul-Asyhal melainkan mereka telah memeluk Islam. Ibnul Jauzy Rahimahumullah menyebutkan bahawa perkampugan Bani Abdul-Asyal merupakan perkampungan Ansar pertama yang menerima Islam (Shifahush-Shafwah, 1/455). Ummu Saad (Kabsyah bintu Rafi’) segera menyatakan keislaman beliau, malah mendapatkan kebahagiaan yang besar di atas nikmat keimanan tersebut. Rumah beliau menjadi tempat menetapnya duta Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, yang dari situlah angin keimanan berhembus ke seluruh pelosok Madinah.

Kebaikan mula memancar dari para wanita Ansar dan Ummu Saad merupakan salah seorang wanita mukminah yang menyimpan kebaikan-kebaikan tersebut. Kelebihan ini turut diakui oleh Ibn Saad dengan berkata: “ Orang yang pertama berbaiat kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam ialah Ummu Saad, Kabsyah bintu Rafi’ bin Ubaid, Ummu Amir bintu Yazid bin As-Sakan serta Hawa’ bintu Yazid bin As-Sakan.”

PENIUP SEMANGAT JIHAD ANAK-ANAKNYA
Berbagai kitab sejarah dan biografi telah menyajikan peribadi mulia dan keutamaan-keutamaan yang dimiliki oleh Kabsyah bintu Rafi’, seperti keberanian, kebenaran, kebaikan dan keprihatinan beliau kepada tetangga. Beliau juga mempamerkan contoh terbaik yang mencerminkan kedudukan beliau yang sangat istimewa di sisi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam . Beliau terkenal kerana keberanian dan kesabaran beliau di dalam membela baginda nabi dan mendorong anak-anaknya untuk terjun ke medan jihad dan syahid di jalan Allah.

Di dalam Perang Badar, beliau meniupkan semangat kepada kedua anak beliau, Saad bin Muadz dan Amru bin Muadz Radiallahu Anhuma, agar berangkat dan berjihad kerana Allah dengan sebenar-benar jihad, sehinggalah kedua-duanya mendapat cubaan yang berakhir dengan khabar kemenangan.

Di dalam Perang Uhud, Ummu Saad turut terlibat secara langsung bersama beberapa wanita Muslimah lainnya. Berita kekalahan tentera kaum Muslimin dan gugur syahidnya anak beliau, Amru bin Muadz sampai ke pengetahuan beliau. Namun, berita-berita tersebut ternyata kurang penting bagi ibu ini berbanding keselamatan baginda nabi. Beliau lantas bersegera ke medan peperangan dan melihat dengan mata kepala sendiri keadaan dan keselamatan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam. Saat itu juga, beliau memanjatkan puji dan syukur kepada Allah seraya berkata: ”Selagi aku melihat engkau dalam keadaan yang selamat, maka musibah ini (kematian Amru bin Muadz) adalah terasa sangat ringan”

Di saat Perang Khandaq meletus, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam mengarahkan para wanita muslimat dan kanak-kanak yang turut serta untuk berlindung di dalam benteng Bani Haritsah yang telah siap dibina. Turut sama di kalangan mereka ialah Aisyah Ummul Mukminin Radiallahu Anha dan Ummu Saad. Aisyah menuturkan bahawa Saad bin Muadz berlalu untuk menyertai pasukan perang dengan mengenakan baju besi yang pendek, sehingga seluruh tangannya terdedah. Beliau juga menyandang tombak yang dibanggakannya sambil melantunkan bait syair Hamal bin Sa’danah Al-Kalby: Teguhkan hatimu barang sejenak dalam gejolak medan laga; Jangan pedulikan kematian jika sudah tiba saatnya. Mendengar perkataan anaknya, Ummu Saad lantas menasihatkan anaknya agar bersegera supaya tidak ketinggalan walau sesaatpun tanpa bersama-sama Rasulullah. Beliaulah yang tidak henti-henti menasihati dan meniupkan semangat jihad di dalam dada anak-anaknya. Beliau berkata: ”Wahai anakku, cepatlah berangkat kerana demi Allah, engkau sudah terlambat!”

Di dalam peperangan tersebut, Saad terkena anak panah lemparan Hibban Al-Urqah yang memutuskan urat di dekat mata kakinya. Saat itu, Saad sempat berdoa kepada Allah dengan doanya yang sangat masyur,

Ya Allah, jika Engkau masih menyisakan peperangan melawan Quraisy, maka berikanlah aku sisa umur untuk aku menyertainya. Tidak ada kaum yang lebih aku sukai untuk memeranginya kerana Engkau, selain dari kaum yang telah menyakiti Nabi-Mu, mendustakannya dan mengusirnya. Ya Allah, jika Engkau menjadikan peperangan antara kami dengan mereka, maka jadikanlah mati syahid bagiku dan janganlah Engkau uji aku sehingga aku merasakan senang kerana dapat mengalahkan bani Quraizhah”

Tenyata Allah mengabulkan doa Saad bin Muadz. Yahudi Bani Quraizhah melanggar perjanjian yang telah dimeterai bersama Baginda Nabi. Keputusan tentang Bani Quraizhah diserahkan kepada Saad bin Muadz. Beliaulah yang memutuskan agar kaum lelaki Bani Quraizhah dibunuh, manakala kaum wanita dan kanak-kanaknya dijadikan tawanan. Sebaik saja urusan Bani Quraizhah diselesaikan, luka di kaki Saad semakin parah dan akhirnya beliau meninggal dunia.

Sekali lagi, Ummu Saad diuji dengan kehilangan anak beliau. Kekaguman wajar diberikan kepada ibu ini lantaran kesabaran dan kekuatannya menerima ujian tersebut. Jasad Saad diusung dan dikebumikan di Baqi’. Kesedihan Ummu Saad terpancar jelas di wajahnya. Lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam menghibur beliau dengan bersabda,

Adakah air matamu tidak dapat dibendung dan apakah kesedihanmu tidak dapat dihilangkan? Sesungguhnya anakmu adalah orang pertama, Allah tersenyum kepadanya dan Arasy bergoncang kerana kematiannya“ (Syiar Alamin-Nubala’, 1/293: Thabaqat Ibn Saad, 3/434; Majma’ Az-Zawa’id, 9/309)

Hatinya lantas gembira dengan perkhabaran Baginda. Beliau hanya mengharapkan pahala kebaikan di sisi Allah dan RasulNya di atas kematian kedua-dua anaknya sebagai syuhada’, apatahlagi setelah mengetahui ketinggian martabat seorang syahid. Beliau mendahulukan kecintaan kepada Allah dan RasulNya di atas segala sesuatu yang di mata manusia lainnya sangat berharga, termasuklah harta dan anak-anak. Di atas sifatnya inilah, maka beliau layak mendapatkan khabar gembira daripada Allah dan RasulNya sebagai penghuni syurga.


BAGINYA JAMINAN SYURGA
Ummu Saad menerima khabar gembira sebagai penghuni syurga secara langsung dari Rasulullah sewaktu berakhirnya Perang Uhud (Al-Maghazy, 2/315-316; As-sirah Al-Halabiyah, 2/545-546). Saat Baginda Nabi mengetahui gugurnya Amru bin Muadz selain sebelas orang lagi syuhada’ medan uhud, Baginda lantas bersabda,

Wahai Ummu Saad, terimalah khabar gembira dan sampaikanlah khabar gembira kepada keluarga mereka, bahawa orang-orang yang terbunuh di antara mereka saling berteman di dalam syurga, semuanya dan mereka diberi syafaat untuk keluarganya”

Baginda turut mendoakan Ummu Saad dengan doa yang istimewa,

Ya Allah, singkirkan kesedihan hati mereka, ringankanlah musibah mereka dan berilah pengganti yang baik bagi orang-orang yang mereka tinggalkan”.

Dari Anas bin Malik Radiallahu Anha, beliau berkata bahawa Rasulullah pernah bersabda,

”Barangsiapa yang sabar dan ikhlas mencari pahala kerana kematian tiga anaknya, maka dia akan masuk syurga” Ada seorang wanita yang berdiri seraya berkata, ” Bagaimana dengan dua orang anak?” Baginda kemudiannya menjawab, ”Begitu pula dua orang anak” [HR Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmidzi, An-Nasaei dan Ahmad].

Inilah sekilas tentang sirah sahabiyyah mulia ini. Semoga keikhlasan dan kesabaran beliau dalam mendidik anak-anaknya sehingga menjadi pendamping utama Rasulullah yang tidak pernah gerun dan sentiasa bersemangat di medan dakwah dan jihad menjadi teladan yang layak untuk dicontohi oleh ibu kaum muslimin hari ini.

Wallahu'alam
 

Copyright © 2013 | Wanita Mustanir | by Cik Bulat