Program Jejak Warisan Masjid : Lambang Ketamadunan Islam?


Masjid sebagai lambang ketamadunan Islam

PROGRAM Jejak Warisan Masjid diadakan bersempena sambutan Kuala Lumpur yang telah dipilih sebagai Kota Kebudayaan Islam atau Islamic Educational, Scientific and Cultural Organization (ISESCO).

Pemilihan Kuala Lumpur sebagai Kota Kebudayaan Islam adalah berdasarkan kepada sejarah dan budaya yang unik dan kukuh. Selain itu, Kuala Lumpur juga mempunyai pusat penyelidikan saintifik, arkeologi dan manuskrip yang menjadi rujukan kepada penyelidik. [Utusan Malaysia,15 Jun 2009]

Timbalan Pesuruhjaya Warisan, Jabatan Warisan Negara, Profesor A. Ghafar Ahmad berkata, tujuan program Jejak Warisan Masjid ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran berkaitan warisan dan fungsi masjid kepada generasi remaja masa kini. Sekali imbas kenyataan beliau ada benarnya memandangkan ramai generasi muda kini tidak ke masjid. Hanya golongan tua yang sering kelihatan mengimarahkan masjid, itupun sekadar untuk bersembahyang jemaah.

Program-program seumpama ini adalah sesuatu yang baik jika diteruskan. Tetapi pernahkah kita terfikir bahawa program-program sebegini hanya menjauhkan umat dari memahami fungsi sebenar masjid dan keterkaitannya dengan kehidupan Islam yang sepatutnya. Persoalannya, adakah program sebegini akan berjaya sekiranya yang dipaparkan hanyalah seni bina, reka bentuk dan nilai estetika masjid yang menjadi tarikan? Mengapa hanya tujuh sahaja masjid-masjid yang terpilih untuk dijadikan Program Jejak Warisan Masjid?

Masjid bukan untuk tatapan, tarikan pelancong dan ibadat sembahyang pada hari dan waktu-waktu tertentu saja. Sebaliknya, ia adalah pusat dan nadi kegiatan ummah, sama ada dari segi kerohanian atau keduniaan seperti kegiatan yang menyentuh perhubungan antara manusia dan pencipta (Allah). Begitu juga, perhubungan manusia sesama mereka sendiri dalam menguruskan hal ehwal keagamaan, ekonomi, sosial, keilmuan dan pentadbiran negara. Ia adalah tempat melaksanakan segala kegiatan manusia yang mencerminkan kepatuhan dan ketaatan kepada Allah.

Al-Quran menjelaskan fungsi masjid di dalam firmanNya yang bermaksud:

"Nur hidayah petunjuk Allah bersinar dengan nyata (terutama sekali) di masjid sebagai tempat ibadat yang diperintah oleh Allah supaya dimuliakan dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat memuji Allah pada waktu pagi dan petang. (Ibadat dikerjakan oleh) orang yang kuat imannya, yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan solat serta mengeluarkan zakat; mereka takut hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan." (TQ Surah Al-Nur, ayat 36-37)

Ketika Rasulullah berhijrah ke Madinah, langkah pertama yang baginda lakukan ialah membina masjid. Masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah ialah Masjid Quba. Masjid ini didirikan secara bergotong-royong di atas sebidang tanah kepunyaan dua anak yatim. Keadaan masjid itu sangat sederhana, dikelilingi tembok batu bata yang diperbuat daripada tanah liat dan berlantaikan pasir (Shalaby, Ahmad. Perbandingan Agama Islam hlm: 77)

Ini disusuli pembinaan Masjid Nabawi di Madinah. Jelasnya kedua-dua masjid itu dibina atas dasar ketakwaan sebagaimana yang dijelaskan dalam firman Allah: "Janganlah engkau sembahyang di masjid itu (yang dibina oleh orang munafik) selama-lamanya kerana sesungguhnya Masjid Quba yang didirikan atas dasar takwa dari mula (wujudnya), (maka) sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya..." (TQ Surah Al-Taubah, ayat 108).

Masjid tidak dilihat dari segi peranannya yang khusus saja, malah dari segi pembangunan dan perkembangan ummah seperti yang pernah dilakukan pada zaman Rasulullah dan sahabat.

Jadi, bagaimana untuk mengembalikan peranan dan fungsi masjid jika masjid dikawal oleh golongan tertentu? Bagaimana untuk merealisasikan kehidupan Islam sekiranya masjid-masjid yang ada kini hanyalah pusat peribadatan semata-mata?

Wallahua'lam..

No comments:

Post a Comment

Syukran for your nice comment. Please leave your comment again!!! (^_^)

 

Copyright © 2013 | Wanita Mustanir | by Cik Bulat