Durian dan Manggis




Suatu daerah di Semenanjung Malaysia.

"Eh, ini jalan dah jauh ke dalam. Rumahnya di mana?" Kak Miah bersuara. "Aah lah, mana rumahnya ni?" Kami serentak menjawab mengiyakan pertanyaan Kak Miah. "Try Mas call Kak Leha." Nombor telefon Kak Leha didail.

Kataku, "Kak Leha kata kita kena keluar balik. Kita dah silap masuk lorong.""Eh, biar betul? Kita kan dah masuk lorong yang diberitahu tadi." "Entahlah. Kita keluar jelah."

Kereta yang dipandu Kak Miah menyusur keluar ke jalan besar yang telah dilalui kami tadi. Sepanjang perjalanan 2 kilometer setelah keluar dari lorong tersebut, ternyata rumah Kak Leha masih belum ditemui. Akhirnya, Kak Miah menelefon Kak Leha sekali lagi. "Leha, senang cerita awak ambik jelah kami di sini. Nanti lambat pula sampai ke rumah awak."

Beberapa minit kemudian, kereta Kak Leha telah berada di hadapan kereta kami. Kami membuntuti sahaja kereta Kak Leha. Ternyata kami masuk semula ke lorong yang telah kami lalui tadi. "Betullah lorong ini yang kita masuk tadi kan" Kak Miah seakan tidak berpuas hati. "Iya, tapi nak buat macam mana, mungkin ada salah faham kot tadi." Kak Amirah cuba menenangkan Kak Miah dan aku hanya menganggukkan sahaja kepala tanda bersetuju dengan kak Amirah.

Aku bermonolog sendirian. Sampai juga ke rumah Kak Leha. Cantiknya! Subhanallah. Keadaan di sini tak sama seperti di bandar. Di sini nyaman dan segar, di bandar seperti tidak boleh bernafas kerana pencemaran udara yang melanda. Di bandar udaranya penuh dengan debu-debu habuk, gas-gas monoksida dan asap-asap dari kilang. Sekeliling rumah Kak Leha dipenuhi dengan tumbuhan hijau. Di bandar hanya ada tumbuhan batu-batu putih dan kadang-kadang berwarna. Bangunan-bangunan konkrit yang menghiasi pemandangan mata saban hari. Huh, sungguh menyakitkan mata.

"Alhamdulillah, sampai juga korang ke rumah Kak Leha ya." Kata Kak Leha dengan ramah sambil bersalaman bersama kami. Kami melangkah masuk ke rumah Kak Leha. Tazkirah mingguan telah bermula beberapa minit yang lalu. Lantas kami terus duduk bersimpuh mendengar tazkirah yang diberi. Aku bersalaman dengan 2 orang kakak yang duduk di sebelah kiriku.

Ketika mataku terpaku melihat mak cik yang memberi tazkirah tersebut, tiba-tiba hatiku terdetik. "Bagusnya mak cik ni. Bukan calang-calang yang diperkatakannya. She's talked about politics. About international issues." Aku rasa kagum sebentar. Hebat. Aku tersenyum bangga. Bangga kerana dia mempunyai pemikiran politik, pemikiran yang perlu dibina. Lebih kurang sejam lebih, tazkirah tersebut tamat.

Kak Leha, selaku tuan rumah menjemput sahabat-sahabat yang datang untuk menjamu makanan yang telah disediakan. Makan tengah hari terus ni gamaknya. Aku gembira suka hati. Sambil aku makan-makan, aku bersembang dengan kakak yang duduk di sebelahku tadi. "Nama apa ya adik ni?"katanya. "Panggil je saya mas, akak. Saya nak panggil akak apa ya?" "Kak Anis." Kami bersembang mesra. Bersembang pasal keluarga. Rupanya kak Anis mempunyai bilangan anak yang sama banyaknya dengan bilangan adik-beradikku. "Ramai ya anak akak." Aku berkata sambil tersenyum.

"Siapa-siapa yang nak makan buah, jomlah ke dapur." Kak Leha memberi pengumuman. Perbualan aku dengan kak Anis terhenti. Lagipun kak Anis telah selesai makan. Kak Anis dan rakannya tadi maminta diri untuk pulang kerana telah berjanji dengan suaminya. Aku hanya tersenyum memandangnya. Selepas kelibat kak Anis dan rakannya hilang dari pandangan, aku terus ke dapur untuk menjamu buah pula. "Wah, durian. Bestnya. Manggis pun ada. Lama dah tak makan." Kataku kepada kak Amirah.

"Biasanya musim buah manggis sekali dengan musim buah durian. Buah durian apabila kita makan, badan kita akan jadi panas. Jadi untuk hilangkan panas badan, kita minum air di dalam pangsa durian. Ataupun makan buah manggis selepas makan buah durian." Hurai kak Miah dengan panjang lebar. Baru aku tahu. Sebelum ini aku tak pernah pun tahu, yelah aku bukannya membesar di kampung tapi di bandar.

Kak Amirah tengah mengandung. Sebelum sampai ke rumah kak Leha, banyak gerai buah-buahan. Banyak yang menjual buah durian. Kak Amirahlah yang paling mengidam. Jadinya di rumah kak Leha nilah kak Amirah makan sepuas-puasnya termasuklah aku. Sambil makan-makan buah durian, aku sempat bergurau senda dengan kak Amirah. Keadaan ini tidak aku perolehi ketika di bandar biarpun kami selalu berjumpa. Mungkin kerana kesuntukan masa menyebabkan kami tidak sempat bergurau mesra. Mungkin.

Setelah makan buah, aku ke ruang tamu. Aku berborak-borak dengan sahabat-sahabat yang seringkali kutemui di majlis-majlis ilmu tetapi tidak pernah aku berbual mesra. Kebanyakan mereka adalah sebaya ibuku, namun aku tetap memanggil mereka dengan panggilan kakak. Ada sesetengah dari mereka amat rapat aku lihat. Biarpun mereka bukan saudara mara, mereka rapat seperti adik-beradik. Aku gembira dan bahagia melihat mereka. Ketika itu aku sedang membaca surat khabar. Fikiranku melayang kepada sahabat-sahabatku di bandar. Mengapa mereka tidak seperti sahabat-sahabat di sini? Teringat aku akan sepotong ayat Al-Quran di mana Allah SWT berfirman : "Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara.."(TQS Al-Hujurat [49]:10) Setiap orang yang beriman terhadap orang lain yang seakidah dengannya adalah bersaudara. Aku berfikir sejenak. Rasulullah SAw memberi motivasi akan pentingnya menjaga keutuhan umat dengan menjaga persaudaraan di antara mereka, “Sesungguhnya kedudukan seorang mukmin di kalangan orang-orang beriman adalah seperti kepala dari tubuhnya. Ia akan merasa sakit jika badannya sakit.” (HR Imam Ahmad). Nash hadits yang mirip dengan ini adalah sabda Rasulullah yang bermaksud, “Perumpamaan orang-orang beriman dalam kecintaan, kelembutan dan kasih sayang di antara mereka ibarat satu tubuh. Jika salah satu anggota sakit, maka seluruh anggota turut merasakannya dengan tetap berjaga dan demam.” (Muslim & Ahmad).

Mungkin mereka kesuntukan masa untuk berbuat demikian. Mereka mempunyai suami, anak, ayah dan ibu yang mesti mereka taati. Atau mungkin mereka malu untuk menzahirkan rasa cintanya kepada saudara seakidah. Kadang-kadang kasih sesama insan sukar untuk ditunjukkan, itu aku akui kerana aku juga kadang-kadang begitu. Iya, mungkin dan kemungkinan ini semuanya benar. Aku tidak marah malah aku akur, manusia itu lemah lagi memerlukan antara satu sama lain. Aku tersedar apabila kak Amirah mencuit lengannya. aku terkejut tapi cepat-cepat aku tersenyum. "Jom solat. Mengelamun pula mas ni kat sini ya." Usik kak Amirah.

“Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Ansar) ‘mencintai’ orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka (Ansar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung.” (TQS Al-Hasyr: 9)

p/s: nama dan jalan cerita adalah rekaan penulis semata-mata. Segala cerpen yang dikongsikan sekadar khayalan dan ilusi penulis. Sekian.

No comments:

Post a Comment

Syukran for your nice comment. Please leave your comment again!!! (^_^)

 

Copyright © 2013 | Wanita Mustanir | by Cik Bulat