He is My First Hero

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Mei telah berlalu pergi,
Meraikan si Ibu bagaikan pemaisuri,
Kini Jun menonjolkan diri,
Si Ayah menanti senang hati..


Pantun empat kerat di atas adalah sekadar pembuka entri. Agar saya lebih memahirkan diri dalam seni bersastera walaupun hasilnya tidaklah hebat. Tetapi perlukah semua ini??

Hari ahad baru ini merupakan hari bapa yang disambut oleh beberapa buah negara. Antaranya adalah Amerika Syarikat, Bangladesh, China, Filipina, Hong Kong, India, Pakistan, Singapura, dan beberapa buah negara lagi. Apa yang pasti, Malaysia tidak terkecuali untuk meraikannya.

Pepatah melayu ada mengatakan, "kasih ibu dibawa ke syurga, kasih bapa sementara ada." Seperti yang kita semua maklum, dalam semua bentuk bahasa, minda dan perilaku, seorang ibu itu sememangnya diletakkan lebih tinggi daripada seorang bapa. Rasul SAW bersabda, sebagaimana dituturkan Abu Hurairah ra.,

Seseorang pernah bertanya kepada Rasulullah,"Siapakah orang yang paling berhak diperlakukan dengan baik?" Rasul menjawab, "Ibumu, ibumu, ibumu; lalu bapamu; kemudian baru orang yang lebih dekat dan seterusnya." (HR Muslim)

Ini pasti tiada bangkangan dari mana-mana lelaki mahupun wanita yang pernah menerima belaian kasih seorang ibu. Namun, tidak pula diabaikan kedudukan bapa, diambil mudah atau tidak dihargai, selagi ada. Walaupun kedudukan ibu yang penuh kasih sayang, lemah lembut dan budi bahasa diutamakan, seorang bapa sebagai penaung dan pemimpin amat penting dalam sebuah keluarga.

Mari kita renungkan sejenak sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci bersih. Ibu bapalah bertanggungjawab mencoraknya anak itu menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Bukhari dan Muslim)

Apakah saya akan berada di tahap ini sekiranya ibu bapa saya tidak mencorakkan saya? Apakah anda boleh memilih kehidupan apakah ingin anda amalkan sekiranya ibu bapa anda tidak mencorakkan anda? Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dilahirkan dalam keadaan saya telah beragama Islam. Cuma apa yang perlu saya lakukan adalah beriman dengan sebenar-benar iman agama Islam yang menjadi way of my life tidak sekadar ikutan sahaja.

Ada sebuah hadith riwayat at-Tirmizi yang bermaksud: “Tidak ada sesuatu pemberian yang lebih baik daripada seseorang ayah kepada anaknya selain daripada budi pekerti yang baik.” Iya, seorang bapa perlu mempunyai budi pekerti yang baik. Pekerti yang bagaimana? Bagi saya, dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai 'qudwatun hasanah'. Jika benar seorang bapa menyayangi anaknya, maka dia akan mempunyai pekerti seperti itu. Namun sekiranya perkara ini tidak berlaku kepada anda, janganlah anda berduka cita dan bersedih. Kerana setiap manusia itu mempunyai kelebihan dan kekurangannya. Begitu juga dengan insan yang bergelar bapa. Andai anda tidak menemui pekerti bapa anda yang anda inginkan seperti di dalam hadith di atas, anda boleh berusaha agar anda (jika anda seorang lelaki) menjadi bapa seperti itu terhadap anak-anak anda.

Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarnya ialah manusia dan batu (berhala),” (TQS At-Tahrim: 6)

Dalil di atas juga jelas menunjukkan bahawa seorang bapa tidak akan pernah membiarkan anak-anaknya melakukan dosa. Pernah suatu masa lalu, saya memakai pakaian yang agak menarik perhatian. Tetapi bagi saya, pakaian itu adalah biasa kerana ramai wanita yang telah memakainya. Bapa saya melarang saya memakai pakaian yang di matanya kelihatan seperti bertabarruj. Saya akhirnya akur. Sesungguhnya lelaki lebih mengerti cara berpakaian seorang muslimah dari segi tabarruj. Jadi, sekiranya anda ditegur oleh bapa, abang, adik lelaki atau pak cik saudara anda tentang itu, maka dengarlah. Kerana mereka tidak mahu sekiranya anda menjadi bahan bakar api neraka. Naudzubillah mindzalik!!

Kalau kita baca sirah, Rasulullah SAW tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai bapa terhadap anak biarpun yang sudah berumahtangga. Rasulullah SAW sentiasa mengunjungi rumah Fatimah dan bertanya khabar, serta memberi nasihat berguna dalam menjalankan tugas sebagai isteri dan ibu. Malah, Rasulullah SAW sentiasa memberi sambutan mesra setiap kali ketibaan Fatimah mengunjungi baginda. Baginda bangun menyambut ketibaan Fatimah, memberi kucupan dan memimpinnya ke tempat duduk. Seperti bapa saya. Walaupun ada anaknya yang telah berkahwin, tetapi dia tetap tidak penat untuk terus menasihati anaknya itu. Dia tahu bahawa dia tiada hak lagi ke atas anaknya, namun itulah caranya.

Sebagai akhir kata, saya dedikasikan lagu ini buat bapa saya.

No comments:

Post a Comment

Syukran for your nice comment. Please leave your comment again!!! (^_^)

 

Copyright © 2013 | Wanita Mustanir | by Cik Bulat