Kerjasama Semua pihak Penting Bantu Atasi Masalah Sosial

Nota : Sila rujuk http://www.bharian.com.my/ bertarikh 2010/07/27 atau baca di sini, MyK.

Puas Mengerah Tenaga, Pemimpin Negara Hanya Pandang Sebelah Mata

Sumber : Google Image
Dewasa ini mata kita sering dijolok dengan berita-berita kes pembuangan bayi di dada-dada akhbar,  bibir kita tak lekang dari membicarakan pelbagai masalah atau kes-kes gejala sosial yang berlaku di dalam masyarakat terutamanya pada golongan remaja dan telinga kita selalu ditusuk dengan laungan seruan untuk membantu menyelesaikan gejala sosial. Namun akal kita terlalu sukar untuk menjawab satu persoalan. Mengapa masalah gejala sosial masih berterusan walau pelbagai kaedah telah dilaksanakan dan ramai pihak telah mengambil bahagian dalam pelaksanaannya? 

Masalah berkaitan gejala sosial terutamanya yang melibatkan remaja sering menjadi fokus utama pelbagai pihak. Ada umat Islam yang mula sedar bahawa Islam mampu mencegah kemungkaran ini dan langkah yang perlu diambil adalah pelaksanaan hukum Islam. Contohnya, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berpendapat selain peranan ibu bapa memastikan pendidikan agama yang berterusan untuk anak-anak, masyarakat perlu mula memikirkan bagaimana proses perkahwinan boleh dipermudah bagi menggalakkan ikatan yang sah antara seorang lelaki dengan seorang perempuan. Mereka menganggap jumlah 17,303 anak luar nikah Melayu yang didaftarkan sepanjang tahun 2009 seperti mana yang didedahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai angka yang menggerunkan.  Justeru, bagi menyokong hasrat tersebut, ABIM bercadang untuk membudayakan trend 'perkahwinan beramai-ramai' sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini (http://www.abim.org.my).

Usaha ini didasarkan pada prinsip bahawa remaja dipandang sebagai aset penting bagi negara kerana mereka. merupakan golongan yang akan menjadi pelapis negara. Pelbagai masalah sosial yang dilakukan oleh golongan ini seperti buli, gangsterisme, vandalisme, mencuri, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, dadah, ganja, menghidu gam, lepak dan bermacam-macam lagi memberikan impak yang negatif kepada negara kita. Jika masalah ini semakin melarat maka ia akan memberikan satu implikasi yang negatif kepada negara dan bangsa kita.

Ironinya, pemimpin negara tidak pernah memandang bahawa aset penting negara ini wajib diatur dengan hukum yang telah diwahyukan oleh pencipta mereka. Inilah akibatnya apabila undang-undang utama negara bukannya bersumber dan Kalamullah dan Sunnah Rasulullah. Perlembagaan kufur yang dilahirkan dan ditatang oleh pemimpin negara yang beragama Islam inilah yang menjadi pencetus kepada mutasi virus-virus penyakit sosial dalam badan masyarakat. Implikasinya, seluruh tubuh masyarakat menjadi rosak binasa.  Aspek sosial mengalami keruntuhan akhlaq dan hancurnya institusi rumah tangga. Aspek budaya diracuni dengan kemabukan pada arus budaya Barat. Aspek pengadilan terjerumus dalam konflik ketidakpastian hukum dan keadilan antara Syariah dengan sivil. Aspek pendidikan pula ternoda dengan lahirnya generasi yang materialistik dan hedonistic.

Maha Suci Allah. Benarlah seperti apa yang difirmankan Allah dalam Kitab-Nya:

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”. [TMQ Ar-Ruum (30) : 41].

Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan”. [TMQ Al- Baqarah (2) : 85].

Wahai pemimpin umat Islam!

Dengarkanlah kalian detik ini… Saksikanlah kalian saat ini… Setelah sekian lama kalian menuding jari menyalahkan ibu bapa, sekolah dan masyarakat sebagai penyebab runtuhnya sistem sosial, sekarang adalah giliran kami untuk menyeru dan mendesak kalian untuk melakukan perubahan dalam sistem pemerintahan kalian. Laksanakanlah perubahan secara taghyir iaitu perubahan mendasar yang mengubah sendi-sendi dasar masyarakat dan negara, yakni pemahaman-pemahaman (mafahim) yang dominan di dalam masyarakat, tolok ukur-tolok ukur (maqayis) yang dipergunakan, mahupun keyakinan-keyakinan (qanaat) yang dianut. Kembalilah kepada sistem Islam secara syumul. Takutlah pada ancaman Rasulullah saw dalam sabdanya:

Seseorang yang memimpin kaum muslimin dan dia mati, sedangkan dia menipu mereka (umat) maka Allah akan mengharamkan dia masuk ke dalam syurga. [HR Bukhari dan Muslim]

Wallahu alam.

No comments:

Post a Comment

Syukran for your nice comment. Please leave your comment again!!! (^_^)

 

Copyright © 2013 | Wanita Mustanir | by Cik Bulat