Hari pertama saya mempunyai program di Agensi Nuklear Malaysia, Bangi dan hari kedua juga di Bangi, Auditorium Siswa, Pusanika UKM. Terasa ketidaksenangan hati apabila 2 hari berturut-turut solat asar hampir jam 7 malam. Tapi apakan daya, terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di tengah-tengah KL adalah sangat merbahaya.
Tentang Agensi Nuklear Malaysia (ANM), saya akan buat entri lain sebab saya lebih berminat menceritakan tentang semalam, Pertemuan bersama Badan Penaja. Tak sangka ia adalah sebuah program motivasi. Namun begitu, ia adalah pertemuan yang sangat penting bagi pelajar-pelajar tajaan JPA. Mengapa? Biarlah seramai 133 (Bangi) dan 220 (KL) sahaja yang tahu.
Bertuahkah saya apabila ditaja oleh JPA? Kata mereka (Badan Penaja), "Anda bertuah sebab anda tak perlu fikir nak bayar balik. Kalau pelajar PTPTN mereka perlu fikir untuk bayar hutang selepas belajar." Mari saya terangkan tentang hak saya, anda, mereka dan semua yang bergelar pelajar.
Pendidikan merupakan satu keperluan asas bagi setiap individu. Melalui pendidikanlah ilmu dan kemahiran diperolehi. Malah, melalui kurikulum pendidikan jugalah indoktrinisasi ideologi dominan sesebuah negara dilakukan. Namun, apalah guna segala kurikulum yang serba canggih sekiranya pelajar yang layak untuk melanjutkan pelajaran tidak dapat berbuat demikian disebabkan faktor kewangan.
Secara asasnya, pendidikan haruslah disediakan oleh pemerintah kepada semua rakyat dengan percuma - tidak kiralah sama ada mereka tergolong dalam keluarga yang kaya, mahupun keluarga yang miskin. Ini adalah kerana pada dasarnya, pendidikan merupakan keperluan asas bagi seluruh manusia. Lebih-lebih lagi sebagai seorang Muslim, pendidikan merupakan suatu kewajiban yang mesti disediakan oleh Negara. Saya ulang, pendidikan merupakan suatu kewajiban yang wajib disediakan oleh Negara.
”Menuntut ilmu wajib bagi setiap Muslim.” [HR Ibnu Adi dan Baihaqi].
Bagi penyelesaian kepada para pelajar yang tidak dapat ditaja oleh JPA, mereka dijinakkan dengan pinjaman seperti PTPTN yang sering berdalih dengan ‘bayaran perkhidmatan’ dalam memungut riba. Oh, sungguh para pemimpin hari ini cuba melarikan diri atau melepaskan diri daripada menjalankan tanggungjawab mereka!! Mereka khianati amanah yang diberikan! Rasulullah telah bersabda dengan jelas dalam hadisnya :
“Seorang imam (pemimpin) itu adalah penggembala (pemelihara) dan dia bertanggungjawab di atas pemeliharaannya...” [HR Ahmad, Syaikhan, Tirmidzi, Abu Daud dari Ibnu Umar].
Pendidikan merupakan salah satu urusan yang perlu diperhatikankan oleh pemerintah. Mereka perlu menyediakan segala jenis kemudahan pendidikan yang terbaik kepada rakyat. Kerajaan Malaysia haruslah memandang serius terhadap permasalahan ini, serta mengambil Islam dalam menyelesaikannya dan menjadikan Islam sebagai asas sistem pendidikan. Malah bukan sekadar pendidikan, segala permasalahan yang timbul haruslah diselesaikan dengan mengambil Islam sebagai solusi. Dengan ini, rahmat Allah pasti akan dirasai.
Anda boleh baca artikel ini dengan lebih jelas.
1) SN108 - PEMBIAYAAN PENDIDIKAN : TANGGUNGJAWAB SIAPA?
2) PTPTN – Masalah Pendidikan Sekular
3) Sistem Pendidikan Daulah Khilafah Alternatif Ampuh Kepada Sistem Pendidikan Sekular Hari Ini
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment
Syukran for your nice comment. Please leave your comment again!!! (^_^)