Buat anakku yang tercinta
Ini adalah surat dari seorang antara lelaki pengemban dakwah terawal dalam sebuah gerakan Islam, iaitu Hizbut Tahrir kepada salah seorang anak perempuannya sebelum majlis perkahwinannya. Pada masa itu beliau sedang berada jauh darinya disebabkan ia dipisahkan dari keluarganya oleh pemerintah yang zalim. Dalam surat ini ada tauladan yang menyebabkan al-Izzah berminat untuk menampilkannya buat kalian wahai saudara saudari yang dimuliakan. Meskipun jauh dan terpisah dari naungan pandangan seorang bapa, pengemban dakwah terhadap ahli keluarganya, beliau tidak pernah mengabaikan tanggungjawab memelihara mereka mana yang termampu olehnya. Mereka mempunyai bapa yang gemar memberikan nasihat yang ditujukan untuk anak-anaknya ke arah jalan yang sesuai dengan ajaran Islam.
Berbeza dengan apa yang dapat kita saksikan pada hari ini, fenomena perceraian berleluasa dalam masyarakat, yang akhirnya mengubah persepsi anak-anak perempuan kita terhadap hubungan perkahwinan ini hingga akhirnya mereka beralih dari pandangan mentaati suami dan mewujudkan mawaddah dan rahmah, kepada pandangan konflik dan pertengkaran antara pasangan suami isteri mengenai siapa yang patut memaksakan kehendaknya dan siapa yang patut menguruskan rumah. Perubahan ini bukan terhasil dari komitmen mahu pun syarak, tetapi dari wujudnya pengaruh konsep-konsep Barat terhadap hubungan tersebut. Malang sekali kita temukan bahawa pandangan-pandangan kaum pemudi kita mengarah kepada hubungan ala Barat: si wanita belajar dan bekerja serta menghasilkan sepertimana yang dihasilkan oleh lelaki. Oleh itu, mereka tidak saling berbeza dalam hal kepimpinan rumahtangga. Tidak seorang pun dari mereka memahami kata-kata saya bahawa ia adalah seruan untuk kaum wanita agar tunduk terhadap suami mereka sama ada ini hak atau batil, mengikut syarak atau selainnya. Bahkan, kita hendaklah kembali kepada hukum-hukum syarak yang mengatur hubungan ini dengan cara yang diredhai Allah dan yang menjamin kedua-dua pasangan suami isteri memperoleh kebahagiaan dunia dan kenikmatan akhirat.
Setelah muqaddimah pendek ini, saya kemukakan kepada kalian isi surat tersebut. Mudah-mudahan ada kebaikannya bagi mereka yang baru menempuh alam perkahwinan.
Bismillahirrahmanirrahim
Anakku yang tercinta,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Ucapan terbaik dan ucap selamat yang terindah serta kerinduan yang terhangat ayah kirimkan buatmu melalui cairan wangi dengan memohon kepada Yang Maha Kuasa agar ianya sampai kepadamu dalam keadaan dirimu sihat dan afiat serta tenang dan berbahagia. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengabulkan permohonan.
Pengantin kami yang dikasihi,
Suratmu telah sampai kepada ayah semalam, sayang. Ketika ayah membacanya, bergenanglah mata ayah dengan limpahan air mata dan tidak ayah ketahui sebabnya. Ayah tidak biasa menangis ketika membaca surat. Ayah juga tidak pernah rasa menderita sebegini. Namun, surat ini menjadi surat pertama yang menggoncang perasaan ayah, mengalirkan air mata ayah serta menggerakkan jiwa sanubari ayah. Pun ayah tidak tahu adakah hal itu kerana ianya dari si sayang ayah yang hampir memulai kehidupannya yang terpisah dari ayah? Atau pun kerana ianya dari si sayang ayah yang amat berharga di hati ayah dan ayah khuatiri hembusan bayu akan menyakitinya.
Bagaimanalah tidak kerana ayah melihatnya akan menempuh gerbang kehidupan baru. Ayah berharap dari segenap jiwa raga ayah dan ayah berdoa kepada Allah SWT setiap pagi dan petang agar Allah melimpahkan kebahagiaan dan keharmonian meneduhi alam barunya itu. Ayah jua berdoa kepada Allah SWT agar teman usia dan kehidupannya adalah sebaik-baik suami dan teman. Agar dia diliputi oleh rasa simpati, kasih sayang, belas dan cinta sepertimana ia perolehi di rumah tempat tumbuhnya, sangkar tempat asal dan tempat membesarnya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Mengabulkan doa.
Anakku yang dihargai,
Ayah berasa bangga menuliskan kepadamu surat ini tatkala dirimu sedang di ambang kehidupan baru. Jikalah tidak kerana perpisahan, berpisah dari rumah kedua orang tua ke rumah suami merupakan sunnatullah pada makhluk ciptaan-Nya, dan sunnah yang telah ditentukan ke atas semua, tidaklah ayah benarkan seorang pun di dunia ini untuk memisahkan kita. Tetapi apalah helah ayah sedangkan Allah SWT telah menghendaki hal ini sejak dari azali lagi dan sunatullah ini akan tinggal kekal pada makhluk-Nya sehingga Allah mewariskan bumi ini dan mereka yang ada di atasnya. Hanya dengan sebab itu sahaja ayah membenarkan orang lain untuk membawamu ke rumahnya dan menyimpanmu dalam sangkarnya.
Meski apa pun yang ayah katakan dan tuliskan…ayah tidak akan mampu untuk menyingkap apa sesungguhnya yang tersembunyi di hati ayah.Oleh itu, ayah menuliskan kepadamu surat ini yang mengandungi beberapa nasihat yang ayah perolehi dari kehidupan ini sementara dirimu sedang memasuki alam tugasmu yang asal, iaitu untuk menjadi ibu dan pengatur rumah tangga dan beroleh kemerdekaan dalam hidup.
Anakku yang disayangi,
Ayah ingin menulis kepadamu beberapa nasihat untuk kau amalkan dan kau lakukan sebaik mungkin terhadap pasangan hidupmu. Sesungguhnya ayah impikan kebahagiaan, ketenangan dan keharmonian memayungi sangkar kecilmu yang ayah harap akan menjadi besar dengan adanya anak-anak yang soleh dan solehah.
Ketika kau membaca surat ini, janganlah kau tergesa-gesa dan janganlah kau tanggapi topik-topik pembicaraan ayah dengan pandangan pertamamu, bahkan berulangkalilah membacanya. Perhatikannya berkali-kali sebelum dan selepas perkahwinanmu. Masa akan menyingkapkan kepadamu banyak perkara yang akan ayah nyatakan nanti. Ayah telah memahami pemerhatian ini dari berita-berita yang ayah dengar dari orang ramai secara umum. Dan jua apa yang ayah telah hadapi, perhatikan dan lalui dalam kehidupan berumahtangga ayah dalam tempoh masa hampir lapan belas tahun.
Pada masa yang sama, ayah sesungguhnya tidak menyatakan bahawa ayah telah sangat arif dengan semua permasalahan yang kadang terjadi dalam kehidupan berumahtangga, antara suami dan isteri, kerana mengetahui semua perkara itu kan sifat Allah Tuhan sekelian alam. Tetapi ayah katakan bahawa ayah hampir mengetahui apa yang penting dan tampak menonjol darinya dan yang kadangkala nampak seolah-olah kecil dan remeh tetapi memiliki pengaruh yang besar terhadap perjalanan hidup berumahtangga dan hampir memusnahkan mereka jika tidak ada beberapa hikmah, sikap sabar serta tabah dan panjang fikiran. Demikian juga, sesungguhnya kehidupan sentiasa berubah dan dipengaruhi oleh situasi di dalamnya dengan begitu jelas dan nyata sekali. Kadang situasi ini berbeza antara satu keluarga dan keluarga yang lain dan dari satu lingkungan kehidupan dengan yang lain, juga dari satu negara dari negara yang lain dan seterusnya.
bersambung...
bile nk ade smbungannye ye?? ^_^
ReplyDeleteInsyaAllah, 2 hari lagi..
ReplyDeletesyukran ukhti..