Di tengah arus kehidupan yang liberal, tidak boleh dihindari adanya rangsangan terhadap naluri seksual yang sedemikian subur. Tayangan lucah kita temui di mana-mana. VCD dan DVD porno laris terjual di jalanan dan tempat-tempat yang mudah diperolehi. Perempuan-perempuan biasa menampakkan aurat di depan umum tanpa ada segan silu, malah menampakkan susuk tubuh yang dikatakan cantik sebagai suatu kebanggaan tanpa rasa bersalah dan dosa.
Ketika ini, para pemuda mesti menghadapi kenyataan bahawa tenaga yang semestinya mereka fokuskan untuk berkarya dan berprestasi sebagai hamba Allah terpaksa mesti dialihkan untuk menahan gejolak syahwat yang berpeluang muncul pada bila-bila masa. Kecanggihan teknologi memberi kemudahan untuk berkomunikasi dengan sesiapapun, termasuk dalam mengungkapkan rasa dan gejolak ini kepada lawan jenis. Komunikasi menerusi telefon bimbit atau dunia maya diikuti dengan pertemuan hingga mengarah kepada pertemuan secara fizikal dan penyaluran keperluan seksual. Inilah yang sering dikaitkan oleh masyarakat dengan istilah “kekasih”.
Saat ini, telah dimaklumi bahawa para ibubapa menghadapi waktu yang kritikal dalam mendidik anak dengan situasi persekitaran begini. Seorang ibu dituntut untuk memahami karektor dari setiap naluri, termasuk naluri seksual; kemunculannya dalam diri anak dan cara pengendaliannya menurut Islam.
Seorang ibu juga mesti dapat mengikuti perkembangan zaman dan teknologi agar dapat mengawal ruang lingkup pergaulan anak hingga dapat mengesan seawal mungkin jika si anak mulai berkomunikasi dengan lawan jenis seperti melalui telefon bimbit atau facebook.
Perkara yang paling penting adalah menanam nilai-nilai agama yang kuat dalam keluarga serta komunikasi yang lancar antara anak dan ibubapa hingga tiada masalah anak yang tidak diketahui oleh ibunya. Anak juga harus menanamkan rasa kepercayaan yang tinggi dan selesa semasa mencurahkan isi hati terhadap ibu bapa, tidak malu ataupun takut saat mengungkapkan setiap gejolak yang dialaminya terhadap lawan jenis. Si anak percaya bahawa ibunya mampu menjawab segala masalah dan memberikan penyelesaian yang bijak dan sesuai dengan tuntutan Islam. Inilah yang akan menumbuhkan keperibadian Islam anak; perkembangan naluri-nalurinya senantiasa seiring dengan perkembangan pemikirannya. Ibunyalah yang paling berperanan dalam hal ini.
Berikut adalah antara tips-tips atau langkah-langkah yang boleh dilakukan dalam mengawal perkembangan naluri seksual anak, terutama agar anak boleh dicegah dari ‘berkasih-kasihan’.
Pertama. Kuatkanlah akidah anak dengan mengajak berfikir tentang kehidupan, tujuan Allah menciptakan manusia, maklumat tentang sifat manusia, cara pemenuhan potensi hidup manusia menurut Islam serta akibat pemenuhan yang tidak sesuai dengan aturan Allah Subhanahu wa Ta’ala, batasan pergaulan di dalam Islam seperti kewajiban menundukkan pandangan, menjaga aurat, tidak berkhalwat, dan lain-lain. Ini dalam rangka membentuk piawaian Islam dan membina pemikiran anak dalam menghadapi kemunculan naluri seksual.
Kedua. Wujudkan suasana rumah dalam persekitaran ibadah yang kuat dan saling beramar ma’ruf nahi mungkar antara ahli keluarga. Biasakan melakukan qiyamul lail, tadarus al-Quran dan puasa sunat bersama-sama bagi memperkuatkan hubungan dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala hingga muncul rasa hubungan yang dekat dengan Allah sedekat leher dengan urat ‘nyawa’ dan merasakan Allah sentiasa mengawasi kita.
Ketiga. Ajaklah anak berkomunikasi dan berfikir tentang masa hadapan dan cita-citanya dan mengatur strategi serta matlamat-matlamat untuk mencapai cita-cita tersebut. Dengan cara ini, kita akan dapat mengesan lebih awal, apa sahaja cara yang dapat mengesan perkara-perkara yang boleh mendukung atau perkara-perkara yang boleh membuat menghambat cita-citanya, termasuk dapat mengenalpasti kemunculan naluri berkaitan naluri seksual
Keempat. Motivasi dan tanamkan jiwa kepimpinan dengan aktif berorganisasi, beri motivasi untuk selalu meningkatkan prestasi diri, berkarya dan maju. Juga dapat dilakukan dengan memberi contoh apa yang telah diusahakan dan dihasilkan oleh para sahabat Rasulullah Sallallahu ’Alaihi wa Sallam, ulama dan ilmuwan Islam dalam usia muda. Harapannya, anak akan memiliki idola yang selalu menjadi ikutannya.
Kelima. Penuhi anak dengan kasih sayang dan perhatian dari kedua ibu bapa dan saudara sebagai bentuk lain dari penyaluran naluri seksual sehingga dapat mengurangkan kemunculan naluri terhadap lawan jenis pada usia yang lebih cepat.
Keenam. Amalkan dan biasakan untuk sentiasa berkomunikasi dengan anak, tidak menganggap tabu untuk membahas isu sekitar masalah naluri jenis ini. Apabila perlu, berilah contoh langsung bagaimana secara praktik pengalaman-pengalaman mengendalikan naluri seksual dalam usia yang relevan dengan batas-batas syariat.
Ini adalah di antara perkara yang boleh dilakukan oleh kaum ibu dalam menjalankan kewajiban membentuk keperibadian Islami dalam diri anak dan menghindari diri anak dari dikendalikan oleh selain aturan Islam. Seterusnya dapat menyalurkan naluri yang dianugerahkan Allah pada jalan yang hak dan menghindari diri dari gejala sosial yang melanda umat hari ini.
Sumber : fikratulummah.blogspot.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Syukran for your nice comment. Please leave your comment again!!! (^_^)