Kesilapan Lenin di dalam mengkaji masyarakat Kapitalis

Assalamulaikum sahabat seperjuangan sekalian,

Apa khabar anda malam ini? Semoga sihat hendakNya. Di sini saya ingin kongsikan sedikit pengetahuan berkenaan dengan penjajahan. Saya mendapat maklumat ini melalui emel yang dihantar oleh seorang sahabat. Sama-sama kita menajamkan ilmu yang ada. InsyaAllah..


Di dalam Mafahim Siyasah Hizbut Tahrir, muka surat 15, dinyatakan bahawa ‘Penjajahan itu bukanlah seperti kata Lenin, yakni “tahapan tertinggi di antara tahapan-tahapan kapitalisme”, melainkan bagian integral dari pandangan hidup kapitalisme’.

Vladimir Lenin mengatakan bahawa Imperialism (penjajahan) adalah tahap yang tertinggi di dalam ideologi Kapitalism. Beliau membuat kajian terhadap masyarakat, yakni bagaimana masyarakat berubah (ber-evolusi) daripada masyarakat pertanian, perlombongan dan penternakan, menjadi masyarakat yang lebih maju dengan adanya industri-industri yang dibantu dengan bank-bank yang memberikan pinjaman kewangan untuk industri berkembang. Industri sahaja tidak mencukupi untuk mengeluarkan pelbagai produk barangan, tetapi mesti juga disertai dengan bahan mentahnya. Setelah berlakunya perkembangan industri yang pesat, sektor industri digunakan untuk memajukan ketenteraan. Dan seterusnya disebabkan oleh pemintaan yang tinggi terhadap bahan mentah, maka negara atau masyarakat tersebut akan melakukan penjajahan ketenteraan ke atas negara lain untuk mendapatkan bekalan bahan mentah untuk kegunaan industri mereka. Ini menurut pandangan Lenin yang membuat kesimpulan suatu masyarakat atau negara Kapitalis akan menjadikan penjajahan sebagai tahap tertinggi atau tahap terakhir bagi ideologi Kapitalis tersebut.

Tetapi Lenin membuat kesilapan di dalam mengkaji suatu masyarakat, yakni bagaimana masyarakat berubah daripada masyarakat tahapan rendah kepada masyarakat tahap tinggi (mesyarakat atau negara penjajah). Beliau tidak mengkaji bagaimana ideologi yang sebenarnya bertanggungjawab untuk mengubah suatu masyarakat. Beliau mengatakan bahawa penjajahan adalah suatu natijah ideologi Kapitalism. Seolah-olah mengatakan bahawa masyarakatlah yang membentuk ideologi itu, iaitu daripada masyarakat yang mempunyai dana (Capital) menjadi masyarakat penjajah atau negara penjajah. Tetapi pendapat beliau adalah tidak tepat. Sebab negara yang kedua terkaya di dunia sekarang ini iaitu Jepun bukanlah suatu negara penjajah sekarang. Negara ketiga terkaya di dunia seperti Jerman sekarang ini yang mempunyai industri besar dan maju, malah yang pernah bertanggungjawab meletuskan perang terbesar di dalam sejarah manusia di Eropah, sekarang ini juga bukanlah suatu negara penjajah.

Pendapat Hizbut Tahrir berbeza dengan pendapat Lenin. Hizb mengkaji ideologi (pemikiran) yang membentuk masyarakat (di dalam buku Nizham Islam, bab 3), dan membuat kesimpulan bahawa penjajahan adalah intipati (essence) ideologi Kapitalis, dan bukan seperti pendapat Lenin yang mengatakan bahawa penjajahan adalah natijah (hasilan) ideologi Kapitalism. Pendapat Hizb mengatakan ideologi adalah yang membentuk masyarakat, bukan sebaliknya. Disebabkan ideologi yang mempunyai akidah adalah merupakan qiyadah fikriah bagi sesuatu masyarakat atau negara yang mendukung ideologi tersebut. Maka sekiranya Sekularism adalah akidah sesuatu masyarakat dan negara, yang memberikan janji-janji kebebasan tingkah laku, maka negara tersebut akan melakukan sesuka hati mereka, seperti menjajah, merompak, mengeksploitasi, menipu, menyeleweng dll. Dan inilah sebab yang menjadikan negara-negara Kapitalis Eropah menjadi penjajah yang menjajah benua-benua Amerika, Asia dan Afrika. Berlainan semasa Perang Salib, di mana pendudukan Eropah ke atas wilayah Palestin adalah di atas sebab-sebab keagamaan, dan bukan penjajahan. Sekiranya penjajahan adalah merupakan sebab terpenting oleh tentera Salib Eropah bergerak ke Timur Tengah, maka mereka sudah tentu tidak berminat terhadap Al-Quds yang tanahnya kering kontang di mana hanya pohon zaitun, pohon kurma yang pohon tiin boleh tumbuh subur, sebab banyak lagi kawasan yang kaya dengan tanah pertanian yang subur seperti Lembah Nil, Tigris-Euphrates atau Tasik Tiberias (Sea of Galilee) di Timur Tengah yang boleh mereka jajah untuk mengambil kekayaan dari kawasan tersebut.

Pemencilan Amerika Syarikat

Keadaan Amerika Syarikat setelah penubuhannya pada 1776 setelah mengalahkan tentera British, bermula dengan suatu period atau jangka masa “tiada campurtangan” (non-interventionism) dan “memencilkan diri” (isolationism) yang termaktub oleh suatu doktrin yang dikeluarkan oleh Presiden Amerika Syarikat, James Monroe pada 1823 yang dinamakan sebagai Doktrin Monroe. Doktrin tersebut menyatakan segala campurtangan dan penjajahan negara-negara penjajah Eropah di benua Amerika Utara, Amerika Selatan dan juga Amerika Tengah adalah suatu intervensi ketenteraan (military aggression) yang perlu dibalas oleh Amerika Syarikat dengan secara tindakan ketenteraan juga untuk mempertahankan benua tersebut daripada penjajahan Eropah. Doktrin tersebut juga menyatakan bahawa Amerika Syarikat tidak akan campurtangan di mana-mana negara di benua Eropah, dan mana-mana negara koloni penjajah Eropah di luar daripada benua Amerika Utara, Amerika Selatan dan juga Amerika Tengah. Seolah-olah seperti seorang sufi yang bertapa di dalam guanya sendiri dan hanya melihat kepada keadaan di dalam gua tersebut tanpa menghiraukan keadaan di luar.

Perang Amerika-Mexico

Apabila Mexico mendapat kemerdekaan daripada Sepanyol pada awal kurun ke-19, iaitu diiktiraf pada 1821, AS telah berperang menentang Mexico pada tahun 1846-1848 dan pendudukan oleh tentera AS di kota Mexico City, menjadikan AS menguasai wilayah-wilayah seperti Texas, California, Nevada, Utah, and sebahagian daripada Colorado, Arizona, New Mexico, and Wyoming menerusi perjanjian Guadalupe-Hidalgo, di mana AS bersetuju membayar sejumlah wang kepada Mexico sebagai “pembelian” wilayah-wilayah tersebut dan juga kerana telah menang peperangan menentang Mexico. Sebab itulah beberapa nama kota-kota di wilayah-wilayah tersebut seperti Los Angeles, San Francisco, San Diego, El-Paso (Texas), Las Vegas dan Santa Barbara adalah asalnya nama-nama Sepanyol. Ini menyebabkan Mexico kehilangan lebih separuh (55%) daripada wilayahnya kepada AS selepas perjanjian Guadalupe-Hidalgo. Menurut Doktrin Monroe yang menyatakan AS akan menentang sebarang campurtangan luar ke atas benua Amerika, tetapi perang ke atas Mexico dengan merampas wilayah-wilayah Mexico dilihat sebagai strategi mahu membesarkan wilayahnya dan mengukuhkan AS sebagai negara terkuat di benua Amerika Utara, Selatan dan Tengah. Sehingga sekarang seramai 12% daripada penduduk AS adalah terdiri daripada etnik Mexico dan kebanyakan mereka menetap di wilayah-wilayah yang dirampas oleh AS semasa perang AS-Mexico pada pertengahan kurun ke-19.

Perang Amerika-Sepanyol

Walaupun AS menyatakan bahawa ianya tidak akan campurtangan di mana-mana negara Eropah, AS pernah berperang menentang Sepanyol di Philippines dan mengalahkan tentera Sepanyol dari terus menjajah Philippines pada tahun 1898. Akibatnya Philippines telah jatuh ke tangan AS sehinggalah tentera Jepun menduduki Philippines pada Perang Dunia Kedua. Pada tahun 1898 juga terjadi peperangan AS menentang Sepanyol di kawasan-kawasan Amerika Tengah yang menjadikan Guam, Puerto Rico dan Cuba dibebaskan daripada penjajahan Sepanyol. Sepanyol adalah negara pertama yang AS berperang, dan kekalahan Sepanyol serentak di benua Amerika dan di Asia adalah juga disebabkan oleh kekalahan dan jatuhnya Sepanyol ke tangan tentera Peranchis pimpinan Napoleon di Eropah dan oleh itu melemahkan pendudukan Sepanyol di koloni-koloninya di Amerika Tengah dan di Philippines. Peperangan menentang Sepanyol di benua Amerika Tengah dan Selatan dilihat mahu menamatkan penjajahan Sepanyol untuk melaksanakan Doktrin Monroe, iaitu menurut Doktrin tersebut adalah untuk menamatkan suatu kuasa penjajah Eropah di benua Amerika

Tamatnya zaman pemencilan diri AS

Pemencilan AS daripada luar benua Amerika berakhir sehinggalah negara tersebut melibatkan diri di dalam Perang Dunia Kedua dan kemenangannya di dalam Perang Dunia Kedua telah menjadikannya sebagai negara Kapitalis utama yang menjalankan penjajahan secara langsung dan tidak langsung. Sejak penubuhannya pada tahun 1776, negara tersebut adalah negara sekular dan negara Kapitalis, cumanya bukan negara Kapitalis utama yang mengembangkan ideologinya dan menjalankan penjajahan di merata dunia. Sekarang orang sufi tersebut yang bertapa di dalam gua tersebut sudah mendapat pemikiran baru, dan pemikiran baru tersebut menjadikan dia perlu keluar daripada gua tersebut (atau seperti seekor katak yang keluar dari tempurungnya) ke dunia luar dan melakukan penjajahan ke dunia luar.

Daripada sejarah AS, penglibatan mereka di peperangan menentang Mexico dan menentang Sepanyol di benua Amerika sendiri, AS adalah sebuah negara perindustrian yang mempunyai industri yang membina kapal perang sendiri untuk berperang menentang armada Sepanyol. Tetapi industri tersebut tidak menjadikan negara tersebut sebagai sebuah negara penjajah seperti Britain dan Peranchis yang menlakukan penjajahan di luar benuanya sendiri. Sama juga industri Jepun sekarang langsung tidak menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai negara penjajah, tetapi sebaliknya Jepun dan Korea Selatan yang banyak dijajah oleh AS dari segi ketenteraan dan ekonomi. Ini satu lagi fakta yang bertentangan dengan pendapat Lenin yang menyatakan bahawa negara Kapitalis yang maju merupakan negara penjajah yang meletakkan penjajahan sebagai tahap tertinggi atau tahap terakhir ideologi tersebut.

Oleh itu ideologi sebenarnya yang mengubahkan masyarakat, dan oleh itu penjajahan adalah suatu intipati bagi ideologi Kapitalis. Penjajahan bukan merupakan natijah daripada ideologi Kapitalis. Dan sebuah masyarakat Kapitalis atau negara Kapitalis yang menjadikan ideologi Kapitalis itu mencapai tahapnya yang tertinggi melalui penjajahan adalah suatu pendapat yang tidak tepat.

Bagaimana keadaan China?

Bermulanya China sbagai negara Komunis pada tahun 1949, setelah parti Nasionalis berundur ke Formosa (Taiwan) tidak menjadikannya sebagai negara utama pengembang ideologi Komunis. Semasa kurun ke-15 dan 16, China pernah mempunyai kapal-kapal sangat banyak bilangannya sehingga mencecah beberapa ribu buah telah belayar ke segala pelusuk lautan dunia, seperti disiarkan di dalam suatu rencana daripada National Discovery Channel, tetapi kapal-kapal tersebut tidak menjalankan penjajahan di serata dunia tetapi hanya sebagai melawat dan berdagang. Malah ada teori yng mengatakan kapal-kapal China telah sampai dahulu ke benua Amerika Utara sebelum Christoper Columbus sampai ke benua tersebut. Setelah China belayar ke seluruh lautan dunia berdagang dan melakukan lawatan, secara tiba-tiba Maharaja China memerintahkan seluruh kapal ditunda untuk balik semula ke China dan bermulalah zaman pemencilan China sejak kurun ke-16, sepertimana AS melalui zaman pemencilannya semasa Doktrin Monroe.

Tetapi AS berjaya keluar daripada tempurungnya dan menakluk dunia, maka sekiranya China juga melaksanakan akidah ideologi Kapitalis secara qiyadah fikriah, maka sesungguhnya China akan juga keluar daripada rantaunya melakukan penjajahan. Sekarang China masih melaksanakan ideologi Kapitalis secara sedikit demi sedikit untuk menggantikan ideologi Komunisnya yang lama. Buktinya penswastaan semasa Komunis telah dilarang keras oleh negara, tetapi pada masa ini penswastaan telah dilakukan mengakibatkan ramai di kalangan rakytnya berjaya menjadi jutawan.

Secara kesimpulannya ideologi Kapitalis tidak mengenal warna kulit, etnik, keturunan dan agama sesuatu masyarakat, tetapi sesiapa sahaja yang melaksanakan akidah ideologi Kapitalism (Sekularism) sebagai qiyadah fikriah, maka merekalah akan menjadi masyarakat penjajah, tidak kira sama ada mereka adalah orang Eropah, Arab, Pakistan, India, China, Jepun atau lain-lain.

2 comments:

  1. Menarik betul Hizbut Tahrir mempunyai kandungan isi sebegini. Teruskan berkongsi, i'm interested. Thanks for sharing.

    ReplyDelete
  2. Menyampaikan kebenaran biarpun yang haq itu pahit..

    :)

    InsyaAllah, akan dikongsikan dari semasa ke semasa..

    ReplyDelete

Syukran for your nice comment. Please leave your comment again!!! (^_^)

 

Copyright © 2013 | Wanita Mustanir | by Cik Bulat