Dalil-dalil tentang Aurat Wanita
(i) Batasan aurat wanita - Aurat wanita adalah seluruh anggota tubuhnya kecuali wajah dan dua telapak tangannya. Leher dan rambutnya adalah aurat dihadapan lelaki bukan mahram walau sehelai maka seluruh tubuh kecuali wajah dan dua telapak tangan adalah aurat yang wajib ditutup. Hal ini berlandaskan firman Allah Subhanahu Wa Taala:‘Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya.’[QS An-Nur:31].Yang dimaksud wa laa yubdiina ziinatahunnaa (janganlah mereka menampakkan perhiasannya), adalah wa laa yubdiina mahalla ziinatahinnaa (janganlah mereka menampakkan tempat-tempat (anggota tubuh) yang di situ dikenakan perhiasan)[Lihat Abu Bakar Al-Jashshash, Ahkamul Qur`an, Juz III hal.316].
Selanjutnya, illa maa zhahara minhaa (kecuali yang (biasa) nampak darinya). Jadi ada anggota tubuh yang boleh dinampakkan iaitu wajah dan dua telapak tangan. Demikianlah pendapat sebahagian sahabat, seperti ˜Aisyah, Ibnu Abbas, dan Ibnu Umar [Al-Albani, 2001:66].
Ibnu Jarir Ath-Thabari (wafat 310H) berkata dalam kitab tafsirnya Jami Al-Bayan fi Tafsir Al-Qur`an Juz XVIII ms 84, mengenai apa yang dimaksud kecuali yang (biasa) nampak darinya (illaa maa zhahara minha): pendapat yang paling mendekati kebenaran adalah yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah wajah dan dua telapak tangan. Pendapat sama dinyatakan Imam Al-Qurthubi dalam kitab tafsirnya Al-JamiĆ¢ li Ahkam Al-Qur`an, Juz XII hal. 229 [Al-Albani, 2001:50 & 57]. Jadi, apa yang biasa nampak darinya adalah wajah dan dua telapak tangan sebab kedua anggota tubuh inilah yang biasa nampak dari kalangan Muslimah di hadapan Nabi Sallalahu alaihi wasallam sedangkan baginda mendiamkannya. Kedua anggota tubuh ini pula yang nampak dalam ibadah-ibadah seperti haji dan solat dan biasa terlihat di masa Rasulullah iaitu di masa masih turunnya ayat Al Qur`an [An-Nabhani, 1990:45].
Dalil lain yang menunjukkan bahwasanya seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali wajah dan dua telapak tangan ialah sabda Rasulullah kepada Asma` binti Abu Bakar: ‘Wahai Asma` sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haidl) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.’ [HR Abu Dawud]
(ii)Pakaian Wanita dalam Kehidupan Khusus (Hayaatul ‘khassah/private life) - Apapun cara seorang Muslimah menutupi auratnya dihadapan lelaki ajnabi dalam kehidupan khusus seperti di rumahnya atau di dalam kenderaan peribadi, syara' tidak menentukan bentuk/fesyen pakaian tertentu tetapi membiarkan secara mutlak tanpa menentukannya dan cukup dengan mencantumkan lafaz dalam firman-Nya: “wa laa yubdiina” (Dan janganlah mereka menampakkan) [Surah An-Nur:31] atau sabda Nabi “lam yashluh an yura minha” (tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya)[HR Abu Dawud].
Jadi, pakaian yang menutupi seluruh auratnya kecuali wajah dan telapak tangan dianggap sudah menutupi, walau bagaimana pun bentuknya. Memakai kain panjang atau seluar, gaun, dsb juga dapat menutupinya sebab bentuk dan jenis pakaian tidak ditentukan oleh syara. Berdasarkan hal ini maka setiap bentuk dan jenis pakaian yang dapat menutupi aurat iaitu yang tidak menampakkan aurat dianggap sebagai penutup bagi aurat secara syar’i, tanpa melihat lagi bentuk, jenis, atau fesyennya. Namun demikian syara’ telah mensyaratkan dalam berpakaian agar pakaian yang dikenakan dapat menutupi kulit. Jadi pakaian wajib dapat menutupi kulit sehingga warna kulitnya tidak diketahui. Jika tidak demikian, maka dianggap tidak menutupi aurat. Oleh kerana itu apabila kain penutup itu tipis/transparent sehingga nampak warna kulitnya dan dapat diketahui samada kulitnya berwarna merah atau coklat, maka kain penutup seperti ini tidak boleh dijadikan penutup aurat.
(iii)Aurat Wanita dalam Kehidupan Umum (Hayaatul ‘am/Public Life) - Pakaian wanita dalam kehidupan umum iaitu di luar rumahnya terdiri dari dua jenis iaitu i) baju bawah (libas asfal) yang disebut dengan jilbab, dan ii) baju atas (libas ala) iaitu khimar (tudung). Dengan dua pakaian inilah seorang wanita boleh berada dalam kehidupan umum seperti di kampus, supermarket, jalanan umum, zoo atau di pasar-pasar. Dalil wajib memakai jilbab adalah firman Allah: ‘Wahai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin: ‘Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya.’ [Surah Al-Ahzab:59].
Apakah pengertian jilbab? Dalam kitab Al Mu’jam Al Wasith karya Dr. Ibrahim Anis [Kaherah:Darul Maarif ms 128], jilbab diertikan sebagai Ats tsaubul musytamil alal jasadi kullihi (pakaian yang menutupi seluruh tubuh), atau Ma fauqa ats tsiyab kal milhafah (pakaian luar yang dikenakan di atas pakaian rumah, seperti milhafah (seperti jubah), atau Al Mula`ah asytamilu biha al mar`ah (pakaian luar yang digunakan untuk menutupi seluruh tubuh wanita). Jadi jelaslah, bahawa yang diwajibkan atas wanita adalah mengenakan pakaian yang sekeping lurus ke bawah hingga mata kaki (Arab: milhafah/mula`ah) yang dikenakan sebagai pakaian luar (di dalamnya masih ada pakaian rumah atau pakaian sehari-hari tetapi bukan hanya coli dan seluar dalam) lalu diulurkan ke bawah hingga menutupi kedua kakinya.
Untuk pakaian atas, disyariatkan memakai khimar iaitu tudung atau apa saja bahan/kain yang serupa dengannya yang berfungsi menutupi seluruh kepala, leher, dan lubang baju di dada. Dalil mengenai wajibnya mengenakan pakaian bahagian atas (khimar/tudung):‘Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak darinya.‘ [Surah An-Nur:31]. Pakaian jenis ini wajib dipakai jika hendak keluar menuju pasar-pasar atau berjalan melalui jalanan umum [An-Nabhani, 1990:48]. Setelah memakai kedua jenis pakaian ini (jilbab dan khimar) dibolehkan baginya keluar dari rumahnya menuju pasar atau berjalan melalui jalanan umum iaitu dalamkehidupan umum. Jika tidak, maka dia tidak boleh keluar dari rumah kerana perintah yang menyangkut kedua jenis pakaian ini datang dalam bentuk yang umum, dan tetap dalam keumumannya dalam semua keadaan, kerana tidak ada dalil yang mengkhususkannya.
Tsaub (pakaian rumah) dan Jilbab (pakaian di luar rumah) – (Surah Al-Ahzab 33:59) dan Kebolehan Menanggalkan Pakaian – (Surah An-Nur 24:60) - Tsaub ialah pakaian di rumah iaitu pakaian yang dipakai oleh wanita dihadapan mahramnya. Dalil mengapa wajib mengenakan tsaub (pakaian sehari-hari ketika di rumah yang tiada lelaki ajnabi) di dalam jilbab ialah kerana kebolehan wanita yang telah putus haid dan tiada keinginan berkahwin menanggalkan atau melepaskan pakaian luar sebagaimana firman Allah: “Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti [dari haidh dan mengandung] yang tiada ingin kahwin [lagi], tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian mereka” [Surah An-Nur:60]. Ini adalah kerana jika tiada pakaian di dalam jilbab ia bermakna wanita yang telah putus haid berkenaan boleh berbogel [Rujuk Imam Muhammad Abu Zahrah dalam kitab Usulul Fiqh:164-147, Abdul Wahab Khallaf kitab Ilmu Usul Fiqh:143-153 dan Sheikh Taqiuddin an-Nabhani dalam kitab As-Syahsiyyah Al-Islamiyyah Juz. 3:178-179].
(iv)Larangan Bertabarruj - Adapun dalil tentang larangan bertabarruj adalah juga dari Surah An-Nur 24:59 iaitu “Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti [dari haid dan mengandung] yang tiada ingin kawin [lagi], tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian mereka dengan tidak [bermaksud] menampakkan perhiasan, dan berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. Mafhum muwafaqah (yang disepakati) dari ayat ini adalah jika perempuan tua yang telah putus haid haram menampakkan perhiasan iaitu bertabarruj, apatahlagi perempuan yang masih muda, belum putus haid dan berkeinginan berumahtangga, tentulah lebih lagi. Dalil lain ialah “Dan hendaklah kamu tetap di rumah kamu, dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang jahiliah.”[Surah Al-Ahzab:Ayat 33] dan Hadith Rasulullah saw riwayat dari Bazzar dan At-Termizi: “Sesungguhnya wanita itu adalah aurat, setiap kali mereka keluar, syaitan akan memperhatikannya.” Abul A’la al Maududi berkata:“Jika kalimat Tabarruj dipergunakan kepada kaum wanita, ia bermakna i) wanita yang menunjukkan kecantikan wajahnya, daya tarik tubuhnya kepada lelaki asing (yang bukan mahramnya); ii) wanita yang mendedahkan kecantikan pakaian dan perhiasannya kepada lelaki asing; dan memperlihatkan dirinya, sisirannya, gerak-gerinya dan kemegahannya. Selain memastikan pakaiannya tidak nipis, jarang, longgar, tidak memakai perhiasan yang menarik perhatian lelaki ajnabi, tidak menyerupai pakaian lelaki atau orang kafir/musyrik, pakaiannya yang bukan melambangkan kemegahan, dia juga tidak boleh tampil dengan haruman semerbak. Sesiapa jua wanita yang memakai minyak wangi kemudian melintasi khalayak ramai dengan tujuan dihidu bau yang dipakainya, maka dia dikira berzina” [hadis dari Abu Musa al-Asy’ari].
Khatimah
Sesungguhnya aurat wanita Islam bukanlah hanya tudung semata-mata sebagaimana yang difahami oleh sebahagian umat Islam sebaliknya apa yang paling penting ialah setiap Muslimah mestilah memahami batasan aurat dalam kehidupan khusus dan kehidupan umum menurut syarak selain menyedari keharaman bertabarruj atas semua wanita samada belum atau telah putus haid. Menutup aurat juga hendaklah didasari dengan iman dan taqwa iaitu mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, bukan atas dasar hak asasi atau rutin harian. Memetik kata-kata Sheikh Ali Thantawi: "Terdapat perbezaan yang besar antara seorang yang terjaga lewat pagi kemudian terus bergegas untuk keluar bekerja. Disebabkan kesibukan menjalankan tugas, beliau tidak berkesempatan untuk makan dan minum sehingga tibanya waktu malam, sementara seorang yang lain yang turut mengalami keadaan berlapar dan dahaga tetapi telah berniat untuk berpuasa, telah mendapat pahala daripada amalannya disebabkan niatnya, sementara orang yang pertama tidak memperoleh apa-apa sedangkan dia turut berlapar dan dahaga. Begitulah keadaannya dengan amalan-amalan kebiasaan yang lain, bilamana diniatkan untuk mendapatkan keredhaan Allah Subhanahu wa Taala akan memperolehi pahala dari Nya, sebaliknya jika dilakukan sebagai rutin hidup, dia tidak akan memperoleh apa-apa".
Wallahu ‘alam bisshawab...
No comments:
Post a Comment
Syukran for your nice comment. Please leave your comment again!!! (^_^)