MEREKA bicara tentang IDEOLOGI (akhir)

FAKTOR KEPIMPINAN KARISMATIK

Mengulas kejayaan revolusi Iran tidak akan bermakna tanpa merujuk faktor kepimpinan karismatik, bukan sahaja melibatkan peranan Imam Khomeini, tetapi juga tokoh-tokoh lain, yang turut melahirkan gagasan revolusioner, seperti Dr Ali Shariati, Ayatullah Taleqani dan Ayatullah Mutahhari.

Wan Idros Wan Sulaiman (1999) menekankan, pada asasnya teori kepimpinan karismatik yang unggul adalah daripada Robert J. House yang banyak menulis berkenaan karismatik yang dianggapnya sebagai gifted.

House menyarankan bahawa pemimpin karismatik mempunyai tingkatan- tingkatan kuasa rujukan yang amat tinggi dan sesetengah kuasa itu didapati daripada keperluan pemimpin berkenaan untuk mempengaruhi orang lain dan juga dari tingkat keyakinan diri, penguasaan yang amat tinggi dan kepercayaan teguh tentang kebenaran moral.

House juga menegaskan pemimpin karismatik bijak menyampaikan pandangan atau matlamat yang ingin dicapai sehingga mampu meraih komitmen dan tenaga pengikutnya. Mereka begitu berhati-hati mewujudkan satu imej kejayaan dan kecekapan serta menunjukkan contoh-contoh melalui perilaku mereka, mengenai nilai-nilai, norma dan kepercayaan yang mereka tegakkan.

Pemikiran Ayatullah Khomeini, lewat tulisan-tulisannya, menurut Amien Rais (1987), melihat Islam sebagai agama yang dinamis dan menjadi agama kaum pejuang yang mendambakan keadilan dan kebenaran, serta agama mereka yang ingin melakukan pembebasan dari setiap penindasan.

Beliau mengingatkan kaum Muslimin terhadap citra Islam yang diprojekkan oleh musuh-musuh Islam, sebagai agama ibadat dan tidak ada hubungan dengan masalah negara. Khomeini melihat imperialisme dan kolonialisme bukan hanya dari segi ketenteraan, politik dan ekonomi, tetapi juga dari segi pendidikan, keagamaan dan kebudayaan.

Di matanya, Amerika merupakan "Syaitan Besar". Beliau jelas memihak kepada kaum yang lemah atau mustadhafiin, dan menentang golongan mustakbirin atau penindas. Beliau diusir ke Turki, Iraq, kemudiannya Perancis, dan kembali ke Tehran pada 1 Februari 1979.

Ucapan Khomeini dari Najaf dan Paris telah dirakam untuk diedarkan ke seluruh Iran, mendorong rakyat keluar ke jalan-jalan raya berdepan hujan peluru. Pembunuhan berlaku hampir setiap hari, namun kasih sayang rakyat kepada Khomeini bertambah subur.

Walaupun terpisah jauh dalam tempoh 16 tahun, ikatan yang kukuh tetap wujud. Shah terpaksa melarikan diri pada 16 Januari 1979 ke Kaherah, ekoran kebangkitan rakyat yang tidak dapat disekat lagi. Rakyat dari seluruh pelosok negara memberi sambutan bersejarah kepada Khomeini di lapangan terbang Mehrabad.

Di makam para syuhada, Behesht-e Zahra, beliau menyampaikan ucapan paling penting dengan mengisytiharkan kabinet tidak sah dan mengumumkan beliau sendiri akan menubuhkan kerajaan. Sebagai usaha terakhir, Perdana Menteri Bakhtiar, pada 10 Februari 1979 mengisytiharkan perintah berkurung 24 jam untuk membolehkan penggelidahan ke atas kediaman Khomeini.

Namun rakyat bangun membentuk tembok untuk melindungi pemimpin revolusi itu. Selepas bertempur selama 24 jam di jalan-jalan raya, angkatan tentera, yang dimulakan oleh pasukan udara, berpaling tadah dan memberikan sokongan kepada Khomeini. Maka tercapailah kemenangan revolusi Islam menggantikan pemerintahan kuku besi.

Arkitek kedua revolusi ialah Dr Ali Shariati, lulusan sosiologi, lahir pada 1933 dan meninggal pada usia muda, 44 tahun, kemungkinan diracun agen Savak, di London. Shariati menganjurkan diterapkan pendekatan Nabi s.a.w. untuk melakukan perubahan sosial dan transformasi kejiwaan masyarakat.

Beliau mengajarkan bahawa bentuk sesuatu adat dapat dipelihara, tetapi isi atau maknanya harus diubah. Contoh yang diberikan Shariati adalah bagaimana Nabi melestarikan ritual haji yang mula-mula penuh dengan penyembahan berhala, kemudian berubah total menjadi penyembahan kepada Allah berdasarkan Tauhid.

Pemahaman Shariati tentang Islam terasa sangat revolusioner apabila membaca karya-karyanya. Misalnya pengertian intizhar dalam tradisi Syiah, yang sering difahami sebagai menunggu datangnya imam yang ghaib, diberikan tafsiran yang cukup kreatif oleh Shariati. Menurutnya, intizhar bererti menunggu secara aktif kedatangan kebenaran yang harus diperjuangkan.

Dihubungkan dengan konteks masyarakat Iran di zaman Shah, gagasan- gagasan Shariati benar-benar dapat menggerakkan masyarakat, terutama golongan terpelajar di kampus, sehingga kuliahnya di Universiti Masyad dan pusat keagamaan Husayniya-e Irsyad dihadiri ribuan angkatan muda, seterusnya menumbuhkan bibit-bibit revolusi Islam.

Shariati juga berani mengkritik ulamak-ulamak yang menafsirkan ilmu- ilmu Islam menjadi ilmu fiqh yang sempit. Sebaliknya, karya-karya Shariati banyak mengemukakan suatu konsepsi Islam yang baru, penuh bersemangat dan memberikan inspirasi, khususnya membangkitkan kembali kerinduan untuk mati syahid. Beliau mempopularkan istilah rausyanfikr, iaitu cendekiawan yang terlibat dalam gerakan sosial masyarakat dan berpandangan luas.

Sesungguhnya Shariati benar-benar memahami semangat orang muda, malah berhasil memberikan satu ideologi kepada mereka, yang dapat memenuhi keinginan mereka untuk tetap taat kepada keyakinan agama, mahupun dorongan untuk mencetuskan revolusi.

Keistimewaan Shariati terletak dalam kemampuannya meleburkan pelbagai bentuk idealisme sosial, ekonomi dan kebudayaan yang kelihatannya saling bertentangan, menjadi satu ideologi yang padu, dan dengan demikian memberikan satu tujuan bersama bagi segala jenis orang Iran yang aktif berpolitik.

Shariati diakui seorang pemikir hebat di zamannya, yang mendorong satu perubahan luar biasa berlaku di Iran, dengan pemimpin di medan tempurnya adalah Khomeini.

Selain faktor Khomeini dan Shariati, pemikiran Islam revolusioner di Iran juga berhubung erat dengan Ayatullah Taleqani dan Ayatullah Mutahhari.

Taleqani yang lahir pada 1911 dan syahid pada 1979, sejak muda bersahabat baik dengan Taqi Shariati, ayah Dr Ali Shariati, selain berhubungan dengan Khomeini. Beliau keluar-masuk penjara, manakala rumahnya menjadi pusat golongan intelektual progresif yang sering berdiskusi dengannya mengenai perubahan sosial dalam konteks masyarakat Iran.

Taleqani cukup arif dengan ilmu falsafah, Yunani mahupun Barat, selain mempunyai wawasan mengkagumkan tentang ekonimi Islam, namun beliau mengabdikan seluruh kehidupannya untuk menentang regim zalim Shah Iran. Beliau banyak mengkritik golongan ulama dan intelektual yang bersikap opurtunis.

Mutahhari, juga syahid pada 1979, merupakan profesor di Fakulti Teologi Universiti Tehran. Beliau bukan sahaja pemikir revolusi tetapi juga penggerak revolusi dan salah seorang dari pemimpin utamanya. Sesuatu yang unik dalam proses revolusi Iran apabila ia menggabungkan begitu ramai pemikir dan pemimpin berwibawa, menurut bidang masing- masing, seperti Mehdi Bazargan, Abul Hassan Bani Sadr (walaupun kemudiannya 'menyeleweng'), Ali Rajaie, Javad Bahonar, Montazari, Behesti, Rafsanjani dan Ali Khameini.

Justeru, meskipun puluhan pimpinannya terkorban syahid selepas Khomeini berkuasa, ekoran komplot mematahkan revolusi, namun Iran terbukti tidak ketandusan pemimpin, di samping rakyatnya terus memberi sokongan padu biarpun negara itu diasak dari segenap penjuru.

KESIMPULAN

Kajian mendalam terhadap perjuangan rakyat Iran menentang pemerintahan monarki kuku besi Shah akan menghasilkan penemuan cukup menarik, khususnya kesediaan mereka untuk sanggup mati demi menegakkan kebenaran Islam, di bawah kepimpinan karismatik Khomeini yang didokong tradisi intelektual yang tinggi.

Kejatuhan regim zalim dinasti Pahlavi sebenarnya tidak memudahkan usaha pembentukan sebuah kerajaan baru kerana kuasa-kuasa besar dunia, dengan memperalatkan musuh-musuh dalaman, termasuk individu-individu yang cukup rapat dengan Khomeini, tidak henti-henti melakukan usaha sabotaj. Antaranya adalah perang Iran-Iraq yang dipaksakan, begitu juga sekatan ekonomi yang memeritkan, selain memencilkan kejayaan revolusi di kalangan umat Islam atas daleh perbezaan mazhab.

Komitmen rakyat Iran begitu tinggi bagi mempertahankan revolusi agung itu, sebahagiannya didorong oleh kesucian dan kemurnian akidah perjuangan, atau apa yang disebut ideologi, dalam konteks perbincangan kita. Kesederhanaan Khomeini yang terus menjalani kehidupan serba sederhana, walaupun selepas berkuasa, juga merupakan faktor pemersatu rakyat Iran untuk terus memajukan negara yang dibina di atas keringat, air mata dan darah syuhada itu.

Wallahu A'lam...

Sumber : [harakahDaily.net]

No comments:

Post a Comment

Syukran for your nice comment. Please leave your comment again!!! (^_^)

 

Copyright © 2013 | Wanita Mustanir | by Cik Bulat