MEREKA bicara tentang IDEOLOGI...

Kepentingan ideologi dalam usaha menjatuhkan sistem: Kes Iran Ahmad Lutfi Othman


Pada dasarnya ideologi ialah satu sistem nilai atau kepercayaan politik yang dianggap oleh pendokong-pendokongnya sebagai satu sistem politik yang ideal untuk direalisasikan. Rasional-rasional yang terkandung di dalamnya dianggap oleh mereka dapat menerangkan keadaan masyarakat yang mereka hadapi dan dapat pula digunakan sebagai kerangka teori untuk merancang sistem alternatif bagi masyarakat tersebut.

Pegangan ideologi ini pula sebaliknya bertindak mencorak sikap politik mereka terhadap pelbagai institusi dan proses masyarakat. Menurut Syed Ahmad Hussein (1994), ideologi berhubung langsung dengan soal kuasa politik. Ia juga mengandungi dalih-dalih normatif untuk memperjuangkan sesuatu program perubahan atau reaksi kepada keadaan yang ada, ataupun dalih-dalih yang mempertahankan keesahan status quo.

Ideologi berbeza dengan falsafah. Ideologi menuntut tindakan dan bukan setakat menganalisis dan mengupas. Sebab itulah ideologi pernah ditakrifkan sebagai "sistem idea yang action-related". Ideologi juga mempertahankan sesuatu sistem nilai dan mempertikaikan sistem-sistem
nilai lainnya.

Ia turut boleh berperanan mengerah sokongan untuk berpadu dalam menghadapi peperangan atau ancaman luar, di samping menjadi pendorong perpaduan rakyat, termasuk melalui pengerahan untuk menyertai rapat- rapat raksasa yang selalunya melibatkan pengluahan ketaatan kepada ideologi, negara dan pemerintah.

Di peringkat individu, ideologi memberikan identiti dan perasaan keanggotaan kepada individu dalam kumpulannya. Ia juga boleh dijadikan alat rasionalisasi peribadi yang dapat menolong seseorang individu itu membendung tekanan hidup dan mengawal keraguan dan konflik kejiwaan, selain memuaskan keinginan seseorang untuk menghubungkan dirinya dengan identiti yang lebih umum.

Pendek kata, ideologi boleh berperanan sebagai kuasa azimat yang luar biasa hebatnya, sehingga memungkinkan satu sejarah baru terbentuk, misalnya melalui beberapa revolusi yang terpahat dalam sejarah dunia.

Negara yang dipilih untuk menunjukkan kepentingan ideologi sebagai penggerak menjatuhkan sistem pemerintahan bobrok ialah Republik Islam Iran.

Revolusi Iran mempunyai kedudukan yang istimewa berbanding perubahan di negara lain apabila dinasti Pahlavi (diterajui Mohamad Reza Shah Pahlavi) yang mengamalkan kuku besi dapat ditumbangkan melalui dorongan kuat Islam sebagai satu ideologi pemerintahan dengan kepimpinan karismatik Ayatullah Khomeini.

Terlalu sukar untuk membayangkan suatu revolusi lain dalam sejarah di mana kepimpinannya mempunyai kuasa sehebat para pemimpin Revolusi Islam Iran. Bagaimanapun gerak kerja yang didokong golongan agama itu, yang berjaya menumbangkan sepenuhnya sistem monarki pada 11 Februari 1979, sudah dimulakan lama sebelum itu, dan memakan korban yang cukup banyak.

Dan inilah juga persoalan menarik dalam perbincangan kita, bagaimana puluhan ribu rakyat jelata Iran dengan tangan kosong sedia turun bertempur di jalan-jalan raya di Tehran, sewaktu perintah berkurung dikuatkuasakan, sehingga akhirnya ketiga-tiga cawangan angkatan bersenjata Iran menyerah diri kepada kuasa rakyat.


ELEMEN PENTING GERAKAN PERUBAHAN

Dalam mana-mana gerakan perubahan sosial, apatah lagi bertaraf revolusi seperti berlaku di Iran, tiga elemen penting harus ada:

1. Sistem sedia ada begitu korup dan bobrok, sehingga majoriti rakyat mudah diyakinkan bahawa ia perlu ditukar, berdasarkan fakta dan keterangan yang tidak mungkin dapat disembunyikan lagi.

2. Kehebatan ideologi atau sistem pemerintahan baru yang ditawarkan sebagai alternatif bagi menumbangkan sistem lama yang menekan dan menzalimi rakyat.


3. Kemunculan pemimpin karismatik.

to be contunued....

2 comments:

  1. Sungguh menarik...
    Ana nantikan sambungannya...

    ReplyDelete
  2. hehehe, ana copy dari teman yg petik dari harakahdaily.net. untuk tatapan bersama..

    nantikan kesinambungannya..

    ReplyDelete

Syukran for your nice comment. Please leave your comment again!!! (^_^)

 

Copyright © 2013 | Wanita Mustanir | by Cik Bulat