Ada Apa Pada Melayu Atau Pada UMNO?? Hebatkah??


Tidak habis-habis isu ketuanan Melayu dibicarakan. Isu assabiyyah yang diharamkan Islam ini nampaknya senantiasa menarik minat orang Islam yang berketurunan Melayu. Ini dari satu aspek. Dari aspek yang lain, apabila membicarakan ketuanan Melayu ini, biasalah orang-orang kerajaan atau pengampu-pengampu kerajaan akan berlebih-lebih meletakkan UMNO sebagai hero Melayu. Kononnya kerana UMNOlah orang Melayu hari ini berjaya.

Bila disebut sahaja ketuanan Melayu, seolah-olah menjelmakan idea bahawa orang Melayu adalah golongan yang mempunyai hak keistimewaan yang amat sangat di Malaysia. Ia juga menggambarkan seolah-olah bangsa Melayu ini adalah bangsa yang paling mulia di dunia dan mesti 'dituankan' . Idea yang diperjuangkan oleh UMNO ini seolah-olah mahu membela nasib orang Melayu sebagai penduduk pribumi negara ini , walhal hakikatnya mahu menonjolkan UMNO sebagai payung tempat berteduh bagi orang Melayu.

Hakikatnya jika ditinjau sejak 1957, UMNO masih gagal menjadikan orang Melayu maju dalam segenap bidang, dan ternyata bangsa Malayu masih ketinggalan berbanding dengan bangsa lain. Atau kenyataan ini sengaja 'direka' dan dibiarkan oleh UMNO, agar UMNO menjadi sentiasa relevan membela nasib orang Melayu? Jika semua orang Melayu telah kaya dan berjaya, maka UMNO sudah tidak relevan lagi. Jadi, orang Melayu mesti dbiarkan mundur, kecuali beberapa kerat kroni dan Kapitalis dalam UMNO yang mesti dijadikan kaya dan berjaya. Ini bagi memastikan UMNO terus mendapat sokongan. Dengan kata lain, yang diperjuangkan oleh UMNO bukanlah ketuanan Melayu, tetapi yang lebih tepatnya adalah ketuanan UMNO!

Selain UMNO yang memperjuangkan ketuanan UMNO, mesti ada pula pengampu-pengampu yang memperbesarkan bahawa UMNO memperjuangkan ketuanan Melayu. Ini penting bagi survivor politik UMNO agar terus mendapat sokongan orang Melayu.

Jika benar UMNO memperjuangkan orang Melayu, kita hairan kenapa orang Melayu yang berada di dalam parti pembangkang seperti PAS dan PKR dipinggirkan. Jarang sekali atau hampir tidak kedengaran orang PAS yang diberi projek juta-juta oleh UMNO atas dasar membantu sesama Melayu demi ketuanan Melayu! Sudah bertahun-tahun lamanya Kelantan di bawah pentadbiran PAS tidak yang dibantu oleh kerajaan pusat. sebagaimana bantuan yang disalurkan ke negeri lain yang sama-sama berada di bawah pentadbiran UMNO. Adakah kerajaan pusat UMNO akan membantu Kelantan untuk maju dan membasmikan kemiskinan atas dasar ”ketuanan Melayu” yang mereka memperjuangkan selama ini?

Sejauh manakah benarnya UMNO mahu membela orang Melayu yang miskin melalui DEB? DEB telah dikecam hebat sebab disalah-gunakan untuk menguntungkan kroni-kroni UMNO. Dan berapa banyak kes di mana kontraktor-kontraktor bukan Melayu yang membolot semua kontrak kerajaan dan meminggirkan orang Melayu di Kedah, Kelantan dan Terengganu. Kita perlu ingat bahawa UMNO, di dalam menghunus keris memperjuangkan ketuanan Melayu, mesti menjaga hati parti-parti komponen dalam BN seperti MIC dan MCA dan mengekalkan pengundi-pengundi bukan Melayu sepaya terus mengundi UMNO/BN. Jadi, ketuanan Melayu yang diperjuangkan UMNO mestilah dalam isu-isu terpilih, yang tetap boleh memastikan ketuanan UMNO.

UMNO sebagai sebuah kerajaan Kapitalis yang memerintah sudah semestinya akan menjaga periuk nasi mereka. Dasar-dasar Kapitalis yang nampak bergaya dalam menyelesaikan masalah rakyat, tetapi sebaliknya mempunyai banyak ketidakadilan dan penyalahgunaan untuk kepentingan golongan mereka sahaja.

Perjuangan assabiyyah yang diharamkan oleh Allah tetap diteruskan oleh UMNO. Isu ketuanan Melayu ini, selain menjadi senjata utama UMNO mengekalkan kuasa, juga sering mengundang pengampu-pengampu UMNO untuk terus-menerus berusaha untuk menjadikan UMNO relevan di mata orang Melayu. Mereka in langsung tidak mahu melihat kepada Islam, namun tetap memilih Melayu sebagai asas perjuangan. Mereka seolah-olah lupa bahawa Allah Azza Wa Jalla akan menghisab mereka nanti darihal kenapa merka memperjuangkan ketuanan Melayu, tidak ketuanan Islam?

1 comment:

  1. Setuju.. perkara ini jelas berlaku ketidak fahaman istilah dan perjuangan kabur parti yang bersifat kebangsaan.. Sheikh Taqiuddin dalam at-takatul telah menyebutkan ciri-ciri parti nasional..
    Nampaknya, perkara yang alami bagi parti nasional dari dulu hingga sekarang untuk melakukan perjuangan yang kabur...
    Bilakah golongan nasionalis mahu belajar dari sejarah.. Belajar dari sirah, jauh sekali!

    ReplyDelete

Syukran for your nice comment. Please leave your comment again!!! (^_^)

 

Copyright © 2013 | Wanita Mustanir | by Cik Bulat